SINGAPURA: Mulai 1 Januari tahun depan, hanya pekerja yang divaksinasi atau pulih daripada COVID-19 dalam tempoh 270 hari dibenarkan kembali ke tempat kerja, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) semalam.
Ini bermakna mereka yang belum divaksin tidak dibenarkan berbuat demikian melainkan mereka diuji negatif COVID-19 dan perlu menanggung kos ujian saringan.
Ujian hendaklah dijalankan oleh penyedia diluluskan MOH dan mesti sah selama tempoh pekerja dikehendaki berada di tempat kerja. Keputusan ujian pantas antigen negatif sah selama 24 jam.
Majikan sangat digalakkan untuk memberi pertimbangan khusus kepada kakitangan hamil atau tidak layak dari segi perubatan untuk mendapatkan vaksin.
Bagi pekerja yang tidak layak dari segi perubatan untuk semua vaksin di bawah program vaksinasi kebangsaan (NVP), termasuk suntikan Sinovac, mereka akan dikecualikan daripada keperluan vaksinasi jika mereka perlu bekerja di lokasi, menurut MOH dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
Jika tidak, kumpulan pekerja ini harus dibenarkan bekerja dari rumah sekiranya mereka dapat melakukannya. Ketiadaan di tempat kerja tidak boleh mempengaruhi penilaian prestasi mereka, kata MOM.
Kumpulan ini mungkin ditugaskan untuk kerja lebih bersesuaian yang boleh dilakukan dari rumah, menurut kementerian itu.
Pilihan tempat kerja dari rumah juga harus dipertimbangkan untuk wanita hamil yang tidak diberi vaksin, kata MOM.
"Pekerja hamil juga amat digalakkan untuk diberi vaksin di bawah NVP," menurut kementerian itu.
Pihak berkuasa menjelaskan dalam kalangan wanita hamil yang tidak divaksinasi dan dirawat di hospital kerana COVID-19 di Singapura, 20 peratus daripada mereka memerlukan oksigen dan 10 peratus memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) sehingga akhir September lalu.
"Sebaliknya berlaku kepada wanita hamil yang diberi vaksin dan dijangkiti COVID-19 kerana tiada seorang pun daripada mereka memerlukan oksigen atau dihantar ke ICU," menurut MOH dan MOM. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan