WASHINGTON: Jumlah terkumpul kes positif COVID-19 di seluruh dunia ketika ini melebihi 244 juta, selepas lebih 500,000 kes baru dikesan dalam tempoh 24 jam lalu.
Data terbaru oleh Universiti Johns Hopkins menunjukkan Amerika Syarikat (AS) masih negara yang paling terjejas dengan 45 juta kes dilaporkan.
Ini diikuti oleh India yang melaporkan lebih 34 juta kes dan Brazil dengan lebih 21.7 juta kes.
Britain pula mencatatkan lebih 8.8 juta kes, manakala Russia turut memasuki kumpulan negara yang melaporkan lebih 8 juta kes.
Di Asia Tenggara, Indonesia mendahului negara lain dengan lebih 4.2 juta kes dilaporkan.
Ini diikuti dengan Filipina yang mencatatkan lebih 2.7 juta kes, Malaysia dengan lebih 2.4 juta kes dan Thailand dengan 1.8 juta kes.
Singapura pula merekodkan lebih 179,000 kes.
Sementara itu, angka korban di seluruh dunia akibat COVID-19 kini semakin mencecah 5 juta.
Berdasarkan data dari Universiti Johns Hopkins, AS kekal mencatatkan jumlah kematian tertinggi melebihi 738,000 kes, menjadikan angka kematian global akibat virus itu kini 4.96 juta.
Ini diikuti dengan Brazil yang melaporkan lebih 605,000 kematian, India dengan lebih 455,000 kematian dan Mexico lebih 286,000 kematian.
Di Asia Tenggara, Indonesia mencatatkan 143,000 kes kematian, diikuti Filipina yang melaporkan lebih 42,000 kematian dan Malaysia dengan lebih 28,000 kematian. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan