23 Oktober 2021

Lelaki belum vaksin cuba rentas negeri dikompaun RM5,000

 

JEMPOL: Polis mengeluarkan kompaun RM5,000 terhadap seorang lelaki berusia 39 tahun yang belum divaksin kerana merentas ke negeri ini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, berkata

lelaki itu turut memberi alasan kepada polis vaksin tidak wajib diambil ketika ditahan dalam pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Kilometer 35 Jalan Bahau - Kemayan pada jam 12.40 tengah hari tadi.

Beliau berkata, kompaun itu dikeluarkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Katanya lelaki itu dari Kemayan dan memberi alasan memasuki daerah itu bagi mengambil isterinya yang tinggal di Sungai Lui.

"Selain pemandu persendirian yang masuk ke negeri ini diperiksa, kita turut melakukan pemeriksaan ke atas penumpang perkhidmatan awam antaranya bas," katanya.

Chang Hook berkata, biarpun vaksin tidak diwajibkan namun individu yang mahu masuk ke Negeri Sembilan perlu lengkap divaksin.

Katanya, polis daerah itu akan terus mengadakan operasi pemantauan pematuhan SOP dari masa ke semasa bagi memastikan hanya mereka yang memenuhi syarat lengkap vaksin masuk ke negeri ini melalui Jempol.

bharian/-

Tiada ulasan: