23 Oktober 2021

Syukur, walau penat pertahan 31 tahun Kerajaan Kelantan

 

KOTA BHARU: Presiden PAS mengucapkan tahniah kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan kerana kejayaannya mengekalkan pemerintahan Membangun Bersama Islam sehingga kini berusia 31 tahun.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan kemampuan tersebut merupakan satu kejayaan besar serta sangat istimewa kepada PAS Pusat lantaran mempertahankan sebuah kemenangan yang dicapai lebih sukar.



Menurutnya, sejak PAS mula mengambilalih pemerintah Kelantan pada 1990, kerajaan negeri ketika itu berhadapan dengan pelbagai kekangan serta karenah birokasi gara-gara ideologi politik berbeza antara satu sama lain

“Dalam keadaan kita melawan parti dar kerajaan pusat, lebih kuat, lebih kaya, jentera lengkap, namun kita mampu capai kemenangan, dengan pertolongan Allah, kita bersyukur di atas kurnianya mencapai kemenangan itu.

“Walaupun bidang kuasa kerajaan negeri terhad, ini berkat kebergantungan kepada Allah kita telah bertahan 31 tahun, banyak parti islam dalam dunia memerintah tidak lama selama yang kita perintah Kelantan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ceramah perdana yang disiarkan secara langsung sempena Sambutan 31 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam malam tadi yang dianjurkan oleh Perhubungan PAS negeri.

Turut menyampaikan ucapan pada majlis itu Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dan Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut mengucapkan penghargaan kepada rakyat Kelantan serta pendukung parti itu kerana kesabaran yang tinggi menghadapi kekurangan yang dihadapi kerajaan negeri.

Beliau mengakui keadaan yang dihadapi oleh rakyat Kelantan sangat memenatkan selama pemerintahan PAS Kelantan yang serba kekurangan, namun memberi sokongan kepada pimpinan PAS negeri untuk mengemudi kerajaan.

Malah dalam masa sama beliau turut menasihat pimpinan PAS yang ada sekarang agar tidak alpa serta terus muhasabah serta mendengar keluhan rakyat yang memerlukan.

“Saya ucapkan penghargaan yang sabar hadapi ujian tekanan terus menyokong PAS, sampai 31 tahun lebih hadapi keadaan memenatkan terus bertahan, pengundi di Kelantan dan luar balik mempertahankan kerajaan kita di Kelantan.

“Mudah-mudahan Allah memberi balasan kepada mereka semua, dalam masa sama membuat muhasabah terhadap perjalanan kerajaan kita dari masa ke semasa, bersyukur atas kejayaan dicapai menambahbaik lagi dalam masa sama,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/10/2021

Tiada ulasan: