03 Oktober 2021

Tangguh atau selamat rentas negeri Jumaat ini?

 Pakar berbeza pandangan mengenai kebenaran rentas negeri apabila kadar vaksinasi individu dewasa di negara ini dijangka mencapai 90 peratus Jumaat ini. - Foto BERNAMA

Pakar berbeza pandangan mengenai kebenaran rentas negeri apabila kadar vaksinasi individu dewasa di negara ini dijangka mencapai 90 peratus Jumaat ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pakar berbeza pandangan mengenai kebenaran rentas negeri apabila kadar vaksinasi individu dewasa di negara ini dijangka mencapai 90 peratus Jumaat ini.

Walaupun lebih 21 juta populasi dewasa di Malaysia bakal lengkap dos vaksin dalam tempoh lima hari lagi, pakar virologi dan epidemiologi berpandangan kerajaan perlu mengambil percaturan berhati-hati untuk membenarkan semula pergerakan rentas negeri.

Mengutarakan pendirian berbeza, pakar kesihatan pula berpendapat pergerakan rentas negeri sebahagian daripada sisi kehidupan apabila negara bergerak ke fasa endemik menjelang hujung bulan ini.

Pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip, berkata purata suntikan vaksin dos kedua dalam tempoh tujuh hari sejak 26 September lalu ialah sebanyak 147,147 dos.

Berdasarkan laman web COVIDNOW kendalian Kementerian Kesihatan (KKM), beliau berkata, seramai 1,652,050 individu dewasa atau 7.1 peratus belum menerima dos lengkap vaksin.

Katanya, jika dihitung beliau mengunjurkan kadar liputan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dalam kalangan populasi dewasa bakal mencecah 90 peratus dalam tempoh 4.4 hari.

"Berkemungkinan menjelang Jumaat ini kita sudah capai 90 peratus populasi dewasa lengkap divaksin, tetapi saya mempunyai pandangan berbeza mengenai kebenaran rentas negeri.

"Kadar liputan vaksin tidak wajar dijadikan satu-satunya petunjuk untuk membenarkan rentas negeri, sebaliknya kadar kemasukan ke hospital dan penggunaan kapasiti unit rawatan rapi (ICU) juga perlu diambil kira.

"Berdasarkan COVIDNOW, kapasiti penggunaan ICU di seluruh negara ketika ini 65.8 peratus dengan negeri yang merekodkan kadar tertinggi Pulau Pinang iaitu 91.7 peratus.

"Bayangkan jika berlaku lonjakan kes susulan pergerakan rentas negeri, maka hospital dan ICU yang baru nak mula 'bernafas' akan kembali sesak dengan pesakit," katanya kepada BH hari ini.

Pakar epidemiologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, yang menyuarakan kebimbangan sama mencadangkan kerajaan menggunakan pendekatan 'gelembung perjalanan' membabitkan antara negeri yang mencapai kadar imunisasi melebihi 90 peratus.

Katanya, mengikut statistik setakat hari ini negeri yang masih mencatatkan liputan imunsisasi dalam kalangan dewasa di bawah paras 80 peratus ialah Johor dengan 76.3 peratus, Kedah (75.7 peratus), Perak (74 peratus), Kelantan (71.2 peratus) dan Sabah (61.3 peratus).

"Justeru, negeri yang belum capai 90 peratus, lebih baik tunggu seminggu dua lagi untuk kadar liputan imunsisasi meningkat, sebelum pergerakan ke negeri berkenaan dibenarkan.

"Kita bimbang dan khuatir dengan golongan rentan, malah pemberian suntikan vaksin kepada golongan remaja masih di peringkat awal, manakala kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah setakat ini belum mendapat 'lampu hijau' untuk mengambil pelalian COVID-19.

"Sesetengah negeri, contohnya Kelantan yang menjadi tumpuan sekarang kerana sebahagian daripadanya mengambil keputusan untuk tidak mengambil vaksin, maka lebih baik kita mengambil pendekatan berhati-hati," katanya.

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun, pula berkata pergerakan rentas negeri berupaya dibenarkan sebaik liputan PICK mencapai 90 peratus tanpa meminggirkan kepentingan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan keperluan melakukan ujian saringan kendiri.

Selepas lebih dua tahun 'berperang' dengan COVID-19, katanya, masyarakat perlu menyesuaikan diri dengan corak kehidupan mengikut acuan endemik yang bakal menyaksikan segenap aktiviti sebelum Disember 2020 perlu dijalani secara norma baharu.

"Tidak perlu ada 'grace period' (tempoh bertenang) untuk benarkan pergerakan rentas negeri apabila PICK capai 90 peratus.

"Tetapi orang ramai perlu cakna mengenai COVID-19 dan kehidupan fasa endemik.

"Dilengkapi vaksin atau tidak, kita masih boleh dijangkiti dan menjangkiti orang lain kerana virus COVID-19 akan kekal berada dalam persekitaran untuk tempoh yang lama, justeru terapkan kebiasaan melakukan ujian saringan kendiri menggunakan air liur.

"Ia khususnya apabila melakukan aktiviti membabitkan perhimpunan ramai atau berpasukan kerana langkah pencegahan dan keselamatan paling utama menjelang peralihan fasa endemik kelak," katanya.

BHARIAN/-

Tiada ulasan: