DUNGUN: Seramai 47,000 pelajar dari dua negeri bagi kumpulan A iaitu Terengganu dan Kelantan serta Pulau Langkawi di Kedah memulakan sesi persekolahan secara bersemuka hari ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pengoperasian secara keseluruhan di semua sekolah berjalan lancar dan teratur dengan semua pelajar dan guru mematuhi garis panduan yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).
Beliau berkata, pihak sekolah mematuhi tatacara dan garis panduan yang ditetapkan bagi menghindari penularan pandemik COVID-19.
"Alhamdullilah, perkara yang ditekankan kementerian terutama aspek penjarakan fizikal dan pengudaraan dipatuhi dengan baik dan kita lihat hampir semua kelas pengudaraan itu berada pada tahap yang optimum.
"Kalau kita lihat semuanya berjalan dengan baik termasuk penggiliran murid dalam kelas yang mana kita umumkan sebelum ini bahawa untuk setiap kelas itu hanya separuh murid hadir bersemuka dan separuh lagi belajar PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah) sendiri di rumah.
"Kita lihat pendekatan ini membolehkan penjarakan fizikal dilaksanakan dengan baik seterusnya mengelak kesesakan sewaktu kemasukan ke sekolah dan kita berharap apabila murid balik dari sekolah, penyuraian nanti dapat berlaku dengan penuh teratur dan lancar.
"Insya-Allah dengan kerjasama semua pihak, kita sama-sama berusaha dan berdoa (supaya) semua sesi persekolahan bersemuka ini dapat terus berjalan dengan lancar dan teratur," katanya selepas meninjau sesi persekolahan bersemuka di Sekolah Menengah Sains Dungun di sini hari ini.
Terdahulu, Radzi turut melakukan tinjauan di beberapa sekolah di sekitar daerah Kuala Terengganu dan Marang.
Dalam pada itu, Radzi berkata lebih 80 peratus pelajar Tingkatan Lima dan Enam di seluruh negara sudah menerima suntikan vaksin COVID-19 setakat ini.
Katanya, pelaksanaan vaksinasi bagi pelajar Tingkatan Satu hingga Lima setakat ini berjalan dengan baik.
"Hampir kesemua murid Tingkatan Enam divaksinkan dan juga Tingkatan Lima dan sekarang ini sedang dilaksanakan secara berperingkat.
"Ada yang dilaksanakan mengikut sekolah, seperti SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan) Sultan Sulaiman (Kuala Terengganu) merupakan PPV (Pusat Pemberian Vaksin) untuk dua buah sekolah," katanya.
Radzi berkata, tindakan tidak membenarkan lebih kurang 2,000 guru yang enggan menerima vaksin untuk mengajar secara bersemuka tidak menjejaskan sesi pengajaran dan pembelajaran sama ada di sekolah atau di rumah.
"Kita sudah teliti mereka di sekolah mana dan mata pelajaran apa yang mereka ajar, sebab itu apabila saya sebut bahawa ada kemungkinan besar kena ditukar ini tak bermaksud apabila ditukar ke sekolah lain dan (mereka boleh) ajar bersemuka.
"Ada hampir semua guru yang mengajar subjek yang sama enggan divaksinkan, sebab itu kita buat ketetapan guru-guru ini perlu dibawa keluar (dari sekolah) sebab itu ada pertukaran sama ada dalam atau luar negeri untuk memastikan perjawatan yang ada itu tidak terjejas (dan) buat masa ini guru-guru ini diberi tugasan yang lain," katanya.
BHARIAN/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan