03 Oktober 2021

PN tidak gopoh bincang PRU-15, agihan kerusi

 

TUAN IBRAHIM TUAN MAN


DUNGUN: Pas menafikan dakwaan kononnya Perikatan Nasional (PN) gopoh membincangkan persiapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) termasuk pembahagian kerusi sebaliknya, tindakan gabungan tersebut disifatkan tepat pada masanya.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini merupakan waktu yang sesuai buat mana-mana parti politik untuk bersiap-sedia ke arah itu memandangkan kurang setahun untuk menghadapi PRU-15 yang dijangka diadakan selewat-lewatnya pada Julai 2022.

“Masanya sudah betul, saya rasa kita tidak gopoh sebab sudah lebih tiga tahun PRU-14 berlalu, malah tidak juga terlalu cepat.

“Bagi saya agihan kerusi bersifat berpanjangan dan mengambil masa, jadi pihak lain tidak perlu rasa bimbang dengan perbincangan PN,” katanya dalam sidang akhbar di tapak Pasaraya Wakaf di sini hari ini.

Baru-baru ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perbincangan pada minggu depan itu akan dibuat tanpa melibatkan UMNO, sebaliknya hanya melibatkan tiga parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Nasional (Gerakan) di samping komponen lain di Sabah serta Sarawak.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, walaupun UMNO sudah memuktamadkan untuk tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PRU-15, namun Pas menaruh keyakinan situasi tersebut boleh berubah.

“Politik ini tidak ada simpul mati dan serba mungkin. Tentunya kita tidak sanggup mendedahkan kepada situasi kekalahan, malah saya yakin semua orang mahu mengelak pertandingan tiga penjuru,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tiada ulasan: