Soalan:
Assalammualaikum, saya pernah ternampak orang mengerjakan solat sunat rawatib sebelum zohor 4 rakaat 1 salam, katanya nak cepat supaya dapat takbir pertama jemaah solat zohor bersama imam. Persoalannya, benarkah kita boleh solat sunat 4 rakaat 1 salam? Mohon pencerahan SS Mufti.
Ringkasan jawapan:
Solat sunat 4 rakaat 1 salam adalah harus hukumnya. Namun, solat sunat 4 rakaat dipisahkan dua rakaat dengan dua salam adalah lebih afdal kerana berlaku pertambahan niat, takbir, tasyahud (tahiyat) dan juga salam yang mana ia mengundang ganjaran tambahan.
Huraian jawapan:
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat
Solat-solat sunat rawatib dikerjakan sebanyak 2 rakaat berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Umar RA.anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
صَلاَةُ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ مَثْنَى مَثْنَى
Maksudnya: “Solat sunat pada malam dan siang hari adalah dengan 2 rakaat, 2 rakaat. (Riwayat Abu Daud 1295)
Hadis sahih ini menjelaskan bahawa lebih utama (afdal) melaksanakan solat sunat 2 rakaat dengan 1 salam sama ada solat sunat pada malam hari atau siang hari. Oleh itu, solat sunat digalakkan untuk dilaksanakan dengan 1 salam bagi setiap 2 rakaat. Namun, sekiranya menggabungkan rakaat- rakaat dengan 1 salam adalah harus.[1] (Rujuk Syarah al-Nawawi ala Muslim 6/30)
Pandangan yang menyatakan solat sunat dipisahkan kepada 2 rakaat dengan satu salam adalah pandangan majoriti ulama mazhab termasuk mazhab Syafi’ie. [2] (Rujuk Tuhfah al-Ahwazdi 2/416, 2/411)
Selain itu, bagi mereka yang ingin melaksanakan solat sunat 4 rakaat sebelum (qabliyah) fardu zohor dan selepasnya (ba’diyah), maka digalakkan mengerjakan 1 salam bagi setiap 2 rakaat berdasarkan hadis yang dinyatakan sebelum ini. (Rujuk Majmu’ Syarah Muhadzzab 4/10) [3]
Solat sunat 4 rakaat (qabliyah) sebelum fardu zohor dengan memisahkan 2 rakaat 1 salam menyebabkan pertambahan niat, takbir, tasyahud dan juga salam. Ini kerana ganjaran amalan yang dikurniakan oleh Allah bersesuaian dengan kadar kuantiti usaha. Perkara ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyatakan:
ما كان أكثر فعلا كان أكثر فضلا
“Lebih banyak sesuatu perbuatan, lebih banyak fadilatnya (kelebihan). (Rujuk Al-Asybah wal-Nazhair, Al-Suyuthi ( 1/ 143).[4]
Kaedah ini diambil berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada A’isyah R.Anha bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
أَجْرُكِ عَلَى قَدْرِ نَصَبِكِ
Maksudnya: Ganjaran (untuk) kamu mengikut kadar usaha kamu. (Riwayat Muslim 1211)
Informasi tambahan, rujuk perbahasan solat sunat rawatib muakkad dan tidak muakkad pada pautan berikut:
Penutup
Kesimpulannya, solat sunat 4 rakaat 1 salam sebelum (qabliyah) fardu zohor dan selepas (ba’diyah) afdal dipisahkan menjadi 2 rakaat dengan 2 salam iaitu 1 salam bagi setiap 2 rakaat. Hal ini kerana berlaku pertambahan niat, pertambahan takbir, tasyahud dan juga salam yang mana ia mengundang ganjaran tambahan.
1)Al-Nawawi, Muḥyī al-Dīn Yahyā bin Sharf (1392), Al-Minhaj Sharḥ Saḥīḥ Muslim, Beirut: Ihya’ al-Turath al-A’rabi . jld 6 p :30
[2] Al-Mubarakfuri, Muhammad Abdurrahman Bin Abdurrahim, Tuhfah Al-Ahwazi Bi Syarh Jami’ Al-Tirmidzi, Beirut: Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyah, jld. 2 p: 416, 2 p 416, jld. 3 p :169.
[3] Al-Nawawi, Muḥyī al-Dīn Yahyā bin Sharf (t.t), Majmu’ Syarah Muhadzzab, Dar al-Fik, jld 4, p : 10
[4] Jalaluddin Suyuthi, Abd Rahman bin Abi Bakar (1990), Al-Asybah wal-Nazhair, Dar al-Kutub Ilmiah, jld. 1,p : 14 – HARAKAHDAILY 26/11/2021
Tulisan ini diambil daripada laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di ruangan Al Kafi li al-Fatawi yang diterbitkan pada 9 November 2021.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan