NEW DELHI: Satu gempa bumi kuat berukuran 6.1 pada skala Richter melanda kawasan sempadan Myanmar-India pada awal pagi ini, menurut Pusat Seismologi Kebangsaan India.
Laman sesawang Pusat Seismologi Eropah-Mediterranean (EMSC) pula memaklumkan, gempa bumi itu boleh dirasai di Chittagong di Bangladesh sehingga sejauh Kolkata, Bengal Barat, Tripura dan Assam di timur India.
Menurut catatan seorang saksi di laman sesawang EMSC, gempa yang berlaku sangat kuat dan dirasai sehingga Chittagong di Bangladesh, yang terletak kira-kira 184 kilometer (km) ke barat titik gempa.
EMSC pada mulanya memaklumkan gempa itu berukuran 5.8 pada skala Richter sebelum mengubahnya kepada 6.1.
Pusat Seismologi Kebangsaan India memaklumkan, titik gempa dikesan kira-kira 140 km ke tenggara Aizawl di timur laut India, pada kedalaman 12 km. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan