SHAH ALAM: Semua calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menandatangani akujanji menentang rasuah.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata akujanji yang akan ditandatangani dalam tempoh terdekat itu bukti serta komitmen parti itu dalam mendukung prinsip integriti.
"Teras dan pendirian PN adalah menentang salah guna kuasa, rasuah. Memberikan layanan yang adil dan saksama kepada semua pihak. Ini jaminan kerajaan PN yang bakal dibentuk di Melaka.
"Jadi, untuk menunjukkan betapa kita komited menentang rasuah, kita sediakan akujanji. Yang ini saya minta semua calon kita untuk menandatanganinya dalam sehari dua ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Pentas PRN Melaka di sini, malam ini.
Yang turut hadir, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, manifesto PN akan dilancarkan dalam tempoh terdekat.
Katanya, PN akan menyenaraikan perkara utama yang penting dan perlu diberi perhatian supaya Melaka menjadi negeri yang lebih maju dan makmur.
Dalam pada itu, beliau turut meminta kerajaan memberi kelonggaran kepada semua calon untuk berkempen.
Katanya, beliau memahami prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan untuk mengawal pandemik COVID-19, namun ruang harus diberikan kepada calon untuk bertemu pengundi.
"Apa pun keadaan saya minta kerajaan beri pertimbangan dan kelonggaran dengan SOP yang ada. Saya faham, namun diharap semua calon diberi ruang. Diberikan lebih banyak kebebasan untuk turun ke padang.
"Ini kerana jika calon tak turun berjumpa dengan pengundi, ia tidak memberi gambaran yang baik, seolah-olah kita sombong," katanya.
Sementara itu, Abdul Hadi mengingatkan rakyat Melaka supaya tidak lagi termakan janji manis Pakatan Harapan (PH) yang diibaratkannya seperti memenuhi permintaan Puteri Gunung Ledang.
Katanya, perkara itu terbukti pada pilihan raya umum yang lalu apabila banyak manifesto PH tidak ditunaikan.
"Parti ekstrem dan mahu merungkaikan Perlembagaan, perlu kita tolak kerana walaupun mereka tidak melakukanya tetapi banyak kenyataan ke arah itu.
"Janji manifesto mereka juga seperti memenuhi permintaan Puteri Gunung Ledang. Janji nak hapuskan tol. Janji turunkan harga minyak. Semua tidak ditunaikan," katanya.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, jika PN diberi mandat, rakyat Melaka bakal menyaksikan pembaharuan dan kepemimpinan yang lebih baik di negeri berkenaan.
"PN satu pakatan baharu mengumpulkan parti yang tidak ekstrem. Yang boleh bersatu dan boleh bekerjasama.
"Satu pembaharuan mesti dilakukan di Melaka dan jika rakyat Melaka mahukan pembaharuan, pilihlah PN," katanya.
BHARIAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan