MELAKA: Kempen yang disifatkan 'sunyi' menerusi media sosial tidak dapat dirasai warga emas yang sinonim dengan kempen bersemuka dan berhimpun yang dilalui sejak puluhan tahun lalu.
Namun kali ini, prosedur operasi standard (SOP) ketat yang diperkenalkan dalam membendung pandemik COVID-19 menutup suasana biasa itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal berlangsung pada 20 November depan.
Malah kemeriahan calon dan parti mengetengahkan visi dan misi mereka menerusi cara baharu itu agak asing buat golongan itu yang lebih mesra dengan kaedah konvensional.
Ahmad Burok, 86, berkata beliau akur dengan perkembangan berkenaan dalam usaha mencegah dan mengekang penularan pandemik.
Bagaimanapun, katanya, PRN Melaka diakui tidak seperti dulu sehingga beliau tidak dapat merasai kempen yang bermula sejak 8 November lalu.
Menurutnya, sememangnya amat berlainan berbanding lebih 10 kali dia memilih dalam pilihan raya bagi menentukan calon pilihan kerana mereka tidak biasa dengan penggunaan media sosial.
"Bagi kami cara baharu ini memang janggal terutama menerusi kempen parti dan calon secara online, namun saya tetap akan keluar mengundi kerana ia penting untuk masa depan generasi muda.
"Apapun, dengan terdapat poster calon dan bendera parti yang digantung di sekitar kampung situasi PRN masih dapat dilihat walaupun agak berbeza dari biasa." katanya.
Bagi Mansor Ahmad, 83, pula walaupun ada ramai calon yang bertanding, warga emas sepertinya tidak dapat rasa kerana tidak mengikuti perkembangan kempen di media sosial.
Malah tanpa kempen bersemuka, katanya, visi dan misi sesetengah calon tidak dapat diketahui kerana tiada perhimpunan dan ceramah terbuka seperti biasa.
Isa Yusof, 80, pula berkata, beliau juga mengakui kempen di media sosial tidak banyak memberi kesan kepada warga emas sepertinya yang biasa dengan kempen cara lama.
Menurutnya, penggunaan media sosial yang masih asing kepada golongan warga emas menyebabkan tidak ada suasana seperti pengundian pada PRU-14.
Apa yang jelas, katanya, saluran media sosial seperti Facebook (FB) Live, Instagram, Telegram dan Tik Tok, bukan pendekatan biasa buat warga emas.
BHARIAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan