10 November 2021

Ditahan curi wang suami RM2.49 juta

 DONNA Marino didakwa atas pertuduhan mencuri wang milik suaminya sejak 20 tahun lalu. FOTO Agensi

DONNA Marino didakwa atas pertuduhan mencuri wang milik suaminya sejak 20 tahun lalu. FOTO Agensi

Hartford: Sejak 20 tahun lalu, wanita dari Connecticut, Amerika Syarikat ini mencuri wang suaminya berjumlah AS$600,000 (RM2.49 juta) dan menutup salah laku itu dengan mengatakan lelaki berkenaan menghidap Alzheimer.

Kegiatannya hanya terbongkar selepas anak tirinya menemui dokumen berkaitan kad kredit yang tidak diketahui bapanya, sebelum melaporkan kepada polis.

Donna Marino yang didakwa mengawal kewangan keluarga dilapor ditahan minggu lalu, dan dipercayai mencuri cek pencen, pampasan pekerjaan dan pendapatan suaminya sejak 20 tahun lalu.

Sarjan Gregory Borer memberitahu New Haven Register yang dilapor Oddity Central bahawa Donna akan menjelaskan mengenai penyakit Alzheimer setiap kali suaminya mahu ke bank untuk sebarang transaksi kewangan.

"Dia akan menceritakan kepada suaminya mengenai kejadian yang berlaku disebabkan penyakit Alzheimer, hingga lelaki itu enggan masuk ke bank bagi mengelak malu," katanya.

Ditambah pula penyakit itu antara satu perkara yang ditakuti suami Donna sejak beberapa tahun kebelakangan ini, walaupun lelaki terbabit tidak pernah mendapatkan rujukan profesional.

Donna tahu mengenai perkara itu bahkan, ibu mentuanya juga menghidap penyakit sama yang memudahkan dia untuk merancang pelan penipuan.

Siasatan menunjukkan Donna mengambil wang berkenaan dan memasukkan ke akaun bank ibunya. Dia memberitahu polis bahawa wang itu digunakan untuk membantu keluarganya, bukannya untuk berjoli.

Namun, wanita itu tetap didakwa atas kesalahan merompak tahap satu dan pemalsuan tahap tiga.

Dia diceraikan pada Jun lalu, iaitu ketika mula-mula penipuannya terbongkar. Sebutan semula kes membabitkan Donna pada 29 November depan.

AGENSI.

Tiada ulasan: