09 November 2021

‘Kita anggap pertembungan perlawanan persahabatan’

 

MELAKA: PAS menganggap pertembungan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai satu perlawanan persahabatan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata PAS sedaya upaya untuk menjayakan agenda penyatuan ummah sebaik mungkin.


Namun katanya, PAS tidak berjaya untuk memenuhinya dan akhirnya mengambil keputusan untuk berusaha sebaik mungkin dalam PRN Melaka.

“Kalau dalam pilihan raya ini kita ada pertembungan, kita anggap pertembungan perlawanan persahabatan.

“Macam PAS sendiri, kita mempunyai akhlak dan juga adab adab dalam berjemaah termasuk juga dalam politik sendiri.

“Sebab itulah kita memberi pesanan kepada calon dan jentera parti kita untuk melaksanakan dan menyertai pilihan raya ini dengan penuh adab-adab islam,” katanya ketika ditemui Harakah selepas selesai mempengerusikan Majlis Taujihat Calon PAS di Markas Induk Bukit Katil, di sini, semalam.

Justeru itu kata Takiyuddin, PAS yakin sekiranya calon dan jenteranya memenuhi adab Islam dalam bertanding di PRN Melaka, perkara yang tidak baik dapat dielakkan.

Bagaimanapun kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu, PAS akui sedikit kecewa dan sedih memandangkan hasrat PAS supaya dapat memelihara keharmonian, hubungan penyatuan ummah itu tidak dapat dilaksanakan dalam PRN Melaka.

“Kita harap ianya akan dapat dijayakan mungkin satu masa yang lain sebagai orang islam. Kita harus melihat sesuatu perkara itu secara positif.

“Kita harap perkara yang berlaku mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Benda yang sudah berlaku,” katanya.

Ditanya mengenai harapannya terhadap rakyat Melaka kata Takiyuddin, dari aspek demokrasi, rakyat Melaka mempunyai hak untuk menentukan kepimpinan negeri mereka.

Katanya, PAS dan Perikatan Nasional menawarkan perkhidmatan yang terbaik berteraskan kepada penyatuan, keprihatinan dan keadilan untuk semua.

“Inklusif, maknanya tidak mengira kaum, agama dan sebagainya. Kalau kita dulu, PAS For All, jadi dalam konteks Perikatan Nasional ini, Perikatan Nasional For All,” katanya.

Sementara itu, mengulas berhubung potensi Perikatan Nasional dalam PRN Melaka katanya, PAS semestinya mengharapkan satu keputusan terbaik dan akan berusaha untuk menjayakan rancangan sedia ada.

“Simulasi (parti lain menang besar) hanya satu andaian, ramai orang buat andaian begitu begini dan sebagainya.

“Dalam pilihan raya ini, dalam satu hari pun keadaan boleh berubah. Kita tak perlu kira dia punya simulasi itu, kita berusaha untuk dapatkan kejayaan sebaik mungkin,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/11/2021

Tiada ulasan: