Oleh Datuk Seri Akhbar Satar - November 9, 2021 @ 11:15am bhrencana@bh.com.my
SEMUA parti politik dan bakal calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disarankan memahami kesalahan kesalahan pilihan raya khususnya berkaitan aktiviti kempen pilihan raya berunsur rasuah dan salah guna kuasa seperti tertakluk pada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Peruntukan diperlukan sudah wujud dalam undang-undang sedia ada bagi membolehkan SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan tegas terhadap amalan rasuah serta salah guna kuasa menjelang PRN Melaka.
Peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 mengandungi semua bentuk kesalahan rasuah dan salah guna kuasa jelas, iaitu Seksyen 8 mengenai penjamuan; pengaruh tidak wajar (Seksyen 9); rasuah (Seksyen 10) semasa atau selepas tempoh pilihan raya.
Tambahan pula akta ini memperuntukkan hukuman lebih berat termasuk boleh dipenjara hingga hilang kelayakan sebagai wakil rakyat dan hak mengundi. Sebenarnya hukuman sebegini jika dikuatkuasakan menakutkan dan menjejaskan masa depan ahli politik melakukan kesalahan.
Bagi Seksyen 8, setiap calon boleh dianggap melakukan rasuah dengan menawarkan makanan dan minuman kepada pengundi kerana tindakan itu menunjukkan penghargaan kepada pengundi, lebih-lebih lagi apabila calon itu mempunyai hasrat supaya undi dirinya.
Petikan Seksyen 8 seperti berikut: "Tiap-tiap pemilih atau pengundi yang secara rasuah menerima atau mengambil apa-apa makanan, minuman atau makanan atau minuman ringan atau bekalan itu atau mana-mana wang atau tiket itu atau yang menggunakan apa-apa cara atau tipu daya lain itu untuk membolehkan makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan itu didapatkan bersalah atas kesalahan menjamu."
Kata kuncinya adalah 'secara rasuah', mempunyai niat dengan memberi makanan atau minuman ditawarkan berkenaan. Sudah tentu modus amalan sebegini kerap berlaku dalam politik Malaysia.
Seksyen 9 pula merujuk kepada 'pengaruh tidak wajar' yang boleh menjadi kesalahan jika seseorang menggunakan kekerasan, keganasan atau menghalang hingga memaksa seseorang mengundi dengan cara tertentu atau tidak mengundi langsung.
Seksyen 10 mengenai penyogokan pula, ia berlaku sekiranya calon atau mana-mana individu menawarkan 'pembelian undi' sama ada secara langsung atau tidak seperti memberi, menawarkan wang, hadiah, pekerjaan, atau pinjaman ketika proses pilihan raya.
Politik wang tidak ada tolenrasi justeru tidak harus berlaku pada mana-mana parti politik. Bagi mengatasi masalah rumit ini, kerajaan perlu memperkenalkan Pembiayaan Dana Politik. Akta ini dapat dijadikan panduan untuk membezakan antara dana politik dengan sumbangan kepada parti atau ahli politik boleh dikategorikan sebagai rasuah.
Seksyen 19 mengenai had perbelanjaan pilihanan raya pula perlu diambil maklum semua parti politik.
Mengikut seksyen ini, had maksimum perbelanjaan masa pilihan raya adalah RM150,000 bagi setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan RM200,000 (Parlimen). Sudah menjadi pengetahuan umum, berjuta-juta dibelanjakan di setiap kawasan semasa pilihan raya.
Laporan perbelanjaan perlu dikemukakan calon pilihan raya kepada SPR dalam tempoh sebulan selepas pilihan raya diwartakan. Majoriti calon tidak mematuhi kehendak akta ini.
Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 agak ketat, tetapi malangnya SPR tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan terhadap calon melanggar undang-undang pilihan raya.
Sebenarnya, kuasa berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa yang ada lebih menjurus kepada bidang kuasa SPRM dan PDRM. Justeru, SPR bolehlah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kepada SPRM setiap rasuah dan salah guna kuasa khususnya dalam tempoh pilihan raya.
Selain itu, isu 'pengaruh tidak wajar' membabitkan ugutan dan menggunakan kekerasan disalurkan kepada PDRM.
Sementara undang-undang sedia ada diperkukuhkan, sudah tentu pegawai dan anggota SPR, agensi penguatkuasaan bersedia serta akan mengawasi kegiatan kempen pilihan raya calon dan ejen dalam memastikan tiada yang melanggar undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya.
Parti politik hendaklah mengamalkan proses politik berintegriti dan memberi perhatian khusus kepada aktiviti dianggap sebagai 'perbelanjaan undi' yang berlaku sebelum, semasa atau selepas proses pilihan raya.
Di dalam keempat-empat kesalahan disebutkan itu, pesalah boleh dipenjara maksimum dua tahun, denda hingga RM5,000, dibatalkan kelayakan sebagai wakil rakyat serta kehilangan hak mengundi selama lima tahun.
Mana-mana kesalahan rasuah boleh juga didakwa di bawah Akta SPRM 2009 yang denda lebih tinggi dan tempoh penjara lebih panjang.
Akta SPRM 2009 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Dalam Seksyen 25 (1) dan (2) Akta SPRM 2009, Jika gagal melapor pemberian janji atau tawaran rasuah, pesalah akan dikenakan denda tidak lebih RM100,000 dan penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu dalam Seksyen 25 (3) dan (4) Akta SPRM 2009, apabila gagal melapor permintaan atau memperoleh suapan, pesalah akan didenda tidak lebih RM10,000 dan penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Justeru, jangan lupa melaporkan amalan rasuah ketika proses PRN Melaka kepada SPRM.
Semua calon dan penyokong perlu menjalankan kempen dalam skop undang-undang dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), manakala agensi agensi penguatkuasaan terus menguatkuasakan undang-undang untuk melindungi proses demokrasi bagi membolehkan PRN Melaka berjalan dengan bebas, bersih, adil dan berwibawa.
Selepas pilihan raya ini, parti yang menang diharapkan dapat membentuk kerajaan berintegriti, stabil dan terus bersama-sama rakyat memerangi rasuah masih berleluasa demi masa depan negara dan generasi akan datang.
Rasuah adalah ibu segala kegiatan jenayah dan kejahatan.
Jangan lupa melaporkan amalan rasuah ketika proses PRN Melaka kepada bilik gerakan di Pejabat SPRM Melaka beroperasi 24 jam sama ada melalui melalui email aduan.prnmelaka@sprm.gov.my atau menghubungi talian 06-2896011/06-2896000).
Penulis adalah Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan