06 November 2021

Kuala Kedah ditenggelami air

 Keadaan di jalan raya utama di Pekan Kuala Kedah dinaiki air setinggi 0.3 meter berikutan fenomena air pasang besar yang berlaku.- Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli

Keadaan di jalan raya utama di Pekan Kuala Kedah dinaiki air setinggi 0.3 meter berikutan fenomena air pasang besar yang berlaku.- Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli

ALOR SETAR: Fenomena air pasang besar yang mengakibatkan paras ombak tinggi sehingga mencecah 3.1 meter menyebabkan beberapa kawasan Kuala Kedah ditenggelami air, awal pagi tadi.

Tinjauan yang dilakukan bersama pegawai dan anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mendapati, paras air naik sedikit demi sedikit sehingga menenggelamkan jalan raya utama Pekan Kuala Kedah selain pasar Kampung Seberang Kota di situ.

Selain itu rumah penduduk di kawasan berhampiran pekan Kuala Kedah turut terjejas akibat fenomena air pasang besar yang berlaku jam 1.17 pagi.

Kawasan hadapan Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah juga ditenggelami air selain beberapa kawasan berhampiran, termasuk gerai makan turut ditenggelami air.

Peniaga kedai makan, Nazatul Akmal Abas, 34, berkata kejadian air pasang besar berlaku sejak kelmarin menyebabkan dia tidak sempat mengangkat barangan dalam kedai ketika fenomena itu berlaku.

"Saya nampak air penuh dalam kedai dan pergerakan air agak laju. Memang pernah berlaku lima hingga enam kali fenomena air pasang tetapi kali ini paling teruk kerana air masuk terlalu cepat hingga paras buku lali," katanya ketika ditemui di lokasi, malam tadi.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya melakukan rondaan dan pemantauan di kawasan Kota Marina di Kuala Kedah selain sekitar kawasan itu sejak jam 10 malam tadi.

Beliau berkata, semalam (kelmarin) ketinggian paras ombak meningkat sehingga 2.7 meter namun malam tadi lebih teruk iaitu 3.1 meter.

"Kita meletakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dan Jalan Raja untuk memantau keadaan di kawasan Kuala Kedah ini untuk memastikan keselamatan penduduk terjamin.

"Orang ramai terutama kaki pancing dinasihatkan supaya menjauhi dari kawasan pantai kerana berdasarkan maklumat yang diterima, berpuluh kaki pancing datang ke situ pada jam 12 tengah malam semalam hingga 1 pagi. Mereka kemudian beredar selepas kawasan itu ditenggelami air akibat air pasang besar," katanya.

Hadir sama, Ketua Zon 1 JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin serta pegawai kanan bomba dari JBPM Kedah.

Mohamadul Ehsan berkata, berkemungkinan air pasang besar akan berlaku lagi malam ini dengan ketinggian ombak diramal 3.0 meter.

Beliau berkata, sekiranya hujan berlaku malam ini, air pasang besar ini akan bertambah buruk dan boleh menyebabkan banjir di beberapa kawasan berisiko rendah.

"Pemantauan turut dilakukan di Kuala Jerlun oleh BBP Jitra dan mendapati, air laut melimpah ke jalan manakala Dataran Tsunami di Kuala Muda diawasi anggota BBP Tikam Batu.

"Hasil tinjauan di situ mendapati, keadaan air meningkat sehingga ke paras jalan.

"Anggota BBP Jitra juga melakukan pemantauan di Kuala Tunjang dan mendapati, keadaan air meningkat tetapi belum mencecah ke rumah penduduk," katanya.

BHARIAN.

Tiada ulasan: