06 November 2021

Peranan PAS sebagai pendamai – TG Abdul Hadi

 

KUALA NERUS: PAS mesti mempelajari pengalamannya yang lalu bagi menyatukan parti-parti Melayu Islam sebagai teras politik negara, kata Presidennya, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ini, katanya termasuklah menyelamatkan Umno yang cedera parah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan Bersatu yang baharu ditubuhkan oleh asal usul Umno yang berpecah.

“Kedua-dua buah parti ini telah berjaya ditemukan semula oleh PAS melalui wadah penyatuan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN), dengan peranan PAS sebagai pendamai,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS ke-67 yang bertemakan Islam Menyatukan Ummah di Duyong Marina Resort, di sini hari ini.

Menurut beliau, usaha penyatuan ummah tidaklah mudah kerana memerlukan kesungguhan, jiwa besar, saling bertoleransi dan bersabar demi mencapai kejayaan yang didambakan.

“Kita wajib menghadapi PRU15 dengan usaha perpaduan yang sedang dibina hari ini. Jangan wujud sebarang perpecahan kerana sikap tamak, pentingkan diri atau dendam kesumat sehingga keputusan PRU14 berulang lagi,” katanya.

Beliau berkata, dalam usaha PAS menyatukan umat Islam untuk berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar, pastinya akan berdepan dengan suatu kelompok umat Islam yang melampaui batas dan suka bertelagah.

“Surah Al-Hujurat telah memberikan petunjuk supaya kita berusaha memperbaiki hubungan di antara umat Islam yang bertelagah.

“Namun jika masih ada suatu pihak yang melampau, maka dibolehkan kita bertindak sekadar yang diperlukan supaya dapat diajak kembali kepada ajaran Islam dan memperkukuhkan persaudaraan Islam yang telah terbina,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/11/2021

Tiada ulasan: