13 November 2021

Manifesto PN untuk jadikan Melaka lebih maju, makmur

 

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR:
 Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan manifesto atau ikrar dibentangkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak lama lagi akan menyenaraikan perkara utama.

Beliau berkata, antaranya menjadikan sebuah negeri ataupun kota bandaraya yang bersejarah itu lebih maju dan makmur.

“Melalui manifesto atau ikrar ini yang kita akan bentang dalam sehari dua lagi untuk menjelaskan lebih terperinci apakah bidang dan perkara yang kita akan laksanakan untuk masa setahun hingga lima tahun berakhirnya tempoh untuk mentadbirkan negeri Melaka.

“Kita harap dalam tempoh selama itu, maka Melaka dan rakyat Melaka akan menikmati lebih banyak kemajuan, pembangunan dalam semua bidang.

“Baik dari segi ekonomi, sosial, keagamaan, pendidikan dan lain-lain termasuklah bidang-bidang industri kecil, sederhana dan sebagainya,” katanya pada program pentas PRN Melaka PN yang diadakan di Hotel dan Resort Glenmarie Shah Alam, malam tadi.

Hadir sama dalam program itu, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Dato’ Dr Dominic Lau Hoe Chai turut disiarkan menerusi Facebook rasmi PAS.

Ini juga katanya, berdasarkan pengalaman yang dimiliki PN seperti Tuan Guru dan beliau sendiri yang pernah menjadi menteri besar serta jawatan-jawatan lain yang ada dalam kalangan parti tentunya dapat membantu dalam mengemudi kerajaan Melaka nanti.

“Pemimpin-pemimpin dalam PN hari ini yang tentunya boleh membantu adun-adun kita. Insya-Allah kerajaan akan membentuk cara pentadbiran yang dianggap telus, transparen yang agak dikatakan baik, tersusun ada tadbir urus yang dikehendaki oleh negeri Melaka.

“Ini yang kita laksanakan. Saya ingin memberikan jaminan kita akan memberikan yang terbaik untuk rakyat negeri Melaka,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, 28 calon PN yang disenaraikan sebahagian besarnya adalah terdiri daripada anak-anak muda yang berkelayakan tinggi dan berpengalaman.

“Saya yakin dan percaya bahawa ini merupakan satu perubahan yang dikehendaki oleh orang Melaka. Keupayaan tenaga muda dengan keupayaan tenaga orang-orang yang berpengalaman dan pakar dalam banyak bidang ini adalah acuan dan gabungan yang agak terbaik supaya dengan adanya tim PN di Melaka ini maka tentulah orang Melaka lebih yakin tentang keupayaan dan kemampuan negara kita.

“Saya yakin mereka akan mampu untuk menjadi wakil yang baik, peramah, dapat memahami citarasa rakyat Melaka, mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah-masalah dan memberikan layanan yang adil tidak kira apa kaum dan keturunan latar belakang orang-orang Melaka.

“Semua akan diberikan layanan yang adil supaya rakyat Melaka merasa bahawa usaha yang dibuat PN inilah untuk memberikan banyak kebaikan rakyat negeri Melaka, insya-Allah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pagoh. – HARAKAHDAILY 12/11/2021

Tiada ulasan: