Hanoi: Selepas hampir 20 bulan, kumpulan pertama pelancong antarabangsa tiba di Vietnam selepas negara Asia Tenggara itu menutup sempadannya untuk membendung Covid-19.
Dua penerbangan sewa membawa lebih 400 penumpang Korea Selatan dan Jepun yang lengkap divaksin dari Seoul dan Tokyo ke bandar peranginan selatan Nha Trang yang terkenal dengan golf, pantai dan penyelam skuba serta hotel mewah.
Penerbangan itu dibuat menjelang rancangan Vietnam untuk membuka semula pulau peranginan Phu Quoc kepada pelancong asing pada 20 November dengan harapan untuk mengalu-alukan sekurang-kurangnya 5,000 pelancong dalam beberapa bulan akan datang.
Pelancong asing perlu menunjukkan sijil vaksinasi Covid-19 dan keputusan ujian negatif sebelum berlepas.
Negara komunis itu terdesak untuk memulihkan ekonominya yang terjejas teruk selepas sempadannya ditutup kepada pelawat antarabangsa sejak Mac tahun lalu dan hampir tiada penerbangan komersial memasuki negara itu.
Vietnam dipuji kerana pengendaliannya terhadap wabak tahun lalu dengan hanya puluhan kes Covid-19 dilaporkan.
Namun, mulai April lalu, varian Delta yang sangat mudah menular mula dikesan.
Sejak itu, ia mencatatkan lebih sejuta jangkitan dan hampir 23,000 kematian, ketika ia berebut untuk mendapatkan vaksin yang mencukupi untuk 100 juta penduduknya.- AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan