27 November 2021

Sotong goreng RM100: Pemilik restoran diberi masa hingga Isnin lengkap dokumen

 

Gambar resit harga dua ekor sotong goreng RM100 yang tular di media sosial sejak Selasa lalu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melanjutkan tempoh sehingga Isnin ini untuk pemilik restoran nasi kandar di Pulau Pinang melengkapkan dokumen kerana menjual dua ekor sotong goreng pada harga RM100.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Rosol Wahid berkata, pemilik restoran terbabit sepatutnya menjawab notis berkenaan yang berakhir semalam, sebelum tindakan susulan diambil.

“Pemilik restoran nasi kandar itu diminta melengkapkan dokumen, terutama nilai harga sebenar sotong mentah dan kos memasak.

“Kita tidak sewenang-wenangnya mengenakan kompaun, sebaliknya akan melakukan siasatan berdasarkan dokumen lengkap dikemukakan pemilik restoran nasi kandar berkenaan,” katanya dipetik Harian Metro selepas merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Hulu Terengganu di Kuala Berang hari ini.

Rabu lalu, KPDNHEP Pulau Pinang mengeluarkan notis kepada sebuah restoran nasi kandar di Lebuh Campbell, George Town akibat harga jualan tidak munasabah selepas tular resit hidangan dua ekor sotong goreng berharga RM100.

Rosol mengesahkan pemilik restoran nasi kandar itu memberi kerjasama semasa siasatan awal dan proses penyerahan notis.

“Kita dimaklumkan pelanggan yang membeli sotong itu tidak memuat naik dan membuat aduan, sebaliknya ada individu lain memuat naik harga dan resit pembelian melalui laman sosial.

“Jika gagal menjawab notis dikeluarkan, pemilik restoran nasi kandar itu akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.”

FMT.


Tiada ulasan: