Oleh: SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Keputusan kerajaan negeri tidak lagi mengeluarkan lesen premis judi dan menghadkan penjualan arak di Kedah tidak perlu dijadikan modal politik bagi menghangatkan sentimen perkauman untuk meraih sokongan bukan Islam.
Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kedah, K. Kumaren berkata, tabiat berjudi dan ketagihan arak jelas membawa kemudaratan kepada masyarakat tanpa mengira bangsa, kaum dan agama
Menurutnya, masyarakat boleh melihat sendiri bagaimana tabiat buruk itu telah membawa kebinasaan khususnya kepada keluarga kaum India.
“Kesan buruk judi dan arak ini sangat membimbangkan kaum India. Oleh itu, saya mewakili kaum India di Kedah menyokong keputusan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang diumumkan pada 14 November lalu,” tegasnya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Tambahnya, keputusan itu turut mendapat sokongan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Hindu selepas pihaknya mengadakan perbincangan bersama.
“Ini permulaan dimensi baru dalam pentadbiran Menteri Besar untuk menjadikan Kedah bebas judi dan arak,” ujar beliau.
Kumaren yang juga Pegawai Khas Menteri Besar untuk hal ehwal masyarakat India juga bersetuju sekiranya kerajaan negeri memperkasakan lagi undang-undang penjualan arak di negeri itu.
Sekarang ini jelasnya, harga minuman keras di pasaran murah, selain pelajar (bawah umur) mudah membeli dan mendapatkannya.
“Perkara ini kalau tidak dibendung lama kelamaan boleh membinasakan kaum dan generasi mudanya.
“Kesihatan, tanggungjawab, kewangan, keperibadian dan moral sesuatu bangsa itu akan binasa akibat ketagihan arak dan judi ini.
“Sedangkan dalam masa yang sama hanya satu kelompok sahaja meraih keuntungan dalam perniagaan sementara yang lainnya sengsara,” jelas beliau.
Justeru, beliau amat berharap agar tindakan kerajaan Negeri Kedah ini dicontohi dan diikuti oleh negeri lain.
“Andainya bimbang kehilangan undi dan sokongan pada pilihan raya akibat tindakan seumpama itu, maka sampai bila-bila pun judi dan arak tidak dapat dibenteras malah kesejahteraan rakyat sukar dikecapi,” katanya. – HARAKAHADAILY 26/11/2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan