PUTRAJAYA: Datuk Ismail Sabri Yaakob hari ini mengarahkan bekalan ayam import dan ikan sejuk beku yang disimpan sebagai stok di bawah program Q'Fish dilambakkan dalam pasaran sebagai langkah segera menstabilkan harga.
Perdana Menteri berkata, untuk tujuan itu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan mengimport 200 hingga 300 kontena ayam sejuk beku seawal minggu depan.
Bagi bekalan ikan pula, katanya stok ikan sejuk beku di bawah program Q'Fish kendalian Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) akan memasuki pasaran, manakala pengeksportan ikan dihentikan buat sementara waktu.
"Kita banjirkan pasaran dengan ayam daripada luar yang harganya lebih murah berbanding harga ayam tempatan supaya pengguna ada pilihan.
"Ikan juga semakin naik harga kerana musim tengkujuh sudah bermula tetapi kita boleh melambakkan pasaran dengan stok ikan sejuk beku di bawah program Q'Fish yang tujuannya untuk dikeluarkan pada musim tengkujuh.
"Saya juga minta Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kinadee kalau boleh kita hentikan eksport ikan ke luar negara (untuk sementara waktu) kerana yang pentingnya adalah kebajikan rakyat yang dibebankan dengan kenaikan harga," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di MyFarm Outlet Kasih Putrajaya, di sini.
BHARIAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan