KUALA LUMPUR: Pemain Kuala Lumpur City (KL City) akan mendapat 'durian runtuh' susulan kejayaan skuad itu menamatkan penantian 32 tahun untuk merampas kembali kejuaraan Piala Malaysia.
Skuad kendalian Bojan Hodak menundukkan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) 2-0 dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam, selepas kali terakhir muncul juara pada 1989.
Kejayaan itu turut mendapat perhatian Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengesahkan akan memberi ganjaran buat skuad City Boys.
Perkembangan itu dimaklumkkan Shahidan menerusi akaun Facebooknya, hari ini, namun tidak menjelaskan apa bentuk hadiah yang akan diberikan.
"Pemain KL City akan dapat hadiah nanti. Saya akan jemput mereka tidak lama lagi. Semalam saya hadir dgn penyokong-penyokong dari seluruh negara, saya bawa," katanya.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad juga menjanjikan bonus buat pasukan KL City sekiranya mereka berjaya menjulang Piala Malaysia.
Ia adalah kali keempat skuad City Boys menjulang Piala Malaysia selepas melakar hatrik pada 1987, 1988 dan 1989.
Namun, kejuaraan yang dikecapi kali ini tampak lebih manis kerana saingan tertua Asia Tenggara itu menyambut ulang tahun ke-100 musim ini selain mereka turut meraih tiket ke Piala AFC tahun depan selaku juara Piala Malaysia.
Selain itu, Shahidan turut mengesahkan bahawa beliau memang hadir ke perlawanan akhir, semalam, namun tidak dijemput untuk ke padang.
"Semalam saya hadir perlawanan KL City lawan JDT. KL City Champion (juara), tahniah. Pengacara tidak jemput saya turun ke padang. Pengacara juga tidak sebut nama saya.. Sokay," katanya.
BHARIAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan