ZHEJIANG (CHINA): China sedang merancang untuk membenarkan pelajar antarabangsa, termasuk dari Malaysia, kembali ke negara itu bagi menyambung semula pengajian mereka, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata, perkara itu antara yang dibincangkan pada Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Peringkat Tinggi (JPT) Malaysia-China mengenai kerjasama era pasca COVID-19 yang dipengerusikannya bersama Menteri Luar China yang juga Ahli Dewan Negara, Wang Yi.
Katanya, keutamaan akan diberikan kepada pelajar tahun akhir dan mereka yang perlu menggunakan kemudahan makmal bagi bidang pengajian membabitkan penyelidikan yang tidak boleh dibuat secara dalam talian.
"Beliau (Wang Yi) menyatakan mereka ada senarai negara pelajar yang belajar di China. Beliau memaklumkan kepada saya, Malaysia berada antara yang tertinggi dalam senarai itu.
"Beliau tidak menyatakan bila proses kembalinya pelajar itu akan bermula tetapi daripada cara beliau memberitahu saya, mereka mahu perkara itu dilaksanakan secepat mungkin," katanya kepada media Malaysia, di sini, hari ini.
Saifuddin memaklumkan, terdapat kira-kira 8,000 pelajar Malaysia menuntut di China, namun terpaksa pulang ke tanah air ketika COVID-19 mula merebak di negara itu pada tahun lalu.
Buat masa ini, beliau berkata, Malaysia masih menunggu syarat dan proses yang akan diumumkan Kerajaan China berkenaan urusan kepulangan pelajar ke universiti mereka.
Memandangkan kebanyakan mereka adalah pelajar persendirian tanpa penaja, beliau berkata, kementerian akan bekerjasama dengan kumpulan bekas pelajar (alumni) Malaysia yang mempunyai maklumat penuntut berkenaan.
"Disebabkan mereka telah membentuk satu 'network' sesama mereka, jadi saya menawarkan mungkin kita boleh bantu memudahkan hubungan dengan penuntut Malaysia yang menunggu untuk pulang belajar di China," katanya.
Saifuddin berkata, pelajar terbabit mengikuti pelbagai bidang pengajian, termasuk sains dan teknologi, bahasa dan perubatan tradisional.
Selain itu, katanya, terdapat lebih 100 pelajar Malaysia masih berada di China ketika ini.
Saifuddin dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke China, bermula semalam, atas undangan Wang Yi. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan