04 Disember 2021

DAP jelas tidak bimbang mudarat arak

 

TIADA rancangan untuk mengenakan sekatan tambahan terhadap kedai-kedai menjual minuman keras oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sememangnya sudah dijangka. Jawapan pada Persidangan DUN itu jelas menunjukkan pendirian rasmi pemerintahan yang diterajui DAP.

Arak bagi DAP sebagai kerajaan tidak menjadi masalah, bahkan pandangan materialistik mereka melihatnya sebagai peluang menjana keuntungan dan kekayaan. Biarpun rekod akibat arak menyebabkan musibah dan bencana kemudaratan serta kerosakan ke atas kehidupan individu, masyarakat dan negeri.

Apakah kerajaan negeri tidak malu dan sengaja membutakan mata dengan kemungkaran yang diangkarakan daripada arak? Apakah kerajaan negeri menganggap gejala sosial, masalah rumahtangga dan masyarakat serta jenayah dalam negeri yang berpunca dari arak adalah tugas pihak lain? 

Kewujudan utama agensi dan pihak penguatkuasa berkaitan bukan untuk menyelesaikan masalah-masalah tersebut secara khusus, tetapi adalah dalam mengawalnya. Malang sekali, pintu pencegahan yang boleh diadakan kerajaan tidak dilaksanakan, maka terbukalah ia menghadirkan beban.

Bererti kerajaan negeri telah sengaja melepaskan peluang untuk menangani secara mudah kesan dan bencana diakibatkan arak. Pembangunan yang dikejar suatu masa pasti akan terganggu oleh kerosakan berpunca daripada arak ini terutama ke atas kesejahteraan hidup rakyat.

Kami menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang melihat secara meluas fakta-fakta dan pendekatan di seluruh pelosok dunia yang menangani arak secara lebih terkawal. Kebebasan berorientasikan keuntungan seperti ini sebenarnya terlalu sedikit berbanding kemusnahan akibat arak.

Kami juga kesal soalan berkaitan arak tersebut dijawab dengan tegas bahawa kerajaan negeri tidak mahu mengikuti perkara yang baik ini. Ini menggambarkan kerajaan DAP tidak begitu mengambil kisah tentang isu ini.

“Islam Menyatukan Ummah”
“Memacu Perpaduan”

USTAZ MOHAMAD FAWWAZ MOHAMAD JAN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 4/12/2021

Tiada ulasan: