Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) konsisten mengajak kepada perpaduan ummah sebagai mendukung keputusan Majlis Syura Ulamak.
Ketuanya, Senator Dato’ Ahmad Yahaya, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan tuntutan Allah SWT yang menyeru umat Islam bersatu sebagaimana ayat 103 Surah Aali Imran.
“Kita juga menyaksikan sendiri kesan perpecahan (pilihan umum raya lalu) yang dapat kita saksikan, agama, bangsa, tanah air kita terancam.
“Jadi, atas asas perintah Allah, atas asas keselamatan dan kesejahteraan rakyat selama ini, maka penyatuan adalah satu kemestian,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Mengenai kenyataan terbuka segelintir pihak yang dilihat tidak berminat dengan penyatuan itu, kata Ahmad, kenyataan sedemikian tidak diperlukan.
Katanya, tiada keperluan untuk membangkitkan isu berkenaan di media dan menjadi agen perpecahan.
“Ada banyak benda boleh selesai kalau kita duduk sekali, berunding dan berbincang dengan hati yang terbuka dengan fikiran yang lapang, kita akan dapat menghasilkan suatu buah (fikiran) yang baik.
“Kalau dilihat, dari sudut kehendak dan kemahuan rakyat pun, rakyat mahu melihat pemimpin negara ini berada dalam keadaan yang baik. Buktinya, apabila tiga parti ini bersama mentadbir, kita nampak banyak benda boleh selesai dan negara boleh berada dalam keadaan yang baik,” katanya.
Beliau tidak menafikan timbul beberapa isu sepanjang pentadbiran kerajaan hari ini tetapi sekurang-kurangnya rakyat boleh hidup dalam keadaan yang aman dan tenang.
Tambahnya lagi, jika dilihat semula, kerajaan kini berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19, bencana banjir tanpa kekecohan dan kekacauan besar.
Beliau menganggap kejayaan itu dicapai daripada kerjasama yang baik.
“Kita juga menyaksikan bagaimana 22 bulan zaman PH (Pakatan Harapan), banyak perkara yang kita nampak pada waktu itu dari sudut agama, bangsa, yang kita rasa bimbang, banyak asas negara yang cuba digugat sehingga menimbulkan ketidaktenteraman kepada negara,” katanya.
Terdahulu, Muzakarah Majlis Syura Ulamak bersetuju untuk menegaskan kepentingan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam demi maslahah terbaik buat Islam dan negara.
Persetujuan itu dicapai Majlis Syura Ulamak yang bersidang 29 Disember lalu bertajuk ‘Hala Tuju Ta’awun Siyaasi dan Misi Pilihan raya PAS Pilihan Raya Umum ke-15’. – HARAKAHDAILY 4/1/2022
Tiada ulasan:
Catat Ulasan