BERDASARKAN rekodnya semasa menjadi Ketua Polis Johor, saya yakin ramai yang melihat pelantikan Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay di Pengarah JSJ sebagai suatu langkah positif kepada PDRM. Pengarah JSJ ini biasanya akan naik ke Timbalan Ketua Polis Negara dan seterusnya Ketua Polis Negara. Namun dalam usia 56 tahun adakah beliau sempat sampai ke posisi itu, masa akan membuktikan.
Namun kegusaran masih ada dalam sanubari saya sama ada beliau mampu menangani naga-naga yang sudah lama berada di negara ini. Umum tahu dan maklum yang naga-naga ini juga ada kuku yang mencengkam PDRM. Apakah kecemerlangan tugasnya di Johor mampu disambung di JSJ yang nanti boleh menaikkan integriti PDRM di mata masyarakat.
Dengan jujur saya mengakui bahawa tugas mengukuhkan integriti dalam PDRM khususnya di JSJ amat berat. Dato’ Ayob Khan bakal menghadapi tugas getir kerana pengharapan tinggi dari rakyat Malaysia yang mahu imej PDRM dipulih dan diangkat lebih tinggi. Bukan rahsia umum PDRM terpalit dengan berbagai isu yang mencalar integriti.
Memang ia adalah kesalahan individu anggota PDRM, namun PDRM bertanggungjawab sepenuhnya terhadap disiplin dan perilaku anggota. Memang ia bukan tanggungjawab Pengarah JSJ kerana PDRM ada Pengarah Integriti. Namun tanggungjawabnya di JSJ mampu menyumbang.
Semoga pelantikan beliau membawa sinar kepada PDRM. Kita berharap beliau mendapat sokongan jitu dari seluruh kepimpinan dan anggota PDRM dan semoga Allah kurniakan kesabaran yang tinggi dan membimbing beliau dan seluruh anggota PDRM untuk terus menapak gagah. Insya-Allah. Selamat maju jaya Dato’ Ayob Khan.
DR. MOHD FUAD MOHD SALLEH
YDP PAS Shah Alam
30 Jamadil Awal 1443
4 Januari 2022 – HARAKAHDAILY 4/1/2022
Sumber Asal: https://www.facebook.com/1068787203/posts/10223821806707632/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan