08 Januari 2022

Jemaah, agensi umrah perlu jujur

 Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary

KUALA LUMPUR: Semua pihak terutama pengusaha agensi pelancongan dan umrah perlu jujur serta mengikut peraturan ditetapkan dalam usaha kerajaan menangani penularan COVID-19.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata tindakan segelintir jemaah umrah baru-baru ini mengerjakan ibadah itu tanpa mendapatkan vaksinasi tidak seharusnya berlaku.

"Sepatutnya, apabila kita nak pergi umrah, kita mengharapkan Allah menghapuskan dosa kita. Jadi kalau permulaan perjalanan umrah sudah ada pemalsuan dan ketidakpatuhan tertentu serta penipuan, itu tidak sepatutnya berlaku.

"Orang lain ikut syarat ditetapkan tetapi tiba-tiba kita boleh mengabaikan syarat terbabit sehingga sampai tahap menipu, itu tidak sepatutnya. Namun saya difahamkan perkara itu masih di bawah siasatan," katanya kepada BH.

Beliau mengulas mengenai pendedahan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, baru-baru ini yang dilaporkan berkata, terdapat jemaah umrah yang dijangkiti varian Omicron tidak menerima sebarang vaksin dan dibenarkan pergi mengerjakan ibadah itu.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang menyiasat sama ada mereka yang tidak divaksinasi terbabit disebabkan faktor kesihatan atau enggan divaksinasi.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, jika benar berlaku ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) atau kemungkinan wujud penipuan, ia hanya menyebabkan bahana dan kesannya amat besar.

"Jangan kita buat satu perkara yang hanya mementingkan diri sendiri, kita kena pentingkan kemaslahatan dan hak orang lain. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan perkara terbabit tidak akan berlaku terhadap proses penghantaran jemaah untuk menunaikan haji jika ibadah itu dibenarkan tahun ini.

"Agensi kita iaitu Tabung Haji (TH) sangat berpengalaman dalam pengurusan jemaah dan diiktiraf dunia. Jadi kes membabitkan kecuaian dan penipuan mahupun ketidakpatuhan kepada syarat, termasuk vaksinasi tidak akan berlaku dan kita akan memastikan ia berjalan mengikut syarat," katanya.

Beliau berkata, urusan umrah adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kerana ia membabitkan agensi pelancongan, manakala haji di bawah agensi agama di Jabatan Perdana Menteri.

BHARIAN.

Tiada ulasan: