08 Januari 2022

Saintis cuba bongkar misteri mumia kanak-kanak

 

PALERMO: Sekumpulan saintis memulakan misi untuk membongkar misteri di sebalik berpuluh-puluh mumia kanak-kanak yang dikebumikan di dalam kubur bawah tanah di kepulauan Sicily, Itali.


Mayat sebahagian daripada 163 kanak-kanak yang dikebumikan di Capuchin Catacombs di sini itu akan diperiksa menggunakan teknologi  X-ray dan kerja di lapangan akan bermula pada minggu depan.

Mereka adalah antara 1,284 mayat mumia secara semula jadi dan sebahagian rangka yang disusun di sepanjang kubur dan dalam bilik khas di kubur bawah tanah tersebut sejak tahun 1590-an.

Kanak-kanak berkenaan dipercayai telah meninggal dunia antara tahun 1787 hingga 1880, tetapi sangat sedikit yang diketahui tentang siapakah mereka dan bagaimana mereka meninggal dunia.

Profesor bioarkeologi bersekutu dari Universiti Staffordshire, United Kingdom, Dr Kristy Squires akan mengetuai pasukan saintis berkenaan yang bakal menggunakan pengimbas sinar-X mudah alih dalam penyelidikan itu.

Menurut Squires, apa yang diketahui pihakanya bahawa mayat kanak-kanak yang dimumiakan itu adalah dari keluarga kelas pertengahan.

“Upacara mumia orang-orang zaman silam biasanya dikhaskan untuk individu yang lebih kaya seperti golongan bangsawan selain kelas menengah.

“Jadi kita tahu bahawa mereka bukanlah dalam kalangan masyarakat yang paling miskin, tetapi itu sahaja yang kita tahu, sebenarnya.  Mengapa mereka tidak dikebumikan sahaja seperti individu lain, itulah antara yang akan kami cuba selidiki,” jelasnya. – CNN

Tiada ulasan: