20 September 2008

Nuzul Quran

“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Qur‘an sebagai petunjuk bagi umat manusia.” (QS. Al-Baqarah: 185).


17 Ramadhan merupakan hari yang amat bersejarah bagi umat manusia, apalagi umat Islam. Pada pada hari itulah, Al-Qur‘an diturunkan pertama kalinya, sekaligus menjadi era kebangkitan umat.

Ayat Al-Qur‘an yang pertama yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad adalah “Iqra‘”, yang artinya “Bacalah”. Membaca adalah penerang jalan atau jendela dunia. Tentunya , membaca adalah syarat utama dalam menuju kebangkitan diri dan umat.

Namun membaca yang diwajibkan menuju kebangkitan yang sesungguhnya adalah membaca dengan nama Allah. Dengan cara demikian, petunjuk Allah akan didapati. Ilmu tanpa petunjuk Allah adalah ilmu yang membawa kepada kesesatan .

Apalagi dalam al-Qur‘an, Allah memastikan bahawa semua manusia akan menjadi sesat, kecuali yang mengikuti petunjukNya.

Seorang hamba yang bangkit tanpa petunjuk Allah, hanya bertahan dalam usia dunia yang sangat terbatas sesuai dengan umurnya di dunia. Namun akibatnya adalah mendapat sengsara dan kehinaan di akhirat. Sedangkan ilmu pengetahuan yang baik ialah yang menuntun seseorang menuju tempat mulia yang disediakan Allah yakni syurgaNya.

Oleh kerana itu, kita yang telah berulang kali memperingati Nuzul Qur‘an di bulan Ramadhan, sewajarnya telah banyak membaca, memahami, mengambil sikap untuk menentukan pilihan, serta menetapi jalan kebangkitan yang sesungguhnya. Selamat atau membinasakan.

Najib perjelas penangguhan lawatan ke Arab Saudi

Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa beliau menangguhkan lawatannya ke Arab Saudi yang sepatutnya bermula semalam sehingga Ahad ini disebabkan beliau perlu menyusun semula jadualnya bagi membolehkannya memulakan tugas sebagai menteri kewangan Isnin ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata penangguhan itu tidak ada kena mengena dengan senario politik dalam negara."Lawatan saya tidak dibatalkan, cuma saya menyusun jadual saya supaya saya dapat masuk ke Kementerian Kewangan Isnin ini dan memulakan tugas saya terutama sekali dalam keadaan di mana ekonomi dunia dan pasaran saham dunia yang tidak menentu.

"Kemungkinan ada perkembangan tertentu di peringkat dunia atau global yang memberi kesan kepada ekonomi negara dan bursa saham negara kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian zakat bagi Parlimen Pekan semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penangguhan lawatannya ke Arab Saudi yang sepatutnya bermula hari ini yang antara lain atur caranya itu ialah merasmikan hotel apartment dan restoran milik Felda di Mekah, demikian dilaporkan oleh Bernama.

Najib berkata beliau perlu mendapatkan maklumat terkini daripada Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Saham Malaysia dan Bank Negara Isnin ini bagi menentukan sebarang keputusan mengenai keadaan ekonomi negara.

"Saya perlu mendengar perkembangan terkini daripada Kementerian Kewanagan termasuk Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Saham Malaysia dan Bank Negara dan untuk menentukan apa-apa keputusan yang perlu dibuat untuk meredakan keadaan semasa," kata Najib.Rabu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan jawatan menteri kewangan kepada Najib, manakala Abdullah mengambil alih portfolio menteri pertahanan daripada timbalannya itu.

Bagaimanapun Najib berkata program beliau ke New York dan Washington bagi menghadiri Perhimpunan Bangsa Bersatu (PBB) akan diteruskan."(Program ke Arab Saudi) ditangguhkan, tapi saya terus ke New York dan Washington, dalam perjalanan balik saya akan buat umrah dan buka (rasmi) restoran Felda di Mekah," kata Najib.

Ditanya perancangannya sebagai menteri kewangan bagi menghadapi krisis ekonomi dunia ketika ini, Najib berkata: "Elok saya buat (kenyataan) pada Isnin nanti selepas dengar taklimat lebih khusus lagi," katanya.

Bagaimanapun Najib berkata apa yang dibentangkan Abdullah semasa Bajet 2009 yang berkaitan dengan kepentingan rakyat akan tetap diteruskan dan apa-apa perakuan yang dibuat dalam Belanjawan Negara yang berkaitan kepentingan rakyat akan dilaksanakan

Teresa Kok dibebaskan.

KUALA LUMPUR 19 Sept. – Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 12 September lalu dibebaskan pada pukul 1 petang tadi. Perkara tersebut disahkan oleh peguamnya, Sankara Nair.

Polis mengambil keputusan membebaskan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok hari ini setelah berpuas hati tiada lagi sebab untuk meneruskan penahanan lanjut terhadap beliau.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam kenyataan di sini hari ini menegaskan Teresa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara telah disiasat kerana disyaki terlibat dalam perkara-perkara yang memudaratkan keselamatan negara.

Teresa ditahan mengikut Seksyen 73(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (AKDN) 1960 pada 12 September lalu.

Bernama.

19 September 2008

TAHANAN ISA UNTUK ALIH TUMPUAN

IPOH: Penahanan wartawan, blogger dan exco Selangor di bawah ISA adalah satu perbuatan zalim dan terdesak kerajaan dalam mengalihkan tumpuan dan membarakan kegelisahan rakyat, kononnya negara tidak stabil dan aman setelah Pakatan Rakyat menghampiri agendanya.


Semua ini adalah plot penglipurlara Umno dalam usaha memberi gambaran atau “menyedarkan” rakyat daripada mimpi indah di bawah Pakatan Rakyat kononnya jika Pakatan Rakyat memerintah Negara tidak lagi bahagia dan harmoni.

Persoalannya, mengapa wartawan Sin Chew,Tan Hoon Cheng, RPK dan Teresa Kok ditahan kerana didakwa membangkitkan hal yang menyentuh perkauman atau hasutan sehingga boleh menjejaskan kestabilan Negara, sedangkan Ahmad Ismail, Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera yang mencetuskan permasalahan itu bebas sebegitu sahaja.

Inilah satu lagi diversion terhebat yang cuba dilakukan UMNO.Semasa Isu hangat Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyidin mengungkitkan dan mempertikaikan tempoh masa hampir dua tahun lagi peralihan kuasa antara Pak Lah dan orang nombor duanya DS Najib Razak. Ekoran itu, Muhyidin kini diserang hebat oleh Zaid Ibrahim sehingga mendesak beliau (Muhyidin) letak jawatan.

Sandiwara Umno ini jelas terdesak apalagi dengan agenda 916 semakin hampir . Keterbukaan Muhyidin itu umpama api dalam sekam, sedang membakar segenap hati ahli umno peringkat bawahan, yang juga merupakan pengundi penentu kepimpinan Umno. Namun bara ini semestinya dipadamkan serta merta kerana ia membahayakan kedudukan Pak Lah.

Langkah termudah untuk menutup keaiban ini adalah mengalihkan tumpuan (diversion) rakyat pada isu lain dan yang termudah adalah mencungkil kes Ahmad Ismail, yang sememangnya sudahpun diketahui umum akan kelantangannya termasuk dalam isu sepak takraw.

Jika tidak ditanggani dengan baik oleh Pakatan Rakyat, isu ini akan menjadi bara sehingga memungkinan menjejaskan kestabilan Negara dan inilah yang ditunggu-tunggu oleh Umno sebagai pencetus dan katalis bahawa Pakatan Rakyat tidak berkemampuan memerintah dengan aman dan harmoni.

Menteri Besar Perak Dato Seri Ir Haji Mohamad Nizar Jamaludin turut mempersolakan penahanan Tan, RPK dan Teresa di bawah ISA secara tiba-tiba sedangkan kerajaan mempunyai waktu yang panjang untuk menyiasat mereka dan jika benar mereka melakukan kesalahan mengapa tidak didakwa di mahkamah.

“Jika ada asas, dakwa mereka di mahkamah, jangan ditahan di bawah ISA yang amat zalim itu. Menahan seseorang tanpa didakwa. Beri peluang membela diri, dan dalam kes Tan, mengapa hanya dia ditahan tetapi individu yang mengeluarkan kenyataan itu tidak ditahan (Ahmad Ismail). Ini menunjukkan ketidak adilan telah berlaku dan juga sebagai manipulasi politik Umno untuk menakut-nakutkan rakyat (atas isu perkauman) yang akhirnya membangkitkan kegelisahan rakyat kononnnya negara kini telah tidak stabil ekoran karenah Pakatan Rakyat.

Nizar menggesa rakyat bertenang dan tidak mengambil tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan dan keamanan negara kerana itulah yang dinanti-nanti oleh kerajaan untuk menghalangi usaha Pakatan Rakyat menguasai kerajaan.

UMNO sendiri tidak sebulu mengenai ISA

PUTRAJAYA: Para pemimpin Umno sendiri, khususnya jemaah kabinet Pak Lah semakin bercelaru dan kelihatan benar-benar tidak sependirian, malahan bertelagah sesama sendiri berhubung penahanan tiga mangsa terbaru di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Bagaimanapun pujian harus diberikan pada Dato Zaid Ibrahim yang terus mempertahankan pendiriannya yang bertentangan dengan tindakan kerajaan menahan wartawan Sin Chew Daily, blogger RPK dan Exco Selangor Teresa Kok.

Ekoran itu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang dipilih dan dilantik menjadi Senator oleh Pak Lah itu kehilangan jawatannya kerana tidak sebulu dengan tindakan diambil. Nampaknya kalangan anggota kabinet Umno/BN sendiri pun seakan bersetuju Zaid ‘dipecat’.
Pak Lah mengumumkan menerima perletakan jawatan oleh Zaid. Beliau menghantar surat perletakkan jawatannya Isnin lepas.

Zaid bagaimanapun terus mempertahankan pendiriannya untuk meletakkan jawatan sambil berkata, tindakannya itu bagi mengelakkan bertambahnya masalah pada Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sedang berhadapan dengan pelbagai konflik dalaman Umno dan cabaran lain.

Pada sidang medianya, Zaid berkata, beliau gagal membuat pembaharuan dalam sistem kehakiman dan perundangan Negara kerana seringkali berhadapan dengan “tentangan” daripada anggota cabinet dan Umno terhadap cadangan yang dikemukakannya.

“Saya bukan keletihan. Saya hanya kecewa,” katanya sambil mengucapkan terima kasih pada Pak Lah yang menyarankannya bercuti dahulu.

“Saya tidak peduli siapa. Saya hanya mahu melihat perubahan,” kata Zaid ketika diajukan soalan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu membuat perubahan – jika beliau berjaya tubuhkan kerajaan.

“Beliau (Anwar) belum bentuk kerajaan. Tak kiralah siapapun sama ada Pak Lah, DS Najib, Tengku Razaleigh Hamzah, Muhyiddin (Tan Sri) atau Anwar, katanya sambil menegaskan selama enam bulan menjadi Menteri beliau menghadapi pelbagai tuduhan kononnya tidak memperjuangkan hak Melayu dan Islam dan menghadapi pelbagai kritikan lain di Parlimen.

Sambil menyebut Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman sebagai salah seorang pengkritik, Zaid berkata, beliau telah mencuba tetapi gagal menyakinkan mereka yang berkuasa untuk membuat perubahan kesaksamaan sepertimana tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan agar kerajaan boleh maju ke depan.

Antara isi kandungan surat perletakan jawatannya, Zaid menyebut bahawa beliau mengariskan beberapa kekecewaannya dalam usaha membuat pembaharuan itu dan yang terbaru berhubung dengan penahanan tiga mangsa terbaru di bawah ISA itu.

Siapakah yang salah ?

Abdullah menyifatkan ketua pembangkang itu sebagai "satu ancaman kepada ekonomi negara, bahkan kemungkinan keselamatan".

Ini sudah cukup untuk memberi alasan kepada pihak pihak kuasa untuk menggunakan ISA terhadap Anwar dan membolehkan beliau ditahan tanpa bicara.

Sementara itu, Bernama memetik perdana menteri berkata tindak tanduk Anwar selama ini bukan sahaja menjejaskan kestabilan politik tetapi juga kestabilan ekonomi.


Mengapakah masalah pentadbiran dan pengurusan kewangan negara disalahkan kepada Ketua pembangkang. Jarang kita mendengar cerita dalan alasan sedimikian yang berlaku di negara lain.

Bukankah kelemahan pentadbiran adalah datang dari kerajaan yang memerintah. Kalaupun ada pembangkang yang menyebarkan dakyah dan sebagainya kepada kerajaan mustahil ia menjadi batu penghalang sekiranya kerajaan itu betul-betul kuat.

Seperti serangan bertubi-tubi dari sepasukan bolasepak amatur kepada sepasukan bolasepak yang bertaraf juara dunia tentunya dapat dipatahkan dengan mudah . Demikianlah Kerajaan yang ada sekarang segalanya dipihaknya, dan apalah Anwar hingga dikaitkan dengan ancaman yang begitu besar.

Melainkan inilah usaha untuk menutup kelemahan diri sendiri dan mugkinkah ini alasan untuk mengISAkan Anwar?

18 September 2008

Sapp keluar BN, lepaskan jawatan kerajaan negeri

PETALING JAYA: Parti Maju Sabah (Sapp) yang menggerakkan usul undi tidak percaya kepimpinan Perdana Menteri empat bulan lalu hari ini memutuskan untuk keluar Barisan Nasional.
Perkara itu diumumkan di Kota Kinabalu, Sabah sebentar tadi. Dengan pendirian itu, Sapp akan bertindak sebagai parti 'bebas' di dewan perundangan. Keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi Sapp hari ini.

Ekoran keputusan itu, Timbalan Presiden Sapp, Datuk Raymond Tan berkata, beliau akan melepaskan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dalam tempoh 24 jam.

Kata Tan, beliau belum memutuskan sama ada meninggalkan Sapp ataupun sebaliknya. Tan merupakan antara pemimpin dalam Sapp yang tidak bersetuju dengan usul tidak percaya kepimpinan Abdullah yang dibawa parti itu.

Presiden Sapp, Datuk Yong Teck Lee pada Jun lepas berkata parti itu telah hilang keyakinan terhadap Abdullah dan dua anggota Parlimennya - Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) dan Datuk Dr. Chua Soon Bui (Tawau) - akan menyokong sebarang usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri.

Keadaan itu menyebabkan Majlis Tertinggi BN mengeluarkan surat tunjuk sebab yang telah dijawab oleh SappP, tetapi BN masih belum membuat keputusan mengenai perkara itu.

Bursa KL merudum teruk, Najib di lantik Menteri Kewangan

Pasaran saham Bursa Malaysia telah merudum dengan begitu teruk sejak kekalahan kerajaan BN di dalam mengekalkan majoriti dua pertiganya di dalam plihanraya ke 12 lalu.Malah di dalam minggu ini sahaja Bursa Malaysia kehilangan lebih 50 mata dan kedudukan indeks komposit Bursa Malaysia pada petang ini berada pada paras yang hampir memecah garis psikologi 1000 mata iaitu 1007.23 mata.

Para pelabur nampaknya begitu berhati-hati untuk terus melabur di negara ini sementara para pemodal nampaknya sedang menunggu saat pemerintahan atau setidak-tidaknya kepimpinan negara bertukar.

Yang penting negara tidak boleh lagi dipimpin oleh manusia yang bernama Abdullah Ahmad Badawi. Beliau tidak mempunyai keupayaan dan kredibiliti untuk menjaga ekonomi negara.

Dalam satu perkembangan yang menarik, Perdana Menteri, Abdullah, telah melantik timbalannya Datuk Seri Mohd Najib sebagai Menteri Kewangan, satu portfolia yang dipegangnya semenjak beliau mengambil-alih tampuk pemerintahan negara.

Penganalisis ekonomi menyambut baik langkah berkenaan sekalipun mereka tidak menjangkakan akan berlaku sebarang perubahan ketara di dalam dasar ekonomi negara yang telah hampir musnah di tangan Abdullah.

Beberapa telahan dibuat ekoran pengumuman Mohd Najib, Timbalan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan. Pertama ialah kenyatan Mohd Najib sendiri sebelum ini yang ingin menyerahkan kepada keputusan bahagian mengenai tarikh peralihan kuasa yang mana kenyataan itu amat tidak disenangi oleh Abdullah yang telah menetapkan 2010 ebagai tahun dimana beliau bersedia untuk melepaskan jawatannya. Ini ekoran dari kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Muhyiddin Yassin yang meminta Abdullah menyegerakan pelan peralihan kuasa dan usaha Muhyiddin untuk membawa Tun Dr Mahathir, bekas Perdana Menteri untuk menyertai semula UMNO.

Kedua, kemuraman pasaran Bursa Malaysia yang menyaksikan keadaan pasaran yang begitu "bearish" memaksa Abdullah untuk ayoh pergi dari pejabat kementerian kewangan sebelum nanti negara mengalami kerugian yang dasyat apabila para pelabur terus mennggalkan Bursa Malaysia.

Ketiga asakan kuat Pakatan Rakyat untuk perubahan pemerintahan negara nampaknya tidak mungkin berupaya untuk ditolak lagi. Ini akan mengakibatkan satu anjakan baru di alam sejarah pemerintahan negara dan Abdullah merupakan oran yang dipertanggungjawabkan seandainya Brisan Nasional terpaksa meneahkan pemerintahan kepada Pakatan Rakyat. Untuk mengelaknya, Abdullah kini sanggup "memperkongsikan" risiko itu kini bersama timbalannya sekalipun jawatan Menteri Kewangan itu adalah lubuk penting setidak-tidaknya bagi anak menantunya.

Kini, Najib terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah besar negara disamping terpaksa pula memulihkan keadaan ekonomi negara yang begitu terjejas akibat dari kelemahan pentadbiran dan pemerintahan Abdullah.

Mampukan Najib memperbaiki keadaan ekonomi yang telah parah ini? Kita sama-sama saksikan. Kejayaan atau kegagalannya amat menentukan nasibnya samada layak atau tidak untuk menjawat jawatan Perdana Menteri ke 6 atau rakyat akan memilih parti baru menggantikan seluruh jentera Barisan Nasional yang korup itu.

Najib kini menteri kewangan, Pak Lah menteri pertahanan

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melepaskan jawatan menteri kewangan dan menyerahkannya kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Berikutan itu, Abdullah mengumumkan yang beliau mengambil alih jawatan menteri pertahanan dari Najib.


Abdullah memberitahu sidang akhbar tengah hari ini bahawa pertukaran portfolio tersebut berkuatkuasa serta merta.

Perdana menteri yang memegang jawatan tersebut sejak 2004 berkata, beliau telah memaklumkan kepada kabinet mengenai keputusannya.

Kedua-dua juga mengesahkan komitmen mereka untuk berpegang kepada pelan peralihan kuasa pada 2010.

Bagaimanapun, kata Abdullah, beliau mungkin bersara lebih awal daripada tahun 2010 bergantung kepada prestasi Najib.

Kenapa PM enggan bertemu DS Anwar ?

Abdullah Ahmad Badawi menegaskan kerajaan masih berkuasa dan akan meneruskan tugas dan peranan melaksanakan pembangunan negara dengan mandat yang diberikan rakyat.

Sambil menyelar pembohongan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu membentuk 'kerajaan baru' hari ini, Perdana Menteri menyeru rakyat supaya jangan kelam-kabut seolah-olah gagal mengawal diri dengan permainan politik Ketua Pembangkang itu.

Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya beliau mempunyai senarai 31 orang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan melompat menyertai pakatan pembangkang sebagai satu permainan politik Anwar untuk menjejaskan kestabilan politik negara ini.

“Saya tidak fikir dia mempunyai nama-nama itu. Kalau dia ada senarai (31) nama, dia boleh bagi tahu, biar semua rakyat tahu, biar semua pengundi tahu apa yang telah dia lakukan kepada wakil rakyat mereka.

“Jika Ahli Parlimen itu ingin melarikan diri dengan menyertai pakatan pembangkang, rakyat tentu ingin tahu,” kata Abdullah pada sidang akhbar selepas Majlis Dermasiswa dan Sumbangan Hari Raya Yayasan Budi Penyayang di sini hari ini.

Pesoalannya kenapakah PM enggan menerima permohonan dari DS Anwar untuk bertemu dan membincangkan apa yang akan dikemukan oleh DS Anwar.

Ketika bercakap di depan puluhan ribu penyokong pembangkang di stadium Kelana Jaya, Anwar berkata Pakatan Rakyat telah menghantar surat hari ini untuk bertemu Abdullah bagi membincangkan isu pembentukan kerajaan baru.

Selain itu isu peralihan kuasa kepada Najib nampaknya tenggelam kepada peralihan kuasa kepada Pakatan Rakyat.

Ibarat telor dihujung tanduk begitulah kerajaan BN dibawah PM Abdullah Badawi. Kesan dari situasi ini bukan saja memberi kesan kepada harga saham yang kaunternya banyak rugi dari untung tetapi sebenarnya rakyat sedang menunggu jawapan yang sebenar siapakah yang benar antara Pak Lah atau Anwar.

Kerana Pak Lah berkata Anwar berangan-angan sedangkan Anwar mengumumkan sudah ada 31 orang MP BN telah bersedia menyeberang kepada PR. Allahuaklam.....

17 September 2008

Demi sesuap nasi.

JAKARTA 15 Sept. – Seramai 23 orang fakir miskin mati, manakala lapan yang lain berada dalam keadaan kritikal akibat sesak nafas kerana terhimpit semasa berasak-asak untuk mendapatkan wang zakat daripada seorang ahli peniagaan di Purworejo, Pasuruan, Jawa Timur, 800 kilometer ke timur Jakarta, hari ini.
KERANA RM16... Salah seorang wanita yang selamat terbaring di tengah-tengah mayat fakir miskin dan mereka yang cedera dalam kejadian berasak-asak merebut wang zakat bernilai 40,000 rupiah (RM16) di Pasuruan, Jawa Timur. Dalam kejadian itu, sebanyak 23 orang terbunuh dan ramai yang lain cedera dalam rempuhan apabila kira-kira 5,000 fakir miskin berebut-rebut untuk menerima bantuan zakat daripada seorang peniaga di Pasuruan, semalam

Kebanyakan mangsa adalah wanita.Kejadian itu berlaku tengah hari ini semasa lebih 5,000 penduduk sekitar Pasuruan berbaris di halaman rumah ahli perniagaan itu untuk mendapatkan wang zakat bernilai 40,000 rupiah (RM16).

Ketua Polis daerah, Harry Sitompul berkata, pengagihan wang zakat itu merupakan acara tradisi oleh keluarga kaya itu, sempena bulan Ramadan.

Penduduk miskin itu dilaporkan mengunjungi rumah peniaga berkenaan yang menjalankan perniagaan jual beli kenderaan sejak pukul 4 pagi, setelah mendapat khabar tentang pemberian wang zakat berkenaan.

“Setakat ini 23 telah mati dan polis masih menyiasat,” kata jurucakap Hospital Soedarsno.
Ramai yang cedera dan pengsan akibat dihimpit dan dipijak ketika berebut-rebut untuk mendapatkan bantuan zakat tersebut.

Polis telah menahan ahli perniagaan itu untuk siasatan kerana gagal mengawal orang ramai semasa hendak memberikan zakat tersebut.

Dalam kejadian lain, enam remaja mati lemas setelah terperangkap di dalam danau berlumpur di Pamulang, dekat Jakarta, pagi semalam.

Remaja itu terdiri daripada anak-anak polis yang nekad terjun ke dalam danau setelah sepasukan polis datang untuk menyuraikan pergaduhan dua kumpulan remaja

Anwar: Lebih 31 MP BN sertai Pakatan

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan lebih daripada 31 ahli parlimen Barisan Nasional telah menyertai Pakatan Rakyat dan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya tidak menguatkuasakan undang-undang darurat untuk menghalang peralihan kuasa.

Beliau memberitahu demikian dalam satu sidang akhbar yang penuh sesak di pejabat PKR di Tropicana pada jam 2 petang tadi.Beliau bagaimanapun tidak mendedah sebarang nama ahli parlimen BN yang menyertai Pakatan.

"Kami mahu peralihan kuasa secara aman. Kami berharap Barisan tidak menguatkuasa undang-undang darurat untuk menyekat ahli-ahli parlimen pergi ke Dewan Rakyat atau menahan ahli-ahli parlimen (kerajaan) atau menghalang mereka daripada menyertai Pakatan Rakyat," katanya.

Kerana itulah, tegas mantan timbalan perdana menteri itu, pihaknya mengambil pilihan yang lembut.

"Saya bukan mahu memberi alasan. Kita ada jumlah yang mencukupi. Kita boleh dan bersedia untuk melakukannya. Jika selepas beberapa hari, tidak ada respons, pemimpin Pakatan akan bertemu dan menentukan tindakan selanjutnya," katanya.

Semalam, Pakatan Pakatan yang diketuai Anwar telah menghantar surat kepada Abdullah semalam untuk mengadakan pertemuan.Anwar berkata, mereka memberi masa kepada perdana menteri untuk berbincang dan mengambil tindakan sewajarnya untuk menerima kehendak rakyat.

"Saya percaya beliau akan bertemu dan kita perlu menunggu hari ini atau esok," katanya sambil menambah bahawa Abdullah kini merupakan ahli politik yang kini dalam keadaan genting.
"Jadi, anda harus memaafkan beliau kerana beliau dalam keadan terdesak," katanya.

Pakatan mempunyai 81 daripada 222 kerusi parlimen. Anwar berusaha supaya ahli-ahli parlimen BN melompat menyertai Pakatan untuk mendapatkan majoriti di Dewan Rakyat.

"Ia mungkin berlaku beberapa hari lagi (peralihan kuasa dalam kerajaan)," katanya.
Menurut Anwar, pertemuan telah tertunda beberapa hari untuk memberi ruang kepada perdana menteri menyelesaikan beberapa perkara.

"Jika perdana menteri menolak sekarang, kita akan memberi sedikit ruang kerana beliau ada masalah parti, kita beri ruang untuk kepentingan nasional," katanya.

Anwar berkata, dalam keadaan sekarang, perdana menteri tidak perlu risau untuk mengadakan rundingan.

Katanya, tindakan mengenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas Teresa Kok adalah untuk menyekat perubahan rakyat.

"Saya minta kerajaan tidak halang termasuk mengadakan sekatan jalan raya dan sekatan-sekatan lain untuk bergerak ke Parlimen dalam tempoh ketika yang ditetapkan.

"Sebaik selesai mesyuarat dengan perdana menteri, kita akan patuh perlembagaan termasuk mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan ," katanya.

Ketika ditanya mengapa enggan memberikan nama-nama ahli parlimen BN yang menteri Pakatan, Anwar berkata, jika nama tersebut diberikan, mereka akan ditahan serta merta.

Beliau berkata, nama-nama ahli parlimen BN yang menyertai Pakatan akan diberikan dalam pertemuan dengan perdana menteri.

"Saya sudah mempunyai jumlah yang cukup, untuk mendapatkan tandatangan mereka bukan satu masalah," katanya.

Anwar berkata, ramai orang tidak percaya, sama dengan yang mereka kata mustahil Pakatan menang di Pulau Pinang, Selangor dan Perak.

Katanya, seperti mereka kata mustahil, beliau boleh menambah majoriti di Permatang Pauh.

sumber : malaysiakini

Malang tidak berbau.

PARIT BUNTAR, 14 Sept :- Sebuah lori membawa simem telah terbabas dan merempuh penghadang jalan dan sempat merempuh sebuah van kilang yang menunggu lampu isyarat di Simpang Lima di sini. Lori tersebut seterusnya merempuh pagar Bali Polis Simpang 5 dan merempuh bahagian hadapan balai polis tersebut.





Menurut saksi dan pemandu van yang berbangsa Melayu dia baru berhenti sahaja untuk menunggu lampu hijau lalu lori berkenaan yang datang dari arah Bagan Serai dalam keadaan laju tidak dapat mengawal kenderaannya bila lampu bertukar menjadi merah.

Van yang membawa pekerja kilang seramai 7 orang iaitu 3 Melayu dan 3 Cina. Hanya seorang yang mengalami cedera ringan.

Sepasukan bomba dari Balai Bomba Parit Buntar tiba sekitar jam 7.30 pagi untuk memberikan bantuan dan semua penumpang dan pemandu van dibawa ke hospital parit buntar dan dirawat sebagai pesakit luar.








16 September 2008

Anwar mahu temui PM isu tukar k'jaan

Pakatan Rakyat yang dikepalai Datuk Seri Anwar Ibrahim masih yakin rancangannya untuk membentuk kerajaan baru akan berjaya dalam masa terdekat.

Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan rancangan ketua pembangkang itu sebagai "sesuatu perkara yang karut".

Bercakap di depan puluhan ribu penyokong pembangkang di stadium Kelana Jaya malam tadi, Anwar berkata Pakatan Rakyat telah menghantar surat hari ini untuk bertemu Abdullah bagi membincangkan isu pembentukan kerajaan baru.

"Petang tadi, (ahli parlimen DAP) Anthony Loke, (ahli parlimen PKR) Johari (Abdul) telah pergi ke Putrjaya, hantar surat untuk berjumpa segera dengan perdana menteri sebab kita mahukan perubahan aman dan tenteram," kata Anwar.

"Kita sudah ada jumlah (wakil BN yang akan melompat kepada Pakatan), dan kita telah bersedia. Hari ini 16 September, esok 17 September, kita bersedia membentuk kerajaan."

Anwar, yang juga penasihat PKR, meyakinkan para penyokongnya bahawa rancangannya untuk menubuhkan kerajaan dengan cara memujuk lebih 30 wakil rakyat BN meninggalkan parti itu "masih seperti dirancang."

"Apabila kita kata 'on track' (masih seperti dirancang), maksudnya 'on track'.

"Hendak jadi macam mana (perubahan kerajaan pada 16 September), mereka bawa (ahli-ahli parlimen BN) ke Taipei," katanya, merujuk lebih 50 wakil rakyat BN yang secara mendadak dibawa melawat Taiwan beberapa hari lalu.

"Tetapi kita ada cukup jumlah untuk mengalahkan BN. Bukan hendak paksa, pergi Putrajaya hendak heret, ambil alih (kuasa kerajaan pusat) bukan mengikut hukum rimba, yang lalu tetap berlalu.

"Esok kita akan umumkan pendirian kita."

Sementara di Kuala Terengganu, lapor Bernama, sambil menempelak tentang hasrat itu, Abdullah berkata pertukaran kerajaan baru tidak akan berlaku.

"Orang kita cepat sangat terkejut, tergempar, cepat sangat kelam-kabut tentang soal pertukaran kerajaan. Ketepikan semua perkara begini.

"Beri perhatian kepada perkara yang mendatangkan manfaat serta kebaikan dan bukan sembang kosong yang tidak beri manfaat.

"Kita suka sangat berhujah dan bersembang tentang perkara ini (pertukaran kerajaan). Perkara ini tidak akan berlaku," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin dan rakyat di Masjid Abidin malam ini.

Menurut agensi berita itu lagi, Abdullah meminta umat Islam meningkatkan ibadat bersempena bulan Ramadan dan tidak terlalu ghairah memperkatakan isu pertukaran kerajaan.

"Pembohongan ini menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut sehingga selepas berbuka dan Tarawih, bukan nak buat Taddarus tetapi yang dibincangkan ada hubung kait dengan pertukaran kerajaan.

"Sepatutnya kita guna bulan Ramadan ini untuk tingkatkan ibadah untuk kemuliaan di sisi Allah dan tidak digunakan bersembang perkara yang tidak akan berlaku," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai peletakan jawatan Datuk Zaid Ibrahim sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Anwar membayangkan wujud perbincangan antara pihaknya dengan bekas ketua bahagian Umno Kota Bharu itu.

"Terima kasih kepada Zaid. Dalam beberapa hari lagi akan ada berita baik daripada Zaid. Ada orang kata kita beli (Zaid). Bukan beli, tetapi dia benci penahanan (bawah) ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri)," kata bekas timbalan perdana menteri.

Anwar bagaimanapun tidak menjelas lanjut berhubung perkara itu.

Zaid hari menyerahkan surat peletakan jawatan, namun perdana menteri memintanya bercuti sebelum mengambil keputusan muktamad tentang perkara tersebut.

sumber : malaysiakini.

Muhyiddin: Saya tidak letak jawatan

Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan meletakkan jawatannya sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berikutankenyataannya mengenai peralihan kuasa dalam Umno.Beliau sebaliknya menyerahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menilai sama ada beliau melakukan kesalahan untuk dikenakan tindakan.

Muhyiddin, juga naib presiden Umno berkata, beliau tidak melakukan kesalahan dan hanya menjalankan tugas dalam kabinet dan parti serta menyampaikan pandangan akar umbi, lapor Bernama.

"Bagi saya, saya tidak fikir kenyataan yang saya buat itu luar biasa,membawa beban kepada negara malah tujuan kita adalah untuk memperbaiki, sedarkan, kalau kita tidak buat sesuatu mungkin ada masalah besar akan berlaku.

"Mungkin ada pihak yang tidak suka tengok muka saya dalam kabinet mendesaklah (untuk letak jawatan), tapi dari segi tugas dan tanggungjawab, saya jalankan, apa yang jadi masalah," katanya selepas melancarkan Anugerah Usahawan Wanita 2008 di Kuala Lumpur hari ini.

Rabu lepas, Muhyiddin meminta Abdullah menimbangkan untuk mempercepatkan tarikh peralihan kuasa kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang asalnya dijadualkan pada 2010 memandangkan keadaan politik yang tidak stabil di negara dan tempoh itu terlalu lama.

Kenyataan Muhyiddin itu mengundang pelbagai reaksi beberapa anggota Umno yang mengatakan bahawa beliau perlu berundur atau disingkirkan dalam parti jika tidak puas hati dengan tempoh itu. Malahan Abdullah juga dilaporkan terkejut dengan kenyataan itu.

Muhyiddin berkata beliau bagaimanapun menyerahkan kepada Abdullah jika mahu mengambil tindakan terhadapnya berhubung kenyataan itu."Apa pun saya menyerahkannya kepada perdana menteri (Abdullah) kalau kenyataan saya begitu rupa macam mencabar kepimpinan beliau, itu saya serah kepada beliau.

"Bagi saya, saya tidak lakukan apa-apa yang dianggap bercanggah atau dianggap tidak sehaluan, saya hanya suarakan pandangan beberapa pihak tentang situasi sebenar... terserah kepada beliau (Abdullah)," katanya.Muhyiddin turut menafikan dakwaan yang kenyataannya itu dibuat di khalayak ramai pada satu persidangan di Singapura dan berniat untuk memburukkan imej Malaysia di negara jiran,

lapor agensi berita itu lagi."Kenyataan yang saya buat di Singapura bukan di khalayak ramai dalam persidangan, itu tidak saya lakukan. Semasa persidangan saya cakap tentang Malaysia, promosikan negara dengan beberapa kejayaan. "Kenyataan itu dibuat dalam satu sidang akhbar yang sebahagiannya adalah media Malaysia, saya menjawab pertanyaan dari media mengenai tempoh peralihan kuasa itu.

"Saya sebutlah walaupun sudah diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) tetapi saya tak dapat elak dari menerima pandangan dari akar umbi yang mengatakan tempoh itu agak lama dan kalau boleh dipercepatkan sebab itu saya buat statement, mungkin presiden parti hendak memikirkan semula, tiada kenyataan nak suruh(Abdullah) berhenti," katanya.

Muhyiddin berkata masyarakat tidak perlu rasa sensitif terhadap pelbagai kenyataan kerana perdana menteri mengamalkan sikap keterbukaan dan ketelusan serta berhak untuk menyuarakan pandangan masing-masing.

"Kalau kita sudah tahap matang dalam demokrasi sepatutnya kita cuba lihat bagaimana hak itu dapat digunakan dengan bijaksana bukan merosakkan. Saya berhak bersuara walaupun saya adalah naib presiden, menteri dan sebagai rakyat saya terima banyak pandangan, perlu ada tempoh masa sesuai supaya bakal pengganti ada masa untuk merangka, atur strategi dan mengambil langkah-langkah untuk perbaiki keadaan," katanya.
Mengenai kenyataan Najib, juga timbalan presiden Umno, yang menyerahkan kepada anggota parti untuk memutuskan mengenai peralihan kuasa, Muhyiddin berkata ia menunjukkan bahawa Najib bersikap terbuka.