31 Oktober 2008

Wajarkah Elaun ADUN dinaikkan ?

Mengambil kira bebanan yang dihadapi wakil rakyat ketika ekonomi semakin merudum sekarang, kerajaan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat patut menimbangkan sekiranya ada cadangan bagi menaikkan elaun Adun tersebut.

Bagi negeri kelantan isu ini telah pun ditimbulkan dalan Sidang DUN yang terbaru. Saya melihat pertimbangan yang sangat wajar dari segi kemampuan kewangan bagi sesebuah negeri dan peningkatan kos hidup yang meningkat adalah alasan yang sangat kuat Elaun ADUN dinilai kembali.

Kita memuji sikap positif kepada isu ini walaupun cadangan asal adalah dari wakil pembangkang.

Di Kelantan mengulas Isu berkenaan, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Dato' Husam Musa berkata, kerajaan Kelantan akan menimbang cadangan wakil-wakil rakyat supaya dinaikkan kadar elaun sekarang RM3,600 kepada kadar baru.

"Kadar baru diambil kira memandangkan keadaan kos sara hidup meningkat. Dan cadangan berkenaan akan dipertimbangkan," katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2009pada persidangan Dun petang semalam.

Sebelum itu Dato' Nozula Mat Diah (BN-Paloh) meminta kerajaan negeri menaikkan elaun wakil rakyat memandangkan ia tidak disemak sejak 2002.

Kata Husam memandangkan keperluan sara hidup yang semakin meningkat sekarang menyebabkan jumlah elaun wakil rakyat perlu dinilai semula.

"Cadangan pihak pembangkang itu memang baik walaupun setakat ini saya tidak nyatakan adakah kerajaan negeri bersetuju atau tidak berhubung cadangan itu.

Husam berkata, walaupun kerajaan negeri belum menyatakannya pendirian jelas berhubung perkara itu, namun Perbendaharaan negeri telah mengeluarkan nota mengenai bayaran elaun mengikut kakitangan kumpulan A ialah sebanyak RM4,849.

Katanya, pertambahan bayaran elaun dijangka berjumlah sebanyak RM690,000 dianggap tidak membebankan kerajaan negeri memandangkan tugas mereka semakin berat dan bertambah.

"Elaun berkenaan untuk kegunaan diri, keluarga dan rakyat. Kalau dahulu pergi kenduri kendara biasanya sebanyak RM10, namun sekarang sudah meningkat kepada RM30," ujarnya.

Sehubungan itu katanya cadangan tersebut akan diangkat kepada Menteri Besar sebelum dibicangkan dalam mesyuarat Exco pada masa akan datang.

ADUN serah sumbangan kepada Persatuan Bekas Tentera.

PARIT BUNTAR, 30 Okt.:- Persatuan atau NGO yang berada di kawasan DUN Titi Serong terus mendapat pembelaan dari Ahli dewan undangan Negeri kawasan tersebut, Khalil Idham Lim apabila sebuah pagi persatuan yang memohon sumbangan untuk membeli satu set komputer telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Perak melalui peruntukan ADUN berkenaan.


ADUN Titi Serong menyerahkan cek kepada Pengerusi Persatuan Bekas Tentera Cawangan Titi Serong.

Dalam majlis ringkas yang diadakan di Pejabat ADUN Titi Serong, Pengerusi Persatuan Bekas Tentera Cawangan Titi Serong, En. Said bin Idom telah hadir untuk menerima sumbangan dalam bentuk cek sebanyak RM 2000.

Untuk sessi ini ADUN Titi Serong juga telah dilantik dalam Mesyuarat Agung Persatuan tersebut sebagai Penaung Persatuan.

30 Oktober 2008

Hak muslim atas muslim yang lain.

“Hak seorang muslim atas muslim lainnya ialah lima, Iaitu menjawab ucapan salam, menjenguk orang sakit, mengantar jenazah, memenuhi undangan, dan mendoakan orang yang bersin” (Muttafaq `Alaih).

Sebagaimana dikemukakan dalam hadits diatas, berkunjung ke rumah seseorang untuk tujuan mulia sangat dianjurkan oleh Islam. Conyohnya, berkunjung untuk menjenguk orang yang sakit, untuk mengantar jenazahnya, dan untuk memenuhi undangannya. Apalagi tidak jarang, bila dikunjungi rumahnya, orang yang sedang menyimpan rasa dendam sekalipun, rela melepaskan rasa dendamnya.

Menjenguk orang sakit juga berpeluang meringankan penderitaannya. Paling tidak, ada tempat untuk berbagi kisah tentang bagaimana penderitaannya. Kesempatan itu juga boleh menjadi tempat untuk saling bermaafan. Berilah sedikit sumbangan atau bawa sedikit buah tangan tanda simpati dan kebersamaan. Bukan hanya itu, yang mengunjunginya akan mengambil iktibar akan nasib kesihatannya suatu ketika nanti , mungkin suatu penyakit menghinggapi tubuhnya sebagaimana orang yang diziarahinya.

Ingatan itu akan lebih bermakna apabila berkunjung untuk menghantar jenazah seseorang. Akan didapati suatu peringatan bahwa kematian pasti akan menimpa setiap yang bernyawa, lambat ataupun cepat. Bila ingatan yang demikian muncul, maka, menurut Imam Al-Ghazali, manusia akan terdorong untuk mempersiapkan bekal kebaikan dan tidak rakus akan dunia.

Namun yang sangat dilarang adalah berkunjung untuk tujuan-tujuan tidak baik. Misalnya, berkunjung untuk menumpahkan janji-janji , namun kemudian janji-janji itu tidak ingin ditepati.

Memenuhi undangan sesama muslim adalah suatu kewajipan yang mesti dipenuhi kecuali ada keuzuran yang tidak dapat dielakkan. Tunaikan dengan sebaik mungkin hajat saudaramu itu.

Apabila seseorang itu bersin biasanya diucapkan kalimah alhamdulillah dan doakan mereka dengan yarhamukkallah.

Blog ADUN :Suatu permulaan yang baik.


Semasa menyampaikan taklimat kepada semua Ahli BBC pada suatu masa dulu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Perak, Drs. Khalil Idham Lim menyatakan hasratnya supaya semua ADUN Pakatan Rakyat di Perak mencontohi beberapa ADUN yang lain yang aktif dengan blog masing-masing.

Tambahnya pilihanraya akan datang menuntut semua Ahli-ahli yang berhormat memastikan blog masing-masing diujudkan dengan secepat mungkin.

Ianya bukan menjadi mimpi dan sekadar arahan namun telah diterjemahkan oleh beberapa ADUN akhir-akhir ini.


Kepada yang ingin melayari berita ADUN Gunung Semanggol, Hj. Ramli Tusin sila layari http://adunsemanggol.blogspot.com/

ADUN Selingsing pula walaupun nampak kurang aktif setakat ini namun ianya telah bermula di blognya http://adunselinsing.blogspot.com/



ADUN Changkat Jong juga nampaknya semakin aktif dengan pelbagai berita yang cuba dikemaskini hampir setiap hari di http://intanhijau.blogspot.com/

Kita doakan semuanya diberikan kekuatan ....

Semangat gotong royong jayakan majlis hari raya.

BAGAN TIANG, 29 Okt. :- Biasanya inisiatif mengadakan Jamuan Hari Raya datang dari kelompok komuniti yang besar atau organisasi tertentu di kawasan DUN Titi Serong. Namun sekali ini Majlis Jamuan Hari Raya diadakan oleh penduduk kampung secara gotong royong dengan kerjasama dari Pejabat Penghulu setempat.

Hadir sama dalam program tersebut ialah ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim bersama beberapa pegawai dari Pejabat ADUN bagi menikmati juadah yang disediakan.

ADUN Titi Serong bersalaman dengan hadirin.

Menu istemewa untuk jamuan ini ialah kerang rebus berkuah kacang sesuai dengan Bagan Tiang yang terletak dengan laut.

Memperkatakan sesuatu sambil diperhati Penghulu Bagan Tiang, En.Shahrul Nizam(memakai tanda nama)


Menurut ketua kampung Kuala Bagan Tiang, Tn.Hj. Bakhtiar acara ini akan dijadikan acara tahunan yang akan diteruskan di tahun-tahun akan datang.

Kerang rebus menu istemewa.


Uniknya bila majlis seumpama ini diadakan ia dapat memperlihatkan semangat gotong royong yang tinggi dikalangan penduduknya.

Khemah dipenuhi warga setempat.

Awas ! penipu di mana-mana.

PARIT BUNTAR, 30 Okt. : Pelbagai cara menipu dilakukan oleh manusia untuk mendapat wang mudah. Begitulah yang berlaku di Pejabat Ahli Parlimen Parit Buntar minggu lepas.

Seorang petugas di pejabat ini memberitahu, pejabat ini didatangi oleh seorang lelaki yang memohon simpati kerana berada dalam kesusahan dompet duitnya telah dicuri orang. Bagi menyakinkan petugas-petugas di pejabat, satu salinan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Parit Buntar diserahkan kepada petugas ini.

Bagi menyakinkan lagi, beliau memberikan nombor telefon rumahnya. Seperti kebiasaan di pejabat YB ini, sumbangan akan terus diberikan kepada orang berada dalam kesusahan. Kali ini sumbangan lebat juga kerana lelaki ini memberitahu beliau tiada wang untuk pulang ke Johor.

Petugas di pejabat YB memberitahu, dari gaya lelaki ini memang nampak beliau benar-benar memerlukan pertolongan untuk pulang ke Johor.

Apabila lelaki ini beredar dari pejabat YB, seperti biasa petugas pejabat YB akan melakukan siasatan kepada sesiapa tidak dikenali yang datang memohon bantuan. Petugas di pejabat YB mendail nombor telefon rumah yang diberi lelaki tadi.

Telefon ini dijawab oleh seorang perempuan dan dia memberitahu tidak kenal dengan nama lelaki tadi. Kemudian seorang petugas melakukan semakan nombor kad pengenalan lelaki ini dalam salinan laporan polis yang diberi. Semakan dibuat dengan menggunakan online daftar pemilih SPR.

Sah, pejabat YB ditipu kerana nombor kad pengenalan itu tertera nama orang lain bukan nama dalam salinan laporan polis. Petugas di pejabat YB terus keluar meninjau di luar pejabat, tetapi lelaki ini sudah hilang dari pandangan.

Keesokannya, dengan izin Allah seorang petugas ternampak lelaki ini berjalan sedang menuju ke pejabat YB Titi Serong. Terus petugas ini bersama YDP PAS Parit Buntar yang kebetulan berada di pejabat YB Parlimen membuat laporan polis.

Pihak polis datang dan menunggu di kawasan yang agak jauh dari pejabat YB Titi Serong meninjau perlakuan lelaki ini. Beberapa minit kemudian lelaki ini keluar dan apabila beliau berjalan agak jauh dari pejabat YB Titi Serong, pihak polis terus membuat tangkapan. Setakat tarikh 27 Okt., lelaki ini masih berada di lokap polis.

Peristiwa tipu di pejabat YB ini bukan berlaku di Parit Buntar sahaja. Ramai yang mengambil peluang di atas dasar kebajikan yang diperjuangkan oleh Kerajaan PR untuk menipu. Mereka sanggup menipu polis dengan membuat laporan polis palsu semata-mata hendak menyakinkan orang ramai.

Semoga peristiwa ini menjadi pengajaran kepada lelaki ini supaya tidak menipu lagi. Entah berapa manusia yang telah ditipunya sebelum beliau ditangkap. Pengajaran juga kepada petugas di pejabat YB bukan sahaja di Parit Buntar malah di seluruh negara supaya berhati-hati sebelum memberi bantuan.

http://paritbuntar.pas.org.my/

Nizar nafi kenyataaan Zahid.

IPOH, 29 Okt.:- “Saya tidak memohon menunai ibadat haji tahun ini, begitu juga isteri saya,” kata Menteri Besar Dato Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin.

Sambil menafikan laporan Zahid Hamidi seperti yang disiarkan akhbar bahawa beliau dan isteri akan ke tanah suci tahun ini, beliau meminta wartawan yang hadhir bertanyakan hal itu pada Utusan Malaysia.

” Saya dah tunaikan ibadat haji. Jadi saya cuma menyokong permohonan mereka yang mahu menunaikan ibadat haji tahun ini,” kata beliau.

Zahid juga berkata, ” haji bukan agenda politik. Saya mahu masyarakat tahu walaupun dari parti politik berbeza, saya mengambil pertimbangan agama.

Nizar, bagaimanapun mengucapkan terima kasih pada Zahid kerana memberi kesempatan dan menerima baik permohonan 22 anggota rombongan dari pejabatnya dan berharap Zahid mengotakan kata-kata bahawa beliau akan sentiasa mengambil kira pertimbangan agama dalam membuat keputusan yang berkaitan dengan agama.

“Saya dan isteri sudahpun menunaikan ibadat haji. Yang memohon itu juga bukannya semua ahli Pas, ada dari Keadilan dan guru-guru pencen,” kata beliau sambil menegaskan bahawa permohonan itu dikemukakan kerana difahamkan Menteri Besar diberi peruntukan kuota khusus atau kemudahan tertentu untuk menghantar bakal haji ataua menunaikan haji.

Sehubungan laporan akhbar hari ini, pejabat Menteri Besar menerima beberapa panggilan dari orang perseorangan yang bertanyakan kedudukan temujanji masing-masing yang telah ditetapkan sepanjang Disember 2008.

KERAJAAN NEGERI PR AKAN TINGKATKAN PELABURAN

TEMBUAL KHAS DENGAN DATO SERI MENTERI BESAR

IPOH: Kerajaan negeri Pakatan Rakyat akan mengandakan lagi usaha untuk meningkatkan aktiviti pelaburan dan transaksi ekonomi negeri Perak termasuk dalam bidang industri pelancongan dan perlombongan, kata Dato Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin.

Menteri Besar berkata, setakat tujuh bulan ini, kerajaan negeri belum berpuashati kerana pencapaiannya masih kecil dan kebanyakannya pula memakan masa jangka panjang untuk menampakkan keberhasilannya.

Bagaimanpun rakyat menyakini akan kemampuan kerajaan negeri Pakatan Rakyat untuk mencapai ke arah itu, di samping para pelabur asing sendiri yang yakin akan kewibawaan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat, kata beliau dalam sidang khas.

Nizar berkata, perbincangan juga sedang diadakan dengan para pelabur membina lapangan terbang baru di Batang Padang, Slim River dan setakat ini, satu kajian (assesmen) sedang dijalankan.

Lokasi di Batang Padang itu lebih ekonomik kerana berada dalam laluan perhubungan darat berbanding dengan cadangan awal di Seri Iskandar. Ia dijangka menelan belanja RM1.6 bilion dan dibiayai oleh pengusaha atau pelabur berkenaan di kawasan seluas 3,000 ekar.

Mengenai program menjadikan negeri berkebajikan, Nizar berkata, beberapa program telah dilaksanakan ke arah itu, seperti pemilikan hak tanah kekal dan bekalan air percuma, pemberian barangan asas seperti beras dan gula kepada yang miskin tegar.

Kerajaan juga memberi anak-anak rakyat negeri Perak yang ditawarkan tempat ke universiti sebanyak RM1,000 seorang di bawah skim Dermasiswa Rakyat, katanya sambil menegaskan bahawa kerajaan negeri juga akan memberi pinjaman tanpa faedah kepada pelajar anak negeri Perak yang ditawarkan untuk membuat Diploma dan Ijazah pertama mengikut paras kelayakan tertentu.

Selain itu kerajaan negeri Perak:

+ akan menambah elaun Ketua kampong baru, kampong tradisional dan kampong tersusun dengan tambahan elaun RM200 sebulan.

+ melaksanakan skim membantu keluarga rakyat negeri Perak yang meninggal dunia ketika berusia 65 tahun ke atas. Jika rakyat meninggal dunia pada usia itu dan termasuk dalam kategori kurang berkemampuan, bantuan sehingga RM1,500 akan disalur pada keluarga berkenaan bagi meringankan bebanan keluarga berkenaan menanggung kos-kos pengkebumian.
Skim ini untuk semua bangsa dan kerajaan berharap dapat dibuat sewal-awalnya pada pertengahan tahun 2009, katanya sambil menegaskan bahawa kerajaan negeri sedang mengkaji skim-skim yang bersesuaian termasuk dengan takaful atau mana-mana syarikat insurans.

Mengenai golongan miskin tegar pula, beliau akan mencadangkan agar kumpulan ini dapat diserapkan menjadi peserta tanah-tanah rancangan sama ada yang diusahakan di SADC, Perbadanan Pembangunan Pertanian ataupun oleh agensi-agensi lain seperti Felcra.

Rakyat miskin tegar yang menjadi peserta akan mendapat elaun dan pendapatan tambahan bulanan.

Mengenai perbezaan pendapat dalam Pakatan Rakyat pula, beliau berkata perselisihan pendapat antara ketiga-tiga parti komponen pakatan rakyat sudah menjadi sangat minimum berbanding sebelum ini.

“Kalau adapun hanya daripada segi pelaksanaan atau aspek teknikal sahaja. Daripada segi prinsipnya kita telah pun menunjukkan kematangan untuk menerima perjalanan dan gabungan Pakatan Rakyat. Ini juga berlaku di peringkat pusat. Jadi sekarang ini saling hormat-menghormati dan persefahaman ini sungguh matang…. menjadi sungguh baik. Semakin lama, kita berharap hubungan ini akan nenjadi lebih baik.”

Mengenai perkembangan masa hadapan Pakatan Rakyat, Nizar memohon semua parti gabungan pakatan rakyat mulai bekerja keras untuk menambah dan mempertahankan kedudukan kerusi (yang dimenangi pada PRU12) pada PRU13.

Beliau berkata semua pihak dalam PR kena berusaha mempertahankan dan menambahkan sokongan dan membantu, serta PAS dan PKR akan meletakkan calon-calon berwibawa dan memastikan kemenangan bertambah.

“PAS bertanding 21 kerusi dan hanya memenangi 6 kerusi sahaja… ini bermakna PAS kena bekerja lebih kuat bagi memasti memenangi 15 lagi kerusi. Yang jelas seluruh jentera Pakatan Rakyat mesti bekerja kuat memastikan kemenangan lebih banyak kerusi.’

Mengenai suasana politik di Malaysia sekarang, beliau berkata ia menuju ke arah penerimaan sistem demokrasi yang jauh lebih matang. Rakyat ingin melihat sebuah kerajaan yang telus, berwibawa, berintegriti serta kerajaan yang memenuhi janji dan bersikap adil pada semua kaum. Masyarakat tidak mahu lagi melihat politik berasaskan sentimen perkauman.

Mengenai 2009, Nizar berharap semua rakyat memberi sokongan dan bersatu hati untuk memajukan Perak dan mencapai tahap pertumbuhan lebih tinggi daripada pencapaian nasional.

“Saya juga berharap dapat menghapuskan rakyat miskin tegar dalam 2009 dan mewujudkan hubungan erat dengan penjawat awam dan institusi istana.

“Kerajaan negeri juga berharap dapat mengurangkan defisit belanjawan pada tahap lebih rendah daripada 2008 iaitu bawah RM40 juta dan berharap dikurangkan lagi pada tahun depan, dengan harapan akan wujud belanjawan seimbang pada 2010. ”

29 Oktober 2008

Pemuda PAS Perak anjur Jamuan Hari Raya.

IPOH, 28 Okt. :- Majlis Aidil Fitri yang dianjurkan pada malam ini diharapkan dapat mengeratkan hubungan antara pemuda-pemuda dalam Pakatan Rakyat, Demikian antara kadungan ucapan yang disampaikan YAB Menteri Besar Perak, Muhammad Nizar Jamuluddin dalam jamuan Hari Raya Anjuran Dewan pemuda PAS Perak di sebuah restoran terkemuka disini malam tadi.
Hadir sama dalam program tersebut ialah Isteri YAB Menteri Besar, Hjh. Fatimah Taat, Exco Agama, Hj .Mohd. Zainudin Mohd. Yusof, ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim , ADUN Gunung Semanggol , Ramli Tusin, dan pimpinan Pemuda Pakatan Rakyat dari PAS, PKR dan DAP.

YAB Menteri Besar perak sedang menyampaikan ucapan.



Semasa sedang berucap anak kecil datang merangkak dikakinya lalu beliau mendukungnya sambil berucap.

Menurut Ketua Penerangan Pemuda PAS Perak, Sdr. Azhar Saud, Program seumpama ini adalah yang pertama kali diadakan setelah Perak berada dibawah Kerajaan Pakatan Rakyat dan berhasil mengumpul sekitar 100 orang tamu.

Menteri Besar Perak terima kunjungan Pesuruhjaya Tinggi India.

IPOH, 28 Okt. :- Menteri Besar Dato Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi India Encik Ashok Kanta di Pejabatnya di sini hari ini.

Dalam pertemuan itu, mereka bertukar-tukar pendapat dan berbincang mengenai kemungkinan meningkatkan hubungan dagangan dua hala antara India dan Perak, terutama dalam bidang pendidikan dan industri berteknologi tinggi.


Pertemuan lebih sejam itu turuh dihadiri oleh Exco Kanan Dato' Ngeh Khoo Ham .

Semuga mendapat Haji Mabrur

IPOH: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau meluluskan permohonan khas rombongan ke Makkah daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin walaupun ada lebih 348,000 senarai menunggu dalam simpanan Tabung Haji.

Beliau berkata, kelulusan untuk rombongan 22 ahli Pas termasuk Setiausaha Politik Menteri Besar, Mohd Misbahul Munir Masduki itu dibuat atas dasar saudara satu agama.

Katanya, berdasarkan 348,000 individu dalam senarai menunggu ke Makkah, mereka yang mendaftar tahun ini hanya boleh ke Tanah Suci pada 2019, tapi beliau meluluskan permohonan Mohammad Nizar kerana bersifat terbuka dengan mengetepikan perbezaan politik.

"Saya tidak mengambil pendekatan politik tetapi sebaliknya bersikap terbuka dalam mengendalikan hal agama dan saya harap Menteri Besar juga mengambil pendekatan yang sama dalam soal agama.

"Haji bukan agenda politik. Saya mahu masyarakat tahu walaupun kami dari parti politik berbeza, saya mengambil pertimbangan agama," katanya kepada pemberita selepas Majlis Adil Fitri anjuran Pejabat Pembangunan Persekutuan Perak di sini, hari ini.

Menurut pemahaman saya setiap Menteri Besar mempunyai Kouta khas Jemaah Haji pada setiap tahun dan permohonan itu tentulah atas dasar dan pertimbangan tersebut. Adalah tidak wajar perkara ini diperbesarkan kerana apa yang dipohon adalah prosuder biasa, malah tidak perlu dikaitkan dengan fahaman politik dan sebagai nya.

Bakal jemaah haji DUN Titi Serong diraikan.

PARIT BUNTAR, 25 Okt. :- Sejumlah 31 orang bakal jemaah haji bagi taun 2008 diraikan dalam satu majlis ringkas yang dianjurkan oleh Pejabat Pusat khidmat ADUN Titi Serong disini. Jumlah tersebut bukan dari jumlah sebenar disebabkan data yang diterima oleh pihak penganjur difahamkan tidak meliputi jumlah keseluruhan jemaah yang akan berangkat.


Pada kesempatan itu ADUN Titi Serong, Khalil idham Lim menyatakan bahawa acara sedemikian adalah tradisi yang diadakan setiap tahun pada masa kemenangan pada tahun 1999 hinga tahun 2004 dan ianya terhenti beberapa ketika sehingga kita dakan kembali pada tahun ini.

Sambungnya matlamat diadakan program seumpama ini adalah untuk memanjatkan doa kepada Allah SWT supaya semuanya memperolihi haji mabrur. "Kalau nilai pemberian adalah tidak seberapa melainkan doanya yang kita panjatkan ada nilai tersendiri yang mengiringi keberangkatan jemaah" tambahnya.


Majlis dimulai dengan bacaan surah Yaasin dan doa yang diketuai oleh Ust. Osman Hj. Idris. Akhirnya ADUN Titi Serong dan isteri telah menyerahkan sumbangan kepada bakal jemaah .

Harga minyak turun lagi.

NEW YORK: Harga minyak mentah dunia menjunam semalam, terentah dalam masa 17 bulan berikutan kebimbangan kemelesetan ekonomi global yang menyaksikan permintaan terhadap bahan api itu menurun.

Di New York harga minyak light sweet bagi Disember menjunam 93 sen untuk ditutup kepada AS$63.22 setong.

Pada satu ketika, harga bahan api itu berada pada kedudukan terendah iaitu AS$61.30, paras sama pada Mei 2007.

Di London, minyak mentah Brent North Sea bgi Disember merosot kepada AS$59.02 setong, paras terendah sejak Februari 2007, sebelum ditutup AS$61.41 setong, menurun 64 sen.

Kemerosotan harga minyak itu membawa kesan dramatik kepada penurunan harga saham di Asia semalam, termasuk indeks Nikkei di Tokyo yang menyaksikan penurunan terendah sejak 1982.
Penurunan ini merupakan berita baik bagi rakyat Malaysia yang menunggu sekali lagi harga minyak diturunkan sebagaimana yang dijanjikan oleh pihak kerajaan baru-baru ini. Jumlah penurunan ini juga dapat mengambarkan berapakah jumlah penurunan yang sewajarnya bagi meringankan bebanan rakyat. Kita tunggu dan lihat.

28 Oktober 2008

Sidang Kemuncak Asia-Eropah ke-7 capai hasil yang diharapkan

Sidang Kemuncak Asia-Eropah ke-7 berakhir di Beijing petang sabtu lepas. Selain mengeluarkan kenyataan untuk meningkatkan kerjasama Asia-Eropah dalam menangani krisis kewangan, sidang kali ini juga mencapai pelbagai hasil yang menggalakkan dalam bidang keselamatan bahan makanan, kerjasama penyelamatan bencana, pembangunan secara berterusan dan perubahan iklim.

Perdana Menteri China, Wen Jiabao berpendapat, hasil sidang kali ini akan memberikan sumbangan besar kepada kerjasama Asia-Eropah. Kata beliau, pelbagai negara perlu memperkukuh keyakinan, meningkatkan kerjasama dan menjelaskan tanggungjawab, agar bersama-sama menghadapi krisis kewangan antarabangsa.

"Semua negara, lebih-lebih lagi negara maju, perlu mengambil tindakah segara untuk menstabilkan pasaran dan memulihkan keyakinan orang ramai. Di samping itu, kita perlu meningkatkan kerjasama antara pelbagai negara bagi menghadapi krisis kewangan yang serius ini. Pada masa ini, tugas yang paling mendesak adalah untuk menstabilkan pasaran kewangan dan mengurangkan risiko akibatnya," kata Perdana Menteri Wen Jiabao.

Selain krisis kewangan, para peserta juga mengadakan perbincangan dan mengemukakan pelbagai cadangan yang bersifat membina berhubung keselamatan makanan, kerjasama penyelamatan bencana, pembangunan berterusan, perubahan iklim dan dialog antara pelbagai tamadun.

Dalam Perisytiharan Beijing mengenai Pembangunan Berterusan yang diluluskan sidang kali ini, pelbagai negara berjanji untuk mewujudkan Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) menurut jadual, meningkatkan kerjasama antarabangsa di bawah prinsip "tanggungjawab yang sama tetapi berlainan", menangani isu perubahan iklim dan keselamatan tenaga agar mewujudkan masyarakat yang harmoni.

Presiden Suruhanjaya Kesatuan Eropah (EU), Jose Manuel Barroso berkata: "Kita tidak mengabaikan cabaran global selain daripada krisis kewangan, seperti perubahan iklim dan pencapaian matlamat MDG. Perisytiharan Beijing mengenai Pembangunan Berterusan telah mengemukakan prinsip-prinsip yang akan menjadi panduan kepada kita untuk menangani pelbagai cabaran global tersebut."

Kenyataan Pengerusi yang dikeluarkan sidang kemuncak kali ini pula mencerminkan pendirian anggota-anggota Sidang Kemuncak Asia-Eropah dalam pelbagai isu penting. Selain itu, sidang kali ini juga meluluskan 17 cadangan kerjasama yang melibatkan sektor ekonomi, masyarakat, kebudayaan dan pembangunan berterusan.

Menteri Luar China, Yang Jiechi ketika diwawancara menyatakan, sidang kali ini mencapai hasil yang diharapkan dan mencerimkan keazaman Asia-Eropah untuk meningkatkan kerjasama bagi mendorong hubungan rakan antara Asia dengan Eropah dan menyumbang kepada keamanan, kemakmuran dan keharmonian dunia.

Saya bangga dapat amalkan budaya Melayu.

Ekoran dari dakwaan saya tidak menghormati budaya Melayu dalam beberapa komen picisan yang sepatutnya saya tidak jawab, malah saya menerima email dari teman-teman yang menasihati supaya tidak dilayan .

Namun sebagai sifat asal dan hasrat saya membuka blog peribadi adalah untuk menyebar luaskan ilmu selain dapat berada di Mesjid dan Surau, saya sudah muktamad blog saya berimejkan apa yang telah saya putuskan. Apalagi banyak blog yang tidak menyediakan cbox dan ruangan ulasan, kenapa pelik dan jadi salah kepada blog saya yang tidak memilikinya.

Bayangkan tulisan saya dalam banyak tazkirah yang cuba diulas oleh orang yang jahil dan tidak arif dalam ilmu Islam. Irama dan lagu tidak seiring, malah jadi rosak kalau dibiarkan.

Selain itu kepada yang masih berminat untuk bertanya dan sebagainya ianya masih ada ruangan, pintu masih terbuka melalui email saya yang terpampang. Adakah kita nak tambah musuh dan tambah dosa. Insaflah berada didepan komputer juga boleh jadi ibadah dan sebaliknya. jangan sia-siakan masa dan umur yang makin singkat. Kubur memanggil dan dunia melambai-lambai ucap selamat tinggal.

Balik kepada persoalan budaya Melayu. Lihat saja gambar keluarga yang sudah hampir sebulan Syawal yang saya letakkan didalam blog ini sudah dapat menjawabnya. Berapa ramai orang Melayu yang dapat mendidik anak mereka sayang dan cintakan pakaian tradisi orang Melayu.

Ditambah fesyen berpakaian sekarang lagi dasyat malah bercanggah 100 % dengan saya berpakaian cara Islam. Prinsip saya sebenarnya tidak kira Melayu, Cina , Jakun dan sebagainya asalkan pakai yang menutup aurat itu sudah mengamalkan tuntutan Islam.

Setiap hari Jumaat bagi yang tidak buta mata dan mata hatinya, semua sudah tahu saya akan berpakaian lengkap dengan pakaian Melayu sekali dengan sampinnya. Bukan sejak jadi ADUN tetapi sejak mengajar di sekolah kerajaan lagi. Alhamdulillah kerana berpakaian cara itu mengambarkan keIslaman kita dikalangan orang bukan Islam , saya teruskan sampai sekarang. Walaupun masih ramai pemilik asal pakaian ini sudah tidak tahu berterima kasih kepada bangsa lain yang memakainya.

Apakah salah kalau hari Jumaat dengan berpakaian demikian saya pergi menzirahi orang mati. Adakah sudah ada fatwa yang mengatakan tidak boleh pergi melawat orang mati dengan pakaian melayu lengkap?Apalagi mati dia tidak kira hari, hari Jumaat malah hari yang terbaik kalau seseorang itu mati.

Satu lagi dakwaan yang tidak menghormati keluarga simati itu adalah fitnah yang perlu ada pembetulan.Setahu saya orang yang tidak menghormati keluarga simati ialah datang ziarah setakat diluar saja. Kalau saya hadir saya pastikan mayat itu lelaki atau perempuan. Kalau lelaki pasti saya setelah bersalam dengan semua akan masuk lihat mayat dan hadiahkan bacaan ayat-ayat suci dan doa.

Bagi saya yang tidak menghormati keluarga simati malah simati itu sendiri ialah orang yang hanya pergi ziarah setakat diluar dan sembang dunia panjang-panajang macam tidak mahu mati. Sesudah sampainya mayat di mesjid atau surau untuk disembahyangkan lagi ramai yang tidak tahu menghormati simati. Mereka tidak mahu berdiri walaupun keranda mayat hampir melanggarnya.

Bertanya dengan yang hadir siapa waris terdekat dan saya akan menemuinya dengan sedikit ucapan dan sumbangan, itulah yang saya lakukan. InsyaAllah saya akan terus dengan keadaan begitu dimasa akan datang.

Selain saya menggemari berpakaian Melayu, anak-anak juga tidak ketinggalan. Mereka akan memakainya bila perlu apa lagi Hari Raya kami sekeluarga pasti akan pakai dengan warna sendondong.

Saya akan teruskan walaupun ada yang masih membutakan mata kepada suatu realiti kehidupan ini.