07 September 2010

Zaid akan tanding timbalan presiden PKR

27 Ramadhan 1431 H

Selepas pelbagai spekulasi, Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim akhirnya mengesahkan beliau akan bertanding jawatan timbalan presiden.

Sebelum ini, anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR itu menyuarakan hasratnya untuk bertanding dalam pemilihan parti kali ini, tetapi tidak menyatakan secara khusus jawatan berkenaan.

Menurut laporan media, Zaid mengumumkan keputusannya untuk bertanding jawatan nombor 2 itu di majlis berbuka puasa di Kuantan hari ini.

Beliau dilaporkan menyatakan keputusannya di hadapan 30 jawatankuasa perhubungan PKR Pahang dan ahli parti yang hadir.

Bekas menteri di jabatan perdana menteri itu bagaimanapun berkata, ia bergantungnya sokongan dan pencalonan yang bakal diterimanya nanti.

Pencalonan bagi jawatan nombor 2 itu pada mulanya hanya dijangka selepas penyandangnya, Syed Husin Ali mengumumkan hasratnya selepas Hari Raya Aidilfitri ini, untuk tidak mempertahankan jawatannya.

Bagaimanapun, ekoran pengumuman Zaid itu, tumpuan kini beralih kepada siapakah lawannya nanti. Pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali disebut-sebut akan bertanding jawatan timbalan presiden.

Yang lain-lainnya yang dijangka turut menawarkan diri ialah naib presiden Mustapha Kamil Ayub dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Malaysiakini/-

06 September 2010

Gempa Bumi 7.1 Gegar South Island

Timbunan runtuhan di luar restoran makanan segera di pusat bandar Christchurch, New Zealand. - Foto AP


26 Ramadhan 1431H.

WELLINGTON (New Zealand): Gempa bumi kuat berukuran 7.1 pada skala richter memusnahkan bangunan, memutuskan bekalan tenaga dan mencetuskan panik di kalangan para penduduk South Island, di sini awal pagi Sabtu.

Bagaimanapun setakat ini tidak ada kematian dilaporkan dengan hanya dua mangsa mengalami kecederaan.

Para penduduk panik yang berbaju tidur bertempiaran lari di jalanan Christchurch selepas gegaran awal subuh itu, kata seorang penduduk.

Turut dilaporkan beberapa orang terperangkap dalam bangunan runtuh - namun tidak ada sesiapa dilaporkan terhempap - hanya pencuri memecah masuk ke kedai yang musnah di bandar yang menempatkan 400,000 penduduk itu, kata pihak berkuasa.

Serombong dan dinding roboh dari bangunan lama, tenaga terputus, lampu isyarat tidak berfungsi, bekalan minyak dan air turut terganggu, menurut Datuk Bandar Christchurch, Bob Parker.

Beliau memberi amaran bahawa gegaran pasca gempa bumi boleh mengakibatkan batu-batu jatuh dari bangunan yang rosak.

"Bahagian depan pada sekurang-kurangnya lima bangunan di pusat bandar telah runtuh, dan kesan runtuhannya berselerak di jalan-jalan raya," ujar penduduk, Angela Morgan.

Mark O'Connell pula berkata, rumahnya penuh dengan serpihan kaca, makanan yang tercampak keluar dari rak dengan set laci, televisyen dan komputer turut terhumban.

"Kami terlambung dari dinding ke dinding apabila cuba melarikan diri dengan menuruni tangga untuk menyelamatkan diri," katanya.

Agensi sains geologikal (GNS) melaporkan, gempa bumi yang melanda 30 kilometer barat Christchurch itu menggegarkan kawasan luas sehingga mengakibatkan kerosakan dan kemusnahan. Namun tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Gegaran itu berlaku pada 4.35 pagi waktu tempatan, mengejutkan ribuan penduduk dari tidur. Sejak itu, 12 gegaran kecil dirasai dengan anggaran magnitud antara 3.9 dan 5.3, lapor laman web GNS.

Dilaporkan sekurang-kurangnya enam buah jambatan di daerah itu rosak teruk, manakala hotel bersejarah Empire di pekan pelabuhan Lyttelton dalam keadaan 'sangat tidak stabil' dan menghadapi bahaya runtuh.

Sementara itu, jurucakap Kiwirail memberitahu, 13 buah gerabak barang terkandas di landasan South Island, dengan kerosakan turut dilaporkan di utara Christchurch.

Lapangan Terbang Antarabangsa Christchurch ditutup selepas gempa bumi, sebagai langkah berjaga-jaga, sambil pakar memeriksa landasan dan bangunan terminal, menurut jurucakapnya.

New Zealand terletak di atas permukaan kerak bumi di mana dua plat tektonik bertembung. Negara itu mencatatkan lebih 14,000 gegaran setiap tahun, tetapi hanya 150 dirasai oleh penduduk.

Gempa bumi kuat terakhir yang berlaku di wilayah Fiordland, South Island bermagnitud 7.8 pada 16 Julai 2009. Gegaran hebat itu menganjakkan penghujung selatan negara tersebut 30 sentimeter lebih hampir kepada Australia, jelas ahli seismologi, Ken Gledhill ketika itu. - AP

PAS lancar "Kempen Balik Kampung"


26 Ramadhan 1431H.

KUALA LUMPUR, 5 Sept: Lajnah Penerangan PAS Pusat semalam melancarkan "Kempen Balik Kampung" dalam usaha membekalkan maklumat kepada ahli PAS di Lembah Klang untuk dibawa pulang ke kampung.

Kempen tersebut dilancarkan Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad di Pejabat Agung PAS, di Jalan Raja Laut di sini.

"Kempen ini bertujuan untuk membekalkan maklumat kepada ahli dan penyokong PAS yang tinggal di sekitar Lembah Klang untuk di bawah pulang ke Kampung sempena cuti Hari Raya," kata Idris.

Menurut beliau, ahli dan penyokong PAS yang mendapat risalah ini diharap akan menyebarkan maklumat yang betul kepada masyarakat luar bandar yang banyak bergantung kepada media konvesional seperti radio dan televisyen.

Selain ucapan selamat hari raya, risalah ini turut fakta-fakta tentang pembangunan dan pembaharuan yang berjaya dilaksanakan di negeri-negeri Pakatan Rakyat selepas 2 tahun pemerintahan dan penerangan sebenar mengenai hala tuju perjuangan PAS.

Idris turut membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam yang meminta media melaporkan berita berasaskan fakta, sedangkan laporan media arus perdana banyak yang menyimpang dari fakta sebenar.

"Media arus perdana seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan televisyen banyak memutar belit kenyataan dan maklumat sebenar.

"Oleh itu, dengan risalah yang kita edar ini dapat menyampaikan maklumat sebenar dan tepat kepada rakyat, terutamanya masyarakat diluar bandar" tambah beliau.

Risalah tersebut juga diletakkan di laman rasmi PAS, http://www.pas.org.my bagi memudahkan ahli-ahli PAS diperingkat cawangan, kawasan, dan negeri mengakses dan menyebarkannya di kawasan masing-masing.

Harakahdaily/-

Iklan Aidil Fitri: Pemuda PAS hantar bantahan ke TV3

26 Ramadhan 1431H.

KUALA LUMPUR, 5 Sept: Dewan Pemuda PAS Pusat akan menghantar surat bantahan ke stesen TV3 dan juga kepada Kementerian Penerangan berkaitan siaran iklan Aidil Fitri yang didakwa mengelirukan.

Iklan tersebut didakwa seperti cuba menyamakan perayaan Aidil Fitri dengan unsur-unsur Krismas, Hindu dan Buddha apabila memuatkan elemen menaiki beca terbang ala Santa Claus, bunga teratai dan pelita.

Bantahan tersebut akan dihantar pada Isnin ini, 6 September 2010.

"Iklan Aidil Fitri ala Santa Claus ini juga dilihat sebagai satu perbuatan menghina agama Islam dan mendidik penonton khasnya kanak-kanak menjadi syirik.

"Ia sangat mengguris perasaan dan sensitiiti ummat Islam," kata Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS katanya menggesa agar TV3 segera membatalkan penyiaran iklan tersebut.

"Kalaupun pihak mereka mahu mempromosikan 1 Malaysia , janganlah keterlaluan sehingga mengenepikan persoalan sensitif mengenai agama dan pegangan hidup ummat Islam," katanya lagi.

Selain itu mereka mendesak agar TV3 memohon maaf kepada ummat Islam di atas penyiaran iklan yang bercanggah dengan Syara' dan memberi gambaran yang salah tentang Aidil Fitri sebagai satu hari yang mulia dalam diari ibadah ummat Islam .

Manakala Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) pula diges memantau iklan, filem dan drama yang bertentangan dengan nilai dan syariat Islam sepanjang perayaan ini.

"Nampaknya tidak memadai iklan atau filem ditapis oleh pihak Finas jika perkara-perkara yang menjejas nama baik Islam masih terus berleluasa di dalam media elektronik negara kita," katanya.

Sementara itu, iklan tersebut juga mendapat kritikan hebat uamat Islam di laman FaceBook yang mandakwa TV3 sengaja mahu membangkitkan kemarahan orang Islam.

Mereka juga mendakwa, iklan tersebut adalah yang paling rendah nilai dalam sejarah iklan TV3.

Harakahdaily/-

05 September 2010

PESURUHJAYA PAS PERAK: DAKWAH PERLU DITERUSKAN KEPADA BUKAN ISLAM


26 Ramadhan 1431H.
Mohd Hafez Sabri

IPOH, 4 September :– Pesuruhjaya PAS Perak di sini hari ini, menegaskan supaya dakwah diteruskan kepada masyarakat yang bukan Islam supaya mereka lebih mengenali Islam. Mengulas lanjut, beliau mengatakan masyarakat bukan Islam perlu terlebih dahulu diperkenalkan kepada Islam sebelum mereka diperkenalkan kepada orang Islam.

Hal ini, menurut beliau adalah kerana kebenaran perlu diperkenalkan kepada mereka terlebih dahulu untuk mereka menilai siapa sebenarnya yang membawa kebenaran. “PAS perlu menyampaikan dakwah kepada masyarakat bukan Islam supaya sampai kepadanya ilmu Islam sebelum ia menumbuhkan keyakinan kepada mereka. Manusia memusuhi apa yang tidak ia ketahui,” ujarnya lagi mengenai keperluan PAS untuk mendekati dan berdakwah kepada masyarakat bukan Islam.

Menambah mengenainya, Ustaz Abu Bakar mengatakan pada saat kini, masyarakat bukan Islam sedang menunggu-nunggu dakwah daripada PAS supaya mereka lebih memahami polemik isu yang dimainkan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) ketika ini. Hal ini juga kerana, kini, masyarakat bukan Islam diwarwarkan dengan keharmonian yang dicanang oleh UMNO dan BN sedangkan hakikatnya, PAS dan Pakatan Rakyat telah terlebih dahulu menunjukkan contoh keharmonian di antara kaum yang lebih baik daripada UMNO dan BN. “Kita perlu pasarkan produk berkualiti kita kepada masyarakat supaya masyarakat nampak keperluan untuk menumbangkan kerajaan korup yang ada kini,” katanya lagi.

Selain itu, katanya lagi, PAS dan PR sebenarnya mempunyai perwatakan yang lebih meyakinkan berbanding daripada perwatakan pemimpin UMNO dan BN yang kini penuh terpalit dengan najis rasuah. Untuk itu, beliau menambah, para ‘amilin di dalam PAS perlu bekerja lebih keras untuk berdakwah samada melalui contoh tauladan, penyampaian risalah penerangan dan sebagainya. Di akhirnya, beliau berkata, masyarakat Malaysia kini tidak boleh mengharapkan UMNO untuk menyampaikan Islam. “PAS kini perlu bersedia untuk menggantikan tempat UMNO untuk menyampaikan Islam dan menerajui Malaysia,” ujarnya menyeru kepada semua ahli PAS.

SAMBUTAN CERAMAH PALESTIN DALAM BAHAYA MERIAH

Pesuruhjaya PAS Perak, Ust. Abu bakar Hussain sedang menyampaikan sumbangan PAS Perak kepada Syeikh Dr Muhammad Mahmoud Siyam sambil diperhatikan oleh Ketua Dewan ulamak PAS Negeri Perak, Ust Shuid Din (tengah)


26 Ramadhan 1431H.
Mohd Hafez Sabri

Program PALESTIN DALAM BAHAYA anjuran Pertubuhan Dakwah dan Penyelamat Umat ( PADU ) dengan kerjasama Institut Kajian Al Aqsa Malaysia ( IQAM ) telah mendapat sambutan yang sangat baik baru-baru ini, Program yang diadakan ini sangat istiwewa kerana ia menampilkan Ulama’ besar dari tanah Palestin iaitu Syeikh Dr Muhammad Mahmoud Siyam ( Mantan IMAM Masjid Al Aqsa Palestin ),Sememangnya bagi penduduk sekitar Ipoh program ini tidak asing lagi bagi mereka, hal ini kerana ia menghidangkan program ilmiah yang dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu sebenar yang berlaku di bumi Palestin.

Ceramah dimulai dengan satu tayangan klip video pendek yang memaparkan keadaan yang terlalu menekan di Palestin, bagaimana perjuangan intifadha melawan arus Zionisme, batu melawan kereta kebal dan banyak lagi.Penonton diajak merasai kesengsaraan dan ketabahan jutaan umat Islam Palestin yang sedang ditawan di tanah air sendiri, kesedihan juga dapat dirasakan apabila ribuan anak-anak Palestin kini sudah kehilangan ibu dan ayah mereka.

Hadirin yang hadir memenuhi Dewan MBI.

Ceramah yang dibawa oleh Syeikh Dr Muhammad Mahmud Siyam berjaya membawa penonton menjiwai dan merasai keperitan penduduk Palestin yang telah ditidakkan hak mereka. Menurut beliau lagi sejarah Masjid al-Aqsa yang sangat relevan dengan peristiwa agung Isra’ Mi’raj telah membawa penonton akan pentingnya kawasan tersebut yang mana sekarang ini telah dijajah oleh pengganas Israel.

Selain itu ceramah juga turut disampaikan oleh Ustaz Shuaid Din yang merupakan penasihat kepada NGO Pertubuhan Dakwah dan Penyelamat Umat ( PADU ). Beliau menegaskan berkenaan sejarah bagaimana tertubuhnya idealogi Zionisme iaitu ingin menyatukan Yahudi di dalam sebuah negara, serta kewajipan umat Islam untuk bangkit serta menyumbang segala yang mampu untuk perjuangan umat Islam di Palestin.

Klimaks kepada ceramah malam tersebut adalah serahan sumbangan ikhlas daripada PAS Perak melalui Badan Perhubungan Negeri PAS Perak, Dewan Ulama’ PAS Perak, Dewan Pemuda PAS Perak ,Dewan Muslimat PAS Perak serta kutipan dari badan NGO serta kutipan dari rakyat kepada Syeikh Dr Muhammad Mahmoud Siyam

PAS Perak menyumbangkan sebanyak RM 15 Ribu untuk Palestin, manakala Dewan Ulama’ PAS Perak menyumbangkan RM 31 Ribu manakala Dewan Pemuda PAS Perak menyumbangkan sebanyak RM 3,600 serta jumlah kutipan dari badan NGO dan rakyat juga begitu banyak, Jumlah keseluruhan kutipan melebihi RM 50 Ribu secara keseluruhan.

Menurut Ustaz Mohd Hafez Sabri selaku ketua sekateriat penganjur program tersebut yang juga merupakan Setiusaha bagi NGO ( Institut Kajian Al Aqsa Malaysia ) beliau menyimpulkan bahawa hasil dari program tersebut umat Islam khususnya perlulah memboikot produk Amerika seperti McDonalds, KFC dan yang lebih penting adalah hentikan merokok kerana syarikat rokok secara terang menyumbangkan keuntungan mereka kepada pengganas Israel

Selain itu masyarakat juga perlu menyebarluaskan luaskan makumat tentang Palestin dan keganasan rejim Zionis,Seterusnya berikan bantuan kewangan dan kemanusiaan kepada Palestin bagi mereka yang mampu menurut beliau NGO ( Institut Kajian Al Aqsa Malaysia ) ada menyediakan tabung bagi mereka yang ingin memberi sumbangan kepada umat Islam Palestin, Juga jangan dilupakan Doa yang berterusan kepada ALLAH SWT agar umat Islam di beri kemenangan dalam memimpin dunia ini khususnya bumi Palestin dapat dibebaskan semula, jelas beliau.

TINGKATKAN BANTUAN KEBAJIKAN KEPADA RAKYAT

Ust. Abu Bakar Hussain (bercermin mata tengah) sedang menyampaikan sumbangan.

26 Ramadhan 1431H.

PARIT – Pesuruhjaya PAS Perak, Ust. Abu Bakar Hussain dalam penyampaian sumbangan kepada masyarakat setempat sempena dengan Program Badr Kubra sebelum ini menyarankan agar ahli PAS di setiap peringkat supaya terus menerus memberikan kebajikan kepada rakyat. Mengulas lanjut, beliau mengatakan bahawa ruang lingkup kebajikan haruslah mencapah supaya dapat mencapai rakyat di pelbagai peringkat. Mengaitkan sirah kebajikan yang dilakukan Rasulullah SAW, beliau mengatakan bahawa Rasulullah SAW dapat mengubah arab jahiliyah disebabkan sifat sabar dan istiqamah dalam memberikan kebajikan kepada masyarakat.

Penyampaian tersebut diadakan pada 28 Ogos lepada di Mesjid Kota lama Kiri sempenan dengan program badr Kubra PAS Perak yang diadakan disini.

“Kita harus memanfaatkan setiap peluang yang ada untuk meyakinkan rakyat bahawa PAS adalah jamaah Islam yang mendekati masyarakat dan bersedia untuk menggantikan kerajaan korup yang ada kini,” ujarnya mengenai kepentingan PAS memperbanyakkan aktiviti kebajikan. Beliau menambah, sebagai jamaah Islam, PAS harus memanfaatkan bulan Ramadhan untuk memperbanyakkan amal kebajikan kepada rakyat yang lebih utama berbanding amalan-amalan sunat.

Tambahnya lagi, kebajikan tidak harus dipandang dari sudut tenaga dan wang ringgit semata-mata, malah kebajikan juga dapat dilakukan dengan menyampaikan ilmu dan informasi kepada rakyat. Mengenai manifesto pilihanraya ‘Negara Berkebajikan’ beliau menambah, hasrat PAS untuk memerintah supaya rakyat hidup dalam keadaan sejahtera dan tidak tertekan.

“Negara Berkebajikan boleh membawa rakyat ke satu tahap perubahan jauh daripada penyelewengan, rasuah, penipuan dan sebagainya, berbanding kerajaan sekarang ini penuh dengan gejala yang merosakkan negara serta generasi pewaris,” tegasnya.

Fitnah : Lagi laporan polis kepada Zainuddin Maidin

26 Ramadhan 1431H.

Bandar Sri Iskandar - Dewan Pemuda Pas Kawasan Parit telah membuat satu laporan polis terhadap kenyaatan Tan Sri Zainuddin Maidin seperti yang dipaparkan di laman web umno-online. Ustaz Zaid (gambar sebelah kanan) selaku Ketua Pemuda dan Ustaz Hakimi selaku Penolong Setiausaha hadir pada jam 3.00 petang di Balai Polis Sri Iskandar untuk membuat laporan tersebut.

Kenyataan fitnah dan berniat jahat Zainuddin terhadap PAS dengan mengatakan bahawa semasa Tragedi 13 Mei 1969, PAS telah meminta Allahyarham Tunku Abdul Rahman Puta Al-Haj 'merampas' harta-harta orang Cina. Kenyataan beliau juga turut menuduh PAS menyebelahi Indonesia supaya mengambil Malaysia semasa konfrontasi Malaysia-Indonesia.

Dewan Pemuda Pas Kawasan Parit berharap pihak polis segera melakukan penyiasatan terhadap laporan yang dilakukan ini.

Apa salahnya orang bukan Islam masuk surau?

26 Ramadhan 1431H.
Ahmad Baei Jaafar

Saya sering mencari jawapan sendiri tentang mengapa orang bukan Islam tidak tertarik kepada Islam di negara ini. Padahal di sudut politik orang bukan Islam terlalu rapat orang Islam, mereka bersama UMNO yang sebelumnya Perikatan dan kina Barisan Nasional. Pemimpin mereka selalu bersama pemimpin UMNO tetapi mengapa tidak terdetik di hati mereka untuk terima Islam.

Antara jawapan yang diperoleh ialah, belum dapat hidayah, sikap orang Islam tidak menjadi penarik sebaliknya penolak. Walaupun jawapan itu ada kebenarannya tetapi dengan peristiwa baru-baru ini memberikan saya jawapan yang lebih tepat lagi.

Apabila Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching memasuki sebuah suara atas jemputan berbuka puasa dan diberi peluang pula untuk memberikan ucapan selepas solat Tarawih, timbul pihak yang membantah. Peristiwa inilah yang menyedarkan saya betapa orang politik sebenarnya yang menjadi penghalang kepada orang bukan Islam untuk mengenal Islam.

Anda boleh pastikan sendiri, berapa ramai orang Melayu berkawan dengan orang India, baik orang politik mahupun orang biasa. Tetapi berapa ramai orang Melayu mahu menceritakan tentang Islam kepada mereka. Sebaliknya kalau orang bukan Islam bertanya sesuatu tentang Islam mereka marah atau meberi jawapan yang tidak tepat.

Kalau kita tanya mereka, mengapa kamu tidak mahu ceritakan tentang Islam dan kebaikannya kepada orang bukan Islam, maka dengan tegas mereka berkata, “takut sensitif”. Persoalannya mengapa kita hendak ceritakan perkara sensitif? Adakah soal agama amat sensitif untuk dikongsikan kepada orang lain. Padahal, mereka sudah tahu tentang Islam melalui pembacaan dan tontonan rancangan televisyen. Malah ada yang mahu lebih tahu tentang Islam. Jadi, kitalah yang sebenarnya menyekat untuk Islam berkembang di Malaysia.

Sebenarnya saya tidak dapat bayangkan, kalau YB Teo itu dijemput untuk berbuka puasa, tentu dia tiba jam 7.00 malam atau lebih awal daripada itu. Kemudian dia dijemput untuk memberi ucapan dalam majlis ringkas selepas solat Tarawih, mungkin sekitar jam 10.00 malam. Di mana beliau ketika umat Islam bersolat?

Saya tidak fikir dia balik dan datang semula kerana lazimnya kalau YB Melayu setelah balik tidak akan datang lagi. Tapi kalau YB Teo balik dan datang lagi, saya sungguh kagum. Katalah dia tidak balik, tentu dia akan disediakan tempat khas di surau itu dan tentunya temani oleh seorang muslimah. Tidak mengapa, memang muslimah sepatutnya melayan wakil rakyat wanita. Muslimah itu tentu tidak rugi apa-apa tanpa solat Tarawih malam itu kerana pahala melayan tetamu lebih besar daripada solat itu. Tetapi kalau dia tidak boleh solat kerana uzur tentulah dia juga mendapat pahala seperti oleh yang bersolat.

Bayangkan selama tiga jam mereka berbual di situ, apakah topik perbualan mereka. Cerita projek pembangunan, cerita bagaimana hendak menjatuhkan orang itu dan ini, atau cerita lagha. Alangkah baiknya pada waktu itu diselitkan cerita Islam, kehebatan Islam membangunkan umahnya pada zaman silam. Mungkin cerita itu belum mendorongnya untuk memeluk Islam tetapi satu hari nanti, mungkin anak cucunya memeluk Islam. Saya harapkan itulah yang diperbualkan pada waktu itu.

Selain itu, cuba kita bayangkan seorang bukan Islam apabila mahu tunggu orang Islam solat dalam tempoh yang panjang, apakah niat di hatinya. Adakah kemungkinan dia mahu mengkhianati Islam dan umatnya. Atau dia buat begitu sebagai usaha memancing undi untuk pilihan raya akan datang. Walaupun apa pun niatnya, tentu niat umat Islam dalam melayannya lebih Allah nilai sebagai kebaikan.

Tetapi saya percaya, kesudian dia mahu berada di surau itu sedikit sebanyak akan menambahkan ilmunya tentang Islam. Setidak-tidaknya dia tidak akan memburukkan Islam dan umatnya lagi selepas ini. Semua ini akan menjadi kenyataan jika peluang itu digunakan sebaiknya oleh muslimah ketika itu.

Tetapi sungguh tidak di sangka, ada pihak lain yang membuat ribut, membuat tuduhan yang tidak berasas, tanpa ilmu agama yang benar sehingga menimbulkan rasa kurang senang hati orang bukan Islam kepada orang Melayu. Rasa gembira bersama orang Islam hanya seketika kerana kutukan orang Melayu terhadapnya telah memusnahkan impiannya.

Ingatlah selagi orang Melayu suka bersangka buruk terhadap bangsa lain yang bukan beragama Islam, sampai bila pun orang bukan Islam tidak boleh mengenali Islam. Hari ini, Perdana Menteri telah menyeru kepada orang bukan Islam supaya menukar persepsi mereka terhadap Islam. Tetapi itu mungkin di luar Malaysia, tentu lain keadaannya di negara kita kerana mereka sudah lama mengubah persepsi itu. Tetapi sebaliknya, orang Melayu yang selalu bersangka buruk terhadap mereka.

Dalam hal ini sebenarnya, orang Melayu sama ada pemimpin atasan mahu pun orang bawahan, amat kurang ilmu pengetahuan tentang Islam, tetapi mereka masih mahu bercakap tentang Islam. Mereka sering menghukum yang tidak tepat hingga boleh menyinggung perasaan orang lain. Kesannya, orang bukan Islam terus menjauhkan diri daripada Islam.

Di sini saya cuba paparkan antara yang sering tersalah pada pihak kita ialah:

1. Kita masih meletakkan wujudnya golongan kafir harbi di negara ini. Sebenarnya sudah tidak wujud lagi golongan ini di negara ini. Kalau ada pun hanya satu dua orang sahaja. Sebaliknya yang ada ialah Melayu Harbi, yang mereka ini amat menentang Islam.

2. Masjid dijadikan tempat yang terlalu eksklusif sehingga orang bukan Islam tidak boleh masuk. Kalau hendak masuk kena pakai tudung dan jubah. Padahal hukum itu untuk orang Islam sahaja. Orang bukan boleh masuk masjid walaupun mereka dalam keadaan berhadas. Masjid tidak tercemar dengan kemasukan mereka kecuali kalau mereka berniat jahat. Larangan ketika haid itu hanya terhadap orang Islam, itupun kalau wanita yang haid masih boleh lalu dalam masjid. Mereka ini kalau masuk dan duduk dalam masjid berdosa, namun masjid tidak akan tercemar dengan sebab itu. Namun hukum seumpama ini tidak dikena pada surau.

3. Merujuk kepada isu Teo, dia masuk ke dalam surau atas jemputan, dan ucapan dalam majlis itu adalah juga atas jemputan, jadi kenapa kita menimbulkan suasana tegang. Apatah lagi dengan menggunakan istilah tazkirah yang langsung tidak tepat kerana lazimnya tazkirah merujuk kepada peringatan ringkas untuk menyedarkan umat kepada agama.

Suka saya ingatkan orang Melayu yang terlibat dengan parti politik seharusnya belajar menerima hakikat bahawa dalam perjuangan menegakkan bangsa dan agama seharusnya tidak ada permusuhan. Dalam perjuangan ini mereka harus bekerjasama menyelesaikan masalah ummah dengan memberi idea yang baik kepada pemerintah. Dan cuba membetulkan mana yang kurang pada pentabiran. Kecaman dan kutukan bukan menyelesaikan masalah, tetapi menambahkan masalah.

Jadi, hentikan pertikaian antara orang Melayu hanya kerana nak cari pengaruh. Dengarlah nasihat Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah. Matlamat kita ialah tegakkan Islam dan menyelamatkan orang Melayu, maka dengan cari pengaruh, nanti kelemahan kita akan dihidu musuh Islam. Dan ketika itu kita akan terus kalah dalam perjuangan.

KENYATAAN AKHBAR : UMNO BOHONG LAGI

Dr. Hj Mohd Dhari Othman, YDP PAS Kawasan larut (gambar).

26 Ramadhan 1431H.
KENYATAAN AKHBAR PAS KAWASAN LARUT

UMNO berbohong lagi apabila mendakwaan 756 orang ahli Pas di DUN Kubu Gajah keluar parti beramai-ramai menyertai UMNO.

Ini adalah satu lagi pembohongan yang bertujuan untuk meredakan kerisauan UMNO Bahagian Larut dalam menghadapi kemerosotan sokongan pengundi-pengundi di Parlimen Larut.

Satu berita yang disiarkan dalam Utusan Online 4 September kelmarin melaporkan 756 ahli Pas di DUN Kubu Gajah daripada cawangan Kg. Bagan Baru telah keluar beramai-ramai kerana tidak yakin lagi kepada parti itu.

Saya menyangkal sama sekali dakwaan ini. Tidak ada tindakkan keluar beramai-ramai ahli-ahli Pas di DUN Kubu Gajah ini. Mat Arop bin Samad bukan Timbalan Ketua Cawangan Bagan Baru, malah tidak pun wujud Cawangan Pas Bagan Baru.

Dakwaan ini sengaja diada-adakan oleh UMNO khususnya ADUN Kubu Gajah, Raja Ahmad Zainuddin dan Menteri Besar Perak, Dr. Zambri Abd. Kadir.

Mat Arop adalah salah seorang daripada kira-kira 30 orang yang bertindak keluar UMNO Cawangan Bagan Baru, yang menjadi kubu kuat UMNO di DUN Kubu Gajah, setelah BN gagal membentuk Kerajaan Negeri Perak berikutan keputusan PRU Ke 12, 2008.

Bekas ahli-ahli UMNO ini telah memohon untuk menjadi ahli PAS. Semasa PR memerintah Perak, Mat arop bercadang hendak menjadi Ketua Kampung Bagan Baru tetapi dia tidak terpilih.

Dakwaan Mat Arop bahawa dia telah menjadi ahli pas selama 22 tahun juga satu pembohongan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang Pengerusi Masjid dan Pengerusi PIBG. Mat Arop baru saja menjadi ahli Pas, tidak sampai dua tahun. Dia adalah ahli UMNO selama 32 tahun dan mungkin Ketua Cawangan UMNO Kg. Bagan Baru selama 22 tahun.

Pas Larut mengalu-alukan tindakan keluar Mat Arop daripada Pas kerana dia memang seorang ahli yang bermasalah di Larut. Ahli-ahli Umno yang keluar masuk parti kerana mencari keuntungan diri sendiri sememangnya tidak diperlukan oleh PAS.

Walau bagaimanapun, Pas Larut sedang berusaha untuk menubuhkan Cawangan Bagan Baru dalam masa yang terdekat.

Kenyataan ini di buat oleh:
DR MOHD DHARI OTHMAN
YAND DIPERTUA PAS
KAWASAN LARUT

Drs. Khalil : Imarahkan rumah Allah di akhir Ramadhan




TITI SERONG, 4 Sept :- Saya menyeru supaya muslimin dan muslimat yang hadir pada hari ini bertekad untuk memenuhi mesjid dan surau di akhir-akhir Ramadhan ini, dan jangan kita termasuk dalam golongan yang sudah meninggalkanya sedangkan anjuran berada di sepuluh akhir Ramadhan sangat ditekan oleh banginda Rasulullah, Demikian antara ucapan Drs. Khalil semasa memberikan ucapan dalam program Penyampaian Sumbangan Aidilfitri' bagi DUN Titi Serong yang diadakan di Dewan Tuan Guru Hj. Ahmad Tuan Hussain Pusat Tarbiyah Titi Serong disini.

Program Tahunan itu turut dihadiri oleh YDP PAS Kawasan Parit Buntar, Hj. Harun Hj. Hashim , Ahli Parlimen Parit Buntar YB Dr. Mujahid Yusuf Rawa, AJK PAS Kawasan dan AJK Dewan Pemuda PAS Kawasan.

Sumbangan ini diserahkan kepada 170 orang melibatkan 27 cawangan di seluruh DUN Titi Serong. Penerima sumbangan terdiri daripada fakir miskin dan ibu tunggal.

"Pagi tadi saya sembahyang subuh di sebuah surau yang jemaahnya sudah tinggal 3 orang, petang kelmarin saya berbuka di Mesjid Sungai Setar dan kata bilal Mesjid jemaah dah kurang 1/3 dari biasa" jelas Drs. Khalil kepada yang hadir.

Menurut Drs. Khalil lagi sepatutnya umat islam berlumba-lumba untuk ke mesjid dan surau di akhir Ramadhan untuk mendapatkan malam lailatul Qadr .

Menteri Luar Republik Korea Letak Jawatan

26 Ramadhan 1431H.

Menteri Luar dan Perdagangan Republik Korea, Yu Myung-hwan hari ini telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Presiden negara itu, Lee Myung-bak. Beliau turut meminta maaf atas kesan negatif yang dicetuskan anaknya dilantik pegawai dalam kementerian tersebut secara khasnya.

Peristiwa peletakan jawatan itu telah disahkan oleh Jurucakap Kementerian Luar dan Perdagangan Republik Korea, Kim Young-sun.

Anak perempuan Yu Myung-hwan diumumkan mendapat kerja dalam kementerian tersebut pada 31 Julai lalu. Perkara tersebut telah mencetuskan bantahan hangat dalam masyarakat Republik Korea. Presiden Lee Myung-bak telah menerima surat peletakan jawatan Yu Myung-hwan dan mengarahkan badan berkenaan membuat siasatan terperinci terhadap perkara tersebut.

Sumbangan Aidilfitri PAS di DUN Titi Serong

Sebahagian dari yang hadir.
26 Ramadhan 1431H.
http://pemudapasperak.com/

Parit Buntar 4 Sept - PAS Parit buntar hari ini bersama Pusat Khidmat Parlimen dan Pusat Khidmat DUN Titi Serong telah menganjurkan program 'Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri' bagi DUN Titi Serong.

Program yang bermula jam 9.00 pagi ini dijalankan di Markaz Tarbiah Titi Serong yang dihadiri oleh Ahli Parlimen Parit Buntar YB Dr. Mujahid Yusuf Rawa, YB Drs. Khalil Idham Lim, AJK PAS Kawasan serta AJK Dewan Pemuda PAS Kawasan.

Menurut Ketua Lajnah Kebajikan merangkap Timbalan YDP Kawasan Parit Buntar Bahrin Desa, program yang diadakan saban tahun ini telah menjadi kewajipan. Sumbangan kali ini merupakan keperluan rumah serta wang belanja sempena aidilfitri tidak berapa lama lagi.




YB Dr. Mujahid menyampaikan sumbangan kepada penerima

YB Khalil Idham Lim menyampaikan sumbangan


"PAS Kawasan Parit Buntar sentiasa menekankan kebajikan rakyat, ini dibuktikan dengan pelbagai program kebajikan kepada penduduk seperti yang dianjurkan hari ini.

"Kita juga sentiasa turun terus ke rumah-rumah bagi menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan pertolongan seperti bantuan kebakaran, membaiki rumah serta sumbangan fakir miskin" Menurut beliau.

Sumbangan ini diserahkan kepada 170 orang melibatkan 27 cawangan di seluruh DUN Titi Serong. Penerima sumbangan terdiri daripada fakir miskin dan ibu tunggal.

Menurut Bahrin lagi, PAS Kawasan sentiasa mengambil berat kepada mereka yang tidak bernasib baik dan sumbangan ini akan diteruskan walaupun selepas Ramadhan. Ini kerana kebajikan rakyat adalah tanggungjawab PAS dimana Islam sentiasa menggalakkan supaya umatnya memberi sedekah serta tolong menolong sesama umat Islam.

"Kita PAS sentiasa mengambil contoh Rasulullah SAW dalam menedalani sifat membantu golongan yang tidak berkemampuan ataupun susah" katanya.
Bagi penerima sumbangan mereka amat terharu dan melahirkan kesyukuran kehadrat Allah SWT atas sumbangan ini. " Kami bersyukur kepada Allah atas sumbangan ini serta berterima kasih kepada PAS yang sentiasa prihatin kepada kami golongan yang kurang berkemampuan ini" katanya.

756 ahli PAS masuk Umno, bohong!

26 Ramadhan 1431H.

KUALA LUMPUR, 4 Sept: Laporan behubung 756 ahli PAS di Parlimen Larut menyertai Umno adalah bohong dan sengaja direka Umno.

Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussain ketika menafikan perkara itu berkata, tidak ada sejumlah tersebut keluar daripada parti itu dan menyertai Umno.

"Kita menafikan dan percaya ianya sengaja diada-adakan.

"Yang sebetulnya, 26 pemuda Umno termasuk ketua cawangan menyertai PAS dua bulan lalu," katanya kepada Harakahdaily.

Media hari ini melaporkan seramai 756 ahli PAS dari 42 cawangan di kawasan Parlimen Larut menyertai Umno.

Ianya didakwa diketuai bekas timbalan ketua PAS cawangan Bagan Baru, Mat Arop Samat.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Larut, Nazri Din berkata hanya Mat Arop dan isteri sahaja masuk Umno dua bulan lalu.

"Mat Arop ni sebenarnya kecewa sebab zaman Pakatan Rakyat memerintah dia tidak dilantik menjadi Ahli Majlis dan Ketua Kampung.

"Saya nak cabar Umno, kalau betul ada 756 itu, tolong namakan mereka dan saya janji akan bagi RM100 seorang kepada mereka semua," katanya.

Mat Arop menurut Nazri adalah bekas pemuda tahan lasak Umno yang kemudian menyertai PAS.

Beliau kini memegang jawatan pengerusi masjid dan pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Tambah Nazri, beliau yakin isu yang dibangkitkan ini hanya mahu mengalihkan isu sebenar berhubung penyelewengan tanah Felcra oleh Ketua Umno Larut, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin.

"Beliau cuba alih pandangan rakyat Kubu Gajah tentang penyelewengan tanah Felcra di Sungai Malau.

"Dia beri satu lot enam ekar kepada ibu dia sendiri Mardiah Binti Lah, menyebabkan orang lain marah," katanya yang mendakwa ada dokumen sebagai bukti.

Semua ahli PAS itu telah menyerahkan borang permohonan keahlian kepada pengerusi badan perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sempena majlis rahmat Ramadan bersama menteri besar di Kampung Bayan Baru, Kubu Gajah, di Selama, semalam.

Mat Arop berkata beliau menjadi ahli PAS selama 32 tahun dan memegang jawatan itu selama 22 tahun dan mendapati parti itu menyimpang dari perjuangan asal.

Harakahdaily/-

Anak exco meninggal setelah koma

25 Ramadhan 1431H.

Ketika suasana kegembiraan menyambut menjelangnya hari lebaran, nasib berbeza dialami exco kerajaan negeri Kedah, Dr Hamdan Mohamed Khalib apabila kehilangan seorang daripada dua anak lelakinya yang koma setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya di Batu 34, Jalan Jeniang-Bukit Selambau, dekat Sungai Petani, malam semalam.

Anak keduanya itu, Mohd Syazmin, 16, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sik menghembuskan nafas terakhir di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, kira-kira jam 10.30 malam setelah koma selama lebih 24 jam selepas kemalangan, petang Khamis.

Mohd Syazmin bersama abangnya, Mohd Syazwan, 18, tidak sedarkan diri selepas kereta Perodua Kelisa yang dipandu anak sulung exco itu terbabas dipercayai cuba mengelak daripada bertembung sebuah lori dari arah yang bertentangan.

Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan teruk di kepala dan badan manakala dua rakan yang bersama mereka ketika itu sekadar mengalami kecederaan ringan dan diberi rawatan pesakit luar di HSAH.

Mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Ria Indah, Sungai Petani dari asrama SMKA Sik setelah dijemput oleh Mohd Syazwan kerana hari akhir persekolahan sempena cuti hari raya Aidilfitri.

"Saya reda dengan pemergian Syazmin," kata Dr Hamdan, ADUN Tanjung Dawai yang juga pengerusi jawatankuasa tetap belia dan sukan negeri, dengan sebak sebaik mengetahui anak lelakinya itu menghembuskan nafas terakhir.

Bagaimanapun, Mohd Syazwan yang masih tidak sedarkan diri di wad sama, dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Jenazah Mohd Syazmin dibawa pulang ke rumahnya pada kira-kira 12.45 malam semalam dan selamat dikebumikan pada jam 11.30 pagi ini di tanah perkuburan Islam Masjid Lama, Merbok.