29 Oktober 2010

Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Lenggong di Markaz PAS Lawin

20 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Mohd Syamil Azhar

LENGGONG: Selepas beberapa tahun hasrat untuk melihat munculnya sayap kanan PAS kawasan, iaitu Dewan Pemuda PAS Kawasan Lenggong, akhirnya menjadi kenyataan apabila lahirnya anak bongsu pemuda PAS Perak itu.

Anak bongsu daripada 24 kawasan Dewan Pemuda PAS (DPP) seluruh Perak itu lahir dengan bergaya disaksikan Ketua DPP Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan, AJK DPP Pusat, Ustaz Kamal Shaari, Ketua DPP Perak, Ustaz Zawawi Hassan, Naib Ketuanya, Saudara Salman Salleh dan Setiausaha DPP Perak, Saudara Raja Ahmad Al Hiss.

Turut menyaksikan perkembangan menarik bertempat di Markaz PAS Lawin itu saf kepimpinan DPP Perak dan beberapa Ketua Pemuda PAS kawasan lain.

Yang DiPertua PAS Kawasan Lenggong, Haji Razman Zakaria sendiri yang bertanggungjawab sehingga terlahirnya sayap kanan parti di peringkat kawasan itu hadir sama memeriahkan suasana mesyuarat agung itu.

Mesyuarat agung itu dirasmikan oleh Ustaz Zawawi, manakala ucapan penangguhannya disampaikan oleh Ustaz Nasruddin sendiri.

Ustaz Abdul Karim Mahmud yang menerajui kepimpinan penaja dewan berkenaan sebelum ini, terpilih mengetuai DPP PAS Lenggong diikuti timbalannya, Ustaz Mohd Wazir Haji Mat Zain dan Saudara Ahmad Yeop Zubaidi sebagaqi naib.

Pada sebelah malamnya Ustaz Nasruddin menyampaikan ucapan kemuncak dalam program ceramah yang didahului ucapan Raja Ahmad dan Haji Razman sendiri di hadapan kira-kira 800 hadirin.

SELAMAT BERJUANG JENTERA PAS PERAK DI DUN GALAS N 45

20 Zulkaedah 1431 H
Oleh : mohd hafez sabri

GALAS: Pesuruhjaya PAS Perak memberi kata-kata semangat kepada seluruh jentera PAS Perak yang diamanahkan bertugas di DUN Galas ( N 45 ) agar terus berjuang dan beristiqamah dalam memastikan kemenangan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad bagi memenangi kerusi DUN Galas ( N 45 ) .

Beliau menyatakan bahawa kemenangan PAS di Galas ini amat penting bagi meneruskan agenda perjuangan PAS bumi Kelantan Darul Naim.

Memetik ucapan beliau, "Permatang Pauh, Permatang Pasir, Penanti, Bukit Selambau, Bukit Gantang, Manek Urai telah mencatat sejarah kemenangan dalam pilihanraya kecil (PRK) kepada PR dengan pencapaian yang begitu baik.

Manakala di Kuala Terengganu yang terletak di timur pula juga telah mengukir kemenangan apabila kita berjaya mengambil kerusi tersebut dari tangan BN.

“Kini tiba pula giliran Galas untuk memberi mesej yang lebih jelas kepada BN, bahawa rakyat pelbagai kaum di negara ini mahukan PR mentadbir Malaysia dan membuka lebaran baru untuk rakyat dalam membangunkan sebuah negara yang adil dan berkebajikan”.

Sehubungan dengan itu beliau berharap agar jentera PAS Perak sentiasa meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dalam setiap ibadah dan gerak kerja yang dilakukan, ini kerana kemenangan sebenar adalah apabila adanya bantuan Allah SWT dalam perjuangan kita, dan seluruh jentera PAS Perak juga perlu bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan pilihanraya di Perak.

"Semoga momentum kemenangan PR dalam PRK yang berlaku sebelum ini, memberi gambaran awal bahawa Perak akan kembali berada dibawah kepimpinan Pakatan Rakyat", jelas beliau.

Dr Zulkefli ajak calon BN lumba lari atau tarik tali

20 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Salhan K Ahmad

Calon PAS bagi pilihan raya kecil DUn Galas, Dr Zulkefli Mohamed tidak berkecil hati dengan ejekan kem BN mengenai fizikalnya yang agak gemuk, tetapi melihat perkara itu dengan berlapang dada.

Malah, secara berjenaka juga beliau menyatakan kesudiannya untuk bertanding dengan calon BN Abdul AzizYusof – sama ada dalam lumba lari ataupun tarik tali.

Beliau juga berkata demikian dalam semangat “perlawanan persahabatan” yang dianjurkan BN dalam pilihan raya kecil DUN Galas kali ini.

Keadaan “perlawanan persahabatan” ini dapat dilihat melalui suasana kempen yang masuk hari ketiga hari ini.

Diperhatikan, kempen di Galas berlangsung dengan sederhana dan agak tenteram.

Walaupun bendera parti sudah banyak dipasang di sekitar kawasan tumpuan pengundi, poster bagi calon yang bertanding tidak banyak yang dilihat.

Malaysiakini/-

Patologi: Peluru tembusi tengkorak Aminul

20 Zulkaedah 1431 H

Aminulrasyid Amzah, remaja yang mati beberapa bulan sebelum sempat meraikan hari jadi ke-15nya pada 26 April 2010, tidak ditembak dari jarak dekat.

Menurut ahli patologi Dr Khairul Azman Ibrahim, dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, tembakan yang dikesan itu berbentuk bulat dan bukan “berbentuk bintang dalam kes-kes yang ditembak kurang daripada jarak satu kaki”.

Katanya juga, tiada kesan terbakar - satu ciri ketara dalam luka yang ditembak dari jarak dekat.

"Saya juga dimaklumkan oleh pegawai penyiasat terdapat lubang peluru di cermin belakang kereta (dipandu Aminulrasyid)," katanya.

Khairul berkata remaja berkenaan mati “beberapa saat atau minit” selepas peluru mengenai bahagian kiri belakang tengkoraknya dan menembusi otak sebelum keluar dari tengkorak daripada bahagian kanan, berhampiran keningnya.

"Peluru tembus di bahagian depan tengkorak tetapi bukan di kulit menyebabkan bahagian sekitar lebam di bahagian kening mata kanan,” katanya.

Menurut beliau lagi peluru juga dijumpai di bawah kulit.

Beliau juga memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen Shah Alam, luka lain seperti kesan calar adalah kemungkinan akibat pergeseran dengan objek tumpul yang mungkin disebabkan oleh perlanggaran atau hentakan dari dashboard kereta.

Katanya lagi, beliau menerima mayat remaja itu pada jam 5.55 pagi 26 April 2010 dan badannya sudahpun kaku, menunjukkan Aminulrasyid sudah mati lebih empat jam.

Aminulrasyid ditembak pada jam 1.30 pagi 26 April tahun lalu di Jalan Tarian 11/2, Shah Alam, kira-kira 50 meter dari persimpangan di rumahnya.

Koperal Jenain Subi, 48, dituduh menembak mati remaja tersebut selepas keretanya dikejar polis dan berdepan dengan hukuman 30 tahun penjara jika sabit kesalahan.

Malaysiakini/-

DAP dakwa kerajaan diskriminasi bina SJK Cina

20 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 27 Okt: Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming mendakwa kerajaan mengamalkan diskriminasi dalam pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina apabila hanya menyiapkan dua daripada 19 buah yang dijanjikan.

Kor Ming yang juga Penolong Bendahari DAP Kebangsaan berkata, kerajaan juga telah mengurangkan 48 buah SJKC sedangkan sekolah berkenaan mengalami pertambahan murid.

“Saya berasa sangat kesal walaupun kerajaan dalam manifesto pilihan raya telah berjanji untuk memindah enam buah sekolah dan membina 13 buah sekolah jenis kebangsaan Cina yang baru. Setakat hari ini hanya dua buah sahaja yang siap yang 17 buah masih belum dalam operasi.

“Jumlah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina telah berkurangan sebanyak 48 buah. Bayangkan jumlah murid sekolah di sekolah jenis kebangsaan telah bertambah daripada 320 ribu menjadi 640 ribu dan antaranya 75 ribu bukan Cina, tapi Melayu dan India.

“Ini bermaksud sekolah jenis kebangsaan adalah sekolah yang diiktiraf dan menerima semua rakyat tanpa mengira kaum,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau turut menggesa kerajaan memansuhkan tiga surat pekeliling dan garis panduan yang didakwa mengamalkan diskriminasi terhadap SJK (C).

Salah satu garis panduan yang dipersoalkan mengenai tindakan kerajaan hanya membenarkan tapak sekolah rezab milik kerajaan dibina sekolah kebangsaan sahaja kecuali mendapat pengecualian daripada menteri.

“Mengapa tapak sekolah rezab kerajaan, tidak boleh dibina semua sekolah tanpa mengira SJK (C) atau SJK (T) dan perkara ini tidak adil adil sama sekali?” soalnya.

Menurutnya, dua lagi garis panduan dan surat pekeliling yang ditetapkan kementerian juga tidak munasabah, antaranya terpaksa mengumpulkan sendiri dana sebanyak 80 peratus bagi SJK untuk membina bangunan baru.

“Semua lembaga pengelola sekolah SJK (C) dan SJK (T) yang ingin membina sekolah baru atas kesesakan bilik darjah perlu mengumpul sendiri dana 80 peratus baru boleh mengemukakan permohonan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya masyarakat Cina dalam negara ini perlu menangung perbelanjaan RM 100 juta setahun sebagai sumbangan peribadi kepada sekolah jenis kebangsaan sejak negara merdeka.

Beliau juga mempertikai tindakan kementerian yang tidak membenarkan murid yang belajar di sekolah kebangsaan bertukar ke SJK.

“Saya menerima pelbagai rayuan daripada ibu bapa tetapi masih tidak dibenarkan pertukaran biarpun rayuan demi rayuan dikemukakan.

“Alasan Kementerian Pelajaran prestasi sekolah kebangsaan diukur berdasarkan berapa ramai murid bukan Melayu belajar di sekolah kebangsaan tidak masuk akal,” katanya.

Beliau dalam sesi soal jawab dalam Dewan sebelum itu meminta Menteri Pelajaran menyatakan secara terperinci satu demi satu status terkini pembinaan 19 buah Sekolah Jenis Kebangsaan SJK (C) yang diumum serta dijanjikan oleh kerajaan pada 31 Januari 2008 serta kos terlibat dalam menyiapkan sekolah-sekolah tersebut.

Harakahdaily/-

Tak percaya kerajaan, PM pun boleh menipu

20 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 27 Okt: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut mendakwa Bajet 2011 yang dibentang Perdana Menteri tidak seimbang.

Berucap membahaskan bajet di Dewan Rakyat beliau berkata, bajet tersebut hanya memfokuskan pembangunan di Lembah Klang dan mengenepikan pembangunan di negeri-negeri lain.

Beliau memberi contoh peruntukan pembangunan sebanyak RM6 bilion kepada Kuala Lumpur ekoran jangkaan peningkatan 6 juta penduduk menjelang 2015.

Sedangkan, katanya jumlah itu adalah bersamaan peruntukan pembangunan untuk 40 tahun negeri-negeri lain.

"Rakyat semua negeri bayar cukai, sepatutnya tumpuan sama diberikan.

"Saya kira kerajaan perlu mencari formula baru dalam pemberian peruntukan ini," katanya yang memberi contoh Kanada yang menggunakan formula berasaskan sumber yang terdapat di negeri.

Ketidakseimbangan ini juga jelasnya akan terus meletakkan negeri-negeri yang rakyatnya miskin, terus miskin biarpun mempunyai sumber dalam negeri.

"Terengganu, Kelantan, Sabah dan Sarawak terus terabai. Empat buah negeri ini rakyatnya paling ramai miskin, sedangkan negeri-negeri ini mempunyai sumber petroleum.

"Some thing has gone wrong some where (sesuatu yang buruk berlaku di mana-mana)," katanya.

Negara pada tahun 2009, katanya memperolehi pendapatan sebanyak 42% daripada sumber petroleum dari keempat-empat buah negeri tersebut.

Maka ujarnya, sangat wajar jika hak bayaran royalti khususnya terhadap Kelantan dan Terengganu diberikan.

"Saya masih ingat janji Perdana Menteri pada PRK Kuala Terengganu dua tahun lepas nak bagi semula bayaran royalti Terengganu, tapi sampai sekarang tak bagi.

"Sekarang berlaku krisis keyakinan, orang tak percaya kerajaan, PM pun boleh menipu," katanya.

Harakahdaily/-

Ubah Seri Perdana: RM65j besar bagi rakyat Galas

20 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Hafiz Irwan

GUA MUSANG, 27 Okt: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya berfikir dengan bijaksana terhadap tindakan kerajaan seterusnya menilai sendiri sejauh mana ketelusan kerajaan BN yang sebelum ini mengatakan membela rakyat.

Katanya, pengubahsuaian Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri yang dianggar menelan belanja puluhan juta ringgit membuktikan pemimpin Umno Barisan Nasional (BN) tidak berhemah dalam menangani sistem pengaliran ekonomi negara.

“Kita bayangkan alangkah besar nilai RM65 juta itu jika digunakan untuk bantu rakyat. Kalau di Galas ini sudah berapa ramai rakyat akan dapat faedah dari jumlah yang sebesar itu.

“Tapi malangnya keutamaan pemimpin BN yang lebih berkepentingan sendiri hanya suka ikut citarasa masing-masing sehingga sanggup melihat rakyat jelata dibelenggu kesusahan,” katanya ketika menyampaikan ceramah umum di Kampung Kerinting, dekat sini malam tadi.

Beliau berkata, bertindak tatkala fenomena kewangan tidak menunjukkan perkembangan positif kepada negara adalah satu langkah tidak bertanggungjawab.

“Inilah dasar kerajaan yang lebih pentingkan satu pihak. Mereka seolah-olah tidak fikir tentang ekonomi rakyat.

“Sedangkan kepada rakyat mereka nasihatkan supaya berbelanja secara berhemah,” katanya.

Beliau berkata, pengubahsuaian Seri Perdana dengan peruntukan yang begitu tinggi dianggap satu pembaziran dana rakyat.

Seri Perdana dibina pada tahun 1997 dengan kos RM24 juta dan siap dua tahun kemudiannya.

Bangunan itudiubah suai buat kali pertama pada tahun 2005 yang menelan belanja hampir RM6 juta.

Harakahdaily/-

Candu hiburan agar rakyat lalai petaka rasuah

20 Zulkaedah 1431 H

KUALA LUMPUR, 27 Okt: PAS kesal terhadap cadangan kerajaan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak yang mahu menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, ini adalah petanda pemimpin negara sudah bankrap idea dan muflis akhlak sehingga sanggup memperjudikan moral rakyat di negara ini.

“Kenapa pemimpin BN sanggup untuk mencadangkan idea yang melawan arus dan berpaling ke belakang seolah-olah tidak ada jalan lain untuk menjana kewangan di negara ini?” soalnya.

Katanya, ketika semua pihak memikirkan mengenai keruntuhan akhlak seperti buang bayi, perzinaan, gadis hilang, gadis lari rumah, pembunuhan, lumba haram dan sebagainya, tiba-tiba kerajaan boleh mencadangkan program yang boleh diibaratkan seperti meletak baja di sebelah tangan kanan dan mencurah racun di sebelah kiri.

“Apakah ini sabahagian daripada cadangan APCO Yahudi yang memang hendak menawan dunia melalui penaklukan moden tanpa pertumpahan darah sebaliknya dengan membunuh benih iman dan akhlak di negara ini,” soalnya lagi.

Mereka, ujarnya mencari jalan pintas dengan mencadangkan perkara tersebut untuk meningkatkan pendapatan negara sebagai sebuah negara maju 2020.

Tambahnya, lebih mengejutkan lagi Projek Penggerak Ekonomi (EPP) juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020.

“Walaupun projek ini untuk menarik pelancong luar negara berhibur dan berbelanja, namun kesannya tetap akan dirasai oleh rakyat di negara ini.

“Sebenarnya rancangan ini untuk menjadikan rakyat lalai dengan hidangan ‘candu hiburan’ dan melupakan malapetaka rasuah yang terus mencengkam negara di tangga ke 56,” ujarnya.

Buktinya, kata beliau Indeks Persepsi Rasuah yang dijalankan oleh Transparency International (TI) tetapi mata yang dikutipnya terus merosot daripada 4.5 kepada 4.4. Markah itu membuktikan bahawa negara telah gagal mencapai sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang meletakkan sasaran mereka daripada 4.5 kepada 4.9 daripada markah maksimum -10 mata.

Laporan Ketua Audit Negara 2009, ujarnya menggambarkan kegagalan kerajaan umno BN berterusan tidak menunjukkan kebolehan mengurus sehingga banyak berlaku ketirisan di banyak kementerian.

Menurutnya, walaupun dengan berbagai slogan yang dikemukakan seperti Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Program Transformasi Ekonomi (ETP), namun hasilnya adalah sama sahaja.

Beliau berkata, semuanya akibat kejahilan dan rosaknya integriti di kalangan pemimpin negara menyebabkan pelabur luar meluat untuk datang ke negara ini.

Buktinya, kata beliau laporan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Negara-Negara Asean, Malaysia hanya mampu meraih pelaburan bernilai USD1,381 juta sahaja pada 2009 berbanding USD7,318 juta pada 2008.

Katanya, kejatuhan nilai pelaburan itu adalah yang tertinggi berbanding negara Asean lain.

Harakahdaily/-

ETP bakal hancurkan generasi muda

20 Zulkaedah 1431 H

KUALA LUMPUR, 28 Okt: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mengingatkan Perdana Menteri dan kerajaan agar mengambil kira faktor perkembangan generasi muda dalam memacu negara.

“Jangan hanya melihat kepada keuntungan semata-mata, aspek pendidikan generasi muda dikorbankan,” kata Ketua Penerangan DPPWP, Fadhil Osman.

Sehubungan itu, tegasnya DPPWP membantah sekeras-kerasnya tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mahu menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan.

Tindakan itu menurut Najib adalah untuk memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Katanya, DPPWP terkejut kerana kerajaan sanggup mengenepikan sentimen rakyat khususnya umat Islam dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan ‘mempakejkan’ semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

EPP seperti yang dilaporkan akan menubuhkan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu, ujarnya.

Beliau menambah, langkah kerajaan itu akan menyaksikan penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012.

Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014. Dikatakan menjelang tahun 2014, akan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam di zon hiburan.

“Dalam hal ini, DPPWP mempersoalkan apakah Perdana Menteri mahu rakyat Malaysia hidup dengan bercandukan hiburan, hidup dan mati di dalam kelab malam yang bakal bercambah di mana-mana.

“Apakah Perdana Menteri dan kerajaan tidak sedar bahawa pengaruh kelab malam dalam merancakkan industri maksiat yang mendorong perlakuan zina, sumbang mahram, rogol, minum arak, dadah, pelacuran, rogol dan lain-lain lagi?” soalnya.

Beliau mempersoalkan, dalam keadaan isu pembuangan bayi, remaja mengandung tanpa nikah, seks bebas masih belum selesai, adakah Perdana Menteri mahu menambah koleksi dosa terhadap rakyat Malaysia.

Kerajaan juga, katanya seakan tidak sensitif tentang isu halal dan haram dengan menggunakan hasil pendapatan dari kelab malam yang dikatakan akan meraih sebanyak RM0.7 bilion pada tahun 2020 dan menggajikan 5,614 pekerja.

Tambahnya, kerajaan seakan sudah buntu bagaimana untuk meraih pendapatan negara serta menarik pelancong ke Malaysia, justeru terpaksa merancakkan penubuhan kelab-kelab malam.

Selain itu, ujarnya DPPWP merasa skeptikel dengan langkah kerajaan yang mahu melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa.

Menurutnya, dengan beberapa syarat ketat Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) seperti penarafan kelas A berasaskan pada kedudukan 100 teratas carta billboard sejak lima tahun yang lalu, menarik 2,500 penonton bagi setiap acara; dan telah membuat pertunjukan di tiga tempat antarabangsan, ia menambah keraguan siapakah artis yang akan dibawa masuk ke Malaysia.

Jelasnya, rakyat sudah serik dengan penampilan artis simbol seks seperti Avril Lavigne, Rihanna serta Adam Lambert ikon gay yang membuat persembahan baru-baru ini.

“Ingatlah bahawa populariti artis tidak menjamin kebaikan untuk rakyat Malaysia khususnya anak-anak muda,” ujarnya lagi.

Harakahdaily/-

Wartawan antara 15 korban Gunung Merapi

20 Zulkaedah 1431 H

Seorang wartawan portal berita vivanews.com adalah antara 15 yang ditemui mati di dalam dan sekitar halaman rumah jurukunci Gunung Merapi, Mbah Maridjan di kaki gunung itu yang meletus petang semalam.

Mayat wartawan itu ditemui dalam rumah Mbah Maridjan bersama tiga yang lain manakala mayat selebihnya ditemui bergelimpangan di halaman rumah jurukunci Merapi itu di daerah Sleman apabila pasukan penyelamat sampai ke situ pukul 10 malam tadi.

Semua mereka ditemui dalam keadaan sukar dikenali kerana melecur seluruh tubuh akibat suhu tinggi awan panas debu volkanik yang turun sebagai hujan abu apabila gunung berapi teraktif di dunia itu meletus semalam.

Sebagai jurukunci gunung itu, Mbah Maridjan, ialah seorang warga emas yang kontroversial kerana enggan meninggalkan rumahnya, yang merupakan rumah terakhir sebelum ke puncak gunung berapi itu semasa letusan Merapi pada 2006 tetapi terselamat dalam bencana itu.

Bagaimanapun, nasib Mbah Maridjan belum diketahui, sama ada terselamat atau terkorban dalam insiden berkenaan.

Semalam seorang bayi turut mati akibat letusan gunung berapi itu kerana kesan lecur.

Sementara itu sekumpulan 34 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di sebuah pesantren (institusi agama) di Magelang, 15 km dari gunung berapi itu beserta 10 yang lain telah dipindahkan oleh para pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta ke Solo tengah malam tadi.

Kesemua mereka dibawa dengan dua buah bas dan sebuah kenderaan APV termasuklah dua warganegara Singapura, 3 wanita isteri kepada pelajar dan
dua bayi perempuan.

Misi pemindahan itu diketuai oleh Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Datuk Dr Junaidy Abu Bakar dengan dibantu pegawai-pegawai kedutaan serta Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia Indonesia.

Sementara itu Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah membuka Bilik Operasi 24 jam mulai malam tadi bagi menyalurkan maklumat terkini dan melayan pertanyaan rakyat Malaysia di Malaysia mengenai letusan Gunung Merapi.

Ketua Canseri Raja Reza Raja Zaib Shah berkata bilik gerakan itu memantau perkembangan terkini kejadian bencana itu.

Malaysiakini/-

Umno BN tidak yakin media arus perdana

20 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Mohd Nor Yahya

GUA MUSANG, 27 Okt: Keresahan Umno BN untuk mendapat sokongan pengundi di Dun Galas semakin terserlah apabila mereka terpaksa mengeluarkan sendiri bahan cetak SUARA GALAS pada hari penamaan calon untuk dijadikan bahan kempen.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, sedangkan dalam masa yang sama, mereka telahpun mempunyai pelbagai saluran media cetak dan elektronik.

Ketika ditemui mengulas perkara tersebut, katanya penyebaran risalah empat muka yang diterbitkan oleh Badan Perhubungan Umno negeri itu jelas menggambarkan mereka tidak lagi menaruh keyakinan akhbar arus perdana milik mereka untuk menawan hati pengundi di Dun Galas.

Beliau berkata, perbuatan tersebut seolah-olah meniru langkah PAS yang telah mengeluarkan GALAS KITO pada edaran pertama sehari sebelum penamaan calon.

“PAS telah mengambil langkah proaktif dalam penyebaran maklumat kepada pengundi kerana kita sedar sebaran media terhadap pelbagai aktiviti kita amat terhad, kita hanya ada Harakah, dikeluarkan dua kali seminggu sahaja,” ujar beliau.

Sementara itu, Yamin Hamid, 35, dari Kampung Lembaga, Sungai Terah berkata, Umno BN yang menyebarkan risalah tersebut kerana mereka sedar akhbar arus perdana tidak mendapat sambutan di Gua Musang.

"Kalau dah orang umno-BN sendiri pun tak yakin dengan akhbar harian mereka, tak kanlah kita di Gua Musang ini pula nak percaya berita yang disebarkan oleh akhbar tersebut.

Bagi Nurul Hidayah Ahmad, 27, Batu Papan pula berkata, semasa berada di tempat pernamaan calon turut mendapat senaskah akhbar harian secara percuma.

“Nampak sangat pihak Umno BN ini terdesak untuk menyebarkan maklumat palsu mereka, sehinggakan sanggup mengedar akhbar secara percuma pada hari tersebut,” katanya lagi.

Harakahdaily/-

Kain rentang 'DAP harbi' - Pakatan berang

20 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Lee Way Loon

Sehelai kain rentang dijumpai pagi ini tergantung di kawasan pekan Gua Musang dengan ayat berbunyi: “Kenapa PAS masih menyokong DAP (harbi)?”Harbi merujuk kepada penduduk bukan Islam dan kafir yang berperang menentang Islam.

Ia juga menghuraikan tindakan pengerusi kebangsaan DAP, Karpal Singh sebagai pemimpin yang didakwa 'hina perjuangan Islam'.

Meskipun semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein memberikan amaran supaya semua pihak tidak menggunakan isu agama dan kaum dalam kempen mereka, namun PAS mendakwa lawannya telah memulakan serangan dengan isu agama.

Kain rentang ini merujuk kepada laporan akhbar yang dibuat oleh Karpal lebih 10 tahun lalu yang bertajuk "Mahu wujudkan negara Islam langkah mayat kami dulu - Karpal Singh".

Ia juga mempertikaikan mengapa PAS masih menyokong DAP yang disifatkan mereka sebagai harbi.Kain rentang itu kemudiannya diturunkan oleh pekerja pilihan raya PAS dan DAP.

Bercakap pada sidang media selepas menurunkan kain rentang itu, penasihat jentera pilihan raya Galas, PAS, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan setiausaha publisiti DAP, Tony Pua membidas tindakan itu yang dianggap rasis dan tidak demokratik.

Menurut Rahim, mesej kain rentang itu juga bertentangan dengan Islam.

“Adalah perkauman bagi menuduh seseorang itu sebagai 'harbi', kerana 'harbi' melambangkan perang terbuka dengan Islam,” katanya yang juga ahli parlimen Kota Baru. Menurutnya tindakan itu cuba membuat orang Islam marah.

"Sebagai penasihat jentera pilihan raya PAS, saya ingin jelaskan di sini: ini adal;ah PAS lawan Umno. Bukan DAP yang bertanding di Galas.

Kain rentang ini yang mengecam PAS itu juga didapati tidak mempunyai sebarang nama penerbitnya sepeerti yang disyaratkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Sementara itu, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua juga mempertikaikan kain rentang itu dan mempersoalkan kempen sopan-santun yang dijanjikan oleh pengarah pilihan raya BN, Tengku Razaleigh Hamzah.

Bagi beliau, kempen yang dijalankan Umno di Galas ini tiada etika dan tiada kelas langsung.

"Umno tidak pernah berubah," kata Tony Pua.

Malaysiakini/-

Audit: K'jaan persekutuan terlebih belanja RM4.83b

20 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Wong Teck Chi

Kerajaan persekutuan telah terlebih belanja RM4.83 bilion tahun lalu. Ini merupakan defisit kedua tertinggi selepas tersasar bajet operasi RM5.7 bilion pada tahun sebelum itu.

“Ini menunjukkan masih terdapat kelemahan dan perancangan kewangan dan pengurusan,” petik Laporan Ketua Audit Negara 2009 sambil menekankan bahawa perbelanjaan sepatutnya hanya dilakukan selepas mendapat kelulusan.

Laporan itu juga mendedahkan 11 agensi - termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Perkhidmatan Awam dan 10 kementerian telah berbelanja melebihi bajet operasi mereka sehingga sebanyak RM3.61 bilion.

Ketua Audit Negara juga mendapati 15 kementerian dan agensi terlebih berbelanja RM3.74 bilion bagi 42 projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.

Senarai teratas adalah Kementerian Pertahanan yang terlebih belanja RM2.03 bilion untuk tiga projek, diikuti oleh Kementerian Pelajaran ((RM927 juta untuk empat projek) dan Jabatan Perbendaharaan (RM547 juta untuk dua projek).

Sementara itu, hutang tertunggak oleh kerajaan-kerajaan negeri kepada kerajaan persekutuan pula terkumpul sebanyak RM4.6 bilion atau 13.3 peratus melebihi jumlah RM4.08 bilion yang dicatatkan pada 2008.

Selangor adalah pemiutang terbesar (RM829.86 juta), diikuti Johor (RM809.89 juta), Kedah (RM706.68 juta), Pahang (RM565.08 juta) dan Negri Sembilan (RM504.50 juta).

Jumlah hutang tertunggak itu terus meningkat meskipun RM204.27 juta dalam pembekalan perjanjian air kepada lapan negeri telah diserap oleh kerajaan persekutuan.

Menurut laporan itu 607 (50.5 peratus) daripada 1,203 pinjaman yang disalurkan kepada kerajaan negeri adalah hutang yang diberikan antara satu hingga 13 tahun lalu.

Bagi badan berkanun, Perbadanan Aset Keretapi (RM1.02 bilion) adalah pemiutang terbesar manakala Perwaja Terengganu Sdn Bhd menduduki senarai syarikat dengan hutang terbesar (RM1.8 bilion).

Malaysiakini/-

10 PERINGATAN BUMI

20 Zulkaedah 1431 H
Oleh : nina mazrina

berkata Anas Bin Malik r.a;

Sesungguhnya setiap hari bumi menyeru kepada manusia dengan sepuluh perkara.

1. Wahai anak Adam! Berjalanlah di atas perutku, tetapi ingatlah! Engkau akan dimasukkan ke dalamnya kelak.

2. Engkau melakukan maksiat di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan diazab di dalam perutku.

3. Engkau ketawa di atas perutku, tetapi ingatlah! Engkau akan menangis di dalam perutku.

4. Engkau bergembira di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan kecewa di dalam perutku.

5. Engkau mengumpul harta di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan menyesal di dalam perutku.

6. Engkau makan benda yang haram di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan dimakan oleh ulat di dalam perutku.

7. Engkau angkuh di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan dihina di dalam perutku.

8. Engkau berlari dengan riang di atas belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan jatuh di dalam perutku dalam keadaan dukacita.

9. Engkau hidup di dunia bersiramkan cahaya matahari, bulan dan bintang di belakangku, tetapi ingatlah! Engkau akan tinggal dalam kegelapan di dalam perutku.

10. Engkau hidup di atas belakangku beramai-ramai, tetapi ingatlah! Engkau akan keseorangan di dalam perutku.

6 WASIAT SAIDINA UMAR AL-KHATTAB

20 Zulkaedah 1431 H
Oleh : nina mazrina

Suatu hari Umar Bin Khattab r.a. bertutur kepada sebahagian sahabatnya;Aku berwasiat kepadamu enam perkara :

Jika engkau menemukan cela pada seseorang dan engkau mahu mencacinya, maka cacilah dirimu. Kerana, celamu lebih banyak darinya.

Bila engkau hendak memusuhi seseorang, maka musuhilah dahulu perutmu. Kerana, tidak ada musuh yang lebih berbahaya terhadapmu selain perut.

Bila engkau hendak memuji seseorang, pujilah ALLAH s.w.t.! Kerana, tiada seorang manusia pun lebih banyak dalam memberi kepadamu dan lebih santun lembut kepadamu selain DIA.

Jika engkau ingin meninggalkan sesuatu, maka tinggalkanlah kesenangan dunia. Sebab, andaikata engkau meninggalkannya, bererti engkau terpuji.

Bila engkau bersiap-siap untuk sesuatu, maka bersiaplah untuk mati. Kerana, jika engkau tidak bersiap untuk mati, engkau akan menderita, rugi penuh penyesalan.

Bilamana engkau ingin menuntut sesuatu, maka tuntutlah Akhirat. Kerana, engkau tak akan memperolehnya kecuali dengan mencarinya.”