24 November 2010

Berbuat Baik

17 Zulhijjah 1431H
Oleh : Jarjani Usman

“Berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu” (QS. Al-Qasas: 77).

KADANGKALA sebahagian orang membuat syarat-syarat tertentu untuk berbuat baik. Sebahgian orang mensyaratkan hanya kepada saudara terdekatnya untuk berbuat baik. Sebahagian orang kaya mensyaratkan orang kaya sepertinya untuk berbuat baik sesamanya.

Orang berpangkat juga cenderung memilih orang berpangkat untuk berbuat baik. Padahal kalau direnungi, Allah setiap saat berbuat baik kepada kita semua, di manapun kita berada dan bangsa apa dan suku manapun kita dilahirkan. Bahkan, kebaikan juga masih dianugerahkan kepada orang-orang yang mengingkarinya.

Kalau mencermati sejarah, Rasulullah s.a.w. juga berbuat baik untuk siapa saja. Tidak memandang apakah terhadap orang-orang dari kalangan orang kulit hitam, bangsa Arab, bangsa Parsi, dan lain-lain. Ada juga yang dari kalangan orang kaya,

dari kalangan fakir miskin, dan lain-lain. Bahkan, Rasulullah berbuat baik terhadap orang-orang di luar agamanya. Berbuat baik seperti itu memberikan kesempatan bagi Rasul untuk berdakwah secara lebih luas. Orang-orang yang sebelumnya menentang ajaran yang dibawanya, seperti Umar, menjadi menghormati dan bahkan memeluknya, dan menjadi sahabat karibnya.

Dalam Al-Qur’an juga dikatakan, Allah berbuat baik kepada semua manusia, tanpa syarat warna kulit, suku bangsa, dan sebagainya. Rezeki diberikan kepada siapa saja yang mahu mengusahakannya. Seperti itulah manusia diharapkan berbuat baik. Kalau tidak,

hilanglah kasih sayang antara sesama manusia. Membezakan dan diskriminasi terjadi secara tidak terang terangan, yang selanjutnya dan akan merosak keharmonian hidup dan akan menghancurkan kekuatan umat Islam.

Kerana itu, setiap kita punya kewajiban untuk berbuat baik. Lebih-lebih terhadap orang-orang yang sedang menadahkan tangan menunggu kebaikan kita, seperti orang yang sedang ditimpa musibah.

Kongkongan BN punca penjawat awam bermasalah

17 Zulhijjah 1431H. Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 24 Nov: Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim mencadangkan satu kajian terperinci dilaksanakan segera bagi mengenal pasti faktor penjawat awam bermasalah.

Beliau berkata, laporan bahawa terdapat 6,133 kakitangan kerajaan bermasalah dan berprestasi rendah pada 2009 harus dipandang serius.

"Fakta yang mengatakan terdapat 6,000 lebih penjawat awam bermasalah adalah sesuatu perkara yang serius dan perlu ditangani dengan segera.

"Satu kajian secara menyeluruh terperinci mestilah dilaksanakan dengan segera bagi mengenal pasti apakah punca-punca yang menyebabkan hal itu," katanya yang juga Ketua Penerangan PAS Perak.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah bahawa kira-kira 6,133 kakitangan kerajaan dilaporkan bermasalah dan berprestasi rendah pada 2009, meningkat 789 kes berbanding tahun sebelumnya.

Menurut Khalil, budaya kerja cemerlang sukar untuk direalisasikan selagi penjawat awam dikongkong pemimpin politik untuk kepentingan peribadi mereka.

"Sejak 53 tahun Barisan Nasional (BN) memerintah negara, semakin banyak penjawat awam yang bermasalah dan dikambing hitamkan kerana tujuan individu tertentu," katanya.

Mengambil contoh situasi di Perak ketika Pakatan Rakyat memerintah, beliau berkata, kerajaan negeri cuba melepaskan kongkongan dan kawalan politik terhadap penjawat awam supaya mereka dapat melakukan kerja dengan selesa.

"Kita memberi keselesaan sepenuhnya kepada penjawat awam untuk bekerja tanpa kongkongan dan tidak ada arahan bukan-bukan.

Namun dakwanya, selepas berlaku rampasan kuasa di negeri itu, BN bertindak mengongkong penjawat awam dan menghasut mereka agar membenci Pakatan.

"Tidak terdapat kes yang melibatkan Adun PR memaksa penjawat memenuhi kepentingan peribadi dan kroni selama 11 bulan memerintah.

"Terkini di Perak terdapat penghulu-penghulu seluruh Perak dikumpulkan dan diberi ceramah untuk membenci Pakatan adalah satu tindakan BN yang bacul dan terdesak.

Tegasnya, penjawat awam sewajarnya diberikan kebebasan untuk memilih mana-mana parti politik selagi tidak mengganggu tugas mereka.

"Mereka tidak sesekali boleh dipaksa untuk menyokong mana-mana parti politik dan mereka sebetulnya ada hak untuk membuat keputusan sendiri," katanya yang juga Adun Titi Serong.

Harakahdaily/-

Kenikmatan

17 Zulhijjah 1431H
Oleh : Jarjani Usman

“Berpikir akan melahirkan pengetahuan, pengetahuan akan melahirkan perubahan keadaan hati, perubahan keadaan hati akan melahirkan kehendak, kehendak akan melahirkan perbuatan. Jadi, berpikir adalah asas dan kunci semua kebaikan” (Ibnul Qayyim).

Setiap bencana yang menimpa, akan menjadi kesengsaraan yang berpanjangan, khususnya bagi orang-orang yang mengabaikan potensi akalnya untuk berfikir.

Padahal kalau difikir lebih dalam, bencana itu bermakna dicabutnya beberapa kenikmatan secara tiba-tiba oleh Allah dari sebahagian manusia. Meskipun sudah dicabut, bukan berarti semua kenikmatan telah dicabut kerna masih banyak nikmat yang lain masih kekal.

Buktinya, masih begitu banyak kenikmatan yang disisakan untuk manusia baik yang berada di daerah yang sedang terjadi bencana, maupun yang berada di daerah yang tidak terjadi bencana.

Masih ada kenikmatan berupa fikiran sehat, juga kenikmatan dalam bentuk rasa simpat san semangat ingin menolong yang ditunjukkan sesama manusia. Juga ada kenikmatan dalam bentuk harapan baru, iaitu munculnya harapan akan bangkit lagi menjadi lebih baik setelah terkena bencana dn musibah. Dan berbagai kenikmatan lain yang kadangkala tidak terfikirkan dan tidak terhitung oleh manusia.

Lebih istimewa lagi bagi orang-orang beriman, ada kenikmatan iman, meskipun di saat menghadapi musibah. Iaitu, orang-orang tertentu itu masih merasa nikmat dalam menjalankan ketaatannya kepada Allah, sehingga tidak dirundung putus asa.

Sebagaimana disebutkan dalam Al Qur’an, “Akan tetapi Allah itulah yang membuat iman terasa menyenangkan bagi kalian, membuatnya nampak indah di dalam hati kalian, dan yang membuat kalian benci kepada kekafiran, kefasikan, dan kemaksiatan.

Mereka itulah orang-orang yang lurus. Sebuah keutamaan dan kenikmatan yang datang dari Allah, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana” (QS. al-Hujurat: 7-8).

Dengan demikian, bila belum merasa senang dalam beribadah, juga belum merasa benci kepada kemungkaran, jangan harap kenikmatan iman akan dirasakan.

Kerana itu, perlu selalu berusaha meningkatkan keimanan, agar sempat merasakan kenikmatannya dalam keadaan apa saja.

Petani desak projek Arowana dibatalkan

17 Zulhijjah 1431H

Penduduk di daerah Kerian, Perak dan sebahagian Seberang Perai Selatan Pulau Pinang mahu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kerajaan Negeri Perak membatalkan segera projek ternakan ikan Arowana di Bukit Merah kerana mendakwa operasi penanaman padi mereka terjejas, lapor HarakahDaily.

Kawasan penanaman padi yang terbesar di Perak itu meliputi mukim Bagan Serai, Beriah, Gunung Semanggol, Selinsing, Parit Buntar dan Nibung Tebal.

Sehubungan itu, petani yang ditemui di Pejabat Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendesak projek ternakan ikan itu dihentikan. Mereka mendakwa selagi ternakan itu beroperasi semua pesawah akan menanggung risiko terutamanya air yang begitu sukar diperolehi ketika kerja-kerja membajak.

Langkah itu juga wajar kerana ia menjejaskan matlamat utama bekalan air Tasek Merah iaitu untuk penanaman padi dan kegunaan harian penduduk di daerah berkenaan.

Wakil petani, Mohd Rasid Salim berkata, projek yang bermula pada tahun 2000 kini sudah mempunyai 3,808 buah kolam dengan jumlah 70 orang pengusaha berbanding dulu tidak sampai 10 pengusaha.

Petani bertambah kecewa apabila semua aduan mereka kepada Jabatan Parit dan Saliran (JPS) tidak diendahkan dan pegawainya didakwa bersikap lepas tangan seolah-olah menyokong ternakan ikan Arowana yang dikatakan membawa pendapatan lumayan.

"Penduduk kecewa dengan JPS yang tidak memperdulikan nasib petani yang sepatutnya mereka bela bukan membiarkan pengusaha mengambil air sepanjang masa lagipun kawasan itu kawasan pertanian dan sesuai untuk tanaman padi," katanya dengan nada marah.

Mohd Rasid juga kecewa dengan sikap sesetengah orang kampung yang katanya, begitu seronok memajak tanah kepada pengusaha untuk mendapatkan habuan kecil tanpa menyedari bahawa mereka sebaliknya telah diperkudakan.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kubu Gajah, Ahmad Nordin pula meminta Menteri Besar Perak turun padang meninjau sendiri masalah yang dihadapi oleh petani di Kerian yang merupakan kawasan padi terluas di Perak.

“Adakah kerajaan mahu melihat kawasan tanaman padi terus musnah dengan kerja-kerja pengusaha tersebut yang entah datang dari mana untuk mengusaha ternakan berkenaan?

"Mereka yang datang dari luar untung besar kami petani rugi mendadak. Apa tidaknya akibat kekurangan air padi terencat dan pengeluarannya menurut hampir 70 peratus," jelasnya.

Bagi pengusaha sawah, Azman Nordin, ada juga pengusaha mendapat notis dari Pejabat Tanah Daerah Kerian kerana melanggar syarat tanah namun tidak diendahkah sebaliknya meneruskan kerja-kerja industri akuakultur seperti biasa.

Bila sampai musim memulakan pembajakan sawah lazimnya berlaku bertengkaran antara pesawah dan pengusaha ataupun pesawah dengan JPS kerana air tidak dapat dialirkan dengan baik ke petak-petak sawah sebaliknya JPS menghadkan tiga hari sahaja dengan alasan mahu memberikan air ke kawasan lain pula.

Dakwa Azman, JPSsebenarnya mendengar arahan dari pada pengusaha yang menuntut air dibekalkan kepada mereka untuk 24 jam selama 360 hari yang sekaligus menafikan kepentingan air kepada petani sedia ada.

Sementara itu Presiden CAP, SM Mohamed Idris ketika sidang media di pejabatnya semalam menjelaskan, projek tersebut harus dibatalkan kerana ia tidak dirujuk kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikan sama ada kajian kesan kepada alam sekitar (EIA) perlu dilakukan atau tidak.

CAP, katanya percaya dan merasa bimbang pembuangan sisa kolam ke dalam sistem saliran pertanian di daerah ini akan mencetuskan masalah alam sekitar serta pencemaran air yang serius pada masa akan datang.

JPS juga didakwa gagal membanteras kegiaan mencuri air oleh pengusaha terbabit. Rekod menunjukkan dari tarikh 15 Ogos hingga 28 Oktober lalu takungan air di Tasek Merah menurun sebanyak 0.2 kaki (2.4 inci) sehari.

Air Tasek Merah bukan sahaja digunakan oleh lebih 10,000 pesawah melibatkan keluasan sawah 24 ribu hektar tetapi juga menjadi kegunaan harian 200 ribu penduduk setempat.

Malaysiakini/-

Permohonan bekas speaker DUN Perak - 14 Jan depan

17 Zulhijjah 1431H

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 14 Jan depan untuk membuat keputusan permohonan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V Sivakumar dan enam lagi untuk semakan kehakiman berhubung keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi DUN di Perak.

Hakim Datuk Aziah Ali memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada semua pihak, namun sebelum menetapkan tarikh itu, beliau menolak permohonan peguam Datuk Ambiga Sreenevasan supaya Abdul Latif Arifin dikeluarkan sebagai pemohon kelima dalam kes itu.

Ambiga berhujah bahawa Abdul Latif bukan pengundi di Dewan Undangan Negeri Changkat Jering sebaliknya di Kuala Sepetang.

Susulan keputusan menolak pengeluaran Abdul Latif sebagai pemohon, Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said memohon supaya mahkamah menolak permohonan semakan kehakiman itu kerana ia tiada locus standi berikutan pemohon bukan pengundi asal.

Aziah memutuskan untuk membuat keputusan berkenaan perkara itu pada tarikh yang sama.

Pada 22 Okt tahun lalu, tujuh pemohon diberi kebenaran untuk semakan kehakiman bagi mengenepikan keputusan SPR yang tidak mengisytiharkan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi DUN di Behrang, Changkat Jering dan Jelapang berikutan wakil rakyat kerusi berkenaan menjadi ADUN bebas.

Mereka adalah Sivakumar, Chen Fook Chye, Tai Sing Ng dan . Sivanesan serta tiga pengundi iaitu Ahmad Sabry Wahab (Behrang), Abdul Latif Ariffin (Changkat Jering) dan Foo Hon Wai (Jelapang).

Dalam permohonan semakan kehakiman itu mereka menamakan SPR dan tiga wakil rakyat iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Datuk Hee Yit Foong (Jelapang) selaku responden.

Mereka mahu mahkamah mengeluarkan surat perintah memaksa SPR mengisytiharkan kerusi itu kosong berikutan berikutan peletakan jawatan wakil rakyat itu dan satu perintah injunksi untuk menghalang ketiga-tiga mereka bertindak, menjalankan dan melaksanakan tanggungjawab, fungsi dan tugas-tugas sebagai ADUN.

Sementara itu, dalam hujahannya Ambiga, yang mewakili semua pemohon, berkata SPR sepatutnya memanggil kesemua pihak untuk mendapatkan maklumat dalam pelbagai perkara sebelum membuat keputusan.

SPR, katanya patut meneliti surat peletakan jawatan yang diserahkan kepada Sivakumar oleh Jamaluddin dan Mohd Osman pada 30 Jan 2009 serta Yit Fong pada 3 Feb 2009.

Ambiga berkata penafian Jamaluddin, Mohd Osman dan Yit Foong bahawa mereka tidak pernah menghantar surat itu juga tidak terjawab dan timbul persoalan siapakah yang menghantar dan menulis surat itu sebenarnya.

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said berhujah bahawa SPR telah membuat keputusan yang betul pada ketika itu dan memohon mahkamah menolak permohonan berkenaan dengan kos kerana ketiga-tiga kerusi DUN itu masih dipegang
oleh Jamaluddin, Mohd Osman dan Yit Foong.

Beliau berkata peletakan jawatan responden pertama, kedua dan ketiga tidak mewajarkan kerusi berkenaan kosong secara automatik dan kekosongan kerusi hanya boleh diisytiharkan kosong oleh SPR menurut Artikel XXXVI(v) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

"Oleh yang demikian adalah jelas mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Perak, ia merupakan tugas eksklusif perlembagaan SPR untuk menentukan kekosongan luar jangka.

Memandangkan tiada peruntukan nyata tentang bagaimana menentukan kekosongan luar jangka itu perlu dilakukan, apa yang penting dalam melaksanakan tanggungjawab perlembagaannnya, SPR mesti melakukan tanpa motif tidak wajar, tidak terkhilaf dalam undang-undang atau tidak mengambil kira hal-hal tidak berkaitan atau keputusannya tidak bertentangan dengan kehendak statut," katanya.

Mengenai keputusan dalam kes Jamaluddin, tanggungjawab Speaker terhad kepada menerima surat peletakan jawatan wakil rakyat dan selepas itu memaklumkan kepada
SPR, yang kemudiannya akan menentukan sama ada wujud kekosongan atau tidak.

"Tiada peruntukan nyata yang mengkehendaki SPR untuk menjalankan satu inkuiri," katanya.

Malaysiakini/-

PM terima gaji RM22,826.65 mulai 2004, kata Nazri

17 Zulhijjah 1431H

Perdana Menteri menerima gaji bulanan sebanyak RM22,826.65 mengikut Akta Ahli Parlimen (Saraan)(Pindaan) 2005, mulai 1 Jan 2004.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata Timbalan Perdana Menteri pula dibayar RM18,168.15 sementara jemaah menteri menerima RM14,907.20.

"Gaji bulanan setiausaha politik sebagaimana yang ditetapkan dalam Ketentuan Saraan Setiausaha Politik 1980 adalah RM5,709.99 yang juga berkuat kuasa pada 1 Jan 2004," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan N Gobalakrishan (PKR-Padang Serai) mengenai penetapan gaji dan semua bentuk elaun yang dinikmati anggota kabinet, setiausaha politik serta jumlah emolumen serta elaun kepada anggota kabinet dari 2005 hingga 2009 di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mohamed Nazri berkata jumlah gaji tahunan yang telah dibayar kepada anggota kabinet bagi tahun lalu ialah RM5,470,942.40 dan RM5,783,993.60 pada 2008.

Katanya, sejumlah RM5,858,529.60 dibayar pada 2007 manakala RM5,858,529.60 pada 2006 dan RM6,007,601.60 pada 2005.

Malaysiakini/-

Tarikh Aidil Adha M'sia berdasar rukyah, hisab

17 Zulhijjah 1431H

Penetapan dan pengisytiharan tarikh Hari Raya Aidiladha di Arab Saudi tidak semestinya diterima pakai oleh negara lain kerana terdapat perbezaan waktu, matlak (tempat terbit dan terbenam matahari) serta kriteria penetapan awal hijrah yang digunakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Sehubungan itu penentuan Hari Raya Aidiladha di Malaysia yang tidak sama tarikh dengan kerajaan Arab Saudi atau berbeza satu hari adalah disebabkan kerajaan Malaysia menetapkan tarikh itu mengikut rukyah dan hisab seperti penetapan awal puasa dan Hari Raya Aidilfitri, katanya.

"Perkara tersebut telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-67 pada 16 Jun 1994," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Bilik VIP, KLIA di Sepang hari ini.

Katanya umat Islam di Malaysia perlu menerima pakai pengisytiharan yang dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah iaitu 17 Nov lalu sebagai tarikh Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) manakala tarikh 18, 19 dan 20 Nov sebagai Hari Tasyrik.

Katanya pengisytiharan Hari Raya Aidiladha ditentukan berdasarkan kriteria penetapan awal bulan hijrah di Malaysia dan di negara anggota MABIMS (Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura) sejak 1 Jun 1992.

Jamil Khir berkata kenyataan anggota Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub baru-baru ini yang mendakwa tarikh Aidiladha di Malaysia berbeza dua hari dengan tarikh di Arab Saudi adalah tidak benar kerana penentuan 9 Zulhijjah 1413 Hijrah ialah pada Selasa 16 Nov.

"Ia juga bertepatan dengan kriteria yang dipersetujui antara anggota MABIMS," katanya.

Selain itu pada Isnin 15 Nov, umat Islam di Mekah masih mengerjakan wukuf dan tidak menyambut hari raya pada tarikh yang didakwa.

Berhubung puasa sunat pada 9 Zulhijjah, umat Islam di negara ini boleh melakukannya mengikut pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja iaitu pada 16 Nov mengikut kalendar Kerajaan Malaysia.

Katanya maklumat mengenai penentuan tarikh Hari Raya Aidiladha dan Hari Tasyrik boleh diperoleh di laman sesawang Jabatan Kemajuan Agama Islam iaitu www.Islam.gov.my untuk memberi penjelasan terhadap kekeliruan yang timbul di kalangan umat Islam di negara ini.

Malaysiakini/-

SPRM tahan reman pegawai kanan Yayasan S'gor

17 Zulhijjah 1431H
Oleh : Abdul Rahim Sabri

Seorang pegawai kanan Yayasan Selangor ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini, bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu perbelanjaan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-40 yayasan itu yang dikatakan melebihi RM300,000.

Menurut Bernama, perintah tahanan reman sehingga 29 Nov itu dikeluarkan oleh penolong kanan pendaftar Mahkamah Tinggi Khairul Nizam Abu Bakar.

Pegawai berusia 40-an itu ditahan pagi semalam oleh SPRM berikutan pembabitannya sebagai pengerusi pengelola untuk majlis tersebut.

Sambutan ulang tahun yayasan berkenaan mendapat perhatian apabila Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah membatalkan hasrat baginda berangkat ke majlis itu kerana dukacita dengan kosnya yang dikatakan amat tinggi.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar sebelum ini mendakwa kos majlis berkenaan menjangkau lebih RM800,000 dan sebahagian daripada jumlah itu sudah dibayar kepada syarikat yang diberi kontrak menganjurkannya.

Cabaran belum disahut

Bagaimanapun Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mencabar Noh membuktikan kos yang didakwanya itu. Namun sehingga hari ini, timbalan pengerusi perhubungan Umno Selangor itu gagal menyahut cabaran itu ataupun membuktikan dakwaan yang dibuatnya.

Khalid juga sebelum itu mengarahkan agar majlis itu dibatalkan dan mengalu-alukan siasatan oleh SPRM.

Yayasan Selangor semasa pemerintahan kerajaan BN tidak pernah diaudit selama lima tahun bermula dari tahun 2005.

Sementara itu, menurut sumber, enam lagi pegawai kanan lain yayasan itu yang dipanggil bagi memberi keterangan kepada SPRM minggu lalu berhubung isu yang sama telah dipindah ke luar daerah.

Tiga daripada mereka adalah pegawai kanan daripada bahagian aset, harta dan komunikasi koporat di ibu pejabat yayasan berkenaan, kata sumber itu kepada Malaysiakini.

Menurut beliau, dua daripada mereka dipindahkan ke dua asrama yang dimiliki yayasan itu, yang masing-masing terletak di Kelang dan Sabak Bernam.

Manakala seorang lagi dipindahkan ke Institut Kemahiran Yayasan Selangor di Bagan Terap dekat Kuala Selangor.

Setengah jam untuk berpindah

Sumber itu juga berkata ketiga-tiga pegawai terbabit juga diberi tempoh selama setengah jam untuk mengemas barang-barang mereka di pejabat sebelum diarahkan berpindah.

Baki tiga pegawai lagi - seorang telah diarah berpindah ke Kem Bina Semangat di Ampang Pecah dan dua lagi ke Asrama Yayasan Selangor di Kuala Lumpur, tambah sumber.

"Semua mereka telah diberi surat yang ditandatangani oleh pengurus besar yang bertarikh 18 November lalu," katanya sambil menambah mereka berbuat demikian selepas memberi keterangan kepada SPRM pada 16 November lalu.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata pertukaran keenam-enam pegawai kanan berkenaan tanpa melibatkan penurunan pangkat dan menyifatkannya sebagai "perpindahan biasa".

Katanya lagi, kekosongan tempat enam pegawai kanan itu telah disi dengan enam pegawai lain pada tarikh perpindahan mereka.

Selain itu, ada dua pegawai lain yang turut terlibat dengan rombakan, tetapi beliau "tidak pasti" mengapa mereka turut disenaraikan.

Malaysiakini/-

Parlimen bocor lagi

17 Zulhijjah 1431H
Oleh : S Pathmawathy

Air sekali lagi menitis di kafeteria ahli parlimen, yang terletak bersebelahan Dewan Rakyat, petang ini menyebabkan sebahagian daripada kafetaria itu terpaksa ditutup sementara untuk
kerja-kerja menyedut keluar air.

Ia berikutan hujan lebat hari ini.

Kebocoran itu disedari oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk James Dawos Mamit, selepas parlimen bersidang semula pada jam 2.30 petang selepas berehat untuk makan tengahari.

Beliau dilihat memaklumkan kepada MP Jelutong, Jeff Ooi supaya tidak duduk di sebuah sofa berhampiran kebocoran itu.

Kakitangan Dewan Rakyat kemudiannya dimaklumkan dan mereka meletakkan baldi supaya lantai lobi itu tidak basah.

Selain lantai yang basah, kebocoran tidak menjejaskan perjalanan Dewan Rakyat.

Menurut Ooi sekali lagi pihak penyelengaraan gagal menjaga bangunan itu dengan baik dan menghalang kebocoran daripada berulang.

“Ia berulang lagi dan lagi. Saya tidak pasti sama ada masalah dengan struktur bangunan Parlimen kerana kebocoran berlaku di tempat yang lain.

“Saya gesa menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal parlimen memberikan jawapan.

Bagi ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar bangunan parlimen baru sahaja diselenggara sehingga menelan kos berjuta-juta ringgit dan beliau mahu ia disiasat.

"Kita persoal apa jadi kepada penyelenggaraan yang dibuat sebelum ini dengan kos berpuluh juta ringgit.

"Adakah ianya dipatuhi dan diteliti?

"Kita minta siasatan dibuat segera," katanya yang juga naib presiden PAS.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata punca sebenar kebocoran bumbung itu, belum dikenal pasti.

Jelasnya, kebocoran bumbung kafeteria itu disebabkan parlimen adalah bangunan lama dan kerja-kerja penyelenggaraan bangunan itu dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Antara kejadian bocor berlaku di Parlimen ialah pada 28 April 2005 akibat kesilapan teknikal penutup kabel elektrik pada bahagian bumbung Dewan Rakyat menghalang pengaliran air hujan, katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Pada 7 Mei 2008, kejadian bumbung bocor berulang di Parlimen apabila air keluar dari saluran pendingin hawa di laluan tepi Dewan Rakyat berhadapan dengan bilik Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Bangunan berusia 49 tahun itu telah menjalani kerja-kerja pengubah-suaian bernilai RM100 juta pada tahun 2005.

Kerja-kerja ubah suai masih dilakukan terutama di dalam Dewan Negara dan beberapa bahagian lain di tingkat bawah bangunan Parlimen.

Mohamed Nazri berkata Parlimen tidak akan berpindah atas sebab kerosakan yang berlaku dan bersedia menerima cadangan daripada ahli parlimen untuk menyelesaikan masalah itu.

Malaysiakini/-

Henti program Tabung Budi atau hilang lesen air

17 Zulhijjah 1431H

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) diberi tempoh 14 hari untuk menghentikan kutipan bagi Program Tabung Budi ataupun menghadapi kemungkinan kehilangan lesennya bagi membekalkan air.

Notis bertarikh hari ini dikeluarkan oleh pengarah kawal selia air Selangor, Nor Azmi Diron di bawah Subseksyen 12(2) Akta Pembekalan Air 1997 kerana Syabas dikatakan telah melanggar syarat perjanjian konsesi air .

“Selain menghentikan program tersebut dalam masa 14 hari, Syabas juga dikehedaki memaklumkan kepada Kerajaan Selangor berkenaan pembatalan Tabung Budi. Pembatalan tersebut juga perlu diiklankan di dalam akhbar-akhbar utama di Malaysia,” kata kenyataan dari Sekretariat Akhbar, pejabat Menteri Besar Selangor.

Mengikut notis itu, lesen pembekalan air yang diberikan kepada Syabas mengikut Sub-seksyen 12 (3) Akta Pembekalan Air 1997 akan dibatalkan jika Syabas gagal mematuhi arahan pembatalan program itu.

“Notis tersebut juga telah mengingatkan Syabas bahawa selaku pemegang lesen, syarikat itu hanya boleh mengutip dan menyimpan caj yang masih berhutang (caj tertunggak) oleh pengguna dalam kawasan pembekalan air.

“Syabas tidak boleh mengutip sumbangan daripada orang ramai bagi tujuan membayar caj bekalan air tertunggak seperti yang dilakukannya melalui Tabung Budi,” petik kenyataan itu.

Sebelum ini, menteri besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah berkali-kali menasihatkan Syabas supaya menghentikan segera Tabung Budi kerana program itu bukan sahaja melanggar syarat konsesi tetapi juga menyalahgunakan dana kerajaan negeri.

“Syabas mendakwa program ini untuk kebajikan tetapi hakikat sebenarnya Syabas menggunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat membayar Syabas setiap bulan menerusi Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) untuk pemberian air percuma 20 meter padu kepada rakyat. Namun pada masa yang sama Syabas mengutip sumbangan daripada orang ramai.

“Jika Syabas benar-benar ikhlas menjalankan tanggungjawab sosial korporat, mereka sepatutnya melupuskan caj air dan tunggakan yang ditanggung mereka yang tidak mampu,” katanya.

Malaysiakini/-

Selepas 12 tahun, Mata Lebam terus hantui polis

17 Zulhijjah 1431H

KUALA LUMPUR, 23 Nov: Walaupun sudah 12 tahun berlalu, tragedi 'Mata Lebam' Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menghantui pasukan polis dan hari ini Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sediri dikaitkan dengan tragedi ini.

Bekas Pegawai Penyiasat polis terhadap kes ini, Mat Zain Ibrahim semalam (22 November) menghantar satu surat terbuka kepada Ketua Polis Negara meminta beliau membersihkan pasukan polis dan mendakwa pihak yang patut dipersalahkan dalam isu ini adalah Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail.

Menurut surat panjang Mat Zain kepada Tan Sri Ismail Omar itu, sekurang-kurangnya sudah dua kali Gani menipu Jamaah Menteri.

"Apa yang pasti ialah, pertuduhan menipu Jemaah Menteri terhadap Tun LLS (Ling Leong Sik) itu tidak adil kepada beliau, jika Peguam Negara pula tidak dituduh, kerana beliau juga pernah menipu Jemaah Menteri, sekurang-kurangnya dua kali," tulis Mat Zain dalam surat itu.

Menurut Mat Zain, beliau pernah diminta menemui Datuk Seri Najib Razak pada 23 Oktober 2008 ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri. Dalam pertemuan itu, beliau berkata, Najib telah memarahi beliau apabila memberitahu satu penal telah dibentuk bagi mengkaji siasatan SPRM terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Gani Patail.

"Dalam perbualan sama, saya memberitahu YAB PM mengenai maklumat yang saya perolehi; dimana pihak Kerajaan telah melantik satu Panel bagi mengkaji siasatan yang dijalankan oleh SPRM. Saya juga telah menyebutkan nama dua orang yang telah dilantik sahaja yang saya ketahui pada masa itu.

"Secara sepontan YAB PM bangun daripada tempat duduknya dan menyatakan dengan serious bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai perlantikan Panel yang saya nyatakan kepadanya. Beliau selanjutnya menyatakan bahawa sekiranya benar sesuatu Panel telah dilantik, beliau pasti telah ditaklimatkan mengenainya.

"Malahan YAB PM telah menasihatkan saya supaya tidak percaya dengan khabar angin sedemikian kerana perkara itu adalah tidak benar. Setelah berbual satu dua perkara lain saya telah meninggalkan Pejabat YAB PM," tulis Mat Zain menceritakan bagaimana PM telah memarahi beliau.

Namun, katanya, terbukti selepas itu, Penal itu memang diwujudkan oleh Jabatan Peguam Negara sebagaimana jawapan rasmi kerajaan di Parlimen.

Pada 11.3.2009, Datuk Seri Nazri Aziz telah membuat pengumuman di-Parlimen mengenai keputusan siasatan SPRM tersebut, tulis Mat Zain.

Nazri mengumumkan bahawa siasatan SPRM telah diteliti oleh tiga orang Ahli Panel bebas yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya(DPP) mengikut Kanun Prosidur Jenayah(CPC) oleh Peguam Cara Negara(SG) padahal sebelumnya, PM Najib telah menafikan penubuhan penal itu.

Beliau juga memberikan nama-nama tiga orang Ahli Panel bebas tersebut iaitu; Datuk Abdul Kadir Sulaiman, Datuk Wira Mohd.Noor Ahmad dan Datuk Mohd.Noor Abdullah,masing-masing mantan Hakim Mahkamah Persekutuan dan seorang mantan Hakim Mahkamah Rayuan.

Selanjutnya beliau mengumumkan bahawa Ahli Panel sebulat suara (3-0) mendapati Tan Sri Musa Hasan tidak terlibat dalam sebarang salah laku jenayah manakala keputusan majoriti (2-1) terhadap Tan Sri Gani Patail (TSGP) yang bermakna seorang dari Ahli Panel tersebut mendapati terdapat keterangan mengaitkan TSGP dalam suatu salah-laku.

Namun begitu kedua-dua TSGP dan TSMH dibersihkan daripada sebarang salah laku jenayah, tulis Mat Zain.

Menurut Mat Zain, cara Peguam Negara mengendalikan isu P I Balasubramaniam dan dakwaan terhadap Ling Leong Sik "mengesahkan tanpa ragu lagi, bahawa beliau tidak menghiraukan langsung hak kesamarataan individu dari sudut undang-undang, yang dijamin oleh Perlembagaan."

Sehubungan itu beliau mencadangkan agar Peguam Negara dihadapkan kehadapan Tribunal untuk disiasat.

"Sekiranya Ketua Hakim Negara boleh dibawa kehadapan Tribunal,jika bekas Timbalan Perdana Menteri,Menteri Besar,Menteri-Menteri kanan termasuk Tun LLS,Ahli-Ahli Parlimen,Ketua Polis Negara,Panglima dalam Tentera Darat, Ketua Setiausaha Kementrian,

Ketua Pengarah-Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan dan lain-lain, mampu dihadapkan kemuka pengadilan oleh Kerajaan,malah ada diantara mereka yang telah menjalani hukuman,dibuang kes dan ada yang masih menunggu perbicaraan selain daripada telah diaibkan. Apa istimewanya Peguam Negara?" tulis beliau.

Mat Zain juga mengaitkan kes Mata Lebam dengan Peguam Negara.

Menurutnya, persetujuan telah dicapai oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Nor dengan timbalannya, Tan Sri Norian Mai dan beliau selaku Pegawai Penyiasat kes itu agar ia ditutup dengan penuh hormat.

"Sebenarnya persetujuan untuk penutupan sepenuhnya insiden mata-lebam itu, dicapai antara jam 2.30 petang hingga 3.30 petang hari Khamis 8.10.1998," katanya.

Persetujuan ini dicapai diantara Tan Sri Abdul Rahim Noor (TSRN), Ketua Polis Negara ketika itu,Tan Sri Norian Mai,Timbalan Ketua Polis Negara dan saya selaku Pegawai Penyiasat,didalam bilik Pejabat TSRN sendiri

"Setelah memberi persetujuan tersebut saya lihat wajah TSRN begitu tenang,dan menerusi “body language” beliau, saya dapati seolah beliau begitu lega, setelah beban diatas bahunya dilepaskan.

"Malah beliau sambil bersahaja menanyakan kepada Tan Sri Norian, sama ada beliau(TSRN) layak membeli staff-car Mercedes yang sedang beliau gunakan itu, dan jika boleh beliau minta tolong, untuk repair sedikit-sedikit mana yang rosak," tulisnya.

Keputusan yang dicapai, berdasarkan tulisan Mat Zain itu, Tan Sri Rahim akan mengaku memukul Anwar sehingga lebam matanya dan meletakkan jawatan kerana kesalahan itu.

Namun semua itu berubah apabila Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mohtar Abdullah diiringi orang kuatnya Datuk Abdul Gani Patail telah menemui Rahim Noor.

"Manusia hanya boleh merancang, tetapi Allah sahaja yang boleh menentukanNya. Saya mendapat tahu kemudiannya, iaitu pada jam lebih kurang 5.00 hingga 5.30 petang 8.10.1998 itu,Tan Sri Mohtar Abdullah (Allahyarham) diringi oleh orang kuatnya Datuk Abdul Ghani Patail ,telah menemui TSRN dibilik Pejabat KPN," tulis Mat Zain.

"Lebih kurang jam 6.00 petang itu saya dipanggil untuk berjumpa dengan Tan Sri Norian dan beliau cuma memberitahu saya “untuk meneruskan siasatan seperti biasa”,dan apabila melihat beliau membuat gesture bahunya sedemikian,saya faham bahawa persetujuan yang dicapai antara kami beberapa jam sahaja sebelum itu telah dibatalkan.

"Saya harus menyatakan bahawa saya terkejut dan hampa dengan perubahan ini, tetapi siapalah saya untuk menghalangnya, oleh kerana kita sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku pada hari esok," tulisnya lagi.

Suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan kerajaan untuk menyiasat tragedi Mata Lebam itu mendapati Rahim yang bersalah kerana memukul Anwar.

Namun sebelum itu, siasatan polis tidak pernah mendedahkan Rahim yang bersalah bahkan Tun Dr Mahathir pernah mendakwa Anwar mencederakan dirinya sendiri.

Harakahdaily/-

Bersediakah negara hadapi krisis makanan?

17 Zulhijjah 1431H
Oleh : Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 23 Nov: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub meminta kerajaan menyatakan persediaan yang telah dilakukan bagi menghadapi kemungkinan berlakunya krisis makanan di negara ini.

Berbahas di peringkat jawatankuasa di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, isu keselamatan bahan makanan harus dipandang serius lebih-lebih lagi ianya telah dibincangkan di persidangan World Food Organization di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Adakah kita sebenarnya serius dalam menghadapi isu keselamatan makanan ini?

"Apakah persiapan kita, berapa tempat yang telah kita pastikan dan berapa jumlah yang perlu untuk simpan bekalan makanan untuk jangka waktu yang panjang.

"Walaupun Malaysia tidak termasuk dalam lingkaran api tapi nampaknya kejadian tsunami, letupan gunung berapi di negara jiran, kita juga harus bersiap sedia," kata beliau.

Semalam, Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata Malaysia perlu bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku krisis bekalan makanan global pada 2030.

Beliau dilaporkan sebuah akhbar sebagai berkata, langkah berjaga-jaga penting kerana statistik terbaru Bank Dunia menunjukkan peningkatan ketara harga barang makanan global sejak 1905.

Ianya antara 80 hingga 90 peratus dan dijangka terus meningkat sehingga 2030.

Harakahdaily/-

Pegawai kanan Yayasan Selangor direman 7 hari

17 Zulhijjah 1431H

SHAH ALAM, 23 Nov: Seorang pengurus kanan Yayasan Selangor ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini, bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu perbelanjaan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-40 yayasan itu yang dikatakan melebihi RM300,000.

Perintah tahanan reman sehingga 29 Nov itu dikeluarkan oleh penolong kanan pendaftar Mahkamah Tinggi Khairul Nizam Abu Bakar.

Pegawai berusia 40-an itu ditahan pagi semalam oleh SPRM berikutan pembabitannya sebagai pengerusi pengelola untuk majlis tersebut.

Sambutan ulang tahun yayasan berkenaan mendapat perhatian apabila Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah membatalkan hasrat baginda berangkat ke majlis itu kerana dukacita dengan kosnya yang dikatakan amat tinggi.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar sebelum ini mendakwa kos majlis berkenaan menjangkau lebih RM800,000 dan sebahagian daripada jumlah itu sudah dibayar kepada syarikat yang diberi kontrak menganjurkannya.

Sebelum ini, Timbalan Pengurus Besar Yayasan Selangor itu diarahkan bercuti selamka sebulan dengan gaji serta merta oleh Menteri Besar Selangor bagi membolehkan siasatan dibuat terhadap penglibatan beliau dalam program itu.

Ianya bagi membolehkan siasatan selesai berhubung majlis makan tengahari yayasan itu terlalu membazir sehingga Sultan Selangor membatalkan penyertaan baginda ke majlis itu.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataannya berkata, laporan awal yang diterima menunjukkan penglibatan pejabat Timbalan Pengurus Besar Yayasan itu.

Bagi memastikan siasatan dilakukan dengan cepat dan bebas, beliau telah diminta bercuti dengan gaji penuh selama sebulan.

"Berhubung Yayasan Selangor, Kerajaan Negeri telah mengarahkan siasatan awal dilakukan terhadap keputusan kontroversi untuk membelanjakan RM300,000 bagi Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-40 Yayasan Selangor," kata Khalid.

Harakahdaily/-

Kelantan tandatangani MoU dengan syarikat gergasi China

17 Zulhijjah 1431H
Oleh : Rizal Tahir

KOTA BHARU, 23 Nov: Enam syarikat gergasi dari China, Kazahstan, hari ini telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan Kelantan.

Perjanjian persefahaman yang diwakili Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Masyarakat Negeri, Datuk Husam Musa bagi pihak kerajaan Kelantan meliputi beberapa bidang khususnya pendidikan.

Selain itu, ianya juga menyentuh soal pelancongan, kesihatan (perubatan tradisional), perdagangan, kebudayaan, sains dan teknologi termasuk kesukanan.

Enam syarikat atau pendidikan terbabit diwakili Universiti Antarabangsa Qinghai, yang diwakili Qi Fumin, Liu Chang Jiang mewakili Government of Zhangjiangchuan Muslim Autonomous Country Gansu Province.

Selain itu Presiden Association Dungan of Kazahstan, Zhu Yan yang mewakili China Council For The Promotion of Internantional Trade Qinghaiu Provincial Committee.

Turut menjayakan perjanjian persefahaman, Ishaq Ma, Setiausaha Agung Persatuan China Muslim dan Presiden Counselor of Public Association Donggang, Junusov Abduljalil Majitovich.

Hasil perjanjian usahawama itu, rakyat Kelantan yang terpilih akan mengikuti pengajian dan kebudayaan China secara percuma di Taiwan.

Ekoran perjanjian itu juga, Kelantan merupakan satu-satunya negeri di negara ini yang mempunyai hubungan terus dengan beberapa wilayah di negara China dan Asia Tengah.

Untuk itu, Kerajaan Kelantan akan meningkatkan prestasi dalam bidang ekonomi, kebudayaan Islam, pelancongan dan lain-lain lagi demi untuk kepentingan rakyatnya.

Husam pada sidang medianya juga seterusnya memberitahu, tahun hadapan kerajaan negeri akan menghantar pelajar yang berkelayakan untuk mengikuti pengajian berkenaan dalam masa antara tiga minggu hingga tiga bulan.

Menurutnya lagi, Ekspo Cheng Ho yang berlangsung tidak hanya akan berakhir di situ sahaja, sebaliknya akan dilanjutkan kerjasama dalam bidang-bidang yang telah ditentukan demi untuk kepentingan rakyat Kelantan.

Harakahdaily/-

Perlembagaan: Ingatan Najib macam tikus baiki labu

17 Zulhijjah 1431H

KUALA LUMPUR, 23 Nov: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengingatkan pihak-pihak tertentu yang cuba mengubah perlembagaan negara supaya tidak bersikap seperti 'tikus membaiki labu'.

Sehubungan itu, PAS kesal isu gangguan Perlembagaan dan kedudukan Raja-Raja Melayu sering dibangkitkan di negara ini.

“PAS berpandangan bahawa isu ini dibangkitkan ialah untuk menimbulkan ketakutan di kalangan orang Melayu supaya jangan berjinak dengan PAS dan Pakatan Rakyat,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad.

Katanya, sejak mutakhir isu Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu dibangkitkan sebagai usaha untuk menarik sokongan orang Melayu kepada Umno, kononnya Melayu dan Raja Berperlembagaan hanya selamat di bawah Umno, setelah isu pembangunan sudah lapuk, kerana dunia semakin maju.

Menurutnya, satu ketika dahulu kononnya ada Perlembagaaan baru dibangkitkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani sampai sekarang tidak dapat dibuktikan lagi.

“PAS mencabar mana-mana pihak yang ada bukti jika ada mana pihak yang hendak menggugat perkara yang telah dipersetujui bersama seperti kedudukan agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu dan Hak Istimewa Raja-Raja Melayu silalah dibawa ke pengadilan,” ujarnya.

Tambahnya, isu derhaka kepada Raja-Raja Melayu dibangkitkan dengan hebat ketika pilihan raya Kecil Bukit Gantang, kononnya Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin derhaka kepada Sultan Perak.

Katanya, mereka eksploit perkataan yang diucapkan oleh Datuk Seri Nizar “Patik Mohon Sembah Derhaka”, pada hal ini adalah istilah yang diajar oleh protokol istana ketika berbahasa dengan Raja apabila kita tidak sependapat dalam satu padangan.

“Hakikatnya yang berlaku seperti yang tercatat dalam sejarah politik negara kita, yang biadab dengan Raja-Raja Melayu ialah pemimpin Umno malahan cuba hendak ambil alih kuasa isytihar darurat daripada Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya lagi.

Katanya lagi, rakyat Malaysia tidak boleh lupa ketika mereka membelasah Raja-Raja Melayu pada tahun 1983 kerana menolak cadangan supaya kuasa Yang di-Pertuan Agong mengenai pengisytiharan darurat dikurangkan.

Begitu juga, ujarnya penyokong Umno pula mengatakan Sultan Terengganu binatang.

“Kenapa polis tidak tangkap mereka yang demo dan hina Sultan Terengganu kerana tidak melantik Datuk Seri Idris Jusoh sebagai Menteri Besar Terengganu. Banyak lagi kita boleh bongkarkan siapa yang sebenarnya menghina Raja-Raja Melayu,” katanya.

Harakahdaily/-