24 November 2010

Pegawai kanan Yayasan Selangor direman 7 hari

17 Zulhijjah 1431H

SHAH ALAM, 23 Nov: Seorang pengurus kanan Yayasan Selangor ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini, bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu perbelanjaan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-40 yayasan itu yang dikatakan melebihi RM300,000.

Perintah tahanan reman sehingga 29 Nov itu dikeluarkan oleh penolong kanan pendaftar Mahkamah Tinggi Khairul Nizam Abu Bakar.

Pegawai berusia 40-an itu ditahan pagi semalam oleh SPRM berikutan pembabitannya sebagai pengerusi pengelola untuk majlis tersebut.

Sambutan ulang tahun yayasan berkenaan mendapat perhatian apabila Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah membatalkan hasrat baginda berangkat ke majlis itu kerana dukacita dengan kosnya yang dikatakan amat tinggi.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar sebelum ini mendakwa kos majlis berkenaan menjangkau lebih RM800,000 dan sebahagian daripada jumlah itu sudah dibayar kepada syarikat yang diberi kontrak menganjurkannya.

Sebelum ini, Timbalan Pengurus Besar Yayasan Selangor itu diarahkan bercuti selamka sebulan dengan gaji serta merta oleh Menteri Besar Selangor bagi membolehkan siasatan dibuat terhadap penglibatan beliau dalam program itu.

Ianya bagi membolehkan siasatan selesai berhubung majlis makan tengahari yayasan itu terlalu membazir sehingga Sultan Selangor membatalkan penyertaan baginda ke majlis itu.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam kenyataannya berkata, laporan awal yang diterima menunjukkan penglibatan pejabat Timbalan Pengurus Besar Yayasan itu.

Bagi memastikan siasatan dilakukan dengan cepat dan bebas, beliau telah diminta bercuti dengan gaji penuh selama sebulan.

"Berhubung Yayasan Selangor, Kerajaan Negeri telah mengarahkan siasatan awal dilakukan terhadap keputusan kontroversi untuk membelanjakan RM300,000 bagi Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-40 Yayasan Selangor," kata Khalid.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Dah puas buat kerja kotor masa BN memerintah.. PR memerintah habbit tak blh nak stop, hmm kantoilah skrg. SPRM konon nak tunjuk adil lah konon... cuba check akaun satim tu.