13 Disember 2010

Prof. Shahrir hasilkan buku 'Tok Guru Nik Aziz'

07 Muharam 1432H
Oleh : Muhayat Yasmin

PERMATANG PAUH, 12 Dis: Buku bertajuk ' Kepimpinan Tok Guru Nik Aziz Mengikut Pandangan Sarjana Kepimpinan Besar Sepanjang Zaman' hasil tulisan Prof. Dr Shahrir Mohd Zain telah dilancarkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato' Abdul Halim Hussain di Masjid Batu, Kampung Pertama, semalam.

Abdul Halim dalam ucapan pelancarannya menyatakan bentuk kesederhanaan dalam kepimpinan yang ditunjukkan oleh Menteri Besar Kelantan itu adalah suatu yang sukar diamalkan oleh mana-mana pemimpin dalam negara ini.

Katanya, sifat peribadi yang tinggi dipunyai oleh Nik Aziz itu bukan saja disenangi oleh majoriti rakyat Kelantan yang beragama Islam, malah ia turut disenangi oleh masyarakat bukan Islam.

"Wasatiyyah yang menggabungkan sifat keadilan dan kesederhanaan Tok Guru itu diungkapkan dalam buku ini bagi menjadi teladan kepada masyarakat. Ia adalah sebagai panduan dalam mengamati sifat peribadi yang harus ada pada kepimpinan sama ada peringkat bawahan maupun peringkat tertinggi.

"Beliau juga adalah tokoh sederhana dalam kepimpinan negara yang tidak juga dapat ditandingi sifatnya oleh mana-mana kepimpinan yang ada dalam negara ini walaupun telah berjaya memimpin Kelantan lebih dari 20 tahun hingga kini," ujar beliau.

Pelancaran kali ini adalah sebagai permulaan kepada pelancaran yang akan turut dilakukan di beberapa buah negeri lagi sebagai satu wadah perjuangan untuk memberi peluang kepada masyarakat memiliki buku yang menceritakan keperibadian dan kepimpinan Tok Guru Nik Aziz.

Sasterawan Negara, Azizi Abdullah, Dinsman dan Ketua Satu Persatuan Penulis Pulau Pinang, Anuar Ahmad adalah antara tetamu yang turut hadir pada majlis pelancaran buku tersebut.

Harakahdaily/-

Kejayaan kedua Red Warriors sangat bermakna

07 Muharam 1432H
Oleh : Rizal Tahir

KOTA BHARU, 12 Dis: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengucapkan tahniah kepada skuad bola sepak Kelantan yang berjaya merebut Piala Emas Raja-Raja kali ke-14, malam tadi.

Menurutnya, kemenangan itu amat bermakna bagi rakyat Kelantan selepas Kelantan berjaya menjuarai Piala Malaysia baru-baru ini.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Kubang Kerian (HUSM), dekat sini.

Tuan Guru yang kini sedang berehat di hospital berkenaan sejak dua hari lalu begitu ceria ketika diminta mengulas kemenangan skuad bola sepak Kelantan itu.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua para pemain dan mereka yang terlibat termasuk anggota exco kerajaan negeri Abdul Fatah,” ujarnya.

Malam tadi, Kelantan berjaya menewaskan Kedah pada perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja 2010 Edisi ke-70 setelah mengalahkan Kedah menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, di sini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fatah Mahmood, berkata kerajaan negeri akan meraikan skuad berkenaan pada satu majlis khas nanti.

“Kita juga akan memberikan saguhati kepada pemain, bagaimanapun setakat ini ianya masih dalam perbincangan,” ujarnya ketika ditemui di HUSM sewaktu mengunjungi Tuan Guru.

Harakahdaily/-

Pihak tuntut Pulau Pinang bukan wakili Kedah

07 Muharam 1432H
Oleh : Muhayat Yasmin

ALOR SETAR, 12 Dis: Cadangan yang dibuat oleh Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), supaya Kedah menuntut hak ke atas Pulau Pinang, bukan mewakili Kerajaan, kata Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Bahkan tegas Azizan, beliau dan pihak kerajaan negeri tidak mengetahui apakah motif sebenar tuntutan yang dibuat oleh PSMCK bagi mengembalikan Pulau Pinang kepada Kedah sepertimana yang diwar-warkan kebelakangan ini.

Azizan berkata demikian mengulas isu yang telah dibangkitkan oleh PSMCK baru-baru ini supaya Pulau Pinang dikembalikan kepada Kedah.

Dalam tuntutan yang dibuat PSMCK melalui Pengerusinya, Datuk Dr.Wan Shamsuddin Mohd Yusof, persatuan itu menuntut supaya Pulau Pinang diletakkan semula di bawah kekuasaan dan jajahan negeri Kedah berdasarkan kepada fakta sejarah yang lalu.

Isu tuntutan semula itu mendapat reaksi pro dan kontra pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pemimpin politik dan juga orang perseorangan di kedua-dua negeri.

Bagaimanapun Azizan mengakui kerajaan negeri pimpinannya menuntut supaya Kerajaan Pusat menaikkan nilai pajakan Pulau Pinang daripada RM10 ribu kepada RM10 juta setahun.

"Tuntutan tersebut telah dikemukakan kepada Kerajaan Pusat sejak Pakatan Rakyat mulai menerajui kekuasaan negeri Kedah lagi. Namun begitu, sehingga kini tiada tindak balas yang diterima dari pihak Pusat mengenai perkara tersebut.

"Buat masa ini Kerajaan Negeri hanya menuntut supaya kadar pajakan dinaikkan, itu sahaja," kata Azizan.

Harakahdaily/-

Pertemuan bersejarah tangani isu Palestin

07 Muharam 1432H

KUALA LUMPUR, 12 Dis: Aqsa Syarif menyifatkan pertemuan di kalangan anggota Yayasan Al-Quds Antarabangsa Cawangan Malaysia satu sejarah dalam menangani isu Palestin.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanahnya, Hasanuddin Mohd Yunus (gambar) berkata, pertemuan itu sebagai menyatakan sokongan rakyat negara ini terhadap perjuangan umat Islam Palestin.

“Isu Palestin telah menyatukan rakyat Malaysia,” ujarnya pada siang media mengenai pembentukan Yayasan Al-Quds Antarabangsa Cawangan Malaysia di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, petang ini.

Turut bercakap pada sidang media itu ialah wakil Muassasah Al-Quds Antarabangsa, Munir Said dari Palestin, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Pengerusi Shura, Ustaz Abdul Ghani Samsudin dan Ikram Malaysia.

Beliau berkata, ini terbukti semua pihak sama ada dari kalangan parti kerajaan dan bukan kerajaan menyatakan pendirian yang sama semasa membahaskan usul mengutuk regim zionis Israel pada persidangan Dewan Rakyat yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, sebelum ini.

Jelasnya, yayasan berkenaan di peringkat antarabangsa bukan sahaja didukung oleh pemimpin Islam bahkan turut melibatkan paderi-paderi yang menduduki jawatankuasa tertinggi.

Tambahnya, jawatankuasa tertinggi muassasah tersebut juga turut melibatkan pemimpin bukan Islam dari kalangan bukan bangsa Arab.

Di Malaysia, ujarnya, penglibatatan parti politik, pertubuhan dan individu daripada pelbagai latar belakang menunjukkan rakyat bersatu dalam isu Palestin.

“Ini adalah contoh terbaik dalam isu kemanusiaan di mana sahaja,” ujarnya.

Harakahdaily/-

Kaji dulu pilihan raya negeri Pakatan Rakyat

07 Muharam 1432H
Oleh : Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 12 Dis: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata cadangan pilihan raya untuk Dewan Undangan Negeri (Dun) di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat perlu dikaji terlebih dahulu sebelum ianya dilaksanakan.

Menurutnya, sama ada ianya wajar dilaksanakan atau sebaliknya, tindakan itu perlu dikaji terlebih dahulu khususnya terhadap kesan yang bakal dihadapi oleh kerajaan berkenaan sekiranya ia dilaksanakan.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, di sini tengah hari tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa kerajaan negeri dikuasai Pakatan Rakyat mempunyai pilihan untuk mengadakan pilihan raya Dun berasingan jika kerajaan BN mengadakan pilihan raya umum tahun hadapan.

Katanya, kuasa membubarkan Dun adalah hak milik kerajaan negeri dan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat berhak mengadakan pilihan raya negeri.

Tuan Guru yang juga Mursyidul Am PAS seterusnya berkata, bagaimanapun sekiranya cara berkenaan dilaksanakan, ia akan memudahkan pelbagai gentera Umno dan Barisan Nasional (BN) menyerang negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat.

“Jadi saya rasa cadangan itu perlu dikaji terlebih dahulu sebelum ianya dilaksanakan,” ujarnya.

Harakahdaily/-

Pemilihan DAP: Exco dan 4 ADUN tewas mengejut

07 Muharam 1432H

Pemimpin veteran DAP Pulau Pinang, Phee Boon Poh dan empat lagi ADUN tewas mengejut dalam pemilihan 15 anggota jawatankuasa DAP negeri itu hari ini.

Kekalahan Phee, yang juga exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri, dianggap mengejut kerana beliau merupakan antara pemimpin yang paling rajin turun padang dalam melaksanakan tugasnya.

Dalam pemilihan di Dome, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Phee, yang juga ADUN Sungai Puyu, memperoleh 173 undi, iaitu kurang enam undi daripada Gooi Seong Kin yang menduduki tempat terakhir dalam barisan jawatankuasa itu.

Empat lagi ADUN yang tewas ialah Lau Keng Ee (Pengkalan Kota), Yeoh Soon Hin (Paya Terubong), Koid Teng Guan (Sungai Pinang) dan A.Tanahsekharan (Bagan Dalam).

Ketika ditemui selepas keputusan diumumkan, Phee kelihatan tenang dan berkata beliau menerima keputusan yang dibuat oleh 466 perwakilan itu dan menganggap ia sebagai titik tolak bagi dirinya untuk berjuang dengan lebih gigih demi parti.

"Saya menerima kekalahan itu dengan hati terbuka. Mungkin saya belum cukup bagus, sebab itu perwakilan tidak mengundi saya," katanya.

Dalam pemilihan itu, ADUN Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo, yang juga anak kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh, memperoleh undi terbanyak dengan 348 undi.

Malaysiakini/-

Muka lama anggotai jawatankuasa DAP P Pinang

07 Muharam 1432H
Oleh : Susan Loone

Hanya ada sedikit perubahan dalam barisan kepimpinan DAP Pulau Pinang apabila perwakilan memilih mengundi muka lama kembali menganggotai jawatankuasa DAP negeri.

Keputusan pemilihan mula diketahui mulai jam 5 petang, dengan pengerusi DAP negeri Chow Kon Yeow (kiri) dan timbalan setiausaha agung, Chong Eng kembali menganggotai jawatankuasa berkenaan.

Chow menerajui kepimpinan negeri itu sejak 11 tahun lalu. Hari ini, beliau mengekalkan jawatannya untuk penggal keenam.

Hanya seorang mula baru yang terpilih - Lay Hock Peng (Kepala Batas).

Pemilihan kali ini menyaksikan sejumlah 88 calon bersaing untuk merebut 15 kerusi jawatankuasa DAP negeri.

Sejumlah 496 daripada 649 (92 peratus) perwakilan mengundi hari ini.

Baru baru kepimpinan DAP Pulau Pinang 2010-2012:

Pengerusi: Chow Kon Yeow - (Tanjung - 312 undi)

Timbalan pengerusi: P Ramasamy (Kawan Batu - 240)

Naib pengerusi: Jagdeep Singh Deo (Dato Keramat - 348), Lim

Hock Seng (Bagan Dalam - 257)

Setiausaha: Ng Wei Aik (Komtar - 256)

Penolong setiausaha: Lim Hui Ling (241)

Bendahari: Wong Hon Wai (Air Itam - 250) Wai

Penolong bendahari: Tan Hun Wooi (dilantik)

Setiausaha organisasi: Teh Yee Cheu (Tanjung Tokong - 219)

Penolong setiausaha organisasi: Lay Hock Peng (muka baru - 185), Harvindar Singh (215)

Setiausaha publisiti: Chong Eng (Bukit Mertajam - 261)

Penolong setiausaha publisiti: Gooi Seong Kin (179)

Pengarah pendidikan politik: Danny Law (Lanchang Batu - 321)

Jawatankuasa negeri: Koay Teng Hai (Pulau Tikus -245), RSN Rayer (Seri Delima - 190), Zulkifli Mohd Noor (dilantik), Phee Boon Poh (dilantik), Lau Keng Ee (dilantik) dan Lim Siew Khim (dilantik).

Malaysiakini/-

Nik Aziz dirawat di HUSM masalah pinggang

07 Muharam 1432H

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kini menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian kerana masalah pinggang.

Anaknya Nik Omar berkata Murysidul Am PAS itu dirawat di hospital itu sejak Jumaat lepas setelah dinasihatkan pakar perubatan pada Rabu.

"Ayah saya telah menjalani pemeriksaan untuk pinggangnya dan atas nasihat doktor dia menjalankan pemeriksaan terperinci.

"Saya tidak tahu bila ayah akan dibenarkan keluar," katanya kepada pemberita di Kota Bharu hari ini.

Nik Omar berkata masalah pinggang itu dihidapi ayahnya sejak sekian lama selepas terjatuh dari kuda.

Menteri Besar Kelantan berusia 79 tahun itu dilaporkan berada dalam keadaan baik.

Malaysiakini/-

Samy duta infrastruktur bagi India, Asia Selatan


07 Muharam 1432H

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bahawa pelantikan Datuk Seri S Samy Vellu itu berkuatkuasa 1 Januari ini.

Malaysiakini/-

'Pekung dalam industri pertahanan'

07 Muharam 1432H
Oleh : Kua Kia Soong

KOMEN Perbelanjaan pertahanan melonjak selepas Perdana Menteri Najib Razak - yang dianggap sebagai 'kuasa penggerak' di sebalik program pemodenan ketenteraan Malaysia melalui 'Fokus dalam Polisi Luar Negara' - menjadi menteri pertahanan pada 2000 - penggal keduanya menerajui kementerian berkenaan.

Senarai perbelanjaannya termasuk pembelian kereta kebal tempur dari Poland, peluru berpandu permukaan-ke-udara buatan Russia dan Britain dan jambatan bergerak tentera, peluru berpandu anti-kereta kebal dari Pakistan, jet pejuang F / A 18, kapal selam dari Perancis serta pesawat pejuang Sukhoi Su-30 Russia.

Kerajaan BN memang jauh dari ketelusan dalam pembelian senjata tersebut. Daripada mengeluarkan tawaran yang kompetitif untuk kontrak pembeliannya, kerajaan sebaliknya, melakukannya melalui perundingan swasta kerana pertimbangan keselamatan.

Kontrak sering diberikan kepada syarikat yang mempunyai kaitan dengan pemimpin politik. Pegawai yang meluluskannya, atas alasan yang jelas, meluluskan projek yang dipohon oleh saudara mara atau rakan-rakan pemimpin politik.

Sesekali, perkara itu didedahkan oleh kakitangan awam dan anggota tentera yang bersara. Sebagai contoh, pada 8 Ogos 1996, sehari sebelum persaraan pilihannya, Panglima TUDM, Lt-Jen Abdul Ghani Aziz menegur bekas pengawai tentera yang menjadi pembekal peralatan pertahanan, kerana menjual peralatan yang tidak sesuai dan usang, dan dengan demikian membahayakan keselamatan bekas rakan-rakan mereka.

Kisah tentang bagaimana DCNS International dari Perancis dan syarikat pembuat kapal dari Sepanyol, berjaya mendapat kontrak membina dua kapal selam kelas Scorpene untuk Tentera Laut Malaysia adalah contoh tidak ketelusan dalam pemberian kontrak pertahanan dan kepentingan kaitan politik dalam mendapatkan kontrak berkenaan.

Malaysiakini/-

Senator untuk KIMMA !

Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) memohon kerajaan melantik seorang Senator daripada kalangan anggota parti itu untuk mewakili kaum India Muslim di negara ini.

Presidennya Datuk Syed Ibrahim Kader berkata ini kerana parti gabungan Umno itu tidak mempunyai saluran untuk bersuara secara langsung terutama bagi menyuarakan masalah kaum India Muslim terus kepada kerajaan.

"Seperti kaum lain di Malaysia, kaum India Muslim juga tidak terkecuali daripada menghadapi masalah, walaupun hampir kesemua dasar kerajaan mengambil kira kedudukan dan pandangan semua kaum di Malaysia, kaum India Muslim sering terpinggir," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Tahunan Kimma ke-34 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya hari ini.

Syed Ibrahim berkata Kimma juga memohon kepada kerajaan agar wakil India Muslim ditempatkan di Majlis Kerajaan Negeri dan Majlis Kerajaan Tempatan supaya mereka dapat menyalurkan masalah kaum itu kepada pihak berwajib serta mendapat maklumat tentang peluang perniagaan dan perdagangan di dalam mahupun di luar negara.

Beliau juga menyarankan agar kerajaan mewujudkan satu dana khas perniagaan untuk industri kecil dan sederhana dan peniaga kecil India Muslim untuk memudahkan peniaga kecil itu mendapat dana pusingan modal bagi memulakan atau membesarkan perniagaan.

Mengenai persediaan pilihan raya umum ke-13, Syed Ibrahim berkata Kimma telah memulakan langkah proaktif untuk mendaftar pengundi-pengundi baru khususnya daripada golongan India Muslim bagi menghadapi pilihan raya umum.

Syed Ibrahim berkata tinjauan parti itu mendapati tujuh daripada 10 individu India Muslim telah mendaftar sebagai pengundi.

"Bagaimanapun, masih terdapat kira-kira 120,000 orang yang belum mendaftar sebagai pengundi dan Kimma sedang giat menjalankan aktiviti pendaftaran dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendaftarkan mereka ini," katanya. (MalaysiaKini)

Nizar lancar buku krisis politik di Perak

07 Muharam 1432H
Oleh : Hazlan Zakaria

Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin hari ini melancarkan buku yang diterbitkan lamanweb popular Loyarburok.com yang memperincikan peristiwa pengambilalihan kuasa oleh BN yang menyaksikan penyingkiran beliau dan Pakatan Rakyat di Perak.

Buku yang bertajuk 'Perak: A State of Crisis' merupakan kompilasi artikel tulisan peguam dan aktivis di blog, terutamanya yang menyokong perjuangan Nizar untuk mengembalikan kuasa kerajaan Pakatan selepas peristiwa tersebut.

Ia turut memuatkan empat analisis khas oleh pakar-pakar seperti bekas hakim Datuk NH Chan dan pakar perlembagaan, Prof Shad Saleem Faruqi mengenai krisis perlembagaan yang berlaku.

Nizar yang diberi nama jolokan menteri besar rakyat oleh pihak penganjur, tiba di tempat pelancaran buku itu di Annexe Gallery di ibunegara, dengan diberi sambutan meriah oleh para penyokong Loyarburok.com, rakan politik dan para aktivis.

Antara mereka yang hadir memberi sokongan ialah bekas presiden Majlis Peguam dan pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan; pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham serta penyumbang bahan untuk buku tersebut.

Malaysiakini/-

Kelantan juara kali ke 13

07 Muharam 1432H

KOTA BHARU – Kelantan muncul juara Kejohanan Puncak Piala Emas Raja-Raja 2010 Edisi ke-70 setelah mengalahkan Kedah menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam tadi.

Penentuan juara terpaksa diputuskan menerusi sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan sehingga 120 minit perlawanan berlangsung.

Kejayaan menjulang piala malam tadi membolehkan Kelantan melengkapkan koleksi kejuaraan kali ke-13 setelah kali terakhir muncul juara dua tahun lalu. Sementara itu, kekalahan malam tadi juga menutup hasrat naib juara musim lalu, Kedah untuk menebus kekecewaannya dalam pentas final kali ini setelah gagal pada musim lalu.

Beraksi di hadapan hampir 10,000 penyokong setia sendiri, Kelantan yang mempertaruhkan gandingan penyerang muda Muhammad Ramzul Zahini Adenan dan Mohamad Aris Zaidi bagaimanapun gagal menonjolkan aksi terbaik sebaliknya kedua-dua pasukan lebih banyak mempamerkan aksi membosankan dengan gerakan yang serba tidak menjadi.

Seawal minit ketujuh, penyerang Kelantan, Muhammad Ramzul Zahini yang membawa masuk bola ke dalam kotak penalti sempat melepaskan rembatan namun diselamatkan pemain pertahanan Kedah sementara percubaan Khairan Eruan Razali pada m-15 terus kedakapan penjaga gol, Mohd Al-Hafiz Hamzah.

Selang dua minit kemudian, Mohamad Aris yang berjaya melepasi pemain pertahanan Kedah mencemaskan pintu gol pasukan pelawat namun rembatannya sekadar terkena sisi jaring sebelah kanan pintu gol Kedah.

Kedah yang mempertaruhkan gandingan Mohd Arfan Rashid dan Wan Mohd Asraf Wan Ali di bahagian serangan bagaimanapun kelihatan begitu sukar untuk menembusi benteng pertahanan Kelantan yang diketuai Sharudy Aziz.

Percubaan terbaik mereka hadir pada m-33 menerusi sepakan percuma Ahmad Fauzi Saari tetapi ditumbuk keluar Mohd Shahrizan Ismail manakala rembatan Mohd Fiqry Mohd Isa dua minit kemudian sekadar tinggi melepasi palang.

Babak kedua, Kelantan sekali lagi mempunyai peluang terbaik apabila Muhammad Ramzul Zahini melakukan hantaran lintang di depan pintu gol Kedah tetapi tidak ada rakan yang membantu walaupun pintu gol sudah ternganga.

Pasukan pelawat turut mempunyai peluang pada m-61 dan 67 menerusi sepakan percuma pemain gantian, Muhd Fairuz Hashim namun ketangkasan Mohd Shahrizan memastikan pintu gol Kelantan tidak dibolosi.

Minit-minit akhir perlawanan Kelantan turut mempunyai peluang untuk menjaringkan gol namun rembatan Ahmad Ezrie Shafizi Sazali dan Rosairil Asrol Mat Noor terus kedakapan Mohd Al-Hafiz yang turut beraksi cemerlang memaksa perlawanan berkesudahan tanpa jaringan.

Sementara itu, tempoh 30 minit masa tambahan juga gagal dimanfaatkan oleh kedua-dua pasukan untuk menjelmakan jaringan sebaliknya penentuan juara akhirnya terpaksa diputuskan menerusi sepakan penalti.

Penjaga gol, Mohd Shahrizan muncul wira pasukan Kelantan apabila menyelamatkan dua sepakan pemain Kedah iaitu Mohd Hazwan Zainun dan Wan Mohd Asraf Wan Ali mengakhiri impian Sang Kenari untuk memburu kejuaraan setelah kecundang dalam pentas final musim lalu.

Hadiah kejohanan disampaikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Nasuruddin Mohd Daud. Turut hadir menyaksikan perlawanan akhir malam tadi ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM), Datuk Takiyuddin Hassan, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),

Datuk Afandi Hamzah, Pengarah Eksekutif Puncak Niaga Sdn Bhd, Datuk Hashim Mahfar dan Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah, Datuk Mahfudz Omar.

Sementara itu, pemain Kelantan, Rosairil Asrol Mat Noor diumumkan sebagai pemain terbaik dalam perlawanan akhir malam tadi.

Sinar Harian/-

Nizar lancar buku krisis politik Perak

Oleh : Hazlan Zakaria (MK)
Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin hari ini melancarkan buku yang diterbitkan lamanweb popular Loyarburok.com yang memperincikan peristiwa pengambilalihan kuasa oleh BN yang menyaksikan penyingkiran beliau dan Pakatan Rakyat di Perak.

Buku yang bertajuk 'Perak: A State of Crisis' merupakan kompilasi artikel tulisan peguam dan aktivis di blog, terutamanya yang menyokong perjuangan Nizar untuk mengembalikan kuasa kerajaan Pakatan selepas peristiwa tersebut. Ia turut memuatkan empat analisis khas oleh pakar-pakar seperti bekas hakim Datuk NH Chan dan pakar perlembagaan, Prof Shad Saleem Faruqi mengenai krisis perlembagaan yang berlaku.

Nizar yang diberi nama jolokan menteri besar rakyat oleh pihak penganjur, tiba di tempat pelancaran buku itu di Annexe Gallery di ibunegara, dengan diberi sambutan meriah oleh para penyokong Loyarburok.com, rakan politik dan para aktivis.

Antara mereka yang hadir memberi sokongan ialah bekas presiden Majlis Peguam dan pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan; pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham serta penyumbang bahan untuk buku tersebut.

Wikileaks - info kes Anwar disensasikan

KUALA LUMPUR, 12 Dis − Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata pihaknya memandang serius cubaan memanipulasikan maklumat didedahkan WikiLeaks mengenai komen-komen bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew and agensi perisikan negara tersebut berkenaan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyaatan dikeluarkan lewat petang ini, Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution Ismail berkata, rakyat perlu faham kaedah operasi dan fungsi WikiLeaks untuk menilai sama ada komen-komen tersebut boleh diterima pakai ataupun sebaliknya.

“WikiLeaks adalah sebuah laman yang memberi ruang kepada orang ramai menghantar maklumat-maklumat sulit yang dirahsiakan daripada pengetahuan orang ramai. “Orang ramai bebas menghantar apa-apa jenis maklumat pun, jadi ada maklumat yang datangnya dari kajian terperinci, ada juga hanyalah rakaman perbualan antara ahli-ahli diplomat.

“Maklumat yang didedahkan kali ini dan dipetik akhbar hanyalah catatan komen-komen peribadi yang dibuat oleh ahli diplomat Singapura, Lee dan agensi perisikan negara itu,” katanya.

Saifuddin berkata, laporan The Sydney Morning Herald ditulis berdasarkan catatan pendapat peribadi ahli diplomat Singapura mengenai jiran serantau dalam Asean, Jepun, China dan India.

“Ia adalah pendapat peribadi mereka, bukannya fakta,” katanya lagi.

Beliau seterusnya memberitahu, untuk memahami dengan lebih dekat bahawa catatan tersebut adalah pendapat peribadi mereka yang disensasikan, rakyat perlu juga meneliti secara keseluruhan maklumat-maklumat lain yang turut didedahkan oleh WikiLeaks yang terkandung dalam kabel yang sama merakamkan pandangan peribadi pegawai-pegawai diplomatik Singapura.

Justeru, Saifuddin menyenaraikan maklumat dikongsi oleh Bilahari Kausikan yang kini merupakan Setiausaha Tetap Kementerian Luar.

“Menurut satu kabel yang merakamkan satu mesyuarat pada September 2008, Kausikan memberitahu Timbalan Setiausaha Pertahanan AS David Sedney bahawa ‘ada kemungkinan besar berlakunya konflik perkauman di Malaysia’ yang akan menyebabkan orang Cina ‘meninggalkan’ Malaysia dan ‘menyusahkan’ Singapura.

“Mengenai kepimpinan Barisan Nasional pula, kata beliau, ‘masalah utama Malaysia adalah tiadanya pemimpin yang berwibawa. (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib Razak perlu menang dalam pertarungan politik untuk mengelakkan didakwa’, secara jelas mengaitkan Perdana Menteri dengan skandal pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu. Dia mengulangi pendapatnya bahawa ‘Najib Razak terancam disebabkan kes pembunuhan itu’.

“Dia juga memanggil bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra seorang yang mengamalkan ‘rasuah’, ‘sama seperti yang lain termasuklah pembangkang di Thailand’. Ujarnya dalam kabel itu lagi, Thaksin ‘membuat kesilapan berbuat baik dengan Putera Mahkota Thailand apabila Thaksin membayar hutang judi putera itu’. Katanya , putera itu ‘tidak keruan dan sangat mudah dipengaruhi’,” kata Saifuddin dalam kenyataan itu.

Katanya, komen-komen yang lain termasuklah kenyataan beliau “lebih selesa dengan Korea Utara sebagai kuasa nuklear berbanding jika Iran mempunyai senjata nuklear”.

Memetik pandangan Peter Ho pula kata kenyataan Saifuddin itu, pada Mac 2008, dia mengutuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana “membaling batu” kepada penggantinya, Tun Abdullah Badawi.

“Komennya terhadap Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin adalah lebih kasar.

“Menurutnya, ‘Khairy Jamaludin akan ditikam dalam Umno kerana tiada orang yang sukakannya (Khairy) kerana Khairy naik dalam politik akibat pertalian keluarga.

“Seperti juga rakan sekerjanya, En Ho mengulangi tuduhan yang mengaitkan Perdana Menteri dengan pembunuhan Altantuya. Katanya, ‘Najib adalah seorang yang suka mengambil kesempatan.

“Walaupun setakat ini dia masih belum mengkritik Singapura, dia tidak teragak-agak sekiranya tindakan itu menguntungkannya. Masa depan politik Najib akan terus dihantui oleh skandal pembunuhan (Altantuya),’ kata Saifuddin.

“Seorang lagi diplomat kanan Singapura yang dipetik oleh kabel yang didedahkan oleh WikiLeaks itu mengkritik negara-negara lain yang ada pengaruh di rantau ini, dalam catatan mesyuarat dalam bulan September 2009.

“Dia menggelar Jepun sebagai ‘orang gemuk yang kalah dan merajuk’ apabila membandingkan hubungan China dan Asean yang makin rancak. Dia juga menyalahkan keadaan itu kepada ‘kepimpinan Jepun yang bodoh, lemah dan tidak ada wawasan’.

“Pandangannya terhadap India juga buruk, melalui gambarannya bahawa ‘kawan India yang bodoh dan teragak-agak untuk berkecimpung dengan ASEAN’,” kata Saifuddin memetik kabel menyentuh pandangan Tommy Koh.

Oleh itu kata Saifuddin, kabel sulit yang mengandungi pandangan peribadi Lee dan perisikan Singapura mengenai fitnah terhadap Anwar perlu dilihat dalam konteks yang sama dan sebetulnya iaitu komen-komen peribadi yang menghina semua pihak di Malaysia tanpa mengira parti dan latar belakang.

“PKR mengulangi pendirian parti bahawa pandangan-pandangan tersebut, walaupun terkandung dalam kabel sulit diplomatik yang dibocorkan oleh WikiLeaks, adalah pandangan peribadi individu-individu tersebut yang tidak disokong oleh fakta.

“Untuk berlaku adil kepada semua pihak, komen-komen itu perlu dianggap sebagai cakap-cakap kosong dan pendapat peribadi mereka,” katanya lagi.

Jika tidak, katanya, Najib sendiri yang perlu berhempas pulas menjawab dakwaan demi dakwaan yang terkandung dalam kabel sulit yang sama, yang mengaitkan beliau dengan pembunuhan Altantuya.

“Akhirnya, kita kena kembali kepada perkara pokok yang meruntun negara dan rakyat iaitu integriti sistem kehakiman yang dinodai sehingga menidakkan keadilan.

“Ini dapat diselesaikan dengan mudah sekiranya Datuk Seri Anwar diberikan ruang sepenuhnya membela diri tanpa manipulasi atau campur tangan politik agar beliau mendapat perbicaraan yang adil dan telus,” katanya lagi.

Saifuddin juga berkata, fitnah terhadap beliau dan keluarga telah mengheret seluruh negara ini diselubungi igauan sejak 1998.

Katanya, igauan tersebut boleh dihentikan sekiranya integriti dan kredibiliti institusi kehakiman dipulihkan.

“Makanya, PKR akan mengalu-alukan mana-mana maklumat (sulit atau tidak) dari mana-mana pihak yang boleh menegakkan kebenaran, asalkan maklumat itu adalah tepat dan berasaskan fakta.

“Malangnya, komen-komen yang terkandung dalam kabel sulit yang dibocorkan itu tidak lebih dari maki- hamun terhadap semua perkara yang bukan Singapura, bertepatan dengan rekod hubungan diplomatik yang dingin di antara Malaysia dan Singapura,” kata beliau.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berharap risikan teknikal yang disebut dalam WikiLeaks, menyentuh kes liwat melibatkan Anwar dapat didedahkan pada umum memandangkan ia menjadi sandaran Singapura dalam membuat kesimpulan mereka.

Kata beliau, pendedahan WikiLeaks bahawa fitnah liwat terhadap Anwar merupakan satu rekayasa polis Cawangan Khas Malaysia tidak boleh dipandang enteng dan mengesahkan kenyataan bahawa ia adalah satu konspirasi peringkat tertinggi.

Menurut laporan The Sun-Herald semalam, pendedahan kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat menunujukkan pegawai-pegawai risikan Singapura memberitahu rakan sejawatan mereka dari Australia bahawa Anwar terlibat dalam perbuatan yang dikenakan tuduhan itu - tindakan yang beliau menafikan sama sekali.

“Jabatan Risikan Kebangsaan Australia juga mengatakan bahawa kelakuakn itu adalah akibat perangkap oleh musuh-musuh Dr Anwar,” lapor akhbar itu, yang merupakan sebahagian daripada produk kumpulan Sydney Morning Herald.

Laman web WikiLeaks telah menyiarkan sekitar 250,000 kabel diplomatik dari Amerika Syarikat, pendedahan mengenai pandangan dan ulasan yang amat mengejutkan, melibatkan pelbagai negara dan banyak pemimpin dan ketua kerajaan. Sekitar 1,000 kabel pula berkaitan dengan Malaysia termasuk sebahagiannya mengenai keengganan Putrajaya bekerjasama dengan beberapa pihak utama dunia.

Wikileaks diasaskan oleh wartawan Australia Julian Assange, yang sekarang ditahan Scotland Yard berhubung dakwaan kes seksual yang dibawa oleh Sweden.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1 Desa Damansara Condominium di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Kes itu sedang didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan akan disambung bulan depan.

Tuduhan kali pertama dikenakan sedekad yang lalu, selepas beliau dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno.

Anwar, yang mengetuai Pakatan Rakyat (PR) belum lagi mengulas pendedahan terbaru oleh akhbar Australia ini.

Menurut akhbar itu, kabel melibatkan kedudukan Anwar merupakan salah satu daripada beberapa kandungan yang mendedahkan pandangan mengejutkan pegawai-pegawai kanan Singapura termasuk dakwaan bahawa “Malaysia berada dalam keadaan terkeliru dan bahasa ekoran ahli-ahli politik yang tidak kompeten.”

Kabel mengenai kes liwat Anwar ini bertarikh November 2008 iaitu lima bulan selepas kes liwatnya terdedah dan disiasat polis.

Ia menyebut, “Australia mengatakan bahawa perkhidmatan risikan Singapura dan (pemimpin kanan Singapura) Lee Kuan Yew memberitahu ONA dalam pertukaran pandangan bahawa pemimpin pembangkang Anwar sememangnya melakukan perbuatan itu, yang beliau didakwa sekarang.”

Dokumen itu juga mengatakan bahawa Singapura memberitahu ONA yang mereka membuat penilaian itu berasaskan risikan teknikal, yang mana kemungkinan dikaitkan dengan komunikasi yang dipintas, kata akhbar itu.

“ONA membuat penilaian, dan rakan-rakan sejawatan mereka dari Singapura bersetuju, ia adalah (satu) kerja (dia) diperangkap dan kemungkinan dia tahu mengenainya, tetapi bagaimanapun dia terlibat,” kata kabel itu.(MalaysianInsider)