13 Disember 2010

Pemilihan DAP: Exco dan 4 ADUN tewas mengejut

07 Muharam 1432H

Pemimpin veteran DAP Pulau Pinang, Phee Boon Poh dan empat lagi ADUN tewas mengejut dalam pemilihan 15 anggota jawatankuasa DAP negeri itu hari ini.

Kekalahan Phee, yang juga exco Kesihatan, Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Negeri, dianggap mengejut kerana beliau merupakan antara pemimpin yang paling rajin turun padang dalam melaksanakan tugasnya.

Dalam pemilihan di Dome, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Phee, yang juga ADUN Sungai Puyu, memperoleh 173 undi, iaitu kurang enam undi daripada Gooi Seong Kin yang menduduki tempat terakhir dalam barisan jawatankuasa itu.

Empat lagi ADUN yang tewas ialah Lau Keng Ee (Pengkalan Kota), Yeoh Soon Hin (Paya Terubong), Koid Teng Guan (Sungai Pinang) dan A.Tanahsekharan (Bagan Dalam).

Ketika ditemui selepas keputusan diumumkan, Phee kelihatan tenang dan berkata beliau menerima keputusan yang dibuat oleh 466 perwakilan itu dan menganggap ia sebagai titik tolak bagi dirinya untuk berjuang dengan lebih gigih demi parti.

"Saya menerima kekalahan itu dengan hati terbuka. Mungkin saya belum cukup bagus, sebab itu perwakilan tidak mengundi saya," katanya.

Dalam pemilihan itu, ADUN Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo, yang juga anak kepada Pengerusi DAP, Karpal Singh, memperoleh undi terbanyak dengan 348 undi.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: