13 Disember 2010

Prof. Shahrir hasilkan buku 'Tok Guru Nik Aziz'

07 Muharam 1432H
Oleh : Muhayat Yasmin

PERMATANG PAUH, 12 Dis: Buku bertajuk ' Kepimpinan Tok Guru Nik Aziz Mengikut Pandangan Sarjana Kepimpinan Besar Sepanjang Zaman' hasil tulisan Prof. Dr Shahrir Mohd Zain telah dilancarkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato' Abdul Halim Hussain di Masjid Batu, Kampung Pertama, semalam.

Abdul Halim dalam ucapan pelancarannya menyatakan bentuk kesederhanaan dalam kepimpinan yang ditunjukkan oleh Menteri Besar Kelantan itu adalah suatu yang sukar diamalkan oleh mana-mana pemimpin dalam negara ini.

Katanya, sifat peribadi yang tinggi dipunyai oleh Nik Aziz itu bukan saja disenangi oleh majoriti rakyat Kelantan yang beragama Islam, malah ia turut disenangi oleh masyarakat bukan Islam.

"Wasatiyyah yang menggabungkan sifat keadilan dan kesederhanaan Tok Guru itu diungkapkan dalam buku ini bagi menjadi teladan kepada masyarakat. Ia adalah sebagai panduan dalam mengamati sifat peribadi yang harus ada pada kepimpinan sama ada peringkat bawahan maupun peringkat tertinggi.

"Beliau juga adalah tokoh sederhana dalam kepimpinan negara yang tidak juga dapat ditandingi sifatnya oleh mana-mana kepimpinan yang ada dalam negara ini walaupun telah berjaya memimpin Kelantan lebih dari 20 tahun hingga kini," ujar beliau.

Pelancaran kali ini adalah sebagai permulaan kepada pelancaran yang akan turut dilakukan di beberapa buah negeri lagi sebagai satu wadah perjuangan untuk memberi peluang kepada masyarakat memiliki buku yang menceritakan keperibadian dan kepimpinan Tok Guru Nik Aziz.

Sasterawan Negara, Azizi Abdullah, Dinsman dan Ketua Satu Persatuan Penulis Pulau Pinang, Anuar Ahmad adalah antara tetamu yang turut hadir pada majlis pelancaran buku tersebut.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: