13 Disember 2010

Wikileaks - info kes Anwar disensasikan

KUALA LUMPUR, 12 Dis − Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata pihaknya memandang serius cubaan memanipulasikan maklumat didedahkan WikiLeaks mengenai komen-komen bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew and agensi perisikan negara tersebut berkenaan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyaatan dikeluarkan lewat petang ini, Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution Ismail berkata, rakyat perlu faham kaedah operasi dan fungsi WikiLeaks untuk menilai sama ada komen-komen tersebut boleh diterima pakai ataupun sebaliknya.

“WikiLeaks adalah sebuah laman yang memberi ruang kepada orang ramai menghantar maklumat-maklumat sulit yang dirahsiakan daripada pengetahuan orang ramai. “Orang ramai bebas menghantar apa-apa jenis maklumat pun, jadi ada maklumat yang datangnya dari kajian terperinci, ada juga hanyalah rakaman perbualan antara ahli-ahli diplomat.

“Maklumat yang didedahkan kali ini dan dipetik akhbar hanyalah catatan komen-komen peribadi yang dibuat oleh ahli diplomat Singapura, Lee dan agensi perisikan negara itu,” katanya.

Saifuddin berkata, laporan The Sydney Morning Herald ditulis berdasarkan catatan pendapat peribadi ahli diplomat Singapura mengenai jiran serantau dalam Asean, Jepun, China dan India.

“Ia adalah pendapat peribadi mereka, bukannya fakta,” katanya lagi.

Beliau seterusnya memberitahu, untuk memahami dengan lebih dekat bahawa catatan tersebut adalah pendapat peribadi mereka yang disensasikan, rakyat perlu juga meneliti secara keseluruhan maklumat-maklumat lain yang turut didedahkan oleh WikiLeaks yang terkandung dalam kabel yang sama merakamkan pandangan peribadi pegawai-pegawai diplomatik Singapura.

Justeru, Saifuddin menyenaraikan maklumat dikongsi oleh Bilahari Kausikan yang kini merupakan Setiausaha Tetap Kementerian Luar.

“Menurut satu kabel yang merakamkan satu mesyuarat pada September 2008, Kausikan memberitahu Timbalan Setiausaha Pertahanan AS David Sedney bahawa ‘ada kemungkinan besar berlakunya konflik perkauman di Malaysia’ yang akan menyebabkan orang Cina ‘meninggalkan’ Malaysia dan ‘menyusahkan’ Singapura.

“Mengenai kepimpinan Barisan Nasional pula, kata beliau, ‘masalah utama Malaysia adalah tiadanya pemimpin yang berwibawa. (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib Razak perlu menang dalam pertarungan politik untuk mengelakkan didakwa’, secara jelas mengaitkan Perdana Menteri dengan skandal pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu. Dia mengulangi pendapatnya bahawa ‘Najib Razak terancam disebabkan kes pembunuhan itu’.

“Dia juga memanggil bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra seorang yang mengamalkan ‘rasuah’, ‘sama seperti yang lain termasuklah pembangkang di Thailand’. Ujarnya dalam kabel itu lagi, Thaksin ‘membuat kesilapan berbuat baik dengan Putera Mahkota Thailand apabila Thaksin membayar hutang judi putera itu’. Katanya , putera itu ‘tidak keruan dan sangat mudah dipengaruhi’,” kata Saifuddin dalam kenyataan itu.

Katanya, komen-komen yang lain termasuklah kenyataan beliau “lebih selesa dengan Korea Utara sebagai kuasa nuklear berbanding jika Iran mempunyai senjata nuklear”.

Memetik pandangan Peter Ho pula kata kenyataan Saifuddin itu, pada Mac 2008, dia mengutuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana “membaling batu” kepada penggantinya, Tun Abdullah Badawi.

“Komennya terhadap Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin adalah lebih kasar.

“Menurutnya, ‘Khairy Jamaludin akan ditikam dalam Umno kerana tiada orang yang sukakannya (Khairy) kerana Khairy naik dalam politik akibat pertalian keluarga.

“Seperti juga rakan sekerjanya, En Ho mengulangi tuduhan yang mengaitkan Perdana Menteri dengan pembunuhan Altantuya. Katanya, ‘Najib adalah seorang yang suka mengambil kesempatan.

“Walaupun setakat ini dia masih belum mengkritik Singapura, dia tidak teragak-agak sekiranya tindakan itu menguntungkannya. Masa depan politik Najib akan terus dihantui oleh skandal pembunuhan (Altantuya),’ kata Saifuddin.

“Seorang lagi diplomat kanan Singapura yang dipetik oleh kabel yang didedahkan oleh WikiLeaks itu mengkritik negara-negara lain yang ada pengaruh di rantau ini, dalam catatan mesyuarat dalam bulan September 2009.

“Dia menggelar Jepun sebagai ‘orang gemuk yang kalah dan merajuk’ apabila membandingkan hubungan China dan Asean yang makin rancak. Dia juga menyalahkan keadaan itu kepada ‘kepimpinan Jepun yang bodoh, lemah dan tidak ada wawasan’.

“Pandangannya terhadap India juga buruk, melalui gambarannya bahawa ‘kawan India yang bodoh dan teragak-agak untuk berkecimpung dengan ASEAN’,” kata Saifuddin memetik kabel menyentuh pandangan Tommy Koh.

Oleh itu kata Saifuddin, kabel sulit yang mengandungi pandangan peribadi Lee dan perisikan Singapura mengenai fitnah terhadap Anwar perlu dilihat dalam konteks yang sama dan sebetulnya iaitu komen-komen peribadi yang menghina semua pihak di Malaysia tanpa mengira parti dan latar belakang.

“PKR mengulangi pendirian parti bahawa pandangan-pandangan tersebut, walaupun terkandung dalam kabel sulit diplomatik yang dibocorkan oleh WikiLeaks, adalah pandangan peribadi individu-individu tersebut yang tidak disokong oleh fakta.

“Untuk berlaku adil kepada semua pihak, komen-komen itu perlu dianggap sebagai cakap-cakap kosong dan pendapat peribadi mereka,” katanya lagi.

Jika tidak, katanya, Najib sendiri yang perlu berhempas pulas menjawab dakwaan demi dakwaan yang terkandung dalam kabel sulit yang sama, yang mengaitkan beliau dengan pembunuhan Altantuya.

“Akhirnya, kita kena kembali kepada perkara pokok yang meruntun negara dan rakyat iaitu integriti sistem kehakiman yang dinodai sehingga menidakkan keadilan.

“Ini dapat diselesaikan dengan mudah sekiranya Datuk Seri Anwar diberikan ruang sepenuhnya membela diri tanpa manipulasi atau campur tangan politik agar beliau mendapat perbicaraan yang adil dan telus,” katanya lagi.

Saifuddin juga berkata, fitnah terhadap beliau dan keluarga telah mengheret seluruh negara ini diselubungi igauan sejak 1998.

Katanya, igauan tersebut boleh dihentikan sekiranya integriti dan kredibiliti institusi kehakiman dipulihkan.

“Makanya, PKR akan mengalu-alukan mana-mana maklumat (sulit atau tidak) dari mana-mana pihak yang boleh menegakkan kebenaran, asalkan maklumat itu adalah tepat dan berasaskan fakta.

“Malangnya, komen-komen yang terkandung dalam kabel sulit yang dibocorkan itu tidak lebih dari maki- hamun terhadap semua perkara yang bukan Singapura, bertepatan dengan rekod hubungan diplomatik yang dingin di antara Malaysia dan Singapura,” kata beliau.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berharap risikan teknikal yang disebut dalam WikiLeaks, menyentuh kes liwat melibatkan Anwar dapat didedahkan pada umum memandangkan ia menjadi sandaran Singapura dalam membuat kesimpulan mereka.

Kata beliau, pendedahan WikiLeaks bahawa fitnah liwat terhadap Anwar merupakan satu rekayasa polis Cawangan Khas Malaysia tidak boleh dipandang enteng dan mengesahkan kenyataan bahawa ia adalah satu konspirasi peringkat tertinggi.

Menurut laporan The Sun-Herald semalam, pendedahan kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat menunujukkan pegawai-pegawai risikan Singapura memberitahu rakan sejawatan mereka dari Australia bahawa Anwar terlibat dalam perbuatan yang dikenakan tuduhan itu - tindakan yang beliau menafikan sama sekali.

“Jabatan Risikan Kebangsaan Australia juga mengatakan bahawa kelakuakn itu adalah akibat perangkap oleh musuh-musuh Dr Anwar,” lapor akhbar itu, yang merupakan sebahagian daripada produk kumpulan Sydney Morning Herald.

Laman web WikiLeaks telah menyiarkan sekitar 250,000 kabel diplomatik dari Amerika Syarikat, pendedahan mengenai pandangan dan ulasan yang amat mengejutkan, melibatkan pelbagai negara dan banyak pemimpin dan ketua kerajaan. Sekitar 1,000 kabel pula berkaitan dengan Malaysia termasuk sebahagiannya mengenai keengganan Putrajaya bekerjasama dengan beberapa pihak utama dunia.

Wikileaks diasaskan oleh wartawan Australia Julian Assange, yang sekarang ditahan Scotland Yard berhubung dakwaan kes seksual yang dibawa oleh Sweden.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1 Desa Damansara Condominium di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Kes itu sedang didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan akan disambung bulan depan.

Tuduhan kali pertama dikenakan sedekad yang lalu, selepas beliau dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno.

Anwar, yang mengetuai Pakatan Rakyat (PR) belum lagi mengulas pendedahan terbaru oleh akhbar Australia ini.

Menurut akhbar itu, kabel melibatkan kedudukan Anwar merupakan salah satu daripada beberapa kandungan yang mendedahkan pandangan mengejutkan pegawai-pegawai kanan Singapura termasuk dakwaan bahawa “Malaysia berada dalam keadaan terkeliru dan bahasa ekoran ahli-ahli politik yang tidak kompeten.”

Kabel mengenai kes liwat Anwar ini bertarikh November 2008 iaitu lima bulan selepas kes liwatnya terdedah dan disiasat polis.

Ia menyebut, “Australia mengatakan bahawa perkhidmatan risikan Singapura dan (pemimpin kanan Singapura) Lee Kuan Yew memberitahu ONA dalam pertukaran pandangan bahawa pemimpin pembangkang Anwar sememangnya melakukan perbuatan itu, yang beliau didakwa sekarang.”

Dokumen itu juga mengatakan bahawa Singapura memberitahu ONA yang mereka membuat penilaian itu berasaskan risikan teknikal, yang mana kemungkinan dikaitkan dengan komunikasi yang dipintas, kata akhbar itu.

“ONA membuat penilaian, dan rakan-rakan sejawatan mereka dari Singapura bersetuju, ia adalah (satu) kerja (dia) diperangkap dan kemungkinan dia tahu mengenainya, tetapi bagaimanapun dia terlibat,” kata kabel itu.(MalaysianInsider)

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kalau berita 'bocor' itu disedut dari kabel tuanpunya bolehlah dikatakan "leaks" sebab buktinya jelas. kalau dari pihak lain maknanya "fitnah" sebab mengatakan sesuatu yang diluar pengetahuannya. Inilah zaman dimana fitnah berleluasa ....

Qaseh Bonda berkata...

Entah le nyah!! Mak pun xpaham. Suka sama suka kok sampai 20 tahun.

Yang terang2 rogol anak, bunuh anak tak pulak sampai 20 tahun bahkan ditubuhkan dengan izin kelab gay dalam Malaysia.

Yang terlibat secara langsung bunuh orang cuma 7 tahun saja dihisab.

Ada yang rasuah terang2 bermewah dalam air keruh, ciput ja kena 2 tahun.

Api yang membara...Bara menjadi debu.

Penjarakanlah Anwar biar lahir beribu2 Anwar.