14 Januari 2011

Minda kelas ketiga: Tercapaikah Wawasan 2020?

9 Safar 1432H MOD.

14 JAN — Tahun 2011 sudah pun membuka tirainya lebih seminggu yang lalu. Segala impian, hajat mahupun resolusi yang pernah terbuku dalam hati rakyat pada malam sebelum Tahun Baru, kini dalam proses untuk direalisasikan, itupun jika ia mahu dijayakan.

Harapan dan tekad untuk melakukan perubahan bukan sahaja dari segi sikap kita tetapi juga cara melaksanakan sesuatu perkara, akan diuji selepas ini.

Tetapi hakikat di hadapan mata kita, apakah yang sudah berubah pada Tahun Baru 2011? Adakah kita sudah berubah seperti yang diharap-harapkan? Apakah kita sudah berubah dan menjadi seorang insan mukammil dan rakyat yang bertanggungjawab dalam membantu kerajaan sekarang merealisasikan agenda nasional demi manfaat bersama?

Mahukah kita berubah? Demikian beberapa persoalan yang bermain dalam fikiran penulis ketika ini. Melihat kepada beberapa laporan akhbar tempatan baru-baru ini yang mendapati timbunan sampah-sarap ada di merata tempat di sekitar lokasi sambutan ambang Tahun Baru 2011 di ibu negara, nampaknya tahun mungkin baru tetapi sikap rakyat masih di takuk lama.

Isu yang disebutkan di atas bukan isu baru. Malah sudah berkali-kali ia dibangkitkan dalam media massa tempatan hinggakan ada wartawan yang membuat liputan sekalipun telah hilang sabar.

Rakyat Malaysia nampaknya lebih berminat untuk mencari jalan pintas dalam isu ini daripada mengambil inisiatif untuk membuangnya ke dalam tong sampah walaupun tong sampah terletak di hadapan mata mereka.

Justeru, apabila terdapat sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris secara sinisnya menggunakan tajuk “Di Sebalik Kedatangan Tahun Baru, tetapi tabiat buruk rakyat Malaysia kekal sama,” perasaan terkejut tidak langsung terlintas dalam fikiran penulis. Malah, sindiran tajam dalam artikel akhbar berkenaan merupakan manifestasi kekecewaan terhadap sikap rakyat Malaysia yang masih terperangkap dalam minda negara dunia ketiga.

Apa yang dilaporkan dalam akhbar tersebut bukanlah sesuatu yang asing tetapi sudah menjadi satu pemandangan biasa di negara ini. Lebih mengecewakan, sikap acuh tak acuh yang ditunjukkan rakyat juga membuktikan bahawa segala ajaran dan didikan sivik yang pernah diterima di sekolah dahulu, tidak membawa sebarang kesan. Ibarat masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.

Lantaran itu, apakah kita mahu biarkan trend sedemikian menjadi sebahagian daripada budaya hidup rakyat Malaysia? Tinggal 10 tahun sahaja lagi, negara kita dijangka akan memasuki status sebagai sebuah negara maju seperti yang diuar-uarkan dalam Wawasan 2020 cetusan ilham mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Maju bukan sahaja dari segi ekonomi, politik dan budaya bahkan juga dari segi tahap pemikiran serta tahap kesedaran terhadap sesuatu isu.

Sesungguhnya, status sebagai sebuah negara maju bukan sahaja diukur dari segi kehebatan kadar pertumbuhan ekonomi atau jumlah pelaburan asing yang berjaya ditariknya tetapi juga aspek-aspek lain yang adakalanya terlepas dari pandangan kita. Aspek-aspek lain yang dimaksudkan itu termasuklah jangka hayat rakyat, hak asasi manusia dan juga tahap kebersihan negara.

Jika inilah sikap pengotor dan sikap acuh tak acuh yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia, maka Wawasan 2020 yang sepatutnya melonjakkan Malaysia ke status sebagai negara maju, tidak akan membawa sebarang makna malah tidak akan mencapai objektif yang disasarkan.

Sebaliknya, apa yang kita akan dapat lihat selepas ini ialah sebuah masyarakat yang tidak berperaturan, pengotor dan bertaraf dunia ketiga seperti negara-negara mundur di tempat lain.

Penonjolan sikap pengotor dan acuh tak acuh ini jelas hanya mengukuhkan kritikan sinis segelintir pihak bahawa masyarakat di negara ini belum bersedia malah tidak berminat untuk membuat anjakan.

Yang pasti, kebersihan mencerminkan keperibadian seseorang. Tanggungjawab menjaga kebersihan adalah tanggungjawab kita bersama. Ia tidak boleh diletakkan pada bahu para pekerja am atau tukang menyapu sampah semata-mata. Kecenderungan untuk kita berfikir bahawa tugas menjaga kebersihan hanya terletak pada pekerja am adalah satu sikap yang tidak bertanggungjawab dan pentingkan diri sendiri.

Mengapa tidak kita anggap negara ini sebagai rumah kita sendiri. Jika kita boleh menjaga kebersihan rumah dengan baik, mengapakah tidak sikap tersebut turut diperluaskan di luar kawasan rumah?

Adakah ia terlalu sukar untuk rakyat berbuat demikian ataupun semuanya kerana berpunca daripada sikap rakyat yang terlalu hidup dalam zon selesa hinggakan semua aspek kehidupan perlu diserahkan kepada orang lain?

Sebuah negara yang maju tetapi tidak diiringi oleh takuk minda yang bersih, sebenarnya tidak banyak beza dengan negara-negara dunia ketiga. Negara tersebut akan dipandang hina dan menjadi bahan gurauan di seantero dunia.

Sebuah negara yang bersih, sudah pastinya rakyat juga akan sihat. Dan apabila rakyat sihat sejahtera, maka produktiflah sesebuah negara itu. Apabila sesebuah negara itu produktif, sudah tentu ia dapat berkembang ke satu tahap yang lebih gemilang.

Bersempena dengan kedatangan Tahun Baru 2011 ini, adalah penting sikap negatif seperti yang diuar-uarkan tadi, perlu dikikis dan tidak terus tertanam dalam kerangka pemikiran rakyat negara ini.

Menjadi harapan semua pihak agar sebuah masyarakat yang berkesedaran sivik tinggi dan prihatin dapat dilahirkan. Tiada maknanya kehebatan sesebuah negara jika rakyatnya sendiri masih terperangkap dalam takuk minda yang lama.

Apa yang kita ingin lihat selepas ini ialah sebuah negara Malaysia yang ada kelasnya tersendiri dengan kalangan rakyatnya mempunyai takuk minda baru yang seiring dengan negara-negara maju. Berubahlah dari sekarang! (Malaysian Insider)

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Isu SUK: Hasan Ali, PAS Selangor nafi belakangi Pakatan

9 Safar 1432H MOD

KUALA LUMPUR, 14 Jan — PAS Selangor berkata rakan komponen Pakatan Rakyat itu komited dengan pendirian kerajaan negeri dalam isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri dan memanggil sidang khas Dewan Undangan Negeri 24 Januari ini untuk meminda perlembagaan negeri.

Dalam kenyataan dikeluarkan bagi menjelaskan laporan menggambarkan Pesuruhjayanya Datuk Dr Hasan Ali (gambar) ‘menyokong’ pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri baru, PAS Selangor berkata, pihaknya juga menolak sebarang bentuk campur tangan kerajaan pusat.

“Sesungguhnya PAS Selangor menolak sebarang bentuk campur tangan dan gangguan dari kerajaan persekutuan berhubung pelantikan khasnya para pegawai kanan negeri tanpa melibatkan kerajaan negeri dalam prosesnya,” kata Ketua Penerangan PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir.

Sidang khas Dewan Undangan Negeri hujung bulan ini bertujuan mengembalikan kuasa istana dan negeri dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri Selangor.

Laporan media kelmarin, yang dilihat yang pertama secara terbuka sejak Hasan pulang dari luar negeri, beliau dipetik berkata masih yakin isu berhubung pelantikan Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri akan dapat diatasi.

Hasan yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam dilaporkan berkata, tidak wujud masalah apabila Khusrin melaksanakan dasar-dasar yang ditetapkannya.

Katanya, isu-isu berkenaan dapat diatasi dengan cara rundingan dan komunikasi yang baik.

Tambahnya, beliau akan dapat bekerjasama dengan baik dengan Khusrin memandangkan beliau telah mempunyai pengalaman seperti itu dalam kerajaan.

Kata Hasan, isu yang timbul susulan daripada pelantikan Khusrin lebih banyak disebabkan amalan biasa tidak dipatuhi.

Sehubungan itu kata Roslan Shahir, Hasan dan pemimpin-pemimpin kanan PAS Selangor telah mengunjungi Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan video rakaman sepenuhnya sidang media kelmarin juga telah dipertontonkan kepada beliau petang semalam.

“PAS Selangor ingin menegaskan kenyataan akhbar dibuat Dato Hasan semalam (kelmarin) di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Gombak Setia berhubung isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru adalah selaras dengan arahan parti dan Presiden PAS,” katanya.

Kata Roslan Shahir, PAS Selangor kesal kenyataan dibuat pada sidang akhbar tersebut telah diputarbelitkan sehingga menggambarkan seolah-olah PAS Selangor bersetuju dengan proses pelantikan Khusrin dan terpisah dari pendirian Pakatan Rakyat Selangor dan kerajaan negeri.

Katanya, PAS Selangor sedang menimbang untuk mengambil tindakan tegas terhadap Malaysiakini kerana melaporkan perkara yang tidak benar dan berbentuk fitnah.

Dalam laporan terbaru semalam, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali memberikan ingatan kepada pimpinannya di Selangor supaya tidak bertindak atau membuat kenyataan yang berbeza dengan pendirian yang telah diputuskan parti itu seperti yang dinyatakan oleh presidennnya baru-baru ini.

Dipetik Harakahdaily, Mustafa berkata, parti itu bersama dengan Pakatan Rakyat telah membuat keputusan bahawa mereka akan menyokong penuh pucuk pimpinan kerajaan negeri di Selangor dalam menghadapi isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Antaranya adalah menyokong penuh cadangan meminda perlembagaan negeri untuk mengembalikan kuasa Sultan dan Menteri Besar dalam pelantikan pegawai kanan kerajaan negeri sebagaimana yang diputuskan oleh kerajaan negeri Selangor.

Pemimpin utama PAS pada Ahad lalu berhimpun di Stadium Malawati, Shah Alam bagi menunaikan solat hajat dan menyatakan sokongan penuh mereka terhadap kerajaan negeri Selangor.

Hasan juga dilaporkan mengeluarkan kenyataan yang antara lain berkata, beliau boleh bekerja dengan Khusrin kerana beliau pernah bekerja dengan kerajaan.

Hasan juga memberikan amaran kepada kerajaan negeri Selangor supaya tidak menyerang Khusrin secara peribadi kerana “ia tidak adil dan boleh menimbulkan masalah dengan 28,000 kakitangan kerajaan yang ada.”

“Jika mereka buat piket, kita akan bermasalah,” kata Hasan. (MalaysianInsider)

13 Januari 2011

RMB, Salah Satu Mata Wang yang Paling Selamat

8 Safar 1432H.

Matawang Negara China, Renminbi (RMB) atau Yuan merupakan salah satu mata wang yang paling selamat di seluruh dunia. Demikian dinyatakan oleh pelabur antarabangsa yang terkenal, Jim Rogers di Chicago semalam. Beliau bercadang kepada kesemua pelabur global supaya terus menjadi pemilik RMB.

Ketika menyentuh tentang pertumbuhan ekonomi China yang telah meningkat dengan pesat yang berlarutan selama 30 tahun, Jim Rogers menyatakan bahawa pembaharuan China telah mendatangkan perubahan di seluruh dunia dan perubahan itu akan diteruskan. Beliau menambah bahawa ekoran A.S. berubah menjadi negara yang berhutang paling besar dalam sejarah, dolar Amerika sekarang telah menjadi satu pilihan yang salah belaka bagi para pelabur.

Program 100 Hari: Cadangan Anwar Melangkaui Sempadan Politik

08 Safar 1432H.

SHAH ALAM 13 JAN: Cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim 'Program 100 Hari Pakatan Rakyat' dilihat melangkaui sempadan politik.

Justeru, perbincangan intelektual pemulihan ekonomi negara harus diketengahkan kepada umum bagi memberi gambaran awal arah tuju negara.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah yang dihubungi Tv Selangor berkata, persepsi rakyat kini menjurus ke arah kepimpinan yang mampu mengorak perubahan meningkatkan sektor ekonomi yang menjadi asas kesejahteraan.

Oleh itu, katanya cadangan debat Ketua Pembangkang dengan Perdana Menteri dialu-alukan.

Menurut beliau rakyat tidak mempunyai saluran selain kepimpinan tertinggi membentangkan hujah seraya membuka laluan untuk mengetahui perkembangan yang mampu dilakukan oleh pemimpin kerajaan termasuk pembangkang.

"Masyarakat memang mahukan melihat satu perdebatan ilmiah, intelektual yang mengatasi kepentingan sentimen politik yang sentiasa terjadi seharian. Masyarakat ingin tahu apakah nasib mereka di masa depan yang dibawa oleh negara ini.

"Dan tidak ada orang yang layak bercakap kecuali pemimpin-pemimpin politik sebab mereka yang pasti akan menguruskan kehidupan masyarakat pada masa hadapan sebab mereka pembuat dasar dan polisi," kata beliau.

Tambah Abu Hassan lagi, perbahasan sihat seumpama ini harus dikembangkan dalam konteks negara demokrasi bagi menghulurkan maklumat terus kepada masyarakat.

Justeru tambah beliau, perdebatan mencari percaturan dan strategi mengembangkan kesejahteraan rakyat akan wujud menerusi kematangan politik yang telah wujud di negara ini.

"Kita mendoakan dan rakyat berharap agar perdebatan itu berlaku secara intelektual, akademik bersungguh-sungguh dan tidak hanya digerakkan dalam melalui sentimen dan kepercayaan politik," ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Abu Hassan menyifatkan tekanan ekonomi yang dilalui negara menerusi krisis kenaikan harga barang dan petrol seolah-olah tidak diuruskan dengan baik justeru usaha memulihkan situasi merupakan penyelesaian yang sedang dicari pemimpin.

140 maut dalam banjir lumpur di Brazil

08 Safar 1432H.

RIO DE JANEIRO: Hujan lebat melanda kawasan pergunungan Rio de Janeiro, menyebabkan runtuhan tanah dan banjir lumpur yang meragut sekurang-kurangnya 140 nyawa dalam tempoh 24 jam.

Anggota penyelamat menggunakan jentera berat, penyodok dan tangan untuk mengorek lumpur dan runtuhan tanah bagi mencari mangsa yang terperangkap.

Di Teresopolis, bandar yang terletak kira-kira 65 kilometer ke utara Rio, banjir kilat menghanyutkan kenderaan dan runtuhan lumpur melanda rumah kediaman.

Menurut seorang pegawai pertahanan awam, sekurang-kurangnya 114 terbunuh di bandar itu saja.

Katanya, hujan sebanyak 26 sentimeter turun di bandar itu dalam tempoh 2 jam.

Mangsa mengharungi air pada paras pinggang untuk menyelamatkan diri ketika air terus turun dari kawasan pergunungan walaupun hujan sudah berhenti.

Berikutan bencana terbaru itu, hampir 200 orang mati sejak Krismas apabila petaka melanda kawasan tenggara Brazil.

Banjir di Kelantan pulih

08 Safar 1432H.

KOTA BHARU: Banjir gelombang ketiga yang melanda Kelantan sejak minggu lalu pulih hari ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan berkata, semua pusat pemindahan banjir ditutup sejak semalam apabila semua 3,579 mangsa banjir di enam daerah pulang ke rumah masing-masing.

"Sehingga malam tadi, kawasan yang terakhir masih dilanda banjir ialah daerah Tumpat," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, semua laluan yang dinaiki air sebelum ini dibuka kepada semua kenderaan.

Antara daerah yang dilanda banjir di negeri ini ialah Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Tanah Merah, Tumpat dan Pasir Mas dan tinjauan mendapati ramai penduduk di sekitar Rantau Panjang dan Tumpat mula membersihkan lumpur yang memenuhi rumah mereka.

Kejadian banjir kali ini turut mengorbankan tiga nyawa iaitu Siti Aishah Kamarul Zaman, 10, yang lemas ketika bermain air di Kampung Limbat, Pasir Tumboh; Mohd Haikal Sobri, 8, juga ketika bermain air di Sungai Lubok Kuing, Gunung; dan Farid Zulkifli, 17, yang ditemui lemas di Sungai Kampung Talak, Chabang Empat, Tumpat.

Jurugambar dakwa ditumbuk buat pengecaman

08 Safar 1432H.

Seorang jurugambar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang mendakwa dipukul beberapa anggota polis bantuan berhampiran Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) Ahad lalu, hari ini dipanggil untuk membuat pengecaman.

Hairul Nizam Baharin, 37, hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada 3 petang tadi selepas dipanggil oleh pegawai penyiasat ASP Abdul Malik Hasim.

Sementara itu, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Malaysia mengutuk tindakan anggota polis bantuan yang didakwa menyerang seorang jurufoto Bernama ketika beliau menjalankan tugas
pada 9 Jan.

Dalam kenyataan, CIJ berkata wartawan, jurufoto akhbar dan malah ana-mana individu, tidak patut diganggu dan diugut oleh pihak berkuasa ketika ereka manjalankan tugas.

"Kami menyeru polis menjalankan siasatan menyeluruh dan segera untuk membawa ndividu terbabit ke muka pengadilan jika didapati perbuatan menyerang dan engugut itu benar-benar berlaku," katanya.

Dalam kejadian berkenaan, Hairul Nizam Bahrin, 37, ditahan tanpa sebarang ebab oleh anggota polis terbabit dan diugut akan dihumban dari tingkat tiga ebuah bangunan terminal baru.

Hairul Nizam dilaporkan berkata beliau sedang menunggang motosikal untuk ulang ke rumah setelah selesai menjalankan tugas kira-kira pukul 11.45 pagi pabila beliau ditahan beberapa lelaki berpakaian biasa yang mengaku sebagai nggota polis.

Selepas itu, beliau dibawa ke Terminal Bas Bersepadu Baru di Bandar Tasik elatan dengan tangannya bergari dan kepala bertutup, tanpa mengetahui sebabnya.

Hairul Nizam kemudian membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak tentang ejadian itu.

Malaysiakini/-

Krisis Selangor memang disengajakan

8 Safar 1432H MOD

Oleh : DS Nizar - Krisis yg berlaku di negeri Selangor kini seakan2 mirip krisis negeri Perak apabila berlaku rampasan kuasa yg di dalangi oleh SS Perak ketika itu. Cuma beza sedikit kerana di Selangor ia terjadi kerana SS lama bersara. Di Perak pula SS tidak bersara hingga kini masih SS Perak dengan gaji lumayan dan segala kemudahan JUSA A yg dinikmatinya, tapi masih buat kerja SS Perak (Jusa B) dan kini dianugerah pingat Dato' Seri atas tungkuslumusnya dlm mendalangi rampasan kuasa Perak pada sepanjang tempoh hampir 11 bulan sehingga penghakiman mahkamah persekutuan.

Namun apa yang perlu diberi perhatian adalah pelanggaran konvensyen, protokol, adatkebiasaan semangat perlembagaan yang amat ketara. Plotnya sama berserta pelakun sekali cuma lenggok tarianya sedikit berbeza kerana di Selangor pelakun utama adalah PM,Presiden UMNO tapi tetap Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor. Manakala rampasan kuasa di Perak didalangi pelakun utama yang ketika itu hanya sebagai Timbalan Presiden UMNO, Timbalan Perdana Menteri tetapi dia adalah Pengerusi UMNO negeri Perak.

Pelakuranan seperti pihak Istana, KSN, Pengarah JAIS/JAIP dan SS pula, seolah-olah sebiji serupa. Dan ramai yg terlepas atau tersilap tafsir bahawa di Selangor yg menjadi petualang utama ialah mantan SS. Dialah yang membelakangi Tan Seri Khalid, MB Selangor dengan bantuan dan persetujuan KSN. Di Perak oleh kerana tiada persaraan SS maka SS sedia ada kini menjalankan terus kegiatanya dengan KSN.

Menyedari peranan SS ketika itu yang membelakangi saya mungkin ramai yang masih tak lupa bagaimana pergelutan saya dengan SS Perak bila dia membelakangi saya dalam penentuan Pengarah JAIP apabila saya mengarahkan pengarah tersebut dilucut dan dikembalikan ketempat asalnya atas sbab tertentu. Hampir 2 bulan dan heboh dalam akhbar kemelut itu berlaku sehingga saya melantik Datok Mohd Nor Mansur Al-Hafiz menjadi Pengarah JAIP baru hingga kini. UMNO pukul canang ketika itu mencernakan seolah saya bermusuh dengan Istana. Panjang episod tersebut dan yang paling tak mampu saya lupakan.

Mengesan dan mengenali kaedah sabotaj yang dibuat SS Perak ketika itu saya mengadap Istana dan melafazkan rendah hati keluhan memohon Tuanku membantu menukar SS tersebut bahkan bukan sekali tetapi dua kali saya merayu agar SS itu ditukarkan. Tak cukup dengan itu saya ambil inisiatif bertemu KSN (Tan Sri Sidik Hassan sekarang) pohon penggantian baru atau dibawa saja dia(SS) balik kepangkuan Putrajaya namun tiada respon. Kemudian saya berjumpa KSN kali kedua apabila suasana jadi kritikal. Kali kedua itu saya betul-betul merayu kepada KSN ambilah SS itu dan tukarkan dia kerana dia tidak membantu saya dan kerajaan PR Perak dalam mentadbir bahkan di sabotaj. Apabila semua tidak berjaya, saya tandatangan dokumen prestasi SS sebagai cemerlang dan dinaikan pangkat ke JUSA A semata-mata diatas harapan SS akan di angkat menjadi Ketua setiausaha Kementerian dengan JUSA A dan mesti dibawa ke Putrajaya. Namun tidak terjadi walaupun SS dinaikan pangkat tetapi masih diletakan sebagai SS perak dan kerajaan negeri terpaksa tanggung semua gaji dan kemudahan sebagai Jusa A. Itu jugalah sebabnya kenapa apabila saya kembali menjadi MB Perak setelah diisytiharkan Mahkamah Tinggi KL, pertama saya umumkan pada 11 Mei 2009 ialah "pengantunggan" SS itu dan diambil tugasnya oleh Pegawai Kewangan Negeri Dato Jamaluddin Al-Amini (SFino). Tapi UMNOI rampas semula menggunakan Mahkamah Rayuan dalam sekelip mata. (MB semula hanya utk tempoh 18jam)

Mengenangkan insiden di Selangor kini saya berperasaan pergolakan ini sengaja dicetuskan dengan membelakangi YAB MB Selangor dalam melantik SS baru. Orang yang menjadi dalang tidak lain dan tak bukan ialah SS Selangor sendiri iatu yang baru bersara dan kini dilantik menjadi ahli dewan di Raja Selangor setelah menyempurnakan tugasan memporakpurandakan kerajaan PR Selangor sehingga kemahuan untuk dirampas atas arahan pimpinan politik UMNO tertentu. Orang ramai nampak seperti menyalahkan Datok Khusrin. Dalam konteks merampas kerajaan Selangor kini Datok Khusrin hanyalah dijadikan sebagai perkakas atau ajen sebab umum tahu namanya tidak langsung tersenarai sebagai calun yang layak dan wibawa dalam semua aspek pengurusan dan pemerintahan negeri dan sebuah kerajaan lebih lagi Pakatan Rakyat.

Jadi kita semua lihat saat kekhianatan UMNO BN dalam rampasan kuasa di Selangor. Sentimen durhaka pada Sultan Selangor dimainkan oleh UMNO terhadap MB Selangor dan kerajaan PR Selangor. NGO diperalatgunakan buat bantahan dan demo atas emosi ketuanan kebangsaan Melayu. Namun kita tetap yakin, "wamakaru wamakarollahu Wallahu khairul maakirin" (Blog Kamparinn)

Peneroka cabar permohonan injunksi kontraktor Felda

08 Safar 1432H.
Oleh : Darwish Zainal.

Seramai 33 peneroka Felda Palong 9, Jempol memfailkan afidavit balas di Mahkamah Tinggi Seremban semalam, untuk mencabar permohonan injunksi kontraktor lantikan Felda untuk menebang dan membeli pokok getah di tanah mereka.

Mereka memohon mahkamah menolak permohonan plantif - Evergreen Hevea Resources Sdn Bhd - dengan kos kerana mendakwa syarikat tersebut tidak mempunyai hak ke atas tanah mereka.

Afidavit balasan tersebut difailkan oleh salah seorang defenden - Azizan Ahmad - bagi pihaknya dirinya dan kesemua defenden yang lain.

Sebelum ini, kontraktor lantikan Felda itu telah memulakan kerja menebang pokok getah yang membabitkan lebih 200 peneroka di Felda Palong 9 untuk tanaman semula.

Bagaimanapun 33 peneroka berkenaan mahu melantik kontraktor lain yang menawarkan bayaran yang lebih tinggi untuk menebang dan pembelian pokok getah mereka.

Dalam afidavit itu, Azizan mendakwa pihak defenden tidak pernah menerima tawaran dari plaintif untuk kontrak penebangan dan penjualan pkok getah, mahupun menerima sebarang jenis ganjaran untuk pokok-pokok tersebut.

Katanya, defenden juga tidak menerima tawaran Felda untuk skim penebangan dan penjualan kayu pokok getah kerana ingin mendapatkan tawaran yang lebih tinggi dari luar.

Jika perintah larangan itu diberikan, tambahnya, ia akan menjejaskan hak defenden untuk memperolehi keuntungan yang maksima berdasarkan kepada keperluan pasaran dan ianya akan membantut secara tidak langsung proses penanaman semula.

Afidavit juga menyebut bahawa defenden masih boleh menoreh getah secara berterusan dan menyara hidup mereka.

Maka, jika perintah larangan dikenakan, ia akan menyebabkan defenden mengalami kesusahan kerana sekatan terhadap hak mereka mencari keuntungan yang berterusan kerana harga getah yang tinggi ketika ini dan jika plaintif cuba menebang pokok berkenaan, tambahnya.

Menurutnya lagi, defenden juga akan mengalami kerugian besar jika larangan dikenakan kerana harga yang ditawar oleh plaintif adalah rendah dan akan merugikan defenden.

"Defenden akan mengalami kesusahan untuk menjelaskan hutang, menyara hidup keluarga, persekolahan anak-anak akan terjejas dan seterusnya akan meninggikan tekanan hidup," katanya sambil menambah defenden tidak seharusnya menjadi mangsa atau kesilapan pihak lain.

Menurut peguam T Kumar yang mewakili 32 peneroka berkenaan, sebutan kes itu didengar dalam kamar dan akan dibicarakan pada 22 Februari ini.

Mereka turut diwakili peguam P Raja Sundram.

Bercakap kepada media kemudiannya, wakil peneroka, Mohd Salam Yusof mendakwa harga yang ditawarkan oleh kontraktor lantikan Felda bagi kerja menebang dan membeli kayu pokok getah adalah rendah, berbanding tawaran kontraktor yang ingin dilantik peneroka.

Menurut peguam T Kumar yang mewakili 32 peneroka tersebut, sebutan kes itu didengar dalam kamar dan ia akan dibicarakan pada 22 Februari ini.

Mereka turut diwakili peguam P Raja Sundram.

Malaysiakini/-

Shuhaimi akhirnya beri keterangan polis

08 Safar 1432H.
Oleh : Jimadie Shah Othman.

Kira-kira 100 berkumpul di ibu pejabat polis daerah (IPD) Shah Alam di seksyen 11 bagi memberikan sokongan kepada ADUN Seri Muda Shuhaimi Shafiei yang memberikan kenyataan kepada pihak polis.

Keadaan itu menyebabkan polis mengetatkan kawalan di IPD berkenaan dengan menutup pintu pagarnya dan mengerahkan 30 anggotanya berbaris di sepanjang jalan masuk ke situ.

Dipercayai kumpulan itu antara peserta perhimpunan menunjukkan sokongan kepada Sultan Selangor dan menteri besar yang diadakan di Dataran Shah Alam, tidak jauh dari situ, sebelum ini.

Antara kelihatan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad dan timbalan ketua Pemuda PKR Khairul Anuar Ahmad Zainuddin.

Difahamkan Shuhaimi sampai ke kira-kira jam 4 petang ditemani peguam Shamsul Iskandar Md Akin yang juga ketua pemuda PKR.

Dipercayai siasatan itu berhubung kenyataannya dalam blog yang didakwa menghina Sultan Selangor.

Siasatan itu berhubung kenyataannya dalam blog yang didakwa menghina Sultan Selangor yang menyaksikan beliau menerima laporan sekurang-kurang 25 laporan polis.

Shuhaimi keluar kira-kira dua jam setengah selepas itu ditemani peguam Shamsul dan Emir Hamzah Arshad. Seorang lagi peguamnya Sivarasa Rasiah yang juga bekas naib presiden PKR turut menyertai sidang media itu.

Bercakap pemberita dan sebahagian kecil penyokongnya yang masih sedia menunggu sejak hampir dua jam setengah, Shuhaimi berkata beliau memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis.

Dakwanya, walaupun tidak diberikan notis 111 Kanun Acara Jenayah, tetapi beliau menerima layanan yang baik sepanjang sesi soal siasat yang dikenadalikan oleh seorang pegawai penyiasat.

Beliau juga tidak pasti akan dipanggil semula selepas ini.

Berhubung kontroversi berterusan berkaitan tulisannya di blog yang disiasat itu, Shuhaimi berkata sedang menderafkan surat memohon perkenan bagi bertemu Sultan Selangor bagi menjelaskan perkara sebenar.

"Sekiranya Tuanku Sultan berasa tersinggung, saya akan memohon maaf kepada baginda," katanya yang tidak dapat menjangkakan bila pertemuan itu akan diadakan.

Sementara itu, mengulas desas-desus perletakannya yang disebarkan melalui SMS, Shuhaimi sambil ketawa berkata: "Saya sendiri tak tahu saya hendak letak jawatan, macam mana dia tahu. Saya kira ini provokasi dan fitnah untuk melemahkan Pakatan Rakyat."

Malaysiakini/-

Siapa akan bankrapkan negara, BN atau PR ?

8 Safar 1432H.
Drs. Khalil Idham Lim

Datuk Seri Najib nampaknya membuat alasan yang bukan-bukan untuk mengelak dari berdebat dengan Datuk Seri Anwar dengan dipetik berkata tidak nampak apa-apa hasil daripada debat yang dicadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim "Pelan 100 hari" Pakatan Rakyat.

Saya menyokong dengan kenyataan Perdana Menteri yang berkata yang penting ialah penilaian daripada rakyat dan biar rakyat yang menentukannya. Dan inilah alasan yang sebenar kepada Najib yang takutkan rakyat menilai hujah yang dikemukan olehnya yang mewakili BN dan menilai hujah dari Anwar yang mewakili Pakatan Rakyat.

Tawaran "Pelan 100 hari" Pakatan Rakyat jika menang pada pilihan raya umum ke-13 dengan menjanjikan antara lainnya pemansuhan tol dan kenaikan elaun untuk guru adalah tawaran yang ditakuti oleh Najib sehingga ianya menjadi perhatian sejak dibentang pada konvensyen Pakatan Rakyat di Pulau Pinang awal Disember tahun lepas.

Seingat saya Najib mengeluatkan kenyataan awalnya memperlekeh tawaran itu sehari selepas konvensyen Pakatan Rakyat dan mengatakan akan membuat kenyataan lain setelah membuat kajian.

Tetapi yang peliknya kenyataan demi kenyataan Najib selepas itu nampaknya untuk berselindung dengan hakikat bahawa tawaran itu adalah dalam ruang lingkup kemampuan negara dan berulangkali Pakatan Rakyat dikatakan akan membankrapkan negara.

Perdana Menteri dan ramai pakar ekonomi upahan BN menggambarkan sesuatu yang tidak masuk akal dan menyifatkan pelan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh menyebabkan negara muflis.

Penjelasan yang sangat mudah yang dikemukakan oleh pakatan rakyat ialah betapa pelan 100 hari memerlukan biaya sekitar RM19 billion sedangkan bajet yang membazir dan tidak sepatutnya dibentang oleh Najib untuk bajet 2011 melebihi dari jumlah itu.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Anwar dia menegaskan jumlah dana yang diperlukan untuk melaksanakan Janji 100 Pakatan Rakyat hanyalah RM19.2 bilion; yakni sama dengan subsidi korporat yang diberikan kepada IPP milik kroni setiap tahun. Jumlah ini adalah terlampau sedikit berbanding RM51 bilion yang hilang setiap tahun akibat ketirisan dan rasuah demi memastikan kroni gembira dan bersenang-lenang.

Sebagaimana yang disifatkan Anwar bahawa UMNO/BN berselindung di sebalik penguasaan media untuk memadamkan fakta, akhirnya isu yang diperkatakan secara terbuka ini mendedahkan kepada rakyat bahawa apa yang kemukakan oleh pakatan Rakyat dalam janji 100 harinya adalah sesuatu yang masuk akan dan boleh dilaksanakan.

Jauh sekali dari membankrapkan dan memufliskan negara kerana yang akan memufliskan negara adalah penerusan kuasa oleh BN yang mesti dihentikan oleh rakyat pada PRU yang ke 13 akan.

Apabila rakyat sedar bahawa tawaran dari Pakatan Rakyat adalah yang terbaik dan cuba dinafikan dengan putar belit dari pimpinan BN tanpa berani untuk berdebat maka menurut perkiraan saya BN sekarang dalam keadaan terdesak.

Asakan dan penjelasan berterusan oleh pimpinan Pakatan Rakyat mengenai kewajaran tawaran 100 hari adalah bahan kempen yang berterusan untuk menunbangkan BN dalam PRU ke 13 akan datang.

KJ terus cabar Anwar berdebat

08 Safar 1432H.
Oleh : Joseph Sipalan.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini terus mencabar Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menerima cabarannya untuk berdebat mengenai program 100 hari Pakatan Rakyat yang dilabelnya ‘tidak realistik’.

Mengulangi nada yang sama seperti Datuk Seri Najib Razak - Khairy berkata tidak ada keperluan bagi perdana menteri untuk ‘membuang masa’ berdebat dengan Anwar.

“Saya baca di Twitter, seorang penyokongnya berkata 'siapa awak untuk mencabar Anwar'... Saya seorang MP, dia juga seorang MP. Saya dipilih oleh parti saya, tetapi dia pula tidak dipilih oleh partinya,” kata Khairy pada sidang media Pameran Pekerjaan Pemuda BN 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Semalam, Anwar mencabar Najib supaya berdebat bagi mempertahankan program pembaharuan 100 hari itu yang didakwa BN akan mengheret negara ke arah kehancuran seperti Greece jika Pakatan Rakyat berkuasa.

Khairy adalah yang pertama memberikan reaksi apabila Anwar melontarkan cabaran berdebat itu dengan membalasnya di Twitter.

“Hanya itu saahaja, tuan? Tweet semula kata-kata orang lain. Awak dan saya, Dato’ Seri. Mengenai ekonomi. Jom berdebat,” tulisnya.

Malaysiakini/-

Shuhaimi nafi letak jawatan ADUN Sri Muda

08 Safar 1432H.
Oleh : Jimadie Shah Othman.

PKR menafikan dakwaan bahawa ADUN Seri Muda Shuhaimi Shafiei akan meletakkan jawatan atau melompat parti.

Naib Ketua PKR Kota Raja Kamarudzaman Sanusi berkata, SMS yang disebarkan pagi ini berhubung perkara itu adalah "palsu dan berniat jahat".

"Saya hendak sebut dengan jelas, SMS itu palsu, berniat jahat dan dilakukan musuh politik yang tertentu dan berkepentingan," katanya dalam sidang media di pejabat Shuhaimi di Kota Kemuning, Shah Alam.

Sebelum ini, ura-ura bahawa Shuhaimi akan melompat parti atau meninggalkan PKR bertiup kencang. Panggilan telefon serta sms yang dihantar juga tidak berjawap menguatkan lagi khabar angin itu.

Bukan itu saja, perkara itu mustahil dan "apa yang dikejar itu tak betul".

Shuhaimi bagaimanapun tidak hadir dalam sidang media itu.

Menurut Kamarudzaman, Shuhaimi tidak hadir menafikan sendiri kerana sedang menghadiri sebuah mesyuarat pagi ini.

Sehubungan itu, Kamarudzaman berkata, pihaknya menimbang membuat laporan polis berhubung penyebaran itu hari ini.

"Kita pertimbangkan buat laporan. Kesian pada wartawanlah, penat bekerja," katanya.

Ditanya sama ada beliau menuduh Umno di belakang desas-desus itu, beliau hanya menjawab: "Terlalu banyak musuh di luar."

Jadual ketat

Diminta menjelaskan kenapa Shuhaimi tidak tampil menafikan sendiri khabar angin itu, Kamarudzaman berkata itu pihaknya bersangka baik ADUN muda itu mempunyai jadual yang ketat.

Kamarudzaman juga memberitahu, Shuhaimi akan hadir mengikuti perhimpunan memberi sokongan pada Menteri Besar dalam isu pelantikan setiausaha kerjaan (SUK) di Shah Alam petang ini.

"Selepas itu beliau akan memberikan kenyataan kepada polis," kata Kamarudzaman.

Sementara itu, menurut seorang sumber yang dekat dengan ADUN tersebut ketika dihubungi hari ini, semua program Shuhaimi kini dibekukan buat sementara waktu.

Difahamkan, langkah itu adalah bagi memastikan keselamatan ADUN berkenaan.

Shuhaimi bagaimanapun tetap akan hadir untuk diambil keterangan oleh polis di Bangunan SUK petang ini, menurut sumber berkenaan.

Terdapat pelbagai versi mengenai siasatan polis itu. Ada yang mengaitkan dengan rumahnya yang disimbah dengan cat merah 7 Januari lalu.

Berita palsu

Ada juga yang mengaitkannya dengan tulisan Shuhaimi di blog berhubung isu perlantikan setiausaha kerajaan negeri Selangor yang baru yang didakwa sesetengah pihak, khususnya dari Umno bahawa ADUN Sri Muda itu menghina Raja-raja Melayu.

Ketika ditemui dalam perhimpunan menyokong menteri besar dan Sultan Selangor, Shuhaimi enggan mengulas panjang dan cuma berkata: "Tak keluar parti. Berita palsu," katanya.

Beliau dijadual terus memberikan kenyataan di IPD Shah Alam berhubung kenyataannya dalam blog yang didakwa menghina Sultan Selangor sebelum ini.

Malaysiakini/-

Nazri cabar debat isu Apco

08 Safar 1432H.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz mencabar ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berdebat dengannya mengenai Apco Worldwide sebelum membuat cabaran berdebat dengan Perdana Menteri.

Nazri berkata demikian bagi mengulas kenyataan Anwar, ketua umum PKR, yang mencabar Datuk Seri Najib Razak berdebat mengenai "Pelan 100 Hari" Pakatan Rakyat berikutan kenyataan Najib yang membidas pelan itu sebagai bersifat populis dan tidak bertanggungjawab kerana tidak disertakan dengan punca kewangan bagi melaksanakannya.

"Jangan jadi pengecut. Suruh dia jawab isu Apco dulu dan debat dengan saya dulu," kata Nazri dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama.

Anwar sebelum ini mendakwa mempunyai dokumen bahawa Apco Worldwide (APCO), sebuah syarikat perhubungan awam antarabangsa mempunyai kaitan dengan penubuhan
gagasan 1Malaysia dan kempen ‘One Israel’, walaupun kerajaan mendedahkan dokumen ang menafikan dakwaannya tersebut.

Berikutan kegagalan Anwar untuk mengemukakan bukti mengenai dakwaannya di persidangan Dewan Rakyat pada penggal yang lalu, beliau telah digantung daripada menghadiri persidangan itu untuk enam bulan selepas Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mendapati beliau berbohong.

Sementara itu, Menteri Penerangan Datuk Seri Rais Yatim berkata tindakan Anwar mencabar PM hanyalah gimik lama dan hanya mahukan publisiti.

"Saya tidak fikir PM akan jatuh dalam perangkap ini. Anwar dalam keadaan tersepit akan mengambil apa sahaja peluang untuk menyanggah data dan informasi ataupun usaha Perdana Menteri dalam apa-apa hal.

"PM melahirkan hujah yang menyakinkan dalam apa yang dilaksanakannya dalam tempoh setahun lebih. Kita sudah yakin bahawa informasi itu boleh dipertahankan," katanya kepada pemberita selepas bertemu petugas Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) di Kuala Lumpur, semalam.

Rais berkata semasa Anwar memegang jawatan Menteri Kewangan, lonjakan saham tidak pernah mencapai 1,500 mata, dan kini pendapatan orang kampung pun semakin meningkat dengan kenaikan harga getah sehingga RM12 sekilogram baru-baru ini.

Ahli parlimen Bebas Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali pula berkata Najib tidak perlu melayan kehendak Anwar kerana Anwar bukan seorang pakar ekonomi atau pakar kewangan, malah tidak ada pengalaman dan juga kelulusan.

"Tak perlu PM masuk perangkap politik Anwar. Anwar hanya berlagak pandai dan dia adalah pakar putar alam," dakwanya.

Apa yang penting ialah Perdana Menteri dan kerajaan memberikan penerangan kepada rakyat mengenai apa jua rasa tidak puas hati yang tercetus, terutama kos sara hidup yang semakin meningkat, kata presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) itu.

Sementara itu Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Shamsul Amri Baharudin berkata cabaran Anwar untuk berdebat dengan Najib mengenai polisi ekonomi, dilihat sebagai satu usaha terdesak.

Katanya, Anwar tidak perlu untuk berdebat memandangkan rakyat kini lebih cenderung menonton majlis yang berbentuk forum perdana.

Malaysiakini/-

Debat 100 hari Pakatan, Najib berdolak-dalih

08 Safar 1432H.

Datuk Seri Najib Razak berkata beliau tidak nampak apa-apa hasil daripada debat yang dicadangkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan beliau berhubung "Pelan 100 hari" Pakatan Rakyat.

Perdana Menteri berkata yang penting ialah penilaian daripada rakyat dan biar rakyat yang menentukannya.

"Kalau nak debat, kita mesti ada sesuatu hasil daripada debat itu. Saya tak nampak ada hasil, yang penting sekali ialah penilaian daripada rakyat," katanya kepada pemberita di Seri Perdana di Putrajaya hari ini selepas majlis ramah mesra meraikan skuad bola sepak kebangsaan yang menjuarai Piala AFF Suzuki pada bulan lalu.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas cabaran Anwar untuk berdebat dengan beliau berhubung "Pelan 100 hari" Pakatan Rakyat jika mereka menang pada pilihan raya umum ke-13 dengan menjanjikan antara lainnya pemansuhan tol dan kenaikan elaun untuk guru.

Sebelum ini, Perdana Menteri dan ramai pakar ekonomi menyifatkan pelan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh menyebabkan negara muflis.

Najib berkata pakatan pembangkang boleh membuat pembentangan mereka dan BN akan turut membuat pembentangan berhubung perkara itu.

"Dan kita boleh buat macam-macam penilaian atas perancangan berkenaan (pelan). Biar rakyat menentukan," katanya.

Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, jika ada orang lain yang mahu berdebat dengan Anwar seperti Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, itu terserah kepada masing-masing dan beliau tidak akan menghalangnya.

Malaysiakini/-