08 Februari 2011

PAS tanding PRK Dun Merlimau

5 RabiulAwal 1432H.
[MOD].Harakahdaily -
KUALA LUMPUR, 7 Feb: PKR dan DAP hari ini bersetuju untuk PAS meletakkan calon bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Merlimau pada 6 Mac nanti.

Persetujuan itu dicapai kesemua komponen parti dalam Pakatan Rakyat itu selepas mesyuarat Majlis Pimpinan mereka di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP di ibu negara petang tadi.

Keputusan itu diumumkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media mereka sekaligus menafikan desas-desus beberapa pihak bahawa PAS berkemungkinan tidak bertanding di PRK Dun itu.

“(Pilihan raya kecil) Merlimau, kita sudah bincang dan bersetuju sebulat suara supaya menyokong PAS sebagai wakil Pakatan Rakyat.

“Presiden PAS, Tuan Guru Hadi Awang meminta supaya seluruh jentera Pakatan Rakyat dikerahkan dan kita bersetuju,” kata Anwar.

Turut serta pada sidang media tersebut, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan beberapa kepimpinan ketiga-tiga parti yang lain.

Mengenai calonnya, Tuan Guru Abdul Hadi berkata keputusan mengenainya akan dibuat pada mesyuarat kepimpinan parti itu 13 Februari ini.

“Kami akan menyenarai pendek nama kemudian.

“Kita baru buat keputusan di peringkat Pakatan Rakyat. Calon itu nanti kita dapat maklumat daripada negeri,” kata Hadi.

Katanya, berdasarkan amalan biasa calonnya adalah warga tempatan dan kepimpinan pusat akan berbincang dengan pemimpin-pemimpin PAS Melaka sebelum menamakan calon mereka.

Mengulas lanjut, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata mesyuarat memilih calon akan diadakan pada 13 Februari nanti.

“Senarai pendek calon mungkin 13 Februari. Insya Allah kita akan mesyuarat 13 Februari, tapi calon perlu disahkan Pakatan Rakyat dahulu” kata Mustafa.

Kerusi Dun Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada 20 Januari lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari sebagai tarikh penamaan calon dan sekiranya ada pertandingan, pengundian pada 6 Mac.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

Kami dibelenggu keresahan dan kebimbangan, perlukan pembelaan

4 Rabiul Awal 14332H.
PAS Miri/NGO HAK Tanah Sarawak

Miri, 6 Februari 2011- Nasib kira-kira lebih dari 50 keluarga yang mendiami di sekitar Kampung Tudan yang masih tidak mendapat hak tanah milik kekal semakin mendapat perhatian umum dan juga pihak NGO. Semalam, sebuah NGO yang baru ditubuhkan untuk membela nasib rakyat dalam isu tanah telah hadir untuk mendengar sendiri masalah penduduk kampung terbabit, Seketariat Menuntut Hak Tanah Rakyat (HAK) telah mengadakan sesi aduan rakyat di kampung tersebut. Sesi aduan rakyat itu, diadakan bagi tujuan membantu pihak penduduk terbabit dalam membuat permohonan tanah dengan pihak berwajib.

Penduduk di sekitar kampung tersebut, dilaporkan telah diarah berpindah secara paksa rela dari kampung-kampung berhampiran seperti Kampung Canada Hill dan Kampung Lereng Bukit sejak enam tahun yang lepas. Pemindahan mereka yang dikatakan dibuat secara paksa itu tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya termasuk tidak mendapat pampasan yang adil. Tambah mengecewakan lagi, tanah lot penempatan baru yang diberikan kepada mereka di sekitar Kampung Tudan ini masih tidak mendapat status hak milik kekal sehingga sekarang.

Penduduk yang ditemui di majlis aduan rakyat semalam melahirkan rasa kecewa dengan tindakan lembab pihak berkuasa tempatan dalam usaha membantu menyelesaikan isu tanah mereka.

“Pihak berwajib kelihatan tidak bersungguh-sungguh dalam membantu kami. Lebih menghairankan, apabila ada golongan yang berpendapatan tinggi pun mendapat lot tanah di kampung ini, sedangkan pada waktu yang sama, kami golongan yang miskin masih tidak diberi lot tanah kekal” kata seorang ibu tunggal.

Penduduk terbabit juga jelas bimbang dengan khabar angin yang mengatakan bahawa mereka bakal diarah pindah ke kawasan baru tidak lama lagi. “Kami bimbang akan diarah berpindah ke kawasan baru jika hak milik tanah kami masih tidak mendapat status hak milik kekal” ujar seorang lagi penduduk yang ditemui.

Menurut penyelaras Seketariat Menuntut Hak Tanah Rakyat (HAK), saudara Arif yang ditemui semalam, tujuan penubuhan NGO tersebut bukanlah untuk menjanjikan tanah kepada penduduk, namun seketariat ini membantu penduduk terbabit membuat permohonan dan bertindak sebagai orang tengah diantara penduduk terbabit dan pihak berkuasa tempatan.

“Kami bukanlah wakil kerajaan, yang boleh menjanjikan apa-apa. Kami di sini sebagai pembantu dan penghubung antara penduduk terbabit dengan pihak berkuasa tempatan. Yang penting, penduduk bersatu dan berkerjasama dalam menjayakan permohonan tanah mereka” kata Arif yang ditemui selepas majlis semalam.

“Tanah Sarawak adalah milik rakyat Sarawak dan Hak rakyat Sarawak untuk mendapat tanah di negeri ini sepatutnya diberi keutamaan oleh pihak kerajaan. Kami akan mengadakan tindakan susulan dengan mengadakan pertemuan dengan pihak yang terbabit secepat yang mungkin di samping membantu penduduk terbabit membuat permohonan tanah mereka secara sah dan mengikut undang-undang. Kami berikrar akan membantu penduduk terbabit dalam usaha untuk mendapatkan hak tanah mereka” tambah Arif lagi.Isu tanah Sarawak, yang sering kali dibangkitkan oleh rakyat sejak beberapa tahun yang lalu tapi masih belum mempunyai penyelesaian yang sewajarnya sehingga hari ini.

PS: Sumber berita ini diterima dari pihak NGO Tanah Sarawak untuk diberi perhatian oleh pihak yang berkenaan agar sesuatu tindakan boleh diambil dengan segera agar masalah penduduk yang terbabit diberi perhatian dan pembelaan yang sewajarnya oleh pihak yang berkenaan. Pihak Pas hanya menyampaikan saja sumber berita yang diterima dari masyarakat umum untuk diberi perhatian.

Terung belanda

4 Rabiul Awal 1432H.
Bawang Goreng

Pernahkah anda meminum terung? Bagaimanakah rasanya jika terung yang berwarna ungu yang biasa kita kenali itu dijadikan jus? Eeee... Ngeri. Jika ada yang pernah mencubanya, jangan lupa kongsikan bersama saya.

Hari ini Laman-Seri kongsikan satu lagi jenis terung yang saya sendiri tidak pernah melihatnya. Kebetulan membaca tentang fauna ini dalam entry Misteri Etnik : Melayu Rao kaya petua tradisional - Part 4, lalu saya buat sedikit carian di MrGoogle.

Terung yang boleh dibuat jus yang mempunyai rasa yang enak ialah terung belanda. Bukan terung ungu yang biasa kita lihat itu, ya. Jangan tersilap terung. Terung belanda atau nama saintifiknya solanum betaceum juga dikenali sebagai tamarillo, tree tomato dan tergolong dalam keluarga solanaceae. Mengapa ia dipanggil terung belanda? Tidaklah diketahui mengapa, mungkin sama kisahnya dengan durian belanda. Belanda juga yang mendapat nama, hemmm....

Pokok terung belanda adalah tanaman asli di Andes Peru, Chile, Ecuador, Colombia dan Bolivia. Pokok ini juga banya ditanamkan di Argentina, Australia, Brazil, Indonesia, Kenya, Portugal, Amerika Syarikat dan Venezuela. Pokok terung belanda ini juga dijadikan sebagai tanaman komersil untuk eksport antarabangsa di New Zealand dan Portugal. Tanaman ini dipasarkan secara antarabangsa pada pertama kalinya di Australia iaitu sekitar tahun 1996.

Pokok terung belanda berupa perdu yang rapuh dan mempunyai ketinggiannya antara 2-3 meter. Pangkal batangnya pendek namun ia mempunyai cabang yang banyak. Daunnya tunggal, berselang-seling, bentuknya bundar telur sampai bentuk jantung, berukuran (10-35) cm x (4-20) cm, berpinggiran rata, berbulu halus, peruratannya menonjol, berujung lancip dan pendek. Kebiasaannya daun-daun itu berada hampir di hujung pucuk dan memiliki bau seperti lembu kutub(?). Daun pokok terung belanda mempunyai tangkai daun yaang agak panjang, iaitu sekitar 7-10 cm.

Bunga berada dalam rangkaian kecil di ketiak daun dan berdekatan hujung cabang. Bunganya berwarna merah jambu hingga biru muda dan berbau harum. Bunganya agak kecil, berdiameter kira-kira 1 cm sahaja. Kelopak bunga berbilangan lima, daun mahkota berbentuk genta, bercuping lima; benang sari 5 utas, berada di depan daun mahkota, kepala sari tersembunyi dalam runjung yang bertentangan dengan putik; bakal buah beruang dua, dengan banyak bakal biji, kepala putiknya kecil. [NB: Sorry, sesetengah ayat di sini tak dapat hendak diterjemah, sebab saya pun tidak berapa faham... hik hik... Walau bagaimana pun, saya akan cuba kemas kini bila cukup carian nanti, insya Allah.]

Buah terung belanda seakan buah buni bentuknya. Buahnya berbentuk bulat bujur telur dan berukuran (3-10) cm x (3-5) cm, meruncing ke dua hujungnya. Buahnya mempunyai tangkai yang panjang dan kelihatan bergantungan di pokoknya. Kulit buahnya nipis dan licin berkilat. Apabila buah terung belanda matang, ia berwarna lembayung kemerah-merahan, merah jingga sampai kekuning-kuningan.

Isi buahnya mengandung banyak sari buah. Rasanya agak masam-masam manis dan isinya berwarna kehitam-hitaman sampai kekuning-kuningan. Buah terung belanda mempunyai biji yang bulat pipih, tipis, dan keras. Isi buah terung belanda agak tajam dan manis, mungkin boleh dibandingkan dengan buah kiwi, tomato atau buah markisa. Kulit dan daging di dekat itu mempunyai rasa pahit yang tidak menyenangkan, dan biasanya tidak dimakan mentah.

Kandungan

Kulit buah terung belanda mengandung suatu zat yang rasanya pahit, tetapi zat ini dapat dibuang dengan cara mengupas kulitnya atau menyeduhnya dengan air panas selama 4 minit. Dengan menggantikan air setelah merebusnya 3-4 minit dan memanaskannya kembali dapat mengurangi rasa pahit dan kelat buah yang masih muda. Setiap 100 g bahagian buah yang dapat dimakan mengandung: air 85 g, protein 1,5 g, lemak 0,06-1,28 g, karbohidrat 10 g, serat 1,4-4,2 g, abu 0,7 g, vitamin A 150-500 SI, dan vitamin C 25 mg. Sebagian besar vitamin akan hilang jika buah direbus.

Manfaat

Buah terung belanda dimanfaatkan menurut berbagai cara, seperti masakan yang lazat dan makanan yang manis-manis. Buah mentah dapat digunakan untuk masakan ‘chutney’, kari dan sambal, sedangkan buah matang untuk sirap, sup dan rojak. Buahnya juga boleh dijadikan 'agen' pembersih daging ayam mentah (untuk nyah bau). Buah yang dibelah dapat digunakan sebagai bumbu perencah masakan. Buahnya juga boleh dibakar atau dipanggang untuk digunakan sebagai sayuran.

Buah ini boleh dimakan begitu sahaja dengan mencedok isinya dengan sudu, setelah buah dibelah dua, lebih kurang seperti kita memakan buah avokado. Jika buah ini disejukkan seketika dalam peti sejuk, rasanya manis dan menyegarkan.

Buah terung belanda akan memberikan rasa yang unik jika ditambah ke dalam masakan seperti kuah pasta, kari dan masakan lainnya. Buah ini juga sedap jika digunakan dalam salad.

Di Colombia, Ecuador dan sebahagian Indonesia seperti di Sumatera dan Sulawesi, buah terung belanda yang segar sering dicampur bersama-sama dengan air dan gula untuk membuat jus. Buah yang dibiarkan masak matang di atas pokok, boleh digunakan dalam penghasilan sirap (jus), jem, selai, pencuci mulut dan sebagai hiasan ais krim.

Rujukan asal di Ayo Bertani dan wikipedia - tamarillo

Mitos bisul

4 Rabiul Awal 1432H.

Bisul pada peringkat serius dipanggil Necrotising facitis atau bakteria yang memakan isi.

Elak makan lauk, telur lambatkan proses surut

BISUL adalah masalah jangkitan biasa dialami setiap orang sama ada kanak-kanak atau orang dewasa. Jangkitan bermula apabila bakteria atau parasit pada kulit merebak ke lapisan dalaman kulit menyebabkan ia kemerahan, bengkak, berisi nanah dan menyakitkan. Jenis bakteria paling biasa menyebabkan bisul pada kulit dikenali sebagai Staphylococcus Aerues.

Individu tertentu boleh mengalami masalah bisul atau jangkitan begini akibat diabetes, amino yang terjejas, HIV, tercedera serta imuniti yang rendah terutama pada kanak-kanak dan warga tua.

Pakar Perunding Pembedahan Ortopedik, Pusat Perubatan Prince Court, Dr Yong Chee Khuen, berkata biasanya bisul berlaku disebabkan kecederaan atau kemalangan yang tidak dirawat sempurna dengan kadar segera hingga menyebabkan terbentuknya ulser atau keradangan dalam kulit sehingga dijangkiti bakteria.

“Sekiranya berlaku jangkitan peringkat awal, ia dipanggil cellulites - sifatnya merah, sakit dan panas. Jika di dalam kulit atau bisul, sifatnya akan terbentuk kumpulan nanah di dalam rongga manakala peringkat lebih serius dipanggil Necrotising facitis atau bakteria yang memakan isi," katanya.

Simptom utama proses keradangan atau jangkitan adalah kemerahan, panas, bengkak dan rasa sakit. Ia bukan saja terbentuk pada sebarang tisu pejal pada permukaan kulit, malah sering juga berlaku pada organ dalaman seperti paru-paru, otak, buah pinggang dan tonsil.

Sekiranya jangkitan berlaku sehingga terbentuk bisul, rawatan pilihan ialah pembedahan. Begitupun, sebelum pembedahan dijalankan, antibiotik akan diberi selain ujian darah bagi mengenal pasti masalah lain.

Bagi kanak-kanak yang lebih gemar berdiam diri dan tidak tahu di mana lokasi jangkitan sebenar, imbasan MRI dan CT akan dijalankan.

Bisul disebabkan amino yang terjejas pula mampu merebak melalui darah. Di sini darah berfungsi sebagai lebuh raya dan menyebarkan bakteria ke seluruh tubuh. Oleh itu, remaja yang tidak menjaga kebersihan diri pasti akan terkena jangkitan ini.

Bagaimanapun, punca paling lazim adalah sifat kulit itu sendiri yang mudah terdedah kepada anasir yang tidak baik. Kulit bukan saja organ tubuh paling besar, malah berfungsi sebagai mekanisme pertahanan diri yang penting.

Setiap inci kulit diseimbangkan dengan bakteria baik dan bakteria tidak baik. Bakteria baik tidak akan membawa sebarang masalah tetapi sebaik saja tubuh kekurangan imuniti atau ketahanan diri, kecederaan kecil saja sudah mampu menyebabkan jangkitan. Tidak dinafikan kebersihan diri cukup penting tetapi perlu diingat terlalu bersih juga tidak baik kerana kita akan membunuh kedua-dua bakteria ini.

Jangkitan bisul bermula apabila bakteria dan parasit merebak pada kulit.

Jelas Dr Yong lagi, bisul yang biasa dan tidak serius boleh dirawat menggunakan antibiotik dan pembedahan. Tapi bagi bisul disebabkan amino yang terjejas, boleh merebak dengan cepat pada tisu dalam tubuh menyebabkan kegagalan beberapa organ dalaman. Dalam apa juga keadaan, pencegahan adalah perkara terbaik termasuk penjagaan kebersihan diri yang rapi dan imuniti diri lebih tinggi.

“Sekiranya simptom awal seperti merah, bengkak, sakit dan demam berlaku, terus berjumpa doktor bagi mengelak jangkitan merebak lebih ke dalam kulit. Di rumah, sebagai langkah awal ibu bapa boleh mencuci luka dengan menggunakan air panas, antiseptik dan iodin. Namun jika ia semakin membengkak, pesakit akan mula berasa tidak sihat, demam, luka menjadi kemerahan dan mula merebak, cepatlah berjumpa doktor,” katanya.

Dari segi pemakanan, mengamalkan diet seimbang disarankan bagi mempercepatkan penyembuhan.

“Terlalu banyak pantang larang dalam masyarakat seperti ayam, udang, ikan dan telur yang dipercayai menyebabkan kegatalan. Ironinya untuk sembuh, kita memerlukan hemoglobin, albumin serta Vitamin C dan semua nutrien ini terkandung dalam diet yang disebutkan itu. Perlu diingat, bisul pada kebanyakan bahagian tubuh agak sukar untuk sembuh dengan sendirinya. Kerana itu, sekiranya tanda awal bisul muncul, rawatan perubatan segera perlu diberikan," katanya.

Rawatan secara tradisional untuk bisul boleh dilihat di entry :

•Bunga keembung
•Pokok jarak boleh jadi ubat
•Khasiat bunga cempaka

Sumber : Suzan Ahmad [suzan@bharian.com.my] di BHarian 30/01/2011

Adakah pakaian kita sesuai dengan Islam atau tidak?

4 Rabiul Awal 1432H,
Ahmad Baei Jaafar

Meneliti gaya dan fesyen pakaian umat Islam kini kita dapati kebanyakannya tidak menepati citarasa Islam. Hal ini mungkin ada kaitan dengan ilmu pereka fesyen tentang aurat wanita. Mungkin sebahagian mereka tidak mengambil kira hukum sebenar, sebaliknya lebih melihat kepada peluang dan keuntungan yang boleh diambil.

Selain itu wanita Islam sendiri tidak begitu arif tentangnya lalu berpakaian mengikut cita rasa sendiri. Antara mereka ada yang memakai tudung sekadar tutup rambut, memakai tudung dengan memakai baju T yang berlengan pendek, memakai tudung dengan baju berserta keluar yang ketat. Pemakaian secara inilah yang menjadi kegemaran remaja masa kini.

Apakah cara ini diiktiraf oleh Islam? Di sini mari kita lihat apa kata hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Dua golongan dari ahli neraka yang tidak pernah aku melihat kedua-duanya: iaitu seorang yang membawa cemeti seperti ekor lembu yang dia memukul manusia, dan satu lagi perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggok-lenggok, kepalanya bagaikan bonggol unta yang bergoyang. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mendapatkan baunya, sedangkan baunya boleh dihidu dari jarak perjalanan sekian dan sekian.” (Riwayat Muslim).

Tutupkah aurat cara ini?

Kita fokuskan kepada perempuan yang berpakaian tetapi seperti telanjang. Ya sebagaimana yang disifatkan dalam hadis di atas adalah dia tidak menutup aurat.

Bukan itu sahaja, perempuan ini menari dan berpesta di khalayak ramai. Inilah sifat sebahagian wanita pada hari ini, mereka ini termasuk dalam kategori tidak berpakaian walaupun memakai tudung seperti berikut:

1. Pakai tudung tetapi nampak rambut, leher dan dada
2. Pakai tudung lengkap tetapi pakai baju T berlengan pendek
3. Pakai tudung lengkap tetapi pakai kain ketat yang terbelah di bahagian bawah
4. Pakai tudung lengkap tetapi pakai baju dan seluar yang ketat.

Selain itu terdapat juga pemakaian tudung masa kini yang menyerupai pakaian padri (sister). Perhatikan panduan memakai tudung yang dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

Dada yang perlu ditutup

“Wahai nabi katakanlah kepada isteri-isteri kamu dan anak-anak wanita kamu juga wanita muslim supaya mereka melabuhkan tudung ke atas jilbab mereka, demikian itu lebih baik supaya dikenali sebagai wanita yang baik, dan Allah itu Maha Pengampun dan Pengasih.” (Surah al-Ahzab : 59)

Berdasarkan firman itu, tudung mesti dilabuhkan ke atas baju sehingga menutup dada. Tetapi kalau seseorang itu memakai tudung sekadar menutup rambut dan masih nampak dada dan leher tidaklah menepati penutupan aurat. Bukan itu saja, pakaian seperti itu kalau kita amati hampir sama seperti tudung padri wanita.

Apakah umat Islam tidak sedar akan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, dia tergolong dalam golongan itu.” (Abu Daud dan Ibnu Hibban)

Ulama dalam keadaan ini perlu mengambil pendekatan mengajak umat Islam khususnya wanita agar kembali menggunakan tudung yang benar-benar menutup aurat. Sudah sampai masanya semua umat Islam kembali berpakaian dengan niat menutup aurat bukan untuk kelihatan cantik di hadapan orang ramai.

Salah Faham Wanita

Lihatlah beza tudung ini.

Melihat panduan di atas, saya percaya ramai wanita Islam salah faham tentang konsep aurat dan konsep berpakaian dalam Islam. Sebab itu mereka mudah terikut-ikut dengan apa yang dilihat di sekeling mereka? Kebanyakan wanita Islam tahu bahawa menutup aurat itu wajib tetapi tidak tahu bagaimana harus mereka pakai.

Kalau kita tanya seorang wanita yang memakai tudung sekadar menutup rambut, dia dengan tegas berkata, “aku pakai tudung ini sudah cukup menutup aurat.”

Kalau kita tanya mereka yang pakai baju kurang tetapi dadanya tidak ditutup, dia dengan berani berkata, “aku pakai baju kurung ini dah cukup menutup aurat, kan bersopanni.”

Begitu juga kalau kita bertanya wanita yang pakaiannya ketat, dia berkata, “aku sudah menutup aurat yang sempurna, mana nampak kulit dan rambut lagi.”

Salah faham ini mungkin kerana peluang ulama untuk menjelaskan hukum ini terbatas atau umat Islam tidak berpeluang untuk menuntut ilmu mengenainya. Jika benar begitu, bolehlah dimaafkan tetapi kalau ulama tidak begitu bertegas dalam menyampaikan ilmu sebenar, adalah suatu jenayah yang harus dibasmikan.

Selain itu ibu bapa juga dilihat sebagai tidak begitu serius dalam soal aurat. Ramai di sekeliling kita, para ibu yang memakai tudung malah ada yang berpurdah, tetapi anaknya sendiri dibiarkan tanpa menutup aurat. Adakah mereka berasa takut untuk mendidik anak ke arah menutup aurat atau rasa masih awal untuk dibuat teguran atau dirasakan, pemakaian itu soal individu.

Terdapat juga suami yang tidak ambil kisah tentang penutupan aurat, sama ada isteri hendak pakai tudung atau tidak, tidak mengapa. Ada juga suami yang tidak boleh kata apa-apa dengan sikap isteri yang tidak mahu menutup aurat. Tidakkah mereka sedar bahawa sikap itu hakikatnya adalah manusia dayus yang tidak dijamin syurga.

Wallahua’lam

Syabas Selangor bela ADUN Seri Muda, Biarkan GAPS dengan sakit hatinya.

4 Rabiul Awal 1432H.
Oleh: WFAUZDIN NS

BETAPA bengangnya GAPS (Gabungan Anti Penyelewengan Selangor) apabila Kerajaan Negeri Selangor akan membiayai kos perundangan Adun Seri Muda, YB Shuhaimi Shafie yang bakal didakwa atas tuduhan menghina Sultan Selangor. Sememangnya puak-puak ini suka melihat Adun tersebut tersungkur di mahkamah dan kemungkinan akan ada lagi PRK di Selangor untuyk mereka merampas kerusi Dun Seri Muda.

GAPS berkata tindakan kerajaan Selangor membiayai kos perundangan ADUN Seri Muda Muda Shuhaimi Shafiei - yang akan dihadapkan ke mahkamah ekoran tulisan berkaitan Sultan Selangor - disifatkan sebagai "pembaziran dan penyelewengan wang rakyat". Pembaziran wang rakyat apanya jika Adun tersebut menulis demi untuk kesejahjteraan rakyat dan kedaulatan raja-raja? Bukankah rakyat dan raja tidak boleh dipisahkan? Raja boleh menitah kepada rakyat, manakala rakyat juga boleh menegur raja untuk membuktikan kasih sayang kita kepada raja.

Membela seorang Wakil Rakyat yang dianggap menderhaka kepada Sultan, sedangkan tiada satu bukti pun kita lihat bentuk penderhakaan itu bahkan Adun berkenaan secara terbuka menyebut sekiranya ada ayat atau frasa di dalam tulisannya yang menyinggung Sultan, beliau rela memohon maaf dan bersedia untuk berjumpa Duli Tuanku. Itu membuktikan betapa ikhlasnya Adun tersebut. Butakah mata GAPS dengan berbagai bentuk penderhakaan kepada raja yang lebih dahsyat sebelum ini?

Cuba tanya Tun Mahathir, tanya Ibrahim Ali dan tanya juga geng-geng Idris Jusoh di Terengganu tentang sejarah Sultan di hina. Mereka semua boleh ceritakan kisah-kisah `keberanian' mereka kepada raja. Ada pernah mereka didakwa seperti Adun Seri Muda ini? Justeru itu, GAPS jangan hipokrit kerana rakyat tidak lagi sebodoh kamu./wfauzdin.blogspot.com

Merlimau - Cabaran untuk Rosmah


5 RabiulAwal 1432H.[MOD].Harakahdaily -
KUALA LUMPUR, 8 Feb: Adalah amat dikesali bila mana isteri kepada Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor yang cuba mengambil kesempatan publisiti atas misi murni menyelamat rakyat Malaysia di Mesir baru-baru ini.

“Peranan beliau dalam misi ini nampaknya sudah melebihi tugasan seorang Menteri. Saya melihat keadaan ini jelas menunjukkan bahawa Rosmah sebenarnya mahukan pengiktirafan dalam kerja kuatnya di Oman, Bahrain dan kini di Mesir,” kata Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Maka, katanya adalah sesuai sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) memberi peluang kepada Rosmah untuk bertanding di PRK Merlimau yang akan datang.

Tambahnya, cabaran itu juga sesuai buat BN sebagai pujukan kepada hasrat Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang telah gagal meletakkan calon wanita pada PRK Tenang lalu.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang melihat pemilihan Rosmah amat penting bagi menyelamatkan berjuta-juta wang rakyat Malaysia daripada terus dibazirkan dalam siri jelajah dunia dan pelbagai persidangan mengarut di bawah rancangan ‘Wanita Pertama’ Malaysia ini.

“Andai benar PM Najib mahu buktikan perubahan, saya mencabar beliau untuk menerima cabaran ini,” ujarnya.

07 Februari 2011

Badrul jadi Wakil Mahkamah ? SPR dihalang bincang status ADUN Pelabuhan Klang

4 Rabiul Awal 1432H.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilarang mengadakan mesyuarat bagi membincangkan status ADUN Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah sehingga 17 Feb ini.

Perintah itu dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi hari ini selepas membenarkan permohonan Badrul Hisham untuk mendapatkan injunksi interim terhadap SPR, sementara menunggu saman pemulanya bagi satu deklarasi bahawa beliau masih ADUN kawasan berkenaan didengar.

Hakim Datuk Zaleha Yusof membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas mendengar hujah Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaludin Md Said yang mewakili SPR dan peguam Datuk Mohd Hafarizam (kanan) Harun untuk Badrul Hisham (kiri).

Badrul Hisham memfailkan permohonan pada 28 Jan lalu bagi menghalang SPR daripada mengadakan pilihan raya kecil di kawasan berkenaan, atau mengisytiharkan bahawa kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong.

Sebelum itu, pada 24 Jan, Badrul Hisham memfailkan saman pemula untuk mendapatkan pengisytiharkan mahkamah bahawa beliau masih ADUN Pelabuhan Klang dan berhak menghadiri persidangan DUN Selangor.

Beliau juga meminta mahkamah mengisytiharkan keputusan speaker DUN Selangor Datuk Teng Chang Khim pada 19 Jan lepas sebagai tidak sah dan batal kerana ia melangkaui perlembagaan Selangor.

Teng mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong atas alasan Badrul Hisham tidak menghadiri persidangan DUN Selangor selama enam bulan tanpa sebarang sebab munasabah.

Badrul Hisham yang memenangi kerusi berkenaan atas tiket PKR pada pilihan raya umum 2008, meninggalkan parti itu pada Oktober 2009 untuk menjadi ADUN Bebas yang mesra BN.

Beliau menyertai Umno pada Mei tahun lalu.BH/-

Calon PAS tanding DUN Merlimau

4 Rabiul Awal 1432H.

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat sebulat suara meletakkan calon daripada parti PAS bagi menghadapi pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Melaka yang akan diadakan pada 6 Mac depan.

Keputusan itu diumumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu pejabat parti DAP di sini, sebentar tadi.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebelum ini mengumumkan tarikh penaman calon adalah 26 Februari ini.

Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata PAS akan bermesyuarat pada 13 Februari ini bagi membincangkan calon yang akan diketengahkan Pakatan Rakyat bagi DUN Merlimau. BH/-

Tunisia gantung bekas parti pemerintah

3 Rabiul Awal 1432H.

TUNIS: Menteri Dalam Negeri Tunisia, Fahrat Rajhi hari ini mengumumkan penggantungan bekas parti pemerintah, Parti RCD yang diketuai Presiden yang digulingkan, Zine El Abidine Ben Ali.

Rajhi dalam satu kenyataan yang disiarkan stesen televisyen negara itu berkata, penggantungan itu membabitkan pengharamkan menjalankan semua aktiviti berbentuk politik dengan semua pejabat parti akan ditutup.

“Ia dibuat demi kepentingan negara dan mengelak daripada berlaku keganasan yang berterusan. "Menteri Dalam Negeri memutuskan untuk menggantung semua aktiviti RCD, mengharamkan semua mesyuarat dan menutup semua pejabat parti di seluruh negara," katanya. - AFP

Pembangkang Mesir tolak tawaran sertai kerajaan baru

3 Rabiul Awal 1432H.

KAHERAH: Barisan pembangkang yang mahu rejim Presiden Hosni Mubarak berundur, semalam menolak tawaran untuk bergabung dalam rancangan pembentukan kerajaan baru Mesir.

Terdahulu, Naib Presiden, Omar Suleiman bersetuju untuk berunding dengan kumpulan pembangkang, termasuk parti yang diharamkan - Muslim Brotherhood, tetapi rundingan itu dikatakan tidak mencapai sebarang persetujuan konkrit berhubung penyelesaian konflik penentangan rayat yang kini memasuki minggu kedua.

Malah, Dataran Tahrir di tengah ibu negara masih menyaksikan ribuan rakyat Mesir tidak berganjak daripada kawasan itu sambil menegaskan mereka tetap mahu Mubarak berunsur meskipun kerajaan menganjurkan rundingan seperti itu. “Ia satu muslihat. Itu pandangan ikhlas saya," kata Nora Abul Samra, 25, salah seorang penunjuk perasaan.

“Kalau dia (Mubarak) pergi dia boleh melakukan apa saja yang dikehendakinya. Kami percaya ada cara lain yang lebih berpelembagaan dan ia adalah menerusi revolusi," katanya.

Sementara itu, jurucakap kerajaan, Magdi Radi berkata, pihak yang berunding bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankyasa terdiri daripada hakim dan ahli politik untuk mengkaji pindaan dalam perundangan dan perlembagaan negara pada minggu pertama Mac depan

Mereka juga bersetuju untuk membuka pejabat aduan terhadap layanan yang dialami tahanan politik, menarik balik larangan terhadap media serta menarik balik undang-undang darurat bergantung kepada keadaan keselamatan.

Mahmud Ezzat, pemimpin nombor dua Muslim Brotherhood memberitahu AFP bahawa kumpulannya sudah menarik diri daripada rundingan itu kerana ia tidak memberi manfaat dan mahu protes jalanan diteruskan.

"Salah satu tuntutan kami ialah Presiden mesti meletakkan jawatan," katanya. - AFP

14 cedera pertempuran di sempadan Thai-Kemboja

3 Rabiul Awal 1432H.

BANGKOK: Tiga belas tentera Thai dan seorang orang awam cedera dalam pertempuran terbaru dengan tentera Kemboja di mana kawasan pertempuran diperluaskan di luar kawasan sempadan yang dipertikaikan ketika gencatan senjata berlangsung tidak sampai 24 jam.

Jurucakap Tentera Thai, Kol Sansern Keowkamnerd hari ini berkata, mereka mengalami kecederaan itu ketika berlaku pertempuran pada 6.30 petang semalam di daerah Kantharalak, wilayah Si Sa Ket, kira-kira 550km timur Bangkok.

Kedua-dua pihak menggunakan senjata berat termasuk roket, mesingan, meriam, dan artileri dengan tentera Kemboja dilaporkan melancarkan serangan dari stesen mereka di Bukit Phu Ma Khua dan Chong Don Aou. Kol Sansern mendakwa tentera Kemboja terlebih dahulu memulakan serangan di bumi Thai dan segera dibalas oleh pihak Thai.

"Sekolah dan banyak kampung terkena tembakan," katanya, sambil menambah insiden itu memaksa beribu-ribu penduduk kampung dipindahkan sementara ke kubu bawah tanah dan tempat lebih selamat.

Pihak berkuasa Si Sa Ket telah menjadikan dewan orang ramai dan stadium sebagai tempat perlindungan sementara.

Kedua-dua pihak mencapai perjanjian gencatan senjata pada 7 petang Sabtu lalu berikutan pertempuran yang tercetus di kawasan sempadan yang dipertikaikan pada Jumaat, mengorbankan dua rakyat Thai, seorang daripadanya orang awam, manakala 12 tentera cedera selain mengakibatkan kerosakan sebuah sekolah dan beberapa buah rumah dalam pertempuran yang berlangsung selama dua hari.

Pertempuran semalam berlangsung kira-kira tiga jam dan disambung semula kira-kira 8.30 pagi ini.

Dalam perkembangan lain, laporan dari Phnom Penh menyebut Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen menghantar surat kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) malam semalam untuk meminta campur tangan badan dunia itu.

Phnom Penh mahu Majlis Keselamatan mengadakan sidang tergempar untuk menghentikan pencerobohan Thai ke dalam wilayah Kemboja. - BERNAMA

Kumpulan pertama penuntut, warga Malaysia tiba di KLIA

3 Rabiul Awal 1432H.

SEPANG: Seramai 778 kumpulan pertama pelajar dan rakyat Malaysia yang dibawa keluar dari Mesir menerusi Ops Piramid, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, pagi tadi.

Pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia itu mendarat jam 10 pagi dengan disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri Kabinet lain di Kompleks Bunga Raya.

Turut menyambut kepulangan mereka ke tanah air ialah ahli keluarga masing-masing.

Tema Maulidur Rasul bertentangan dengan Islam ?

3 Rabiul Awal 1432H.
Oleh: WFAUZDIN NS

SLOGAN `1 Malaysia 1 Ummah' dikatakan menjadi thema sambutan Maulidur Rasul peringkat Kebangsaan tahun ini. Biasalah, kerajaan sekarang semuanya mahu dijadikan `1 Malaysia' dengan berbagai jenama `1 Malaysia' di tempelkan. Apa yang tidak kena dengan thema `1 Malaysia 1 Ummah' ini?

Pertamanya, kita diberitahu bahawa konsep 1 Malaysia adalah menunjukkan kesamarataan di antara semua kaum dan agama di negara ini. Konsep ini kununnya memberi keadilan kepada semua kaum dan agama. Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan lain-lain, begitu juga semua agama seperti Islam, Kristian, Budha, Hindu dan lain-lainnya adalah terdapat di dalam konsep 1 Malaysia. Ertikata, konsep 1 Malaysia meliputi semua kaum dan agama di negara ini.

Apa pula yang dimaksudkan dengan `Ummah' di dalam konteks Islam? Di dalam Islam, yang dimaksudkan dengan Ummah itu adalah semua penganut agama Islam. Adakah penganut ugama Kristian, Budha, Hindu dan selain dari Islam itu termasuk di dalam konteks `Ummah'? Jawapannya sudah pasti tidak. Kristian bukan Ummah yang sama dengan Ummah Islam. Kristian tentulah ada Ummahnya sendiri iaitu Umat Kristian. Begitu juga dengan ugama yang lainnya.

Sambutan Maulidur Rasul adalah sambutan yang berhubung kait dengan Nabi Muhammad SAW iaitu sambutan bercorak keagamaan di dalam Islam. Justeru itu, wajarkah konsep `1 Malaysia' dicampor adukkan di dalam sambutan keagamaan Islam seperti ini? `1 Malaysia 1 Ummah' bermaksud semua agama yang terkandung di dalam konsep 1 Malaysia itu adalah 1 Ummah dengan Islam? Betulkah begitu? Adakah kita mengiktiraf semua agama yang terkandung di dalam konsep 1 Malaysia adalah 1 Ummah dengan kita sebagai umat Islam?

Saya merasakan thema sedemikian tidak tepat samasekali malahan ianya amat bertentangan. Umat Islam tidak boleh disamakan dengan Umat ugama lain, jauh sekali untuk disatukan. Saya berharap agar pihak-pihak berkenaan lebih berhati-hati dengan memilih thema bagi program atau sambutan keagamaan yang melibatkan ugama Islam yang maha suci ini. Jangan kerana terlalu inginkan kemegahan di dalam jenama 1 Malaysia, kita satukan kesemuanya./wfauzdin.blogspot.com

Hansard S'wak: Lagi ucapan ADUN Pakatan 'lesap'

3 Rabiul Awal 1432H.

Lagi ADUN Sarawak mendakwa perbahasan mereka di Dewan Undangan Negeri Sarawak dipadamkan di Hansard - cetakan transkrip persidangan Parlimen dan DUN.

Kali ini, yang menjadi mangsa adalah ADUN Meradong dari DAP, Ting Fui Tze (gambar) yang mendakwa ucapannya sepanjang 13 perenggan hilang begitu sahaja.

Semalam, Ketua DAP Sarawak yang juga ahli parlimen Sibu, MP Wong Ho Leng melalui pesanan Tweet berkata ucapan ADUN Pending, Violet Yong bukannya satu-satunya yang turut lesap di Hansard.

Menurut Wong, 13 perenggan ucapan Ting yang lesap itu adalah berkisar ke atas speaker DUN, Datuk Awang Asfia Nasar dan Menteri Kewangan Kedua Wong Soon Koh.

Sebelum ini, Violet Yong berang kerana ucapannya yang menyentuh tentang kekayaan keluarga Ketua Menteri, Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr George Chan, telah dikeluarkan dari Hansard.

Dihubungi oleh Malaysiakini, Ting berkata bahawa 13 perenggan ucapannya yang dibuat ketika jawatankuasa hak dan kebebasan DUN Sarawak bersidang, tidak direkodkan, atau lebih tepatnya, "dihapuskan" dari Hansard.

Malaysiakini/-