19 Februari 2011

Guang Eng : Islam bukan hanya untuk Melayu !

16 Rabiulawal 1432H.
Cina Islam

SHAH ALAM, 19 Feb.:- Saya menafikan Islam hanya untuk melayu sahaja seperti kata umno dan saya serahkan kepada ulama PAS untuk katakan fahaman ini salah atau tidak. Demikian penegasan Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, YAB Lim Guang Eng semasa berucap dalam Konvensyen Nasional Pengupayaan bangsa di Audioterium MBSA di sini hari ini.

Beliau juga menegaskan dalam Pakatan Rakyat pengupayaan semua bangsa sangat penting termasuk di Pulau Pinang. Istilah memartabatkan rakyat amat bermakna dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat..

Beliau juga melahirkan kekesalan bila pengunaan media massa untuk memburukkan kerajaan Pulau Pinang yang kononnya anti melayu seperti dalam isu perobohan gerai.

Guang Eng juga mendedahkan data di mana gerai melayu yang dirobohkan kawasan pulau hanya 18 pratus sahaja sedangkan bukan melayu 82 pratus. Katanya juga gerai yang dirobohkan kalau gerai atas jalan atau atas pokok kita kena robohkan untuk keselamatan.

Selain itu dia mendedahkan isu Taman Pelangi yamg digembar gemburkan dengan isu hanya gerai melayu sahaja yang dirobohkan sedangkan dari 22 gerai yang diambil tindakan pada fasa pertama, melayu 4, cina 3, india 1, bangsa lain iaitu Indonesia, Bangla, dan Thai 14.(64%). Aduan diterima dari orang tempatan dengan gelaran little hadyai, orang tempatan tidak sanggup tengok maksiat yang berlaku disitu.

Beliau mempersoalkan adakah dengan ambil tindakan kepada maksiat dianggap anti melayu. Sedangkan notis sudah lebih 3 tahun termasuk umno Batu Kawan yang minta dirobohkan. Bila kita ambil tindakan hentam kita balik, "macam istilah hantu pun dia , manusia pun dia."

Ketua menteri Pulau Pinang itu juga menjelaskan isu robohkan gerai cina, juga jadi isu sedangkan kita roboh sebab dia jual arak , tiba-tiba kena hentam juga dengan cina itu bertukar menjadi melayu dan tukar jantina jadi lelaki dalam berita.

Guang eng juga mengecam tindakan media Bn yang disifatkan "ini betul jahat" dengan menunjukkan gambar dia sedang sembelih lembu korban.

"Termasuk gambar terbaru saya pakai kopiah yang digunakan oleh MCA" katanya.

Beliau juga menegaskan Kerajaan Pulau Pinang tidak pernah haramkan perarakan maulud malah diapun hadir.

"100 ringgit kepada warga mas, itu haram kerana kononnya duit judi, saya persoalkan yang keluarkan lesen judi adalah pemimpin BN, yang "haramkan" ialah lim guang eng, tetapi akhirnya saya yang kena hentam.

Dalam ucapannya Guang Eng menjelaskan bagaimana isu Portpolio hak ehwal bukan Islam, saya kena hentan teruk oleh Mukhriz. Sedangkan menurutnya ianya pernah dibuat oleh pemimpin umno di perak pada tahun 2009. Tetapi tidak di demo dan diselar kerana itu pemimpin umno buat.

Isu pemberian tender diisukan kerana yang dapat adalah orang melayu yang tidak diktiraf sebab bukannya kontraktor umno.

Menurutnya juga persoalannya bukan warna kulit tetapi kemahiran dan kemampuan seperti bidang kedoktoran, kejureteraan dan sebagainya.

"Dalam soal urustadbir yang penting ialah isu penyampaian, sekiranya penyampaian yang tidak baik kita tidak diterima oleh rakyat" sarannya.

"Saya hanya nak belajar dari Umar Abdul Aziz dan bukan saya mengaku sebagai Umar seperti yang diputar belit oleh pihak tertentu" katanya.

Selain itu Guang Eng melahirkan rasa kesal bila dikalangan melayu dia kata pas diperalatkan dap dan dikalangan cina mereka kata dap diperalatkan oleh pas.

"Yang penting kita kenal siapa kawan siapa lawan dan yang penting kawan selama-lamanya dan lawan selama-lamanya." katanya.

Guang Eng menyarankan supaya usaha PAS mesti lebih kerana MCA sedang berkerja kuat meracuni pemimkiran bukan melayu dalam media.

Selain itu sarannya penumpuan kepada usaha menjaga kebajian rakyat dan rakyat akan menerima kita.

Protes terus merebak di Asia Barat

16 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
MANAMA 18 Feb. – Protes antikerajaan terus merebak di Asia Barat dan Afrika utara bagi menuntut pembaharuan politik, hari ini dengan beribu-ribu penunjuk perasaan meneruskan bantahan selepas sembahyang Jumaat bagi mendesak pemimpin di beberapa negara di rantau terbabit meletak jawatan.

Di BAHRAIN, beribu-ribu rakyat berhimpun di Manama hari ini menuntut kerajaan monarki di negara ini ditumbangkan ketika pengebumian salah seorang penunjuk perasaan yang terbunuh semalam, sehari selepas berlaku pertempuran antara penunjuk perasaan dengan tentera sehingga memaksa pihak berkuasa Bahrain mengerahkan kereta kebal ditempatkan di jalan-jalan utama di negara ini.

Penunjuk perasaan mendesak Raja Hamad bin Isa Al Khalifa serta orang di sekelilingnya meletakkan jawatan dan seruan menumbangkan sistem monarki yang dipimpin golongan Sunah yang memegang jawatan utama kerajaan di Bahrain serta diskriminasi terhadap puak Syiah yang merupakan majoriti penduduk di negara kecil di Asia Barat ini.

“Kami sudah hilang kepercayaan terhadap kerajaan. Tuntutan kami sangat mudah, kami mahu keseluruhan kerajaan meletak jawatan,” kata pekerja kerajaan, Mohamed Ali, 40.

Di LIBYA, tentera ditempatkan di jalan-jalan raya di bandar Benghazi, bandar kedua terbesar di negara itu hari ini, selepas beribu-ribu penunjuk perasaan berhimpun bagi membantah tindakan pasukan keselamatan membunuh sekurang-kurangnya 24 penunjuk perasaan semasa berlaku pertempuran dengan penunjuk perasaan.

Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan menerusi sumber dalamannya berkata, pasukan keselamatan negara itu telah membunuh sekurang-kurangnya 24 orang dalam satu tindakan keras ke atas penunjuk perasaan sejak kelmarin.

Sementara itu, menurut sebuah sumber hospital, seramai 14 orang lagi maut hari ini dalam pertempuran antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan antikerajaan di Benghazi, yang mengadakan tunjuk perasaan yang masuk hari ketujuh hari ini.

Sementara itu, pemimpin Libya, Muammar Ghadafi membuat rondaan berkereta di sekitar ibu negara Tripoli bagi mendapatkan sokongan rakyat.

Di YEMEN, dua orang maut, manakala kira-kira 26 orang cedera parah hari ini apabila sebuah bom tangan di lontar ke arah kumpulan penunjuk perasaan antirejim di tengah bandar raya Taez, di utara ibu negara Sanaa.

Pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan antirejim di bandar Aden semalam, mengorbankan tiga orang ketika lebih banyak protes dijangka berlaku di ibu negara Sanaa selepas solat Jumaat hari ini.

Seorang pegawai di Hospital Jumhuriah, Aden berkata, tiga mayat telah dihantar ke bilik mayat dan 19 orang lagi cedera dengan dua daripada mereka parah dan sedang menjalani pembedahan.

Polis dilaporkan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan yang berhimpun di kawasan kediaman Al-Mansura, Aden bagi menuntut peletakan jawatan Presiden Ali Abdullah Saleh yang telah memerintah Yemen selama 32 tahun.

Penunjuk perasaan melaungkan ‘Ali Berambus’ dan bertindak merosakkan kedai, membakar tayar dan meletakkan penghadang di jalan-jalan bagi menyekat lalu lintas, menurut koresponden AFP.

Di ALGIERS, seorang bekas pemimpin kanan rejim, Abdelhamid Mehri semalam mendesak perubahan politik segera dilaksanakan di Algeria menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada Presiden Abdelaziz Bouteflika.

Mehri dalam suratnya menuduh rejim negara itu ‘tidak mampu menyelesaikan masalah negara yang semakin kusut dan kompleks dan tidak bersedia berhadapan cabaran masa depan yang lebih sukar dan serius’.

Di IRAN, keadaan berbeza berlaku apabila penunjuk perasaan pro-rejim berhimpun di jalan-jalan di kota Teheran selepas solat Jumaat hari ini bagi mengecam ‘pengkhianat’ yang ditujukan kepada ketua pembangkang, Mir Hossein Mousavi dan Mehdi Karroubi yang menentang pemerintahan ulama Iran.

Mereka berarak keluar dari Universiti Teheran selepas solat Jumaat dan menyertai kumpulan pro-rejim lain untuk mengutuk Mir Hossein Mousavi dan Mehdi Karroubi. – Agensi

Nik Aziz : Islam datang bukan untuk perjuangan bangsa.

Ketibaan YAB Tuan Guru Mursyidul Am PAS didampingi oleh Naib Presiden PAS, Dato Mahfoz Omar dan Setiausaha Agung PAS, Dato HJ. Mustafa Ali di pentas utama untuk merasmi Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa di MBSA pagi ini.
16 Rabiulawal 1432H.
Cina Islam.

SHAH ALAM, 19 Feb.:-Islam datang dalam keadaan bukan membawa agenda perjuangan bangsa sebagai agenda utama. Demikian antara penegasan oleh YAB Mursyidul AM PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa merasmikan Konvensyen Nasional Pengupayaan bangsa "Jaminan PAS" yang diadakan di Audiorium MBSA disini pagi ini.

Beliau juga menegaskan Allah menjadikan manusia berlainan bangsa dan rupa dan perbezaan jantina sehingga kita dapat mengenal isteri dan suami masing-masing.

"Jika Rasulullah datang dengan tidak membawa misi ketuanan Arab begitulah PAS datang dengan mencontohi perjuangan yang ditinggalkan oleh Baginda Rasulullah " tegasnya.

Mursyidul Am juga menegaskan bagi PAS Melayu perlu diutamakan dalam dakwah kerana mereka yang tadahulu dari bangsa lain masuk Islam di tanah air ini. Melayu adalah kaum yang dominan untuk Islam di Malaysia walaupun Islam datang untuk semua bangsa lain.

"Hakikatnya umno jaga islam tidak dan islam jaub sekali menjaga Islam . Ini dibuktikan dengan susutnya tanah rizab Melayu, kegagalan DEB. malah tidak ada keraguan lagi pengkhianatan ini dalakukan dengan perancangan yang sistematik dengan kejasama yang baik dari umno.

Menurutnya juga slogan ketuanan melayu malah menakutkan orang lain kepada islam.

Nik Azizi juga menegaskan serangan terhadap PAS membuktikan kegerunan kepada PAS dan kegerunan PAS dapat menghilangkan kuasa mereka.

Menyentuh kejatuhan kerajaan Mesir beliau menyatakan "sekitanya di Mesir dapat dijatuhkan, maka saya optimis di Malaysia juga dapat dilakukan".

Nik Aziz juga mengatakan bahawa riak ketakutan mereka kepada PAS nampak sehingga dirinya dilebal sebagai seorang nasionalis oleh pihak tertentu.

"Ssya juga dituduh hanya mahu menang pilihanraya, jika demikian apa salah menang pilihanraya ?, malah kita masuk pilihanraya untuk menang." ucap Nik Aziz dengan sinis.

Beliau juga mengulangi tidak ada alasan jika benar UMNO berjuang untuk melayu kenapa Kelantan dinafikan kerana ditadbir oleh Melayu.

Tipu bank RM19 juta disiasat

16 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR 18 Feb. - Polis hari ini mengesahkan pihaknya sedang menyiasat kes penipuan berjumlah RM19 juta membabitkan sebuah bank tempatan baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang mengesahkan kes itu memberitahu, siasatan dibuat meliputi pelbagai sudut sebaik sahaja polis menerima laporan daripada bank yang beroperasi di ibu negara itu.

"Benar apa yang dilaporkan Utusan Malaysia (hari ini). Polis telah menerima laporan mengenai kejadian itu minggu lalu dan siasatan sedang dilakukan.

"Kita akan menyiasat kes ini dari segenap sudut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Maulidur Rasul anjuran Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Ismail turut mengesahkan bahawa siasatan akan dibuat sama ada terdapat penglibatan syarikat milik kerajaan (GLC) dalam kes ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada polis telah menahan mana-mana individu atau memanggil pihak yang terlibat untuk memberi keterangan.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, sebuah bank di ibu negara kerugian RM19 juta setelah menyerahkan wang pinjaman kepada dua syarikat yang kononnya mahu membekalkan alat ganti pesawat MiG-29N milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Dua syarikat terbabit sebelum ini mengemukakan permohonan kepada bank berkenaan untuk mendapatkan pinjaman korporat bagi membolehkan mereka membeli alat ganti pesawat itu.

Menurut sumber, bank tersebut tiada masalah untuk meluluskan pinjaman itu setelah yakin dengan maklumat dan dokumen yang ditunjukkan oleh syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, pihak bank menyedari penipuan itu apabila gagal mengesan premis yang didakwa pejabat syarikat terbabit kerana ia tidak wujud, malah individu yang berurusan melakukan pinjaman juga gagal dihubungi.

Ismail ketika ditanya mengenai sejauh mana kes penipuan itu, enggan mengulas lanjut sebaliknya memberitahu, siasatan kes itu masih di peringkat awal.- Bernama

Media sosial tunggu waktu untuk meletup ... A

16 Rabiulawal 1432H [MOD]-
Ketika negara-negara lain, khususnya di dunia ketiga, terutama di Timur Tengah sekarang, berada dalam landasan yang betul bagi proses pendemokrasian, Malaysia mengambil langkah mundur ke belakang. Semasa indeks kebebasan akhbar kita -- seperti hasil kaji selidik Reporters without Borders dan Freedom House -- masih berada pada tahap yang memalukan dan mencatatkan kemerosotan dari tahun ke tahun, komitmen kerajaan terhadap autonomi ruang siber yang ditawarkan semasa pelancaran Koridor Raya Multimedia (MSC) pada 1997 mula diceroboh.

Dalam suasana pengamal media tradisional terikat kuat dengan kekangan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, di samping menyedari beberapa laman web dan blog sudahpun menghadapi pelbagai bentuk tindakan intimidasi pemerintah, namun dunia internet kita masih boleh disifatkan bebas. Suara kritikan dan bangkangan, yang mula dicetuskan secara lantang semasa gerakan reformasi 1998, masih dapat digemakan dengan berkesan sekali melalui media baru ini.

Informasi yang dikawal ketat regim pemerintah pada akhir 1990-an itu telah bocor dan terdedah melalui kreativiti dan kesungguhan anak-anak muda yang begitu cepat menguasai teknologi maklumat terkini, terutama tentang program komputer yang kompleks. Kebanyakan penggeraknya melakukan penyamaran identiti sebenar, dengan persediaan menghadapi risiko tinggi, selain terpaksa menampung kos dari segi kewangan dan masa. Mereka yang tidak dikenali ini merupakan wira-wira baru yang secara tidak sedar sedang membentuk lanskap politik Malaysia yang berbeda sama sekali daripada era sebelumnya.

Secara tiba-tiba seorang individu "tidak ternama" boleh memegang kuasa mutlak di alam siber tanpa perlu melalui proses pemilihan yang lazim dipakai dalam struktur organisasi dan lapis-lapis masyarakat. Pandangan dan sikap politik seorang insan kerdil mampu membentuk opini awam jika ia mempunyai hujahan yang mantap dan bernas, serta diolah dengan pendekatan menarik. Seolah-olah kongkongan yang mencengkam dunia sebenar dapat dipecahkan dengan jayanya.

Sememangnya gelombang reformasi ketika itu telah merangsang penggunaan internet dengan kadar pertumbuhan yang tinggi, termasuk di kalangan orang awam, apatah lagi penggerak masyarakat sivil dan komuniti politik. Kadar pertumbuhannya melonjak pada tahun 1998, 1999 dan 2000, dengan masing-masing mencatatkan peratusan 97.6%, 64.9% dan 148.4%. Kini pengguna internet di Malaysia melewati 19 juta jauh lebih banyak daripada jumlah pengundi berdaftar.

Pemerintahan Dr Mahathir Mohamad 1998-99 menghadapi tekanan yang cukup dahsyat dan teriakan "reformasi" Anwar Ibrahim yang diaibkan telah mendapat reaksi luar biasa. Biarpun internet hanya dihubungkan melalui dial-up dan belum menyeluruh penggunaannya, namun sambutan terhadap laman-laman web reformasi begitu memberangsangkan. Bahan-bahan (kebanyakannya sensasi dan terkini) internet dimuat-turun dengan penuh rasa ingin tahu bagi tujuan penyebaran segera secara manual untuk kelompok lebih luas. Lebih menakjubkan, keterangan di dalamnya mudah diterima tanpa saringan, meskipun fakta dan khayalan bercampur-baur.

Jelas sekali, internet cukup menyerlah sebagai alat mobilisasi bagi menggerakkan kesedaran rakyat, sekali gus meranapkan monopoli eksklusif media tradisi. Rakyat mudah mendapat maklumat terutama mengenai perhimpunan-perhimpunan awam proreformasi di sekitar Kuala Lumpur dan kisah sebenar yang cuba disembunyikan elit penguasa, seperti cerita mata lebam Anwar. Tiba-tiba saja Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, khususnya pada petang hujung minggu, menjadi meriah dengan aksi protes dan anak-anak muda tidak gerun lagi berdepan tembakan gas pemedih mata dan meriam air. Mereka mula mengenali belantan, cota, gari, brutaliti pihak polis dan manipulasi jahat media talibarut pemerintah.

Suasana baru itu menyemarakkan minat anak-anak muda untuk berpartisipasi -- menurut cara mereka -- dengan dunia politik yang selama ini tidak begitu dihiraukan. Selain memenuhi lapangan tunjuk perasaan, mengikuti ceramah dan mengedarkan risalah, berpusu-pusu mereka mendaftarkan diri sebagai pengundi, mungkin didorong niat "untuk mengajar BN dan Dr Mahathir" dalam pilihan raya umum terdekat. Malangnya, disebabkan proses pendaftaran terpaksa melalui prosedur yang lama-lembab, lebih 650,000 pengundi baru tidak dapat menunaikan hak mereka pada November 1999.

Kita tentu dapat membayangkan bagaimana resahnya Mahathir berdepan dengan kehebatan pengaruh internet dan dunia siber yang sebenarnya dirintis oleh beliau sendiri. Zaman rakyat menelan segala muntahan pemerintah sudah berakhir. Kematangan berpolitik mulai terserlah secara menyeluruh terutama di kalangan orang Melayu. Mereka sudah berani mempersoalkan daleh pemerintah yang sejak sekian lama memperbodohkan logika.

Melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) pelbagai sekatan dan hambatan dikenakan (beberapa penerbitan berbahasa Melayu seperti Detik, Wasilah dan Eksklusif diharamkan, manakala Harakah dikurangkan kekerapannya) tetapi kebebasan internet masih terpelihara. Mahathir belum bersedia untuk meracuni bibit-bibit yang disemainya sendiri atau beliau sedar kerumitan dunia maya masih boleh ditanganinya. Jika internet disekat, pelbagai risiko buruk, khususnya dari segi pelaburan asing, terpaksa ditanggungnya.

Rupanya pilihan raya umum 1999 tidak mencukupi untuk merealisasikan tuntutan reformasi seutuhnya. BN masih berkuasa dan memegang majoriti dua pertiga di Parlimen. Pembentukan Barisan Alternatif (menggabungkan PAS, DAP, KeADILan dan PRM) hanya mampu meriuhkan sidang Dewan Rakyat (itu pun tanpa kelibat Lim Kit Siang dan Karpal Singh) selain PAS menguasai Terengganu. Pengundi bukan Melayu seperti tidak tersentuh langsung dengan perubahan lanskap politik yang mula terbentuk itu.

Abdullah Ahmad Badawi, pengganti Mahathir pada penghujung 2003, beberapa bulan sebelum PRU11, berjaya memukau rakyat dengan retorik politik yang mempesonakan. Jaminan pembaharuan yang dipakej dengan baik sebagai propaganda politik Abdullah telah "menjinakkan" suara protes. Internet semakin meluas penggunaannya, laman-laman baru muncul tetapi dilihat tidak lagi memainkan peranan yang besar bagi menarik sokongan rakyat kepada pembangkang.

Dalam masa sama, laman web yang begitu popular semasa Anwar dipenjarakan seperti kehilangan bisanya. Proses kemaskini bahan terabai, dan semakin berkurangan isu-isu penting, sensitif dan sensasi yang ditawarkan laman-laman berkenaan. Kerjasama dalam BA makin longgar. DAP kemudiannya meninggalkan BA. Tiada lagi "barisan alternatif" ataupun bayangan "kerajaan menanti". Ramai mempersoalkan, apakah elemen "politik baru" yang muncul bersama PRU10 pada 1998-99 begitu mudah menghilang, dan "politik lama" kembali bertakhta?

Dalam "kesedihan" (tetapi langsung tidak terkejut, malah sudah menduganya) menatap keputusan PRU11, saya tetap optimis tentang masa depan demokrasi di negara kita. Politik Malaysia, yang kian dipengaruhi faktor dinamika ruang siber, tidak mudah berpatah balik lagi. Realiti 2004 yang menyaksikan penguasaan kerusi BN di Parlimen melebih 90 peratus -- dan ini satu rekod -- sebenarnya bukan jaminan suara oposisi tidak mampu bangun lagi. Era politik Malaysia sudah berubah.

Suasana tertekan di zaman Dr Mahathir (1981-2003) menyebabkan rakyat mahu memberi peluang regim baru melakukan pembaharuan. Sekiranya amanah dan harapan besar rakyat itu "dikhianati", seperti ditunjukkan sepanjang 2004-2008, mereka mungkin bersedia untuk memutuskan "hukuman lebih tegas" buat elit pemerintah. Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi, dan juga agen risikannya, gagal mengesan "riak yang timbul di permukaan".

Apabila rakyat mudah akses dengan bahan berita, dan pihak pembekal maklumat (tidak lagi terhad kepada organisasi media, tetapi boleh dilakukan sesiapa saja melalui laman web, blog, dan media sosial) sentiasa mengemaskinikannya, manakala kewibawaan jurnalisme portal berita seperti Malaysiakini dan Harakahdaily terus meningkat, maka siapa pun yang memerintah, segalanya tidak mudah lagi. Aspek-aspek ketelusan, integriti dan kebertanggungjawaban akan sentiasa diperhatikan. Benar kata-kata Najib, zaman kerajaan mengetahui semuanya sudah berlalu.

Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Mungkin di "waktu aman", riak dan kocakannya tidak ketara. Namun apabila pemerintah mulai menyeleweng, lupa diri, amalan rasuah dan pilih kasih berleluasa, khazanah negara dirampok secara terang-terangan, hak rakyat dinafikan, daya intelektualisme diperbodohkan, skandal kewangan merebak, jurang pendapatan kaya-miskin semakin dalam, anak muda sukar mendapat pekerjaaan walaupun berpendapatan tinggi, harga barangan keperluan harian memuncak, maka tunggulah kebangkitan yang menggerunkan!

Mungkin hari ini kandungan media sosial seperti Facebook dan blog anak-anak muda kita dipenuhi cerita-cerita remeh, personal serta tidak menyentuh "wilayah larangan" tetapi ia tetap berpotensi untuk menyalur dan mengembangkan keresahan, kebingungan, kegelisahan, kemarahan dan segala amukan perasaan sekiranya persekitaran mereka sudah berubah ataupun kesedaran politik semakin meningkat. Ruang untuk mereka berinteraksi, berkongsi idea dan mehamai rasa bagai tiada batasan.

Harus diingat, kita tidak perlu menunggu fenomena kelaparan, kebuluran atau tahap pengangguran yang tinggi untuk melihat dunia siber kita bergolak dan merakamkan kegelisahan-kebejatan sosial itu. Rakyat yang tangkas dan cerdas minda politiknya berupaya diyakinkan untuk melakukan perubahan bagi menikmati pembaharuan yang membawa manfaat bersama melalui peti undi. Dan inilah yang dibimbangi kerajaan.

Rakyat Malaysia di negara yang begitu makmur dan kaya ini (khazanah negara melimpah tetapi dipunggah rakus kroni suku-sakat) sepatutnya tidak menanggung bebanan hidup berganda jika pemerintahannya dibersihkan daripada segala perasuah yang tamak dan penzalim yang angkuh-bongkak. Angka-angka penyelewengan yang terbongkar tidak mudah ditutup lagi. Malah, melalui teknologi maklumat yang mampu menyembunyikan "tukang tiup wisel", orang dalam sendiri lebih terdorong membocorkannya. Dan segalanya sukar disembunyikan.


Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika mengulas sanggahan pemimpin kerajaan bahawa negara kita sama sekali berbeda dengan suasana di Timur Tengah, menegaskan, walaupun Malaysia jauh lebih makmur berbanding Mesir, namun rasa tidak puas hati rakyat boleh dicetuskan oleh aspek lain seperti kebebasan bersuara yang terhakis. "Tidak puas hati rakyat itu berbeza mengikut negara. Negara miskin mungkin tak puas hati kerana tak ada makanan. Negara yang lebih 'educated' mungkin tak puas hati kerana tiada kebebasan menyuarakan pendapat," katanya

Di permukaan nampak diam, tetapi jalinan mesej bertali arus di dunia internet mampu mengheret pemerintah korup ke alam kubur. Justeru, usah berdiam diri melihat gerak terancang penguasa bagi maksud mengawal kandungan ruang siber kita ... Menarik sekali ulasan sebuah harian terkemuka di Mesir selepas Presiden Hosni Mubarak tersungkur: "Revolusi Facebook berjaya menumbangkan Mubarak dan simbol rejim pemerintahannya," lapor Al-Ahram, sambil menyifatkan laman sembang sosial itu sebagai "ibu pejabat majlis pemerintah revolusi." (HDaily)

Akta Mesin Cetak - Chua Soi Lek minta disemak semula

16 Rabiulawal 1432H [MOD]-
KUALA LUMPUR, 19 Feb — MCA menyarankan penubuhan sebuah panel bagi menyemak semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 supaya Menteri Dalam Negeri tidak diberi kuasa mutlak atau budi bicara dalam melulus atau membatalkan permit penerbitan.

Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata panel itu harus menyemak semula akta itu bagi memastikan keadilan terhadap pemilik media yang melabur jutaan ringgit dalam membeli peralatan dan pembangunan sumber manusia.

“Panel tersebut juga perlu mencari jalan bagi memudahkan pelabur memperoleh permit untuk menerbit,” katanya dalam ucapan pada majlis Malam Media MCA dan rumah terbuka Tahun Baru Cina di Wisma MCA malam tadi.

Dr Chua berkata beliau memahami kebimbangan di kalangan wartawan dan pemilik media berhubung dengan akta tersebut. Katanya media massa mempunyai peranan memelihara keamanan dan keselamatan negara dan berharap akhbar tidak sensasikan isu-isu semata-mata untuk melariskan jualan surat khabar masing-masing.

“Landskap media telah banyak berubah sejak 10 tahun lepas... selain surat khabar, hari ini media sosial menjadi lebih berpengaruh daripada media tradisional.

“Rakyat kini lebih terdedah kepada forum internet, blog, Twitter dan Facebook, kesemua media baru itu memberi lebih banyak peluang kepada orang untuk menabur fitnah dan menyebarkan maklumat palsu,” katanya.

Dr Chua percaya perlu wujud aliran bebas maklumat di internet tetapi rakyat tidak perlu mudah terpesong dengan mereka yang menabur fitnah kerana provokasi kecil menerusi media boleh menggagalkan agenda gagasan 1 Malaysia.

Katanya kewartawanan yang baik dapat membantu membina negara dan meningkatkan kehidupan rakyat dan oleh itu media Malaysia harus menyokong dasar kerajaan yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat dan negara.

Dr Chua berpendapat media vernakular perlu berkecuali dari segi kaum dalam laporannya dan menggalakkan kepentingan semua rakyat Malaysia dan tidak tertumpu kepada kepentingan sesuatu komuniti sahaja.

Katanya media juga perlu memainkan peranan konstruktif dalam membina negara seperti mengkritik dan mendedahkan kesalahan kerajaan apabila ada kewajaran untuk dikritik.

Tetapi pada masa sama, media juga perlu bersedia menjelaskan dan mempertahankan tindakan dan dasar kerajaan yang baik serta menonjolkan pencapaian kerajaan semasa, katanya. — Bernama

PRK Kerdau, Merlimau serentak 6 Mac

15 Rabiul Awal 1432H.

KUCHING, 18 Feb: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari mengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) Kerdau, Pahang akan diadakan pada 6 Mac ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof turut memaklumkan bahawa tarikh penamaan calon PRK Kerdau pada 26 Februari.

Ini menjadikan PRK Kerdau dan Merlimau, Melaka diadakan serentak.

Pada 28 Januari lalu, SPR mengumumkan penamaan calon bagi PRK Merlimau ialah pada 26 Februari dan hari pengundian pula 6 Mac

18 Februari 2011

Mesir: Perak perlu ikut Perlis


15 Rabiulawal 1432H [MOD]-
KUALA LUMPUR, 18 Feb: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) melihat Kerajaan Pusat atau kerajaan negeri masih berdiam diri terhadap jaminan bagi pelajar-pelajar untuk menamatkan pengajian di Mesir.

Ketuanya, Zawawi Hassan berkata, walaupun kemelut yang melanda Mesir kini sudah hampir selesai, namun wujud kebimbangan di kalangan ibu bapa yang belum mendapat maklum balas daripada kerajaan berhubung kos yang akan ditanggung oleh pelajar yang ingin menyambung pengajian kelak.

“DPPN Pk berharap, pihak Kerajaan Negeri Perak perlu mengikut langkah Kerajaan Negeri Perlis yang akan menanggung kos pemergian semula pelajar anak Perlis nanti,” katanya kepada Harakahdaily.

DPPN Pk, ujarnya berharap Perak juga akan memberikan jaminan bahawa kos tambang pemergian semua pelajar anak negeri ke Mesir akan ditanggung oleh kerajaan negeri.

Menurutnya, jika ada jaminan daripada kerajaan negeri nanti, barulah semua ibu bapa akan merasa lega dengan komitmen tersebut.

Pihaknya menunggu langkah yang bakal diambil oleh kerajaan negeri untuk membuat pengumuman yang sama seperti Perlis.

“Dan diharap dalam masa yang sama, kerajaan negeri perlu mendesak Kerajaan Pusat juga memikirkan kos pemergian kembali pelajar yang akan menyambung pengajian mereka semula,” ujarnya.(HDaily)

Kadar inflasi di Malaysia membimbangkan

15 Rabiulawal 1432H [MOD]-
KUALA LUMPUR, 18 Feb: Kaji selidik yang dilakukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan kadar inflasi di negara ini akan meningkat kepada empat peratus pada 2011 hingga 2012 dan berada sekitar tiga peratus selepas 2013.

Berdasarkan laporan Financial Times, kajian yang dijalankan oleh Northern Light mendapati 62 peratus pelabur menjangkakan inflasi akan meningkat secara global.

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca) menjelaskan, awal minggu ini data yang dikeluarkan di Britain menunjukkan Indeks Harga Pengguna di United Kingdom mencecah 3.7 peratus pada Januari 2011 yang menguatkan spekulasi bahawa inflasi sedang meningkat.

Presidennya, Datuk Marimuthu Nadason berkata, inflasi dikatakan bakal mencecah kadar empat peratus dalam beberapa bulan akan datang dan kini penganalisa mempersoalkan sama ada Bank of England sudah kehilangan kredibiliti.

Katanya, pakar ekonomi percaya Indeks Harga Pengguna akan meningkat sekitar 3.4 peratus pada Disember dengan petrol, makanan dan bil utiliti memberikan tekanan paling kuat terhadap inflasi.

"Kadar inflasi pada tahun ini dijangka berada sekitar 2.5 hingga tiga peratus dan peningkatannya diramal lebih pantas menjelang separuh kedua ekoran pertumbuhan ekonomi dunia," jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Inflasi di negara ini, menurut beliau, bakal meningkat lebih pantas sekiranya kerajaan melaksanakan cadangan pemansuhan subsidi di bawah rasionalisasi subsidi yang dikemukakan Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian (Pemandu).

Sementara itu, dalam laman webnya, consumerkini, Fomca menjelaskan, kadar inflasi di Malaysia pada Disember 2010 naik kepada 2.2 peratus, iaitu yang tertinggi dalam tempoh 19 bulan.

Peningkatan itu, katanya, sekali gus merekodkan kadar inflasi tahunan kepada 1.8 peratus untuk 2010.

Kenaikan kadar inflasi itu berpunca daripada lonjakan harga makanan, komoditi dan penurunan subsidi oleh kerajaan pada akhir tahun 2010.

Penurunan subsidi yang menyaksikan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel sebanyak lima sen seliter, LPG lima sen sekilogram dan gula 20 sen sekilogram serta sambutan perayaan Krismas dan cuti sekolah telah mendorong kenaikan inflasi.

Bagaimanapun, kadar inflasi negara masih jauh lebih rendah berbanding Indonesia 6.9 peratus, Thailand tiga peratus, Korea 3.5 peratus dan India 8.4 peratus.(HDaily)

Anggota TUDM maut dalam kemalangan

15 Rabiulawal 1432H [MOD]-
BESUT 18 Feb. – Seorang anggota wanita Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut manakala empat anaknya parah selepas kereta yang mereka naiki terbabas dalam kemalangan di Kampung Nyiur Tujuh dekat sini petang semalam.

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 5.30 petang ketika mangsa, Zubaidah Shamsudin yang bertugas di Pangkalan TUDM Gong Kedak di sini memandu kereta jenis Proton Iswara bersama empat orang anaknya dari arah Jerteh menghala ke Kampung Raja. – Bernama

DAP minta KDN henti beri alasan tempang


15 Rabiulawal 1432H [MOD]-

DAP mendesak kerajaan berhenti bermain politik dan memberikan alasan tempang berhubung penolakan terhadap hasrat kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menubuhkan pasukan polis bantuan sendiri bagi mengurangkan jenayah.

Setiausaha publisiti DAP Tony Pua (kanan) berkata alasan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein - bahawa tindakan itu bertentangan dengan perlembagaan - itu tidak bertanggungjawab.

"Alasan menteri dalam negeri, bahawa pasukan polis bantuan bertentangan dengan perlembagaan pincang sepenuhnya ekoran tiada sebarang peruntukan menghalang pembentukan pasukan itu, sebagaimana tiada peruntukan menentang penggajian petugas keselamatan," kata Tony.

Semalam, Hishammuddin dilaporkan tidak berganjak daripada keputusan menolak permohonan Selangor yang mahu meneruskan permohonan menubuhkan pasukan polis bantuan sendiri kerana ia "bertentangan dengan perlembagaan".

Beliau sebaliknya mendakwa, kerajaan negeri mahu melakukan provokasi sedangkan mereka didakwa tahu ia bercanggah dengan perlembagaan dan tidak masuk akal.

Hishammuddin turut dilaporkan melahirkan rasa terkilan terhadap kerajaan Selangor yang didakwa tidak pernah tampil ke hadapan membantu polis dalam usaha mengurangkan indeks jenayah di negeri itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Tony mencabar Hishammuddin membuang semua pagar keselamatan, penghadang automatik dan rumah pengawal keselamatan sekiranya dia benar-benar yakin bahawa kadar jenayah menurun.

Tony menambah, kerajaan negeri selama ini bertolak ansur dengan pembinaan pagar yang munasabah - walaupun keabsahannya dibangkitkan - kerana simpati dengan perasaan takut penduduk kepada jenayah yang memuncak pada 2008 dan 2009.

"Tindakan rakyat Malaysia itu sebaliknya membuktikan bahawa mereka tidak percaya polis mempunyai sumber yang cukup untuk melindungi mereka dan sebaliknya terpaksa mengambil alih fungsi itu sendiri," kata Tony.

"Bagaimanapun, sekiranya diberi peluang, rakyat Malaysia tidak perlu mengeluarkan wang sendiri untuk membayar pengawal keselamatan dan tinggal dalam kawasan berpagar yang tidak selesa, yang menjadikan bandar seperti Petaling Jaya umpama "zon perang".(Mkini)

PAS, PKR tiada masalah Pulau Pinang wujud portfolio hal ehwal bukan Islam

15 Rabiulawal 1432H [MOD]-

KUALA LUMPUR, 18 Feb — Pakatan Rakyat menyifatkan keputusan kerajaan negeri Pulau Pinang mewujudkan portfolio khas bagi menguruskan hal ehwal agama-agama bukan Islam di negeri itu sebagai satu langkah tepat dalam suasana negara sekarang. Malah pemimpin PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata pihaknya tidak menghalang langkah kerajaan negeri Pulau Pinang diterajui Lim Guan Eng itu dari DAP itu.

“Dalam Pakatan Rakyat kita tidak memerintah berdasarkan agama dan perkauman sempit, jadi bagi saya adalah wajar portfolio itu diwujudkan sebagai langkah untuk mengelakkan fitnah-fitnah agama yang boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dalam negara.

“Bagi saya portfolio ini adalah satu tindakan yang tidak bertentangan dengan pentadbiran negara, yang mana kita ada portfolio menjaga hal ehwal agama Islam, jadi tiada masalah untuk wujudkan portfolio khas bagi menguruskan hal ehwal agama-agama bukan Islam di Pulau Pinang,” kata ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat Dr Mujahid Yusuf Rawa ketika dihubungi oleh The Malaysian Insider.

Jelas beliau, PAS yang selama ini memperjuangkan dasar Islam tiada halangan sekiranya Pulau Pinang mahu mewujudkan portfolio itu.

“Saya harap dengan adanya portfolio ini ia akan jadi satu jambatan untuk wujudkan suasana harmoni di Pulau Pinang yang mana kalau kita lihat Umno sentiasa gunakan agama untuk menyerang di sana.

“Dengan ada portfolio ini ia juga akan jadi jambatan antara hubungan antara agama di sana, jadi bagi PAS kita tiada halangan sekiranya ia mahu diwujudkan,” katanya.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, langkah mewujudkan portfolio itu akan menjadi “jambatan” antara agama Islam dan agama lain di negeri itu.

“Kita kena lihat ia dari sudut keperluan dan perspektif yang mana ia bertujuan untuk memantau agama lain supaya lebih terkawal.
“Dengan adanya portfolio ini ia dapat memantau pergerakan agama lain dan harapan kita ia akan jadi jambatan antara agama, satu jambatan yang baik untuk wujudkan sikap yang baik,” katanya.

Kelmarin, Lim berkata kerajaan negeri Pulau Pinang akan mewujudkan portfolio khas bagi menguruskan hal ehwal agama-agama bukan Islam di negeri itu. Dengan keputusan itu, portfolio tersebut akan memberi tumpuan ke atas hal ehwal agama Buddha, Kristian, Sikh, Taoisme dan Hindu.

Ia akan dipengerusikan oleh ketua menteri sendiri. “Ini kali pertama satu portfolio majlis eksekutif negeri diadakan,” kata Lim.

Lim berkata keperluan untuk mengadakan portfolio itu yang dibawa oleh Timbalan Ketua Menteri II Profesor Dr P. Ramasamy diluluskan minggu lalu.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Dr Muhammad Nur Manuty berkata, orang bukan Islam mempunyai hak untuk mewujudkan portfolio itu sebagai langkah penyelarasan agama masing-masing.

“Saya rasa dari segi keperluan masyarakat bukan Islam mereka ada hak untuk ada penyelarasan tanpa menjejaskan agama Islam yang merupakan agama rasmi negara.

“Saya rasa kerajaan Pulau Pinang faham akan perkara ini dan fungsi-fungsi berkaitan agama Islam malah ia juga dipertahankan di Pulau Pinang,” katanya.

Jelas beliau, langkah kerajaan negeri Pulau Pinang itu akan membantu mewujudkan pemahaman antara agama Islam dan agama bukan Islam

“Untuk pengurusan ia akan beri satu platform ke arah pemantapan pemahaman antara Islam dan bukan Islam, malah ia juga akan memberi kebaikan.

“Kalau hanya sekadar penyelarasan ia tiada masalah dan yang penting ia tidak jejaskan agama Islam, jadi orang Islam tidak perlu bimbang sekiranya ia dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata cadangan untuk mewujudkan portfolio tersebut tiada masalah, malah Islam tidak menghalang.

Namun menurut Mohd Asri, adalah lebih baik sekiranya kandungan portfolio itu dijelaskan terlebih dahulu kepada umum.

“Ia tiada masalah kalau sekadar mengawal urus agama-agama lain, kalau setakat penyelarasan sahaja ia tiada masalah.

“Tapi kita kena lihat apa fungsinya dulu, kalau hanya penyelarasan tiada masalah untuk melaksanakannya lagipun atas dasar apa kita nak ketepikan cadangan itu,” katanya.(MInsider)

Hidung besar saya yang menipu dan membelit !

15 Rabiulawal 1432H [MOD]-

BERKATALAH Mahathir bahawa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hanya berjuang untuk memenangi pilihan raya dan bukannya berjuang untuk Islam. Beliau berkata, Menteri Besar Kelantan itu menyatakan tujuan hidupnya ialah untuk memenangi pilihan raya dan menjadi pemerintah bersama DAP dan PKR.

“Untuk ini Nik Aziz secara terbuka sanggup mengkafirkan orang Islam UMNO, bersedia untuk bekerjasama dengan syaitan untuk menjayakan perjuangannya, bekerjasama dengan orang yang menolak perjuangannya untuk mendirikan negara Islam ala Pas (Akhbar Sinar).

Inilah hujah Mahathir sejak dulu, kini dan mungkin selamanya hingga apabila beliau berdepan dengan Malaikat Maut nanti. Hujah `gampang' ini tidak perlu dijawab oleh Tuan Guru Nik Aziz, memadai saya yang jahil ini ingin menjawabnya walaupun saya tidak mempunyai hidung besar yang menipu dan membelit.

Memang tepat bahawa Tuan Guru Nik Aziz berjuang untuk memenangi Pilihanraya kerana dengan memenangi Pilihanraya saja maka PAS akan memiliki kuasa untuk melaksanakan hukum Islam. Apakah Mahathir sangka PAS akan memilih jalan lain selain dari jalan Pilihanraya untuk berkuasa? Mungkin Mahathir teringin melihat PAS mengunakan jalan `revolusi' untuk memerintah negara? Jika itu sangkaan Mahathir, beliau sudah terlalu tua sebenarnya.

Tuan Guru Nik Aziz berjuang bukan untuk Islam? Jika bukan untuk Islam, maka untuk apa? Pernahkah kita mendengar Tuan Guru Nik Aziz memekik melolong menyebut `hidup Melayu' seperti yang lazim kita dengar di PWTC itu? Di mana pun Tuan Guru Nik Aziz berucap, beliau tidak pernah melupakan Al-Quran sebagai intipati ucapannya. Bahkan, di depan masyarakat Non Muslim pun Tuan Guru mempromosi ajaran Islam ini sehinggalah DAP semakin faham tentang Islam berbanding dengan pemimpin Umno, MCA, Gerakan dan MIC.

Difitnah oleh Mahathir bahawa Tuan Guru Nik Aziz secara terbuka mengkafirkan orang Islam Umno. Secara terbuka itu bila dan di mana? Jika benar, mengapa setiap kali orang Umno masuk PAS, Tuan Guru Nik Aziz tidak pernah mengarahkan agar mereka di`syahadah'kan kembali? Jika Tuan Guru Nik Aziz menyebut bahawa orang Umno itu masih Jahiliyyah, ada lojik dan betulnya. Mendokong parti sekular dan tidak mahu memahami perjuangan Islam itu tidak Jahiliyyahkah? Jika bukan Jahiliyyah, mungkin bodoh perkataan yang lebih sedap untuk didengar.

PAS hanya menyebut apa yang disebut di dalam Al-Quran dan Hadith tentang batas-batas Kufur seperti yang terkandung juga di dalam Kitab Mustika Hadith yang dikeluarkan oleh JPM sewaktu zaman Mahathir. Masakan Mahathir tidak membaca kitab yang diterbitkan dari pejabatnya sendiri. Disebut di dalamnya bagaimana seseorang itu boleh menjadi Kafir dengan beberapa sebab termasuk menghina hukum Islam termasuk hukum Hudud. Mereka yang menyebut bahawa Hukum Hudud tidak boleh dilaksanakan di zaman ini, atau hukum hudud boleh menyebabkan umat Islam mundur dan sebagainya boleh menjadi Kafir. Mereka yang menghina Sunnah Nabi seperti beserban, berjangut kerana tiada pisau cukur juga boleh menjadi Kafir. Jika Mahathir terasa atau ada pemimpin Umno yang terasa, itu bukan salah PAS. Bukan PAS yang menjatuhkan hukum Kafir itu.

Tuan Guru Nik Aziz ada membuat kiasan bahawa PAS sanggup bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi untuk memperjuangkan Islam hatta dengan Syaitan sekalipun. Persoalannya, adakah boleh diterima akal Syaitan akan membantu untuk perjuangan Islam? Jawapannya sudah pasti mustahil. Ini membawa maksud, betapa kuatnya cita-cita PAS untuk memperjuangkan Islam dan boleh menerima sesiapa sahaja sebagai kawan untuk menegakkan ugama yang maha suci ini. Kalau Syaitan pun PAS kata boleh terima, masakan Umno yang bukan Syaitan PAS akan tolak. Masalahnya, Umno tidak mahu bekerjasama dengan PAS untuk perjuangan Islam bahkan Umno banyak menghalang cita-cita PAS dengan berbagai cara.

PAS bekerjasama dengan PKR dan DAP kerana kedua-dua parti ini tidak pernah menghalang PAS dari berjuang untuk Islam. Mana mungkin PAS boleh paksa pemimpin DAP yang bukan Islam untuk terima Hukum Hudud kerana kewajipan untuk menegakkan hukum Islam terletak di tangan umat Islam sahaja. Sama juga seperti puasa, bolehkah PAS memaksa Karpal Singh atau Lim Kit Siang berpuasa? Peliknya, mengapa pemimpin Umno yang mengaku Islam tidak juga mahu kepada hukum Islam? Mengapa Mahathir mesti cabar PAS agar menentukan DAP terima Islam? Bukankah pelik? Mengapa Mahathir tidak mahu terima hukum Islam tetapi sebaliknya mahu agar DAP terima Islam?

Mahathir kata PAS ingin tegakkan Negara Islam ala - PAS. Cuba sebutkan apakah ciri-ciri Negara Islam ala-PAS itu jika Mahathir tahu. Jika ini lah pemikiran kepala otak Mahathir, tidak mustahil satu hari nanti Mahathir akan sebut ini sembahyang ala-Umno, ini sembahyang ala-PAS. Di dalam perkara ini, Umno pernah cuba untuk berdebat dengan PAS berkaitan isu `Takfir'. Umno melakukan `warming up' terlebih dahulu dengan mengadakan debat olok-olok kununnya di antara PAS dan Umno. Akhirnya, Allah maha kuasa, dan Al-Quran adalah mukjizat yang Umno tidak boleh perdayakan. Di dalam debat olok-olok tersebut, pihak yang kununnya mewakili Umno tidak mampu membalas hujah pihak yang kununnya mewakili PAS. Debat olok-olok tersebut boleh diikuti melalui youtube.

Akhirnya, Umno tidak berani untuk berdebat dengan PAS kerana mereka tahu kebenaran yang dibawa oleh PAS setelah mereka adakan debat olok-olok tersebut. Hakikatnya Umno tahu PAS sejak dahulu konsisten di dalam perjuangannya. Sebab itulah berbagai cara telah Umno lakukan untuk memecahbelahkan kesatuan di dalam PR. Paling menyakitkan hati Mahathir adalah apabila semakin ramai di kalangan Non Muslim yang berani menghampiri PAS bahkan DAP sendiri sanggup membela PAS.

Lebih pedih hati lagi Mahathir apabila Karpal Singh menyebut di dalam Konvensyen PR baru-baru ini bahawa beliau sanggup terkorban untuk mempertahankan Islam yang terdapat di dalam Perlembagaan. Karpal Singh juga bersedia untuk berdialog dan berbincang dengan PAS berkaitan penubuhan negara Islam dan juga tentang hukum hudud. Nampaknya DAP lebih awal ingin belajar tentang Islam daripada Umno. (sumber/wfauzdin.blogspot.com)

BN Dicabar Berlaku Adil Dalam Pilihanraya

15 Rabiulawal 1432H [MOD]-
PARIT BUNTAR, 18 Feb : Kerajaan BN dicabar berlaku adil dalam setiap kali PRK, berlaku adil termasuklah melaksanakan pilihanraya yang adil dan telus, demikian respon YB ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim ketika diminta memberi respon terhadap keyakinan pimpinan BN terhadap momentum sokongan rakyat pasca Kemenangan BN di PRK baru-baru ini.

Tambahnya, adil yang dimaksudkan ialah BN perlu melaksanakan penggunaan dakwat dalam PRK mahupun PRU, juga tidak menggunakan undi pos, serta semua parti politik bertanding boleh ada laporan media dan boleh membuat iklan di media

Menurutnya yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, BN juga diingatkan jangan memperalatkan Suruhanjaya Pilihanraya, Polis dan SB untuk menipu, mengancam dan menekan pengundi agar memilih BN dalam setiap kali pilihanraya yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Khalil menyifatkan dasar BN menegakkan prinsip rakyat didahulukan sebagai dasar pembohongan kesekian kalinya kepada rakyat Malaysia.

Dua PRK terdekat di Merlimau dan Kerdau ini telah menyaksikan pimpinan BN terlalu ghairah menunjuk kepada rakyat bahawa BN satu-satunya pembela rakyat yang sebenar dengan menggunakan slogan palsu 1Malaysia.

“Walaupun Kadar tol diturunkan seperti yang diumum Perdana Menteri, rakyat tetap menjadi golongan yang terlebih dahulu membayar tol, inikah maksud rakyat didahulukan?, PR menjanjikan tol percuma kepada rakyat jika memerintah, bandingkanlah!, mana yang terbaik,” katanya ketika mengakhiri sesi temubual.

Pakatan Rakyat - Sila mainkan isu tempatan untuk tawan Merlimau

15 Rabiulawal 1432H [MOD]-
Pakatan Rakyat dilihat tidak banyak memainkan isu tempatan dalam menghadapi pilihan raya kecil di DUN Merlimau yang berbaki hanya dua minggu sahaja lagi.

Sehingga kini belum ada isu besar berkaitan masalah tempatan dimainkan Pakatan sebagai senjata ampuh untuk menawan kawasan kubu kuat BN itu. Cuma yang disentuh soal kebangkitan rakyat seperti mana yang berlaku di Mesir dan Tunisia sehingga menimbulkan kekacauan.

Itulah isu wajib yang sering disuarakan penceramahnya setiap kali mengalunkan kempen mereka di Merlimau.

Bagaimanapun, pemerhati politik berpendapat, suasana di Mesir dan Tunisia amat berbeza dengan Merlimau. Di kedua-dua negara berkenaan rakyat bangkit berikutan timbul rasa tidak puas hati terhadap perhatian serta kebajikan mereka.

Tetapi, di sini, belum pun penamaan calon pada 26 Februari ini, rakyat di DUN Merlimau yang disandang pemimpin BN awal-awal sudah mencurahkan apa yang dianggap rezeki bagi mereka.

Biarpun boleh dianggap sebagai umpan untuk menarik perhatian pengundi, apa yang penting, bagi lebih 10,000 rakyat di DUN Merlimau, ia adalah pembangunan fizikal dan kemudahan infrastruktur yang serba lengkap.

Sejak berlangsungnya dua pilihan raya umum juga, masyarakat Merlimau dianugerahkan dua pusat pengajian tunggi iaitu Politeknik Merlimau dan Kolej Komuniti Jasin.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turun ke Merlimau baru-baru ini juga yakin tiada isu tempatan yang boleh diutarakan berikutan Merlimau dilabel sebagai kawasan pembangunan.

Tiada kelompok miskin

Merlimau juga menurut Muhyiddin, tiada lagi kelompok rakyat miskin. Malah, katanya, kerajaan negeri sentiasa memikirkan usaha bagaimana untuk meningkatkan pendapatan penduduk.

Terbaru, sebanyak RM500,000 diluluskan menerusi Dana Satu Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi menampung projek membaik pulih rumah rakyat kurang berkemampuan di seluruh DUN Merlimau sudah cukup mengembirakan rakyat Merlimau.

Masyarakat nelayan juga merasakan mereka tidak terpinggir apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak meluluskan peruntukkan sebanyak RM5.6 juta bagi menaik taraf jeti nelayan ketika melakukan lawatan ke Jeti Pengkalan Samak baru-baru ini.

Malah mereka juga bakal meraih pendapatan tambahan dengan terlaksananya perancangan kerajaan negeri untuk pembinaan jeti berbumbung, sekali gus bakal menukar persepsi penduduk daripada jeti termundur di Melaka kepada jeti tercanggih di Melaka.

Pakatan setakat ini hanya menegur tindakan BN yang didakwa terus menggunakan kemudahan awam untuk program kepentingan politik mereka.

PAS dilaporkan kesal apabila Dewan Politeknik Merlimau digunakan untuk program suai kenal bapa angkat dengan jawatankuasa peti undi Merlimau, yang turut melibatkan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Selain itu, politeknik berkenaan turut pernah digunakan untuk perasmian jentera pilihan raya BN dan perjumpaan dengan jawatankuasa Umno cawangan dan kawasan DUN itu.

Bagi PAS, perkara itu tidak wajar kerana ianya jelas mengheret institusi pendidikan ke kancah politik. Rasa tidak puas hati PAS juga tidak berakhir dengan masalah tersebut.

Rencah kempen
Terbaru, akhbar web parti Islam itu Harakahdaily memetik sebuah blog yang mendakwa BN menggunakan nama Jabatan Pendidikan Daerah Jasin bagi menganjurkan majlis perasmian Bangunan Tambahan SKJ (C) Merlimau.

Laporan itu juga memetik, guru yang hadir dianggap 'kuda tunggangan' setelah majlis yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu langsung tiada agenda perasmian bangunan tambahan seperti dalam surat jemputan.

Sebaliknya kain rentang majlis pada malam itu terpampang 'Majlis Makan Malam Rakyat Bersama Timbalan Perdana Menteri' sehingga ramai guru yang hadir pada malam itu kesal dan berasa tertipu kerana terang-terang ia adalah majlis kempen supaya guru-guru menyokong BN.

Bagaimanapun PAS dijangka akan terus menggunakan topik apa yang didakwa mereka sebagai 'kelemahan' pentadbiran Mohd Ali.

Ia termasuklah isu 'pembaziran' dengan pembinaan jam bunga di hadapan bangunan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) yang didakwa menelan belanja RM500,000; lapangan terbang yang didakwa bernilai ratusan juta ringgit tetapi tiada pesawat beroperasi dan projek 'Eye On Malaysia' yang terpaksa ditutup.

Di samping itu juga, ada banyak lagi isu kelemahan kerajaan yang ditadbir Mohd Ali Rustam dijangka bakal menjadi rencah Pakatan untuk menyedapkan kempen di Merlimau nanti.

Bagaimanapun, bagi menjawab segala persoalan, ketua menteri Melaka itu dikatakan bersetuju untuk berdebat dengan sesiapa sahaja pemimpin Pakatan bagi menjawab segala persoalan berkenaan.

Pilihan raya kecil Merlimau diadakan setelah kematian penyandangnya, Allahyarham Mohd Hidhir Abu Hassan akibat serangan jantung pada 20 Januari lalu. (MKini)