20 April 2011

Jepun Berhempas Pulas

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



TOKYO - Pekerja di loji nuklear Jepun yang rosak akibat gempa kuat, bulan lalu, mula mengepam keluar air yang mengandungi tahap radioaktif tinggi daripada sebuah reaktor, semalam, iaitu langkah penting bagi memulihkan semula sistem penyejukan di loji itu. 

Gempa sekuat 9.0 pada skala Richter yang melanda timur laut Jepun pada 11 Mac lalu menjejaskan bekalan tenaga di loji Fukushima Daiichi dan menyebabkan sistem penyejukan gagal berfungsi sehingga mencetuskan beberapa letupan. 

Bagi menghalang bencana nuklear berlaku, pekerja terpaksa mengepam ribuan tan air laut ke dalam reaktor bagi menyejukkan teras nuklear sekali gus menghasilkan takungan air yang mengandungi radioaktif tinggi. 

Pengendali loji, syarikat Tokyo Electric Power mengumumkan usaha mengurangkan kebocoran loji itu dan penutupan sepenuhnya dijangka mengambil masa enam hingga sembilan bulan. 

Sementara itu, kerajaan Jepun bercadang meningkatkan cukai jualan barangan bagi membantu negara itu membiayai kos pembinaan semula kawasan terjejas teruk akibat bencana itu yang dianggar mencecah RM900 bilion.

Cabaran getir PAS Selangor pertahan kerajaan

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 20 April: PAS Selangor bersedia menghadapi cabaran berhadapan dengan hasrat semua pihak untuk mengambil semula pentadbiran kerajaan negeri paling maju di Malaysia ini.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menyifatkan pilihan raya depan sebagai sangat getir dengan segala cubaan musuh untuk berkuasa semula.

Dr Hasan yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor berkata demikian ketika berucap melancarkan Skim Waqaf Bangunan PAS tiga tingkat bernilai RM1.3 juta, di sini malam tadi.

(Gambar: Haji Shafie dari Serdang berjaya membeli jualan awal dengan harga RM10 ribu untuk seperenam kaki yang asalnya berharga RM50 daripada Dr Hasan.)

Menurutnya, bangunan yang bakal menjadi pemangkin utama pusat gerak kerja seluruh petugas semua peringkat itu amat perlu disegerakan.

"Harapan besar kita agar segala impian ini akan dapat menjadi realiti dalam masa terdekat.

"Syukur kerana bayaran 10 peratus daripada bayaran itu telah disumbangkan oleh sahabat kita, Datuk Kapten (B) Abu Zahar Hashim.

"Moga sumbangan permulaan sangat hebat ini menjadi perangsang kepada semua pihak untuk tingkatkan usaha mencari sumber kewangan berkaitan," tegasnya.

Untuk rekod, Abu Zahar adalah bekas Ketua Bahagian Umno Petaling Jaya Selatan yang mendedahkan isu pembelian helikopter Eurocopter, menyertai PAS pada 24 Disember 2008.

Abu Zahar digantung jawatan ketua Umno bahagian itu kerana mengkritik pemimpin utama Umno, termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak (ketika itu) menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Manakala bangunan PAS pula terletak di Alam-I berhampiran Kompleks Perniagaan World Wide, dekat sini.

Menerusi sesi bidaan pertama yang dijalankan oleh Dr Hasan sendiri bagi mencari pembeli paling mahal untuk tanah seluas satu perenam yang asalnya berharga RM50 akhir berjaya mencapai RM10 ribu.

Pembida yang bernasib baik itu adalah Haji Shafie dari kawasan Serdang.

Sementara itu, kehadiran pimpinan semua PAS kawasan seluruh negeri termasuk Ahli Parlimen, Adun-adun termasuk kalangan korporat serta semua individu prihatin membangkitkan semangat penganjur.

Pengerusi Jawatankuasa Bangunan PAS negeri, Ir Iskandar Abdul Samad merangkap Exco Perumahan Kerajaan Negeri Selangor kelihatan ceria dan bersalaman dengan hadirin walau kakinya sedang sakit.

Turut kelihatan adalah Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Ahmad Sabki Yusof, Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor era 1980-an, Haji Mohsinon Tahir, bekas Ketua Dewan Ulamak negeri sezaman, Ustaz Omar Hashim, Exco, Dr Hajah Halimah Ali dan pimpinan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) mewakili kaum Cina dan India.

Ketika hadirin enak menikmati hidangan makan malam, mereka dihiburkan dengan hiburan mendidik jiwa dari Kumpulan Nasyid Wildan yang turut dendangkan lagu Tamil yang bakal dilancarkan di Chennai, India.

Dalam pada itu, Hasan berkata, meskipun bayaran bulanan sebanyak RM37 ribu atau RM1,200 sehari namun akan berusaha untuk segera selesaikan.

"Kita tidak mahu terikat dengan isu bayar lama ini kerana banyak lagi usaha dan program yang perlu dilakukan," jelasnya.

Kerjasama semua pihak mencari sumber kewangan bakal menyelesaikan hal berkaitan, tegasnya.

Di akhir majlis, Iskandar menyampaikan sijil dan buku resit kepada dewan-dewan dan semua wakil PAS kawasan untuk mereka sampaikan hasrat besar ini ke seluruh peringkat.

Beliau juga memaklumkan satu lagi majlis makan malam besar-besaran akan diadakan dalam masa terdekat bakal dihadiri oleh Presiden dan Mursyidul Am PAS.

Harakahdaily/-
Oleh : Ismail Hashim

Sumpah: PAS Hanya Ikut Peraturan Allah

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



TEMERLOH, 20 April: Setahu para ulama, tiada sumpah dalam urusan yang melibatkan zina, rogol liwat (melainkan isteri yang mengadu kepada hakim bahawa dia diliwat oleh suami dibenarkan bersumpah), tuduhan seseorang itu melakukan zina tanpa mengemukakan saksi (qazaf) berpandukan tindakan yang tidak memanggil Safwan atau Aisyah bersumpah dalam peristiwa fitnah ke atasnya.

Demikian penerangan yang diberikan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai cabaran bersumpah dari bekas bendahari agung Perkasa, Datuk Shuib Lazim kepada dua pemimpin kanan PAS, Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bagi membuktikan kebenaran dakwaan rakaman video seks yang dikaitkan dengan Anwar.

“Sumpah hanya ada dalam urusan yang bukan jenayah di atas, yang pembuktian hanya dilakukan melalui penyaksian atau pengakuan.

“Andainya dibenarkan sumpah dalam urusan qazaf, nescaya akan binasalah masyarakat, apabila seseorang wanita atau lelaki yang khianat atau berniat jahat kepada seorang imam, sanggup bersumpah dengan nama Allah:

“Wallahi, wabillahi, watallahi, imam itu telah merogol saya, nescaya akan punah keyakinan masyarakat pada imam, demikian seterusnya,” terang Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Lantaran itu, katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, Rasulullah s.a.w mengkategorikan qazaf sebagai dosa membinasakan - yakni ia akan membinasakan diri yang dituduh, keluarganya mungkin bercerai-berai, masyarakat hilang kepercayaan padanya dan institusi atau syarikat akan membawa hilang kredibiliti kepada majikannya.

“Bayangkan kalau sumpah dibenarkan dalam tuduhan zina, rogol dan liwat, sudah tentu akan ada golongan yang akan mengambil kesempatan sanggup bersumpah demi menjatuhkan maruah seseorang,” tambahnya.

Disebabkan itu, katanya, Islam menyeru umatnya agar berpegang pada panduan ilmu yang disampaikan oleh para ulamak yang muktabar.

“Apabila Dr Yusuf al-Qardhawi menjelaskan tiadanya sumpah dalam urusan qazaf, bermakna inilah panduan syarak yang perlu dipatuhi oleh umat Islam.

“Semoga Allah menjauhi kita dari membuat tuduhan yang berupa qazaf kerana ia termasuk dalam tujuh dosa besar yang membinasakan umat manusia,” kata Tuan Ibrahim.

Oleh itu, beliau berkata, Shuib harus mendalami peraturan syarak sebelum mencabar pemimpin PAS untuk bersumpah.

“Yang minta saksi ini bukan PAS, tapi Allah dan Rasul-Nya. Jangan kita anggap Allah jahil dalam membuat peraturan-Nya - Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Hakim dalam menetapkan hukuman-Nya.

“Kita mesti ikut peraturan Allah, bukan membuat peraturan baru yang bercanggah dengan peraturan Allah. PAS tidak berhasrat membela sesiapa tetapi kita perlu ikut peraturan Allah,” tegas Tuan Ibrahim.

Kalau Shuib merasakan klip video seks itu satu kes penting, kata Tuan Ibrahim dia perlu menayangkannya pada hakim yang bakal memutuskan sesuatu kes dan bukannya kepada orang ramai untuk minta penghakiman awam.

 “Dia perlu mengadu kepada polis bukan tayang pada wartawan untuk jadi bahan menjatuh seseorang, kalau ianya benar sekalipun, apa lagi ianya penuh dengan pertikaian kesahihannya,” bidas Tuan Ibrahim, yang turut melahirkan rasa kesal ke atas kelambatan polis untuk mengambil tindakan terhadap trio Datuk T yang diketuai bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik yang melakukan jenayah secara terang dengan menyiarkan video lucah kepada orang awam. 

H/daily

GSTT: Mana janji Muhyiddin

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 April: Seramai 13,000 orang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) seluruh negara masih belum menerima sebarang surat lantikan semula seperti yang telah dijanjikan.

Seorang daripada mereka meminta ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali supaya membangkitkan keluhan nasib mereka di Dewan Rakyat dengan kadar segera.

Dalam emel kepada Dr Lo’ Lo’ semalam, beliau memberitahu pada 3 Mac yang lepas, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin telah mengumumkan tentang penarikan balik surat penamatan perkhidmatan guru GSTT.

“Dalam pengumuman tersebut menyatakan kami dikehendaki berkhidmat semula dan akan diserapkan menjadi guru tetap melalui Kursus Dalam Cuti (KDC) dan kursus lanjutan,” tulisnya.

Namun sehingga emel ini ditulis,mereka masih belum menerima sebarang surat lantikan semula seperti yang telah dijanjikan oleh Muhyiddin itu.

“Kami berharap suara hati kami ini dapat diketengahkan oleh Yang Berhormat di Dewan Rakyat dan dapat dilaksanakan dengan segera tanpa melalui proses yang panjang,” tulisnya lagi.

Harakahdaily

BN Beri Projek E-Mail RM50 Juta Kepada Syarikat Bermasalah

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR : Tricubes Berhad, syarikat yang meraih kontrak perkhidmatan emel 1 Malaysia bernilai RM50 juta dilaporkan menghadapi masalah kewangan dan berkemungkinan dilucutkan dari Bursa Malaysia.

Meskipun menghadapi permasalahan sebegitu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan firma berkenaan diberi kontrak lumayan untuk menyediakan khidmat emel rasmi antara rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan kerajaan, lapor Malaysian Insider.

Ramai pihak menyifatkan langkah itu sebagai membazir kerana sebilangan besar masyarakat yang celik komputer sudah pun memiliki e-mail peribadi.
:
Mereka juga mempersoalkan keselamatan maklumat peribadi dalam sebarang transaksi menerusi e-mail 1Malaysia itu.

Justeru mereka menolak projek e-mail 1Malaysia dan mempertikaikan kenapa ia diberi kepada sebuah syarikat yang dipantau oleh Bursa Kuala Lumpur.

Tricubes sebelum ini diberi amaran dan diletakkan di bawah status Nota Bimbingan Keselamatan 3 oleh Bursa Malaysia (GN3) tahun lalu.

Sebagai Syarikat GN3, Tricubes perlu memberikan laporan kewangan kepada Bursa setiap bulan serta melantik penaja sehingga ia bukan lagi berstatus GN3.

Menurut laporan itu jika syarikat (Tricubes) gagal berbuat demikian, mereka boleh digantung dan disingkirkan dari papan oleh Bursa Malaysia.

Sumber Bursa juga menyatakan, sehingga 1 April lalu, Tricubes masih dalam proses meguruskan aliran kewangannya dan 'tiada sebarang perkembangan besar' yang memungkinkan status GN3 syarikat itu ditarik balik.

Tv Selangor/-

8 penyebab anda lupa

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Jika anda selalu lupa sebaiknya jangan dibiarkan. Cari penyebab anda mudah lupa berdasarkan tanda berikut ini :

1. Kadar gula darah tinggi

Penyimpanan memori boleh terganggu akibat tingginya gula darah anda. Awas, keadaan ini boleh menggangu bahagian otak yang berhubungan dengan memori. Jika mempunyai keturunan keluarga yang ada penyakit kencing manis, sebaiknya kawal kandungan gula anda.

Lakukan juga ujian gula dalam darah secara rutin. Jangan lupa menjaga pola makan seimbang serta tetap aktif. Berjalan kaki adalah salah satu alternatif berkesan mencegah diabetes.

2. Kurang berehat

Otak memerlukan cukup tidur untuk menyimpan memori baru. Dalam satu kajian, responden yang tidur enam jam setiap malam selama dua minggu mungkin tidak merasa kurang tidur. Namun, setelah dilakukan ujian memori secara tetap, hasilnya mereka sukar mengingat memori jangka pendek.

Pertajam daya ingatan anda dengan kadar rehat yang cukup. Jika anda tidak boleh, cuba lakukan tidur pendek selama enam minit semasa tubuh terasa lemah. Cara ini boleh meningkatkan ingatan dan memacu proses memori penting dalam otak.

3. Berdengkur

Berdengkur tidak hanya mengganggu kualiti tidur, tapi juga boleh menurunkan daya ingatan. Semasa tidur berdengkur, saluran nafas anda akan terhalang, sehingga menahan oksigen beberapa saat pada sesuatu waktu dan menyebabkan sel-sel otak ‘kelaparan’.

Menurut kajian, lelaki lebih sering berdengkur dibandingkan wanita. Dan, faktor risiko lainnya, kebiasaan ini boleh muncul kerana kelebihan berat badan atau berusia lebih dari 40 tahun.

Jika anda atau pasangan punya kebiasaan berdengkur, sebaiknya anda mendapat nasihat pada doktor. Anda mungkin perlu memakai perangkat khusus untuk mengatasi berdengkur semasa tidur agar aliran oksigen boleh lancar menuju otak. Dengan begitu, daya ingat anda boleh kembali meningkat.

4. Metabolisme menurun

Jika hal ini terjadi, kemungkinan anda memiliki masalah tiroid. Hormon tiroid mengawal metabolisme tubuh. Bila produksinya terlalu banyak atau terlalu sedikit dapat mengganggu sel-sel otak, yang dapat memperlahankan masuknya informasi ke otak. Tidak ada salahnya anda berjumpa doktor untuk mengatasi masalah ini.

5. Usia lebih dari 65 tahun

Di usia ini, manusia akan lebih sukar untuk menyerap vitamin B12 dari makanan. Kekurangan B12 serius dapat menyebabkan penyakit Alzheimer. Seiringnya bertambah usia, dapatkan nasihat dari doktor untuk mengetahui cara meningkatkan kandungan B12, misalnya dengan suplemen.

6. Mengalami depresi

Penderita depresi berat juga mengalami gangguan pada sel-sel otak. Bahkan, ketika depresi berlangsung, ada kemungkinan keadaan ini boleh membunuh sel-sel otak, sehingga menyebabkan daya ingatan ‘merosot’.

Segera cari pengubatan.Jika tidak, makin banyak sel-sel otak yang ‘hilang’, daya ingatan akan makin sukar ditingkatkan.

7. Mengunakan ubat alergi atau pil tidur

Ubat-Ubatan untuk mengatasi masalah seperti insomnia, alergi, dan gangguan, boleh juga menyebabkan fungsi otak terganggu. Maka itu, sebelum mengunakan ubat ini sebaiknya dapatkan nasihat dulu daripada doktar agar daya ingatan anda tidak ikut terganggu.

8. Terlalu banyak mengambil ubat

Jika mengambil lima atau lebih ubat, anda berisiko tinggi mengalami gangguan daya ingatan. Pastikan doktor tahu semua ubat yang anda ambil. Jika sebuah iklan ubat nampak menarik, jangan terus terpikat. Sebaiknya minimakan pengambilan ubat terbuka atau hanya mengambil ubat sesuai dengan nasihat doktor.

selatanonline

India Haram Buruh Kanak-kanak Dalam Sarkas

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



NEW DELHI - Mahkamah Agung India mengharamkan pengusaha sarkas mengambil pekerja kanak-kanak di bawah umur dan mengarahkan kerajaan melakukan serbuan terhadap semua syarikat hiburan untuk menyelamatkan golongan itu, kelmarin. 

Perintah mahkamah itu dikeluarkan berdasarkan satu petisyen yang dikemukakan oleh sebuah kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hak asasi kanak-kanak yang melobi pelaksanaan penuh undang-undang buruh kanak-kanak India yang tidak diendahkan oleh syarikat sarkas. 

Kanak-kanak sering dilatih melakukan aksi berbahaya seperti persembahan akrobatik atas dawai dan persembahan lain untuk penonton di India, di mana pengusaha sarkas berpindah dari bandar ke bandar sepanjang tahun. 

Peguam untuk Gerakan Menyelamat Kanak-Kanak, Colin Gonsalves berkata, mahkamah memerintahkan kerajaan untuk menyelamatkan semua kanak-kanak di bawah umur 14 tahun dan mengarahkan pembentukan sebuah pusat pemulihan untuk kanak-kanak itu. 

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan semua kanak-kanak yang diselamatkan daripada sarkas perlu dipulangkan kepada keluarga mereka namun kerajaan perlu menanggung kos rawatan dan pendidikan jika ibu bapa tidak mampu menjaga mereka.

Lelaki Rogol 116 Wanita dihukum Mati

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


BEIJING - Seorang lelaki dijatuhkan hukuman mati akhir tahun lalu kerana merogol lebih 100 wanita dalam tempoh 16 tahun. 

Dai Qingcheng, 46, dijatuhkan hukuman mati pada Disember lalu selepas didapati bersalah merogol 116 wanita antara 1993 dan 2009 di wilayah Anhui, timur China. 

Qingcheng didakwa menjadikan isteri-isteri pekerja asing yang bekerja di bandar itu termasuk seorang wanita hamil enam bulan sebagai mangsanya. 

Lelaki itu mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Anhui, semalam, bagi meminta hukumannya diringankan tetapi tarikh perbicaraan seterusnya masih belum diketahui.

Bekalan air ke UUM cukup! Infrastruktur dalaman UUM yang lemah

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

ALOR SETAR, 19 April 2011 – Bekalan air oleh SADA ke Universiti Utara Malaysia (UUM) adalah mencukupi. Masalah gangguan bekalan air yang di UUM adalah disebabkan oleh infrastruktur untuk menyokong penyaluran dalam kampus tidak pernah dinaiktaraf sejak kampus tersebut dibina.

Demikian penjelasan yang diberikan oleh Exco Kerajaan Negeri Kedah, YB. Dato' Ir Amiruddin Hamzah ketika mengulas dakwaan pihak tertentu kononnya Kerajaan Negeri gagal menyediakan bekalan air yang mencukupi untuk UUM.

"Masalah di UUM adalah berpunca dari kelamahan perancangan UUM sendiri yang tidak menyediakan infrastruktur bekalan air untuk penghuni yang bertambah," katanya.

Menurut nya, pihak UUM hanya menyediakan saluran paip dan tangki simpanan untuk 10 ribu penduduk, tetapi sekarang bilangan penduduk sudah bertambah berkali ganda.

"Tanggungjawab menaikataraf kemudahan infrastruktur bekalan air di dalam kawasan UUM adalah tanggungjawab Kementerian Pendidikan Tinggi kerana masalah tersebut berlaku di dalam tanah mereka," jelasnya lagi.

Posted by info kedah

Tiga Maut, Polis Lepas Tembakan Lerai Rusuhan di Yaman

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



SANAA: Tiga maut selepas polis Yaman terpaksa melepaskan tembakan bagi awal hari ini bagi meleraikan penunjuk perasaan yang menuntut agar Presiden Ali Abdullah Saleh berundur daripada pemerintahannya. 

Kejadian terbaru itu berlaku ketika Menteri Luar Negara Teluk mengadakan perbincangan dengan delegasi kerajaan Taman di Abu Dhabi bagi mencapai anisiatif menamatkan ketegangan di negara berkenaan.

Menteri Besar Menafikan Laporan Utusan Kononnya Kerajaan Negeri Kedah Naikkan Kadar Cukai Tanah Sepuluh Kali Ganda Terhadap UUM !

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

ALOR SETAR 19 April - Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak (foto) hari ini menafikan kerajaan pimpinannya menaikkan kadar cukai tanah 10 kali ganda terhadap Universiti Utara Malaysia (UUM). Sebaliknya kata beliau, kenyataan yang dibuat Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir dan Naib Canselor UUM Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak itu tidak berlandaskan fakta sebenar.

"Apa yang berlaku ialah bagi tempoh Januari 2006 hingga Disember 2008, UUM telah diberi rebat oleh kerajaan negeri ketika itu menyebabkan cukai tanahnya dikurangkan dari RM1.7 juta setahun kepada RM100,000."Tetapi selepas tempoh rebat dua tahun itu berakhir, mereka diminta membayar pada kadar penuh semula iaitu RM1.7 juta,” katanya pada sidang media, di sini. Azizan juga berkata, akibat pemberian rebat kepada UUM itu kerajaan negeri pimpinanya kerugian RM1.6 juta.

UUM juga katanya, pernah memohon kepada beliau agar pemberian rebat itu disambung namun permohonan mereka ditolak. "Mereka (UUM) boleh terus membuat rayuan dan kita akan pertimbangkan, tetapi tidak semestinya kita akan luluskan permohonan mereka itu,” katanya. Mengulas lanjut Azizan berkata, UUM juga telah diberi beberapa pilihan dalam membuat pembayaran cukai tesebut. "Kita juga setuju mereka (UUM) berunding dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) mengenai bayaran ansuran. Pada tahun 2009 dan 2010 mereka bayar dengan kadar penuh,” kata Menteri Besar Kedah lagi.

[Kenyataan Menteri Besar Kedah ini jelas sekali menunjukkan bahawa laporan Utusan Malaysia hari ini adalah satu fitnah jahat semata, dengan niat untuk menjatuhkan maruah Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat itu sendiri. Mereka sengaja memperbesar-besarkan sesuatu yang tidak sahih dan tidak berlandaskan fakta kebenaran.

Apakah sudah tidak ada cara lain untuk UMNO BN berpolitik dengan terus memperalatkan media arus perdana atas sesuatu tindakan yang jelas bercanggah dengan aspirasi rakyat itu sendiri. Oleh itu, rakyat diminta berharu-hati kerana banyak lagi tindakan jahat akan dilakukan oleh mereka selepas ini. Tambahan pula di saat, bahang pilihanraya umum ke-13 yang semakin terasa sekarang ini].

pahangdaily

Syria beri amaran henti bantahan

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

BEIRUT: Syria mengeluarkan amaran keras kepada rakyatnya menghentikan bantahan, beberapa jam selepas pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan antikerajaan, mengorbankan seorang.

Kenyataan kerajaan itu dibuat selepas pasukan keselamatan bertindak lebih tegas bagi menamatkan bantahan terhadap pemerintahan Presiden Bashar Assad yang berlarutan selama sebulan.

Kumpulan hak asasi manusia berkata, kematian akibat tindakan terhadap bantahan sejak empat bulan lalu sudah mencecah 200 orang.

Kementerian dalam negeri Syria semalam menggesa rakyatnya membantu pihak berkuasa mengekalkan ketenteraman awam dengan tidak terbabit dalam tunjuk perasaan.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan televisyen Syria, kementerian itu berkata semua undang-undang akan dikuatkuasakan bagi menjamin keselamatan rakyat dan kestabilan negara.

Beberapa jam sebelum pengumuman itu, pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan antikerajaan yang bertindak duduk beramai-ramai di sebuah medan di tengah-tengah bandar Homs.

Saksi di tempat kejadian berkata sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan beberapa lagi cedera.

“Mereka menembak membuta tuli. Asap menyelubungi kawasan berkenaan.
“Saya melihat beberapa orang terbaring, separuhnya ditembak di kaki,” kata seorang aktivis.

Jalan raya itu lengang pada awal tengah hari dengan kebanyakan penduduk memilih untuk tidak keluar rumah.

Beratus-ratus penunjuk perasaan berkumpul di medan Jam di Homs sejak kelmarin, membawa tilam dan bekalan makanan, bagi mengadakan bantahan seperti rakyat Mesir yang berjaya menumbangkan Presiden Hosni Mubarak. – AP

‘Serahkan UUM kepada Kerajaan Negeri jika tak mampu tadbir’ -MB

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

ALOR SETAR, 19 April - Kerajaan Negeri menawarkan diri untuk mengambil alih Universiti Utara Malaysia (UUM) sekiranya pentadbirannya sekarang sudah tidak mampu mengurus kewangan universiti.

Cabaran itu dibuat oleh beliau ekoran dakwaan UUM tidak mampu membayar cukai tanah kepada kerajaan negeri.

YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata demikian kepada wartawan selepas Majlis Perhimpunan Bulanan warga Wisma Darul Aman.

Menurut Menteri Besar, kenaikan cukai tanah UUM sebenarnya tidak berlaku. Apa yang terjadi ialah penarikan balik rebat cukai tanah selama dua tahun yang diberikan Kerajaan Negeri kepada UUM.

Katanya, jumlah perlu dibayar UUM sebanyak RM1.2 juta adalah mengikut perjanjian asal tanpa sebarang kenaikan.

Pembayaran RM100 ribu setahun bagi tahun 2006 hingga 2008 yang dibuat oleh UUM adalah selepas Kerajaan Negeri meluluskan permohonan rebat oleh mereka.
Tambahnya, tempoh rebat cukai tanah bagi 2006 hingga 2008 itu sudah tamat jadi mereka kenalah bayar penuh.

"Kerajaan Negeri sama sekali tidak bercadang untuk menaikkan mana-mana cukai tanah memandangkan cukai tanah baru sahaja diturunkan pada tahun 2008.
"Sepatutnya dia kena bayar RM1.2 juta, jika UUM menghadapi masalah kewangan mereka boleh mohon dikurangkan (rebat)," ujarnya.

[wartakedah]

Melaka Naikkan Tarif Air

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


Tindakan kerajaan negeri Melaka menaikkan tarif air tanpa mengambil kira bebanan kewangan yang bakal dipikul oleh rakyat negeri itu amat dikesali.

NONE

Antara mereka yang lantang membantah tindakan itu, termasuk Ketua Dewan Pemuda Pas Melaka, Kamaruddin Sidik (atas).

Katanya, tindakan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) yang menaikkan tarif air secara tegesa-gesa dan tidak memaklumkannya terlebih dahulu kepada rakyat seolah-olah satu cubaan untuk mengelakkan protes rakyat.

Menurutnya ia suatu yang tidak konsisten sedangkan kerajaan negeri Melaka sendiri pernah mengkritik kenaikan harga air di Selangor dan Kedah tidak lama dulu.

"Apabila kerajaan Selangor dan Kedah buat tindakan sebegitu sebelum ini yakni menaikkan tarif air mereka bising. Tapi kini mereka naikkan tanpa sebarang pengumuman.

"Saya yakin ini ada hubung kaitnya dengan pembaziran dana kerajaan yang berleluasa dan tindakan ini adalah untuk menampung kekurangan dana ini," katanya.

NONE

Sementara itu, ADUN kawasan Ayer Keroh dari DAP, Khoo Poay Tiong, turut mempertikaikan tindakan kerajaan negeri yang dianggapnya sebagai menyusahkan rakyat.

Menurutnya, beliau difahamkan kuasa menentukan kenaikan harga air berada di dalam tangan pusat.

"Bagaimanapun, itu bukan isunya. Isu di sini adalah bagaimana harga air boleh dinaikkan sedangkan rakyat tidak dimaklumkan.

"Ramai yang tidak puas hati kerana tindakan menaikkan harga air ini telah dijalankan secara senyap, seolah-olah untuk mengelak sebarang protes," kata Khoo (kiri).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Bhd (SAMB), Mohd Khalid Nasir, ketika dihubungi bagi mendapatkan maklum balas mengesahkan memang terdapat 'penyelarasan' terhadap tarif air.

Bagaimanapun menurutnya, tindakan sedemikian adalah berdasarkan arahan yang dikeluarkan pusat.

M/kini

Aktivis Pakatan masih gagal manfaatkan Youtube, Facebook?

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

Walaupun saya belajar kejuruteraan selama lima tahun di Universiti Teknologi Malaysia (1981-86), namun saya boleh dianggap sebagai orang yang cukup "lembab" untuk menguasai teknologi baru. Semasa menyertai Harakah pada 1987, hatta untuk menggunakan perisian komputer yang paling mudah, iaitu sekadar untuk menulis bagi menggantikan mesin taip, saya "merangkak-rangkak". Dari segi aplikasi, seorang rakan sepejabat, lulusan sekolah Arab, lebih cepat memahami.

Dunia ICT berkembang pesat dan cukup menakjubkan -- umpama sebuah revolusi. Sebagai wartawan dan kemudiannya editor, saya memang sering "ketinggalan keretapi". Ketika teriakan reformasi 1998 mengejutkan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur dan seterusnya merebak ke seluruh negara, saya lebih banyak tertumpu di Harakah, majalah Tamadun dan kemudiannya menerbitkan sendiri, Detik. Bagaimanapun, saya tetap menjadi pencandu laman-laman web popular seperti Mahazalim, Mahafiraun dan Minda Rakyat.

Sehinggalah apabila majalah Detik, yang saya sewa permitnya daripada seorang teman, diharamkan KDN, pada pertengahan tahun 2000, barulah ada idea untuk menerbitkan Detik versi online. Apa pun, saya akui saya tidak cukup stamina untuk mengendalikan sebuah laman berita, yang terpaksa memenuhi ketagihan luar biasa pembaca. Pelayar internet mahukan proses kemaskini dari minit ke minit.

Mengenali beberapa webmaster, saya begitu mengkagumi dedikasi hebat mereka. Tenaga, masa dan wang dihabiskan tanpa memikirkan imbalan. Malah sebahagiannya langsung tidak dikenali walaupun oleh tokoh-tokoh yang mereka sanjung, mungkin antara lain, disebabkan mereka sendiri jarang menulis.

Kuasa siber mengoncang keyakinan lama terhadap media tradisi. Pembolotan elit penguasa terhadap maklumat dipecahkan. Jika laman-laman web atau portal berita menjadi popular menjelang pilihan raya umum 1999, fenomena blog pula mempengaruhi suasana politik 2008. Tiba-tiba sahaja seorang blogger menjadi insan paling berkuasa; boleh menerbitkan apa saja idea tanpa suntingan dan tapisan.

Namun bagi saya, isu utama masih kepada kandungan yang disiarkan, bukan sekadar pelebaran proses pendemokrasian. Jaringan internet membentuk komuniti tersendiri, yang tidak terikat lagi dengan undang-undang represif seperti Akta Mesin cetak dan Penerbitan. Ya, sesiapa saja boleh mencipta blog dan menulis tanpa sekatan, tetapi bagaimana dengan kualiti dan kesahihan kandungannya, serta kemampuan untuk mempengaruhi audien?

Tanpa meremehkan ratusan ribu blog di Malaysia, yang menyiarkan pelbagai info dan cerita, soalnya, sejauh mana ia berupaya menjadi pengimbang kepada media yang dikuasai sepenuhnya pemerintah? Ada yang bertanya saya, mengapa keputusan pilihan raya 2004 begitu memihak BN, sehingga menguasai lebih 90 peratus kerusi Parlimen sedangkan lebih ramai rakyat Malaysia dapat akses internet waktu itu berbanding pilihan raya 1999?

Tidak mudah untuk saya meremehkan pengaruh media tradisi, seperti akhbar dan televisyen, yang kekal dikontrol Umno-BN, sekurang-kurangnya untuk PRU13 nanti. Saya turut ternanti-nanti kajian sistematik pengaruh media sosial seperti Facebook dan Twitter, yang menjadi kegilaan semasa, terhadap realiti politik, misalnya dalam pilihan raya Sarawak. Maaf, jika pemerhatian rambang saya tidak melihat jumlah pengguna FB yang melebihi 10 juta itu sebagai kuasa yang cukup menakutkan BN sekiranya mesej yang dikongsi di dalamnya kekal seperti sekarang .

Malah, harus diingat, "senjata" yang sama juga boleh menikam Pakatan Rakyat jika strategi dan pendekatan politiknya masih tumpul atau tidak disokong oleh "keresahan rakyat". Revolusi Tahrir di Mesir atau Revolusi Jasmin di Tunisia bukan semata-mata dijayakan oleh media sosial tetapi digembleng bersama oleh kreativiti aktivisnya mengungkapkan kebobrokan dan kebejatan politik secara berkesan melalui FB dan YouTube.

Media, baik baru mahupun lama, hanya "kenderaan" yang banyak bergantung kepada pemandu dan pemiliknya, bukan "mukjizat" yang dapat memastikan kemenangan memihak mereka yang dilihat lebih mendominasikannya. Kemenangan sesebuah parti bergantung kepada pelbagai elemen yang saling berkait.

Banyak isu rakyat melengkari kehidupan seharian kita, yang sepatutnya dipersembahkan dengan begitu "menakjubkan" melalui media. Pengalaman saya mengetuai beberapa akhbar dan majalah menjadi bukti kesukaran mencari penyumbang berkualiti (juga mendidik wartawan berketrampilan terutama untuk melakukan laporan penyiasatan). Kita turut ketandusan penulis blog (terutama dalam bahasa Melayu) yang baik untuk dikongsi ideanya menerusi FB atau pembikin dokumentari pendek yang kreatif bagi dimuatkan dalam YouTube, seterusnya disebarkan melalui media sosial.

Potensi YouTube memang belum dimanfaatkan sepenuhnya. Bagi saya, ini satu kegagalan yang mesti ditangani segera. Ia tidak seharusnya diserahkan kepada usaha individu malah patut digerakkan secara bersepadu, dan menagih sumber yang besar. Propaganda TV hanya dapat disanggah dengan berkesan oleh slot YouTube yang dirancang rapi. Bagi saya, zaman TV masih belum berakhir, khususnya dalam era televisyen satelit ini.

Kadang-kadang sudah terhidang pendedahan eksklusif seperti dalam laman Sarawak Report (sebelum diserang) tentang seribu satu kisah penyelewengan regim Taib Mahmud tetapi sukar untuk mencari berita mengenainya yang diolah semula agar lebih mesra-pembaca. Saya membayangkan alangkah baiknya jika ada sekumpulan editor berpengalaman, dengan bahasa mudah, ringkas dan tepat, menghidangkan semula koleksi pendedahan itu. Aneh sekali, apabila laman berkenaan digodam menjelang hari mengundi, koleksi artikel yang cukup bernilai tentang "kebusukan" regim 30 tahun Taib seolah-olah terkubur bersama.

Ya, siapa yang begitu rajin untuk menelaah bahan-bahan yang bertaburan dalam blog, ibarat mencari "permata dalam lumpur", menyunting dan "membersihkannya" dan kemudian menyebar-luaskannya? Atau mungkin saya masih terikat dengan pengalaman lama seorang wartawan, yang sukar memahami mesej daripada arus deras ICT yang melanda ini!

Ahmad Lutfi Othman