20 April 2011

Jepun Berhempas Pulas

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



TOKYO - Pekerja di loji nuklear Jepun yang rosak akibat gempa kuat, bulan lalu, mula mengepam keluar air yang mengandungi tahap radioaktif tinggi daripada sebuah reaktor, semalam, iaitu langkah penting bagi memulihkan semula sistem penyejukan di loji itu. 

Gempa sekuat 9.0 pada skala Richter yang melanda timur laut Jepun pada 11 Mac lalu menjejaskan bekalan tenaga di loji Fukushima Daiichi dan menyebabkan sistem penyejukan gagal berfungsi sehingga mencetuskan beberapa letupan. 

Bagi menghalang bencana nuklear berlaku, pekerja terpaksa mengepam ribuan tan air laut ke dalam reaktor bagi menyejukkan teras nuklear sekali gus menghasilkan takungan air yang mengandungi radioaktif tinggi. 

Pengendali loji, syarikat Tokyo Electric Power mengumumkan usaha mengurangkan kebocoran loji itu dan penutupan sepenuhnya dijangka mengambil masa enam hingga sembilan bulan. 

Sementara itu, kerajaan Jepun bercadang meningkatkan cukai jualan barangan bagi membantu negara itu membiayai kos pembinaan semula kawasan terjejas teruk akibat bencana itu yang dianggar mencecah RM900 bilion.

Tiada ulasan: