20 April 2011

Orang Ramai Sifatkan E-mel 1 Malaysia Suatu Pembaziran

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 20 APRIL : Pelaburan RM50 juta oleh kerajaan Malaysia bagi menyediakan akaun e-mel kepada semua warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas, dianggap sebagai tidak munasabah dan merupakan satu pembaziran paling nyata yang dilakukan oleh kerajaan.

Rata-rata masyarakat yang ditemui Tv Selangor meluahkan pandangan mereka berhubung tindakan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung penyediaan akaun e-mel berkenaan.

Malah ramai juga yang berpandangan mereka lebih selesa dengan akses e-mel sedia ada yang dinikmati secara percuma seperti e-mel Yahoo, Gmail malah laman sosial peribadi seperti Facebook dan Twitter.

Menurut pelajar International Education College (INTEC) UiTM, kerajaan sepatutnya menggunakan wang tersebut untuk mempertingkatkan lagi taraf pendidikan di Malaysia, dan bukannya untuk tujuan yang tidak menguntungkan rakyat.

"Wang RM50 juta itu boleh digunakan untuk membantu golongan miskin ataupun untuk meningkatkan pendidikan di negara kita berbanding digunakan untuk mewujudkan projek e-mel tersebut,"katanya.

Sementara itu, menurut salah seorang rakan beliau, Khairul Akmal yang juga pelajar Universiti Teknologi MARA berpendapat, pelbagai cara boleh dilakukan oleh Perdana Menteri untuk mendekatkan beliau dengan rakyat selain daripada mewujudkan akaun e-mel dan dengan kos yang tinggi.

"RM50 juta itu tak berbaloi untuk e-mel 1Malaysia sebab tak masuk akal RM50 juta, kalau kerajaan mahu dekati rakyat boleh dilakukan dengan pelbagai cara seperti penganjuran karnival tapi untuk projek e-mel itu sangat tidak munasabah," ujar beliau.

Sementara itu bagi suri rumah, Rohaidah pula, jumlah yang dilaburkan untuk tujuan menubuhkan akaun e-mel adalah suatu yang pelik dan dianggap sebagai tidak
masuk akal, sedangkan rakyat masih lagi tidak mempunyai pendapatan yang selesa untuk menampung kos hidup.

"Saya rasa lebih baik kerajaan Malaysia memperuntukkan perbelanjaan itu kepada perkara-perkara yang lebih berfaedah dan tidak membuat peruntukkan untuk projek yang bukan-bukan sekaligus mendatangkan pembaziran,"katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merasmikan projek berkenaan yang membolehkan komunikasi secara langsung dan selamat di antara rakyat dan
kerajaan.

Portal web itu akan dibangunkan oleh Tricubes Berhad, antara lain menyediakan perkhidmatan seperti rangkaian sosial dan pembayaran bil atas talian.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang ketika diminta mengulas hal ini semalam berkata, ia satu lagi projek BN untuk memperkayakan kroni tertentu Najib dan membazirkan wang rakyat.

Tv Selangor/-

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Memang sangat membazir projek yang dicadangkan oleh pemimpin sekarang. Mereka ini dah tak boleh berfikir untuk memberi kebajikan dan keselesaan kepada rakyat, terutama kepada murid sekolah. Sekarang ini di kawasan YB Idham masih ada sebuah sekolah iaitu SK TITI SERONG yang tidak cukup kelas (bangunan)sehinggakan sekolah ini terpaksa diadakan 2 sesi persekolahan iaitu pagi dan petang. kalaulah mereka prihatin dengan memberi peruntukan kepada sekolah-sekolah yang masih tidak cukup bangunan tentulah pembaziran itu tiada.
Kalau setakat untuk menyampaikan maklumat politik dan sebagainya kepada warga 18 tahun keatas melalui e-mil 1 Malaysia saya fikir sangat tak releven.Lebih baik guna TV dan akhbar kerajaan yang ada sekarang.Kita lihat apa yang TPM akan beri bila dia datang nak merasmikan Komplek PPD Kerian hujung bulan ni.

Tanpa Nama berkata...

Dari segi undang-undang bolehkah orang lain sediakan e-mel untuk orang lain? Adakah ini melanggar hak asasi seseorang individu? Adakah e-mel individu itu dikawal dan boleh diceroboh? Mungkin e-mel seseorang individu itu boleh digunakan atau dibuka oleh 'kerajaan',kalau begitu rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun keatas dalam bahaya. Jika mereka malawan 'kerajaan', dari e-mel mereka akan keluar video lucah. semua ini akan menjatuhkan maruah. maka lahirlah rakyat lucah. tapi orang yang buat tak bersalah.

Wong berkata...

Kita sudah ada incumbent di dalam business email ini.. TM dan Jaring.. Gunakan sepenuhnya sumber dan tenaga mereka ini.. saya percaya harga mereka lebih menarik..