20 April 2011

Dua Bersaudara Edar Dadah dihukum Gantung

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


ALOR SETAR - Dua lelaki bersaudara dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 938.3 gram, dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Zakiah Kassim memerintahkan hukuman itu selepas menyabitkan Khairul Nizan Osman, 29, dan Mohd. Azizi Hashim, 28, atas pertuduhan mengedar sejumlah dadah tersebut.

KHAIRUL NIZAN (kiri) dan Mohd. Azizi dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam selepas dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana mengedar dadah.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang merupakan dua pupu didakwa mengedar kanabis seberat 938.30 gram di tepi Jalan Kampung Sungai Buloh, Tikam Batu, Sungai Petani dekat sini kira-kira pukul 9.30 malam, pada 27 Januari 2009.

Pertuduhan ke atas setiap tertuduh dari Kepala Batas, Pulau Pinang itu dibuat mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Sebaik prosiding berakhir, beberapa ahli keluarga termasuk ibu kepada Khairul Nizan dan Mohd. Azizi dilihat menangis dan mereka saling berpelukan di dalam kamar mahkamah.

Tiada ulasan: