20 April 2011

GSTT: Mana janji Muhyiddin

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 20 April: Seramai 13,000 orang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) seluruh negara masih belum menerima sebarang surat lantikan semula seperti yang telah dijanjikan.

Seorang daripada mereka meminta ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali supaya membangkitkan keluhan nasib mereka di Dewan Rakyat dengan kadar segera.

Dalam emel kepada Dr Lo’ Lo’ semalam, beliau memberitahu pada 3 Mac yang lepas, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin telah mengumumkan tentang penarikan balik surat penamatan perkhidmatan guru GSTT.

“Dalam pengumuman tersebut menyatakan kami dikehendaki berkhidmat semula dan akan diserapkan menjadi guru tetap melalui Kursus Dalam Cuti (KDC) dan kursus lanjutan,” tulisnya.

Namun sehingga emel ini ditulis,mereka masih belum menerima sebarang surat lantikan semula seperti yang telah dijanjikan oleh Muhyiddin itu.

“Kami berharap suara hati kami ini dapat diketengahkan oleh Yang Berhormat di Dewan Rakyat dan dapat dilaksanakan dengan segera tanpa melalui proses yang panjang,” tulisnya lagi.

Harakahdaily

Tiada ulasan: