20 April 2011

India Haram Buruh Kanak-kanak Dalam Sarkas

16 Jamadilawal 1432H. [MOD] -



NEW DELHI - Mahkamah Agung India mengharamkan pengusaha sarkas mengambil pekerja kanak-kanak di bawah umur dan mengarahkan kerajaan melakukan serbuan terhadap semua syarikat hiburan untuk menyelamatkan golongan itu, kelmarin. 

Perintah mahkamah itu dikeluarkan berdasarkan satu petisyen yang dikemukakan oleh sebuah kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hak asasi kanak-kanak yang melobi pelaksanaan penuh undang-undang buruh kanak-kanak India yang tidak diendahkan oleh syarikat sarkas. 

Kanak-kanak sering dilatih melakukan aksi berbahaya seperti persembahan akrobatik atas dawai dan persembahan lain untuk penonton di India, di mana pengusaha sarkas berpindah dari bandar ke bandar sepanjang tahun. 

Peguam untuk Gerakan Menyelamat Kanak-Kanak, Colin Gonsalves berkata, mahkamah memerintahkan kerajaan untuk menyelamatkan semua kanak-kanak di bawah umur 14 tahun dan mengarahkan pembentukan sebuah pusat pemulihan untuk kanak-kanak itu. 

Selain itu, mahkamah turut mengarahkan semua kanak-kanak yang diselamatkan daripada sarkas perlu dipulangkan kepada keluarga mereka namun kerajaan perlu menanggung kos rawatan dan pendidikan jika ibu bapa tidak mampu menjaga mereka.

Tiada ulasan: