08 Jun 2011

Apakah Umno-BN Faham Erti Negara Berkebajikan?

6 Rejab 1432H. [MOD] -

KOMENTAR : Ini satu lagi ujian bagi rakyat Malaysia; sekurang-kurang untuk menyukat kefahaman dan kebijaksanaan mereka. Persoalan kali ini mudah – apakah erti kebajikan? Dan, setelah mengerti istilah kebajikan, apakah pula yang dimaksudkan dengan Negara Berkebajikan?

Seperti biasa pemimpin Umno-BN akan menggunakan segala kudrat media dan instrumen penerangannya untuk memberi takrif kebajikan dari sudut pandang mereka. Umumnya, pemimpin Umno-BN mendakwa mereka telahpun melaksanakan tuntutan Negara Berkebajikan dalam urusan pentadbiran negara.

Tanpa sebenarnya mengulas dan memperinci erti kebajikan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, misalnya, terus mendabik dada mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Berkebajikan. Dalilnya, kata beliau, kerajaan telah memberi dan menyediakan pelbagai kemudahan untuk rakyat di bidang pendidikan, prasarana, subsidi sara hidup dan sebagainya.

Lantas, beliau dan timbalannya, Muhyiddin Yassin, memperlekehkan teras perjuangan PAS kini untuk menegakkan sebuah Negara Berkebajikan. Malah diperli-perli pula PAS yang kononnya tergamak meninggalkan perjuangan menegakkan sebuah Negara Islam.

Seolah-olah meratapi anjakan keutamaan PAS ini, Umno mahu perjuangan mulia PAS menegakkan Negara Islam diteruskan. Namun rakyat yang peka tentu dapat membaca dalam usaha memikat pengundi Melayu-Islam, Umno melalui bekas presidennya, Dr Mahathir Mohamad, dengan selamba menabalkan Malaysia sebuah Negara Islam hanya kerana Perlembagaan menyebut Islam agama rasmi Persekutuan.

Langkah itu semua diambil dengan tujuan mematikan langkah politik PAS terus memenangi hati dan minda orang Islam di negara ini untuk menyokong agenda menegakkan sebuah Negara Islam di Malaysia!

Kini apabila PAS memperkenalkan konsep perjuangan Negara Berkebajikan, Umno (melalui Presiden dan Timbalan Presiden) beria-ia benar mengumumkan kerajaan Umno-BN memang sudah lama memperjuangkan konsep Negara Berkebajikan itu.

Memang diakui demikian. Namun tindakan Umno-BN itu adalah satu usaha yang dilakukan sudah terlalu lama dahulu. Itupun ketika Umno-BN belum lagi dirasuk nafsu serakah untuk menghimpunkan dividen kebajikan kerajaan kepada sanak saudara dan suku sakat Umno dan sedikit sahaja untuk ahli komponen BN yang lain.

Sejak berjaya melakarkan impian bahawa Malaysia akan menjadi sebuah Negara Maju menjelang tahun 2020, Umno mula memusatkan perhatian untuk menghimpunkan kekayaan dan kemewahan atas nama Dasar Ekonomi Baru. Kira-kira RM54 bilion dikumpulkan untuk menjana kekayaan bagi pihak kaum Bumiputera.

Hari ini hanya RM2 bilion sahaja yang boleh dikaitkan dengan pemilikan Bumiputera baki RM52 bilion itu lesap atau tiris entah ke mana. Hanya Umno dan pemimpinnya tahu siapakah yang benar-benar mendapat manfaat daripada kerangka kebajikan yang diwar-warkan oleh Najib dan Muhyiddin ini.

Adalah selamat dikatakan bahawa Umno-BN Cuma faham erti kebajikan dari sudut material semata-mata. Dari tindak tanduk dan sikap, boleh dirumuskan bahawa Umno tidak menghitung bahawa pengertian Negara Berkebajikan juga mempunyai dimensi rohaniah atau kejiwaannya.

Seseorang yang bernaung di bawa sebuah Negara Berkebajikan mungkin tidak lengkap dibantu dengan kebajikan material sahaja. Kebajikan yang hakiki ialah ketenangan, kesejahteraan dan kemakmuran jiwa dan akal fikiran. Perspektif ini amat penting diterjemah dan dihayati dalam sesebuah negara yang berkebajikan.

Soal bantuan ekonomi dan materi lain memang mutlak menjadi tanggungjawab kerajaan. Namun bantuan dan kebajikan hakiki mestilah dijelmakan dalam soal bebas menghayati rasa aman, sejahtera dan selamat daripada segala onar. Rakyat harus bebas dari ketakutan harta-benda dan nyawa mereka dicerobohi. Jika ia disakiti oleh hasad dengki insan lain, ia tahu bahawa ia akan dapat pembelaan dan, jika ia dibicarakan, ia yakin bahawa ia akan dihakimkan dengan adil.

Bila disebut Negara Berkebajikan, ia bermakna rakyat mestilah dilindungi oleh hambatan ekonomi seperti inflasi, menghuni sistem perumahan yang munasabah dan mampu memelihara maruah individu dan keluarganya. Kemudahan hidupnya seperti peluang pendidikan, prasarana pengangkutan dan sebagainya mestilah diapit erat oleh ketenangan, keamanan dan keadilan yang dijamin oleh pemerintah.
Maka apabila Najib dan Muhyiddin bersorak bahawa Umno-BN sudahpun mengamalkan konsep Negara Berkebajikan, ia pasti satu pengertian dan cerminan kefahaman dan kepemimpinan yang cacat. Kebajikan material Umno-BN tidak diimbangi dengan dimensi kebajikan kejiwaan.

Bagaimana mungkin akan ada ketenangan jika dalam kehidupan seharian kos sara hidup semakin merentap nilai setiap sen yang diperolehi dari jerih rakyat oleh inflasi lantaran kebebalan pengurusan kerajaan memotong subsidi barangan perlu tetapi masih mempertahankan jaminan RM19 bilion subsidi kepada pengeluar tenaga bebas (IPP) saban tahun?

Kebajikan apa namanya jika setiap ibubapa sentiasa musykil, bimbang dan ngeri akan keselamatan anak dan keluarga dalam kes kejadian jenayah yang semakin parah? Kebajikan apa namanya, jika agensi keselamatan dilihat lebih mudah diarah oleh pemerintah untuk menggertak dan mengancam rakyat yang mahu bersuara tentang kepincangan sistem pilihanraya, mahkamah dan menuntut hak untuk bebas bersuara?

Untuk mencapai status Negara Maju, Malaysia memerlukan warga yang tinggi pendidikannya dan lapang pemikirannya tanpa cengkaman peraturan dan undang-undang yang zalim. Rakyat memang dengan penuh komitmen sentiasa membimbing keluarga masing-masing ke arah itu. Maka zaman untuk terus menjadi tukang angguk kepada sebuah pemerintah seperti Umno-BN yang berpendirian “hanya kerajaan yang lebih tahu” sudah berlalu.

Rakyat hari ini lebih mengerti maksud Negara Berkebajikan. Usah Najib, Muhyiddin atau mana-mana pemimpin Umno-BN beranggapan bahawa rakyat jahil dalam membezakan ciri-ciri sebuah Negara Berkebajikan dengan sebuah pemerintah yang hanya menghimpunkan kebajikan kepada juak-juak mereka sahaja.

Tv Selangor/-

Perompak suruh junjung al-Quran

6 Rejab 1432H. [MOD] -



KULIM: Sekumpulan empat lelaki yang merompak sebuah rumah sempat mengarahkan seorang wanita warga emas menjunjung al-Quran dan bersumpah bahawa dia tidak menyimpan barang berharga lain ketika mereka mahu melarikan diri selepas melakukan samun di Taman Seluang, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa berusia 60 tahun dan suaminya yang juga pesara guru berusia 65 tahun kerugian kira-kira RM43,000 apabila penjenayah terbabit melarikan barang kemas serta kereta Perodua Viva berwarna hijau muda bernombor pendaftaran PHK 3653.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Chin Suu Song berkata, ketika kejadian hanya pasangan warga emas itu saja di rumah berkenaan dan suspek dipercayai memasuki rumah itu melalui tingkap di ruang tamu.

“Pasangan terjaga daripada tidur sebaik melihat empat lelaki bertopeng ski sambil mengacukan parang pada leher serta perut mangsa dan mengarahkan mereka menyerahkan barang kemas yang dipakai.

“Selepas itu, semua suspek meninggalkan mangsa dengan menaiki kereta selain merampas kereta Perodua Viva mangsa,” katanya.

Sementara itu, sumber berkata, kedua-dua mangsa dipercayai terjaga daripada tidur apabila mereka tiba-tiba terdengar bunyi pelik di ruang tamu rumah.

Menurutnya, tidak lama kemudian muncul empat lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang meluru masuk ke dalam bilik sambil mengacukan parang dan pisau di badan mereka.

“Kerana takut, mangsa tidak melawan sebelum seorang daripada perompak mengambil barang kemas dan mengarahkan mereka menunjukkan tempat simpanan barang kemas.

“Sementara, dua lagi perompak menggeledah di bilik lain dan pada waktu sama seorang daripada mereka turut mengarahkan isteri mangsa bersumpah sambil menjunjung al-Quran dan berjanji tidak menyimpan barang berharga lain sebelum melepaskan mereka,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 359/397, Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta hubungi, Inspektor Hidayah Othman di talian 04-4906222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Redah api cari datuk, nenek

6 Rejab 1432H. [MOD] -


Gambar hiasan

SELAYANG: “Saya terkejut sebaik mendengar letupan kuat. Kerana ketakutan saya berlari keluar dari bilik mendapatkan abang yang tidur di ruang tamu,” kata Mazlin Natasha Mohd Nasir, 9, menceritakan kebakaran di rumahnya di Kampung Sungai Kertas, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, empat rumah panjang hangus dijilat api yang dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Menurut Mazlin Natasha, dia dan abangnya bergegas keluar dari rumah kerana api marak cepat.

“Sebaik keluar, saya dapati tiga lagi rumah jiran dijilat api. Ketika itu, baru saya dan abang teringatkan datuk dan nenek yang berehat dalam rumah.

“Kami berdua bergegas mencari datuk dan nenek kerana bimbang kejadian buruk menimpa mereka....maklumlah mereka sudah uzur. Kami bersyukur apabila menemui mereka berkumpul dengan orang ramai berhampiran kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, Zakaria Aini ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12 tengah hari dan tiba 10 minit kemudian.

“Seramai 21 anggota dengan tiga jentera yang dikejarkan ke lokasi kejadian memerlukan 10 minit untuk memadamkan kebakaran.

“Punca kejadian masih dalam siasatan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan anggaran kerugian dilapor mencecah RM180,000,” katanya.

Lelaki belasah isteri enggan makan bersama

6 Rejab 1432H. [MOD] -



KUANTAN: Akibat menolak pelawaan suami untuk makan tengah hari bersama, seorang suri rumah berusia 25 tahun cedera dibelasah lelaki terbabit menggunakan lesung batu di rumah mereka di Kampung Cenderawasih, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa cedera di paha, dagu dan kepala akibat dipukul dengan objek keras itu sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.

Difahamkan, kejadian berpunca apabila mangsa enggan makan bersama suaminya yang berusia 28 tahun sehingga berlaku pertengkaran sesama mereka, malah perselisihan faham antara pasangan itu berlarutan dan menjadi semakin serius.

Berikutan gagal mengawal kemarahan, lelaki terbabit nekad mengambil lesung batu lalu memukul mangsa hingga menyebabkan wanita itu cedera dan terpaksa dirawat di HTAA sebagai pesakit luar.

Mangsa kemudian membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini, pada hari sama selain mahu menuntut fasakh dan tinggal berasingan dengan suaminya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Mohd Haris Daud, ketika ditemui mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu dan pihaknya masih menjalankan siasatan.

“Suspek sudah dipanggil untuk diambil keterangan dan kes ini masih dalam siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya, semalam.

Dalam perkembangan lain, Mohd Haris berkata, seorang mandur warga Bangladesh teruk dibelasah tiga pekerja bawahannya dalam kejadian di sebuah rumah berhampiran sebuah ladang sawit dekat Rompin, kira-kira jam 3 petang, Sabtu lalu.

Beliau berkata, tiga suspek terbabit yang juga warga Bangladesh bengang apabila mangsa tidak datang menjemput mereka di ladang selepas tamat waktu bekerja sebelum menyerang lelaki terbabit di rumah.


“Suspek menggunakan buluh sebagai senjata untuk memukul mangsa menyebabkannya cedera di bahu kiri, lengan dan kaki sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Selancar, Rompin dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kuasa undi anak muda boleh tawan Putrajaya

6 Rejab 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 7 Jun: Pemuda PAS Kelantan kini mempergiatkan usaha mendaftar anak-anak muda yang belum berdaftar sebagai pemilih bagi mencapai matlamat melangkah ke Putrajaya.

Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman (gambar) berkata, tanpa ada usaha secara serius sasaran menguasai Putrajaya tidak akan menjadi kenyataan.

Oleh itu katanya golongan muda perlu diberi kesedaran bagi membolehkan mereka menggunakan peluang yang berbaki sekarang mendaftar sebagai pemilih.

“Peluang yang ada sekarang perlu direbut anak muda yang belum berdaftar sebagai pemilih. Tanpa disenarai sebagai pemilih mereka tidak mampu melaksanakan tanggungjawab besar menafikan kuasa politik Barisan Nasional (BN) sekarang.

“Saya berharap jentera pemuda di seluruh jajahan mengesan anak-anak muda yang belum mendaftar sebagai pengundi,” ujarnya di sini.

Menurutnya pendaftaran perlu dibuat segera bagi membolehkan anak muda melaksanakan tanggungjawab demi masa depan mereka.

“Anak muda yang mencecah umur 21 tahun hendaklah beramai-ramai mendaftar sebagai pemilih. Mereka menjadi penentu masa depan negara,” katanya.

Kata beliau sekiranya pilihan raya umum ke-13 diadakan hujung tahun ini, pengundi baru masih berpeluang mengundi memandangkan proses pendaftaran sebagai pemilih dijangka selesai dalam tempoh enam bulan.

Beliau yang juga Adun Mengkebang berharap jentera Pemuda di setiap kawasan memikul tanggungjawab bagi menyedarkan anak muda yang belum berdaftar.

Abdul Latiff juga bimbang usaha pihak tertentu menggunakan jentera kerajaan bagi mendaftar warga asing sebagai pemilih seperti yang dibongkar di Selangor baru-baru ini.

Harakahdaily/-

Lintah raksasa serang kampung Jawa Tengah

6 Rejab 1432H. [MOD] -


SEORANG pegawai tentera, Kapten Bambang Susilo menunjukkan seekor lintah raksasa yang melekat pada tangan kirinya di Desa Timbol Sloko, Demak, Jawa Tengah semalam.

DEMAK - Penduduk di Desa Timbul Sloko, Demak, di Jawa Tengah kini berada dalam kebimbangan ekoran serangan lintah raksasa di kawasan berair dan jalan yang basah akibat hujan, lapor akhbar dalam talian, Kompas.com semalam.

Seorang penduduk kampung itu, Satiman, 36, berkata, bentuk lintah tersebut kelihatan berbeza dengan lintah darat.

Ratusan haiwan tersebut muncul selepas banjir kilat surut.

Menurut Satiman, kehadiran lintah yang bersaiz lima kali ganda daripada biasa itu menyebabkan penduduk kampung buntu untuk mencari cara bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Ketua Tentera Daerah Kecil Sayung, Arief Sudaryanto berkata, lintah yang sama turut ditemui di Desa Sidogemah dan Sriwulan.

Dia menjelaskan bahawa jenis lintah itu belum diketahui tetapi penduduk kampung tidak perlu bimbang kerana ia tidak membahayakan mereka.

Seorang lagi pegawai tentera, Kapten Bambang Susilo berkata, penduduk kampung tidak perlu takut kerana lintah tersebut tidak menghisap darah.

"Sudah 15 minit ia melekat di tangan, lintah ini tidak menggigit saya," katanya. 

Agensi

Faekah: BN tak fikir sebelum beri TOL tanah rizab

6 Rejab 1432H. [MOD] -

Keputusan pentadbiran BN Selangor memberikan lesen menduduki sementara kepada pengusaha di tapak rizab di Sg Buloh sebelum ini dibuat tanpa memikirkan keselamatan rakyat, kata setiausaha politik menteri besar, Faekah Husin.

Faekah menjelaskan, kawasan yang menjadi tapak perusahaan tapak semaian itu merupakan rizab keselamatan kerana menempatkan paip bertekanan tinggi bagi menampung bekalan air kepada lebih sejuta penduduk.

"Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan memeliharanya demi mengelak kemungkinan kemalangan besar berlaku.

"Malangnya kerajaan Umno BN ketika itu, entahkan cuai atau mungkin begitu cetek ilmu telah mendesak pegawai kerajaan mengeluarkan TOL dan mengarahkan pengusaha tapak semaian berpindah ke tapak tersebut," kata Faekah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan "celupar" timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak prihatin dalam isu berkenaan.

Semalam, Muhyiddin dilaporkan sebagai berkata, kerajaan negeri itu sepatutnya membela masalah penduduk berkenaan dengan memperbaharui TOL untuk mengusahakan tanah rizab Jabatan Bekalan Air itu.

"Beliau perlu ingat bahawa tapak semaian asal seluas 75.16 ekar dan dihuni oleh 50 pengusaha yang dipaksa pindah ke Sungai Buloh oleh kerajaan BN Selangor pada 1999. Tapak tersebut telah diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk membina sebuah hospital," kata Faekah.

Katanya lagi, kerajaan Pakatan Selangor tidak berniat untuk menghalang usaha pembinaan hospotal berkenaan, namun arahan kepada Pebadanan Kemajuan Pertanian Selangor untuk mengeluarkan TOL untuk mengusahakan tanah berkenaan bercanggah dengan peruntukan undang-undang tanah negeri.

Jelasnya, kawasan yang menempatkan paip bertekanan tinggi sepanjang 16 km itu perlu dipelihara bagi mengelakkan kemalangan besar berlaku.

Menteri besar, Tan Sri Khalid Ibrahim pula sebelum ini memutuskan supaya perusahaan tanaman pokok itu boleh diteruskan dan turut memberi jaminan bahawa hak pengusaha berkenaan akan diambil kira walau tidak diberikan TOL

Malaysiakini/-

Pasangan campak bayi diburu

6 Rejab 1432H. [MOD] -


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Polis masih mengesan sepasang kekasih dipercayai suspek utama yang bertanggungjawab mencampak seorang bayi lelaki baru dilahirkan dari tingkat lima hingga menyebabkan kepala mangsa berkecai di sebuah pangsapuri di Sentul Utara, di sini, akhir bulan lalu.

Hasil bedah siasat terhadap bayi itu sebelum ini mendapati bayi malang berkenaan masih lagi bernyawa ketika dicampak dan ia jelas menunjukkan satu kes bunuh yang sangat kejam. Difahamkan, pasangan terbabit ‘ghaib’ selepas kejadian dan polis belum mengetahui status mereka sama ada sudah berkahwin atau sekadar pasangan kekasih.

Menurut sumber, pasangan berusia 20-an itu dipercayai meloloskan diri ketika orang ramai kelam-kabut berikutan penemuan mayat bayi berkenaan pada malam kejadian.

“Pada malam itu, ketika polis menjalankan siasatan dan pemeriksaan di lokasi bayi berkenaan dijumpai, sebuah kereta dipandu secara mengundur dikesan meninggalkan kawasan pangsapuri itu dengan tergesa-gesa melalui satu-satunya pintu masuk ke kawasan berkenaan.

“Penduduk yang menyedari kehilangan pasangan itu turut berasa curiga sebelum memaklumkan perkembangan itu kepada polis,” katanya.

Sumber berkata, polis yang menerima maklumat segera memeriksa setiap rumah di blok berkenaan, namun gagal menemui pasangan itu kerana dipercayai mereka sudah meninggalkan kawasan perumahan itu.

Karpal sekat hudud: Saifudin kata Dr Mahathir haprak

6 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 7 Jun: Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) sebagai ahli politik yang haprak apabila menuduh Karpal Singh berjaya menyekat PAS laksana hudud.

Ini kerana, ketika Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan rang undang-undang jenayah Syariah II yang di dalamnya terkandung undang-undang hudud, Dr Mahathir yang menyekat pelaksanaannya.

Ia disekat melalui satu surat amaran yang dihantar beliau selaku Perdana Menteri kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz pada tahun 1993 lalu.

Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) telahpun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993.

Ini berikutan dengan janji PAS untuk melaksanakan Hukum Hudud pada pilihanraya 1990.

Selepas muktamar PAS baru-baru ini, Tun Dr Mahathir melalui blognya menulis dengan berkata, Karpal yang berjaya menyekat mendirikan negara Islam yang akan kuatkuasakan hukum hudud sudah tercapai.

"yang menang besar ialah tokoh yang tidak hadir dan bukan pun ahli PAS. Ianya ialah Karpal Singh. Perjuangannya supaya PAS gugurkan matlamat untuk mendiri negara Islam PAS yang akan kuatkuasakan hukum hudud sudah pun tercapai," tulis Mahathir.

"Dr M hantar surat amaran kepada TG Nik Aziz jangan laksana hudud, aneh hari ni Dr M kata Karpal berjaya sekat PAS jalankan hududd...haprak!" tulis Saifudin (gambar kanan) dalam Twitternya.

Bagi beliau, Dr Mahathir tidak layak bercakap Karpal anti Islam.

"Mesej saya mudah Dr M tak layak langsung cakap Karpal anti Islam sebab rekod Dr M sendiri paling membenci Islam," tegas Saifudin yang juga anggota Parlimen Machang, Kelantan.

Menurut beliau, Dr Mahathir pernah berkata kalau dibuat hukum hudud habis orang Islam mundur sebab kena potong tangan..."hari ini Dr Mahathir salahkan Karpal."

Bagi beliau, Karpal sekurang-kurangnya tidak menyekat bantuan untuk Sekolah Agama Rakyat namun Dr Mahathir membuatnya!

"Sebab katanya sekolah agama ajar murid benci pemerintah ...siapa sebenarnya benci Islam?" soal Saifudin.

Bagi Saifudin, kalaupun Karpal tolak negara Islam dan Hudud beliau boleh memahaminya sebab dia bukan Muslim, tetapi Dr Mahathir tentang negara Islam dan Hudud, ini yang beliau tidak dapat faham.

Surat Dr Mahathir

Surat Dr Mahathir sampai kini masih diingati oleh Tuan Guru Nik Aziz hatta dalam satu majlis baru-baru ini.

“(Tun) Dr Mahathir (ketika itu perdana menteri) datang ke Kelantan memberi amaran sekiranya (kerajaan) Kelantan laksana hudud, kerajaan pusat akan mengambil tindakan.

“Sebelum ini, Kelantan pernah digantung perlembagaan oleh Mageran… Jadi kalau (kita) tak boleh buat semua, jangan kita tinggal semua,” katanya.

“Kalau kerana hukum hudud, satu Kelantan kena Mageran… dan kerajaan Kelantan nak digantung oleh kerajaan pusat, (jadi) itu tak cerdik,” kata Nik Aziz dalam satu dialog bersama penulis blog dan facebook di Hotel Grand Season di ibu negara, baru-baru ini.

Mursyidul am PAS itu berkata, sekiranya ketiadaan kuasa untuk melaksanakan undang-undang tersebut, maka tidak boleh ditinggalkan semua undang-undang berkenaan.

Dengan mengumpamakan tindakannya itu sebagai seguni beras, katanya, sekiranya tidak mampu untuk membawanya, maka “diambil secupak-secupak” sehingga habis.

“Oleh itu, kita tak laksana hudud (keseluruhan), tetapi kita laksana (Islam) satu persatu. Alhamdulilllah kaum Cina dan India menyokong PAS,” katanya yang mendapat tepukan kira-kira 130 penulis blog dan pemilik Facebook.

Harakahdaily/-

MP: Salah guna duit rakyat bagi risik kahwin anak

6 Rejab 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, : Kerajaan Negeri Selangor terus mempelbagaikan promosi konsep negeri itu yang terkenal dengan Negeri Idaman; Maju, Sejahtera dan Berkebajikan, kali ini dengan menganjurkan Pertandingan Blog Kreatif yang menawarkan hadiah lumayan.

Dengan kerjasama penuh Fakulti Industri Teknologi Maklumat, Universiti Industri Selangor (Unisel), Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Hajah Halimah Ali melancarkan pertandingan itu petang tadi.

Hadiah lumayan yang ditawarkan untuk keseluruhan kategori berjumlah RM16,300 dan hadiah iringan yang lain.

Dr Halimah berkata, dengan adanya pertandingan yang terbuka kepada tiga kategori pelajar sekolah, penuntut institut pendidikan tinggi dan umum, diharapkan dapat mencapai banyak manfaat berkaitan dengannya.

(Gambar: Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Hajah Halimah Ali melancarkan Pertandingan Blog Kreatif, petang tadi)

Katanya, bermula hari ini hingga 31 Oktober 2011, pertandingan itu dibuka kepada warganegara Malaysia mengemukakan penyertaan mereka mengikut syarat-syarat tertentu.

“Objektif pertandingan untuk menggalakkan penggunaan internet secara positif oleh pelajar-pelajar sekolah dan IPT, memberikan ruang seluasnya untuk semua lapisan rakyat khususnya golongan muda berbicara dan meluahkan pendapat serta impian mereka dalam pembikinan Selangor sebagai sebuah Negeri Idaman.

Selain itu, jelasnya, ia bertujuan menyediakan ruang perbincangan maya untuk membangunkan Selangor agar idea terbaik boleh dicetus, dikembang serta dikongsi bersama dalam perbincangan konstruktif.

“Pertandingan ini juga bertujuan membentuk masyarakat berilmu dan gemar menulis kerana kemahiran ini merupakan elemen utama di dalam pembentukan masyarakat cintakan ilmu.

“Lebih dari itu, pertandingan ini juga menyediakan ruang luas kepada masyarakat menyatakan bagaimana bentuk Negeri Selangor Impian yang mereka inginkan agar dapat diberi perhatian oleh pimpinan di peringkat kerajaan negeri,” tegasnya.

Untuk info awal, Kategori Pelajar Sekolah Menengah terbuka semua pelajar sekolah di seluruh Malaysia yang berumur antara 13 hingga 17 tahun.

Manakala semua pelajar institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia yang berumur antara 18 hingga 25 tahun boleh menyertainya dan kategori umum pula terbuka kepada seluruh warganegara Malaysia.

Penyertaan adalah secara individu yang hanya boleh mendaftarkan satu laman blog sahaja dengan menggunakan sama ada Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.

Peserta bebas menggunakan sebarang aplikasi, tool atau perisian untuk membina blog masing-masing.

Kandungan blog mestilah asli dan jika diambil daripada sumber lain, perlu dinyatakan sumber tersebut dengan jelas.

Kandungan yang diambil sepenuhnya daripada sumber lain tanpa kredit kepada sumber asli akan dikira batal.

Kriteria penilaian blog melibatkan kreativiti termasuk penggunaan teks dan elemen multimedia yang mampu menarik perhatian, kadar maklumat yang diposkan pada blog dan bilangan pelawat yang melawat blog.

Maklumat lanjut pertandingan boleh didapati di www.selangor.idamanku.com

Harakahdaily/-
Oleh : Ismail Hashim

Letusan debu gunung berapi dirakam dari angkasa lepas

6 Rejab 1432H. [MOD] -


BEBERAPA cahaya kilat muncul di kawasan gunung berapi Puyehue-Cordon Caulle di Chile.

SANTIAGO - Imej kepulan debu yang dikeluarkan gunung berapi Puyehue-Cordon Caulle di Chile pada Sabtu lalu dapat dilihat dari angkasa lepas.

Kepulan debu itu dirakamkan menerusi satelit Aqua sejurus selepas ia meletus buat kali pertama sejak 1960. Pada 1960, gunung itu meletus akibat gempa bumi kuat berukuran 9.5 Richter di Chile.

Sementara itu, gambar kilat di sekitar gunung itu kelmarin juga dapat dirakamkan oleh jurugambar agensi AgenciaUno yang disiarkan agensi berita AP semalam.

Letusan itu yang masih berterusan kelmarin menyebabkan 4,000 penduduk dipindahkan dari kawasan berdekatan gunung tersebut. 

Agensi

Presiden Yemen cedera parah

6 Rejab 1432H. [MOD] -



WASHINGTON 8 Jun – Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh dilaporkan mengalami kecederaan lebih serius berbanding laporan sebelum ini, selepas Istana Presiden diserang pemberontak pada 3 Jun lalu.

Saleh yang menerima rawatan di Arab Saudi pada awalnya dilaporkan hanya cedera ringan dan menurut Naib Presiden Yemen, beliau akan kembali ke tanah air dalam tempoh beberapa hari lagi.

Seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) yang enggan dikenali bagaimanapun berkata, Saleh sebenarnya cedera parah dengan lebih 40 peratus badannya terbakar. 

REUTERS

Banjir: 13 maut di Haiti

6 Rejab 1432H. [MOD] -


Gambar hiasan

PORT-AU-PRINCE 8 Jun – Banjir akibat hujan lebat yang melanda Haiti semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh.

Yolaine Surena dari agensi perlindungan awam Haiti berkata, hujan yang dikatakan terburuk untuk tahun ini melanda ibu negara Port-Au-Prince.

Menurut Surena, dua orang dilaporkan mati di Haiti selepas kem sementara berhampiran kediaman Presiden yang musnah dinaiki air, manakala dua kanak-kanak tertanam apabila rumah mereka runtuh dan enam lagi maut di daerah Petionville. 

AFP

Masjid di Palestin dibakar di Tebing Barat

6 Rejab 1432H. [MOD] -


SEJUMLAH wartawan dan penduduk Palestin melihat sebuah masjid yang terbakar di Tebing Barat semalam.

RAMALLAH - Beberapa orang bertindak membakar sebuah masjid di utara Tebing Barat awal pagi semalam dan menconteng dinding dengan perkataan Ibrani.

Menurut Ketua Kampung el-Mughayer, Faraj al-Nassan, penduduk kampung mengetahui mengenai kebakaran itu semasa mereka pergi untuk bersolat subuh.

Karpet masjid itu terbakar tetapi kebakaran tersebut tidak merebak.

Menurut ketua kampung itu, pembakaran itu yang menggunakan tayar di dalam kawasan masjid sebenarnya bertujuan untuk menyebabkan bangunan masjid terbakar.

Bagaimanapun, tiada seorang pun yang mengaku untuk bertanggungjawab terhadap tragedi itu.

Namun, penduduk Yahudi dipercayai menjadi suspek yang membakar masjid berkenaan kerana terdapat contengan perkataan Aley Ayin yang merupakan kawasan penempatan haram Yahudi.

Kawasan penempatan haram itu diarahkan kosong oleh pemerintah Israel pada minggu lalu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengutuk percubaan untuk membakar masjid itu. 

Agensi

Gambar Lucah Dalam Yasin, Angkara Siapa?

6 Rejab 1432H. [MOD] -

Kepala Batas - Hampir 100 jemaah Masjid At-Takwa, Taman Bertam Indah di sini yang bersiap memulakan majlis bacaan surah Yasin malam semalam terkejut apabila mendapati 21 naskhah surah berkenaan mengandungi gambar lucah.

Gambar itu dilekatkan sekeping di halaman berlainan 21 naskhah surah berkenaan.

Setiausaha qariah masjid berkenaan, Abdul Rahman Abdullah berkata, gambar lucah dilekatkan dengan kemas.

“Selain ukuran sama besar, gambar itu dilekatkan menggunakan pelekat dua hala.

“Ini menunjukkan pelakunya mempunyai perancangan rapi dari segi masa untuk melekatkannya di dalam naskhah surah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, gambar lucah bersaiz 4 sentimeter lebar dan 5 sentimeter panjang setiap satu itu, mempamerkan pelbagai aksi ranjang membabitkan pasangan luar negara, dipercayai dimuat turun dari laman sesawang dari Internet.

“Gambar itu dipercayai dicetak mengikut saiz sebelum di-gunting dan dilekatkan di dalam surah berkenaan.

“Kami tidak tahu motifnya dan kenapa Yasin di masjid ini dijadikan pilihan,” katanya.

Pihaknya telah membuat laporan polis dan kesemua 21 naskhah terbabit diambil polis untuk disiasat.

Imam 1 masjid berkenaan, Ahmad Zawawi Ali berkata, majlis bacaan surah Yasin itu diadakan malam semalam untuk menggantikan kuliah agama dan dihadiri 75 lelaki dan 25 wanita.

“Selesai solat Isyak, naskhah surah Yasin itu diambil dan diedarkan kepada jemaah. Seorang daripada jemaah lelaki menyedarinya dan memberitahu Abdul Rahman.

“Suasana majlis bertukar menjadi riuh apabila lebih ramai jemaah menemui gambar itu di dalam naskhah masing-masing,” katanya.

Gambar lucah itu tidak ditemui di dalam naskhah yang dikhaskan untuk jemaah perempuan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias mengesahkan laporan polis yang dibuat.

“Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan, mendatangkan bencana atau mencemar tempat solat dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan. Sehingga kini belum ada tangkapan.

“Kita ingin menasihati jemaah dan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai dijalankan bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau meminta pentadbir masjid lebih berhati-hati menjaga masjid dan meletakkan pengawal untuk mengelak pencerobohan. -SH