22 Jun 2011

Anggota penguatkuasa JPJ maut dirempuh kereta

20 Rejab 1432H. [MOD] -

NILAI: Seorang anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika sedang memeriksa sebuah lori yang rosak di Jalan Nilai-Batang Benar, berhampiran stesen komuter Batang Benar di sini, hari ini.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Saiful Azzri Hamzah berkata, Wardi Ahmad, 28, meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), akibat cedera parah di kepala dan badan manakala pemandu kereta yang dikenali sebagai Ismail Dahlan, 44, meninggal dunia beberapa jam selepas menerima rawatan di hospital yang sama akibat cedera parah di kepala dan badan.

Kejadian itu berlaku semasa Wardi bersama tiga lagi rakan setugasnya yang menaiki sebuah pacuan empat roda memberhentikan kenderaan di bahu jalan bersebelahan dengan sebuah lori yang rosak untuk melakukan pemeriksaan kira-kira jam 11 pagi.

"Tiba-tiba, sebuah kereta dikatakan hilang kawalan lalu merempuh lori dan kenderaan pacuan empat roda milik JPJ dari arah belakang sebelum merempuh Wardi yang ketika itu sedang berdiri di belakang kenderaan JPJ menyebabkan mangsa cedera parah di kepala dan anggota badan," katanya.

Saiful Azzri berkata, tiga lagi anggota JPJ dan pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, punca sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa akan dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian. - BERNAMA

PAS Perak, gabungan ulama dan profesional untuk tawan semula Perak.

20 Rejab 1432H. [MOD] -

IPOH – Pas Negeri menampilkan sembilan muka baru dalam jawatankuasanya yang baru dibentuk kelmarin selain mengekalkan 11 pemimpin sedia ada.

Antara muka-muka baru yang dilantik ialah Razman Zakaria yang dilantik menjawat Timbalan Pesuruhjaya 3 menggantikan Mustafa Shaari.

Setiausaha perhubungan pula dipegang Dr Muhaimin Sulam yang menggantikan Misbahul Munir yang kini menjadi Timbalan Pesuruhjaya 2.

Jawatan Ketua Penerangan disandang Nuri Al-Amin menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Khalil Idham Lim yang terus dikekalkan sebagai Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak

Empat lagi muka baru dilantik sebagai ahli jawatankuasa manakala seorang lagi dilantik memegang jawatan Penolong Setiausaha Perhubungan 2 yang baru diwujudkan.

Timbalan Pesuruhjaya 1, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang dihubungi berkata, keputusan pelantikan itu dibuat mencerminkan apa yang berlaku di peringkat pusat.

Menurutnya, gabungan golongan ulama dan profesional dilihat mampu memberikan khidmat kepada rakyat dengan lebih mantap.

“Jawatankuasa Pas Negeri yang baru ini merupakan salah satu tawaran Pas kepada rakyat di Perak untuk terus menyokong Pakatan Rakyat (PR).

“Seandainya rakyat di Perak terus bersama PR, kita akan melakukan perubahan yang jauh lebih baik demi perkhidmatan untuk mereka,” katanya.

Beliau yang juga ADUN Pasir Panjang berkata, ADUN-ADUN Pas yang tidak dilantik menganggotai jawatankuasa kali ini mempunyai tugas lain di dalam Sekretariat Parlimen yang telah dibentuk.

Sementara itu, Misbahul Munir yang dihubungi berhubung jawatankuasa baru ini berkata, pembentukan jawatankuasa itu diputuskan di dalam mesyuarat perhubungan kelmarin dan bukan cadangan Pesuruhjaya semata-mata.

“Jawatankuasa Perhubungan yang baru ini merupakan ‘team’ bagi menghadapi pilihan raya dengan menampilkan beberapa muka baru.

“Dengan menampilkan muka-muka baru ini, kita yakin ada potensi untuk memenangi pilihan raya akan datang,” katanya.

Menurutnya, ahli-ahli baru dalam jawatankuasa itu terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti pegawai tinggi kerajaan, ahli akademik, profesional dan sebagainya.

Berikut adalah senarai penuh Kepimpinan PAS Perak 2011-2013 :-

Pesuruhjaya: Ust Abu Bakar Husein
Timbalan Pesuruhjaya: YB Dato Seri Hj. Mohamad Nizar Jamaludin
Timbalan Pesuruhjaya: Hj. Mohd Misbahul Munir Masduki
Timbalan Pesuruhjaya: Hj. Razman Zakaria
Ketua Dewan Ulamak: Ust. Shuid Din
Ketua Dewan Pemuda: Ust. Zawawi Abu Hassan
Ketua Dewan Muslimat: Dr. Najihatussoleha Ahmad
Setiausaha Perhubungan: Dr Muhaimin Sulam
Bendahari: Hj. Ahmad Othman Maseri
Ketua Penerangan: Ust Nuri Al-Amin
Pengarah Pilihanraya: Hj. Asmuni Awi
Penolong Setiausaha Perhubungan I : Sdra. Ismad Shahril Che Mat
Penolong Setiausaha Perhubungan II: Pn. Mazidah Zakaria

Ahli Jawatankuasa dilantik:
1. YB Hj. Mohd Zainudin Mohd Yusof
2. Ust Sidik Noor
3. Sdra. Mohd Azhar Rafie
4. Sdra. Muhammad K. Y. Tiang
5. Sdra. Mohd Zamri Ibrahim
6. Sdra. Khairul Anuar Ismail
7. Pn. Rosaini Ali

YB. Drs. Khalil Idham Lim

Kabinet PAS Perak : tumpuan rampasan semula Perak

20 Rejab 1432H. [MOD] -

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menyokong penuh barisan kepimpinan di dalam Kabinet baru Badan Perhubungan PAS Negeri Perak yang telah dilantik oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Haji Abu Bakar Hussien di dalam Mesyuarat Pertama PAS Perak baru-baru ini bagi memberikan tumpuan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 nanti.

Kami yakin kabinet kali ini adalah pasukan pilihanraya yang mantap bagi memimpin rakyat Negeri Perak bersama Pakatan Rakyat (PR) Negeri Perak untuk terus memastikan cita-cita Negara Berkebajikan akan menjadi teras dalam pemerintahan Kerajaan Negeri Perak kembali. Sepertimana yang telah dipertegaskan oleh mantan Menteri Besar Negeri Perak, Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa akan terus memastikan kebajikan rakyat diberikan keutamaan.

Malah kami amat yakin Kabinet Pilihanraya PAS Perak ini yang membariskan gabungan muka baru dan lama, serta anak muda profesional dan ulama akan cemerlang dan berjaya untuk misi merampas semula pentadbiran kerajaan negeri nanti. Kami juga yakin, pasukan ini akan berganding bahu dengan pimpinan daripada Kompenan PR iaitu DAP dan PKR untuk mencapai kemenangan yang sama sepertimana PRU 12 tahun 2008 yang lalu.

Kami juga yakin kekuatan Haji Abu Bakar dan Datuk Seri Nizar akan menghasilkan satu pasukan yang terbaik bagi berdepan dengan PRU 13 nanti. Kami komited akan bersama-sama dengan PAS Perak dalam menuju sasaran kita untuk merampas kembali negeri Perak seterusnya mendokong cita-cita untuk mewujudkan negara berkebajikan berasaskan syariat Islam.

RAJA AHMAD AL-HISS
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Bola sepak olimpik : pastikan sokongan rakyat malaysia

20 Rejab 1432H. [MOD] -

Dewan Pemuda PAS Pusat (Malaysia) menyeru seluruh peminat bolasepak tanahair Negara agar hadir beramai-ramai memenuhkan Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada hari Khamis ini, 23 Jun bagi memberikan sokongan kepada Skuad Bolasepak Kelayakan Olimpik 2012 Malaysia yang akan bertemu dengan Pasukan Bolasepak Negara Lubnan bagi pusingan kedua setelah seri tanpa jaringan di Beirut, Lubnan pada 19 Jun baru-baru ini.

Kami juga mengharapkan kejayaan bagi Skuad Bolasepak Olimpik Negara pada perlawanan pada 23 Jun ini nanti. Sudah tentu sokongan moral daripada peminat dan penyokong bolasepak Negara dengan memakai baju Kuning / Hitam nanti akan memberikan semangat kepada Skuad Olimpik ini nanti. Kami yakin Skuad Olimpik Negara akan mara bagi kelayakan seterusnya nanti dan mengharumkan nama Negara kelak.

Kami mengharapkan kecemerlangan seterusnya nanti bagi Skuad Olimpik Negara pada perlawanan ini nanti dan terus melayakkan Skuad Olimpik Negara dengan mencipta kejayaan yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia dalam Sukan Olimpik yang membabitkan bolasepak nanti. Kami juga akan bersama-sama dengan seluruh rakyat Malaysia bagi kejayaan negara kita.

RAJA AHMAD AL-HISS
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia.

21 Jun 2011

Bersih 2.0 : pemuda sangkal tuduhan zambry

19 Rejab 1432H. [MOD] -

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menyangkal tuduhan Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir yang mendakwa Himpunan BERSIH pada 9 Julai ini ada agenda tersembunyi untuk menawan Putrajaya tetapi tidak menyedari bahawa cara Umno / Barisan Nasional (BN) merampas secara jahat Kerajaan Negeri Perak dengan menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sebagai alat bagi mengesahkan cara kotor untuk kembali mentadbir Kerajaan Negeri awal Februari 2009 yang lalu.

Bagi kami, himpunan ini adalah pentas khas terutamanya rakyat Negeri Perak menyuarakan bantahan mereka cara kotor Umno / BN yang telah merampas Kerajaan Negeri daripada mandat rakyat setelah memberikan keyakinan bahawa Pakatan Rakyat (PR) layak mentadbir Kerajaan Negeri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 12 tahun 2008 yang lalu. Sudah tentu tujuan utama kepada rakyat Perak yang menyertai himpunan ini adalah bagi memastikan PRU 13 nanti bersih untuk menghalang Umno / BN merampas sekali lagi Kerajaan Negeri dengan cara singkat.

Setakat dalam rekod politik tanahair, dengan mengadakan himpunan tiada langsung satu kerajaan negeri pun dirampas sepertimana Umno / BN dapat lakukan di Negeri Perak dahulu. Hanya Umno / BN sahaja yang benar-benar dapat lakukan cara pelbagai himpunan bagi mendapat mandat secara singkat untuk kembali mentadbir. Beberapa kerajaan negeri yang dimenangi oleh PR dengan izin Tuhan telah bangkit secara luar biasa rakyat yang telah dapat menghalang penyelewengan dalam PRU yang telah diadakan.

Bagi kami himpunan yang bakal diadakan dijamin ianya adalah himpunan aman tetapi jika hura-hara berlaku dengan gangguan pihak Polis adalah arahan daripada Umno / BN yang inginkan ianya gagal. Kami tegaskan akan menggerakkan rakyat Perak untuk turut serta dalam himpunan ini nanti bagi menyekat politik singkat jalanan untuk terus menjadi Menteri Besar secara tidak tehormat!

MOHD AKMAL KAMARUDIN
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Bancian 'Star' - 99% sokong himpunan BERSIH

19 Rejab 1432H. [MOD] -

Sejumlah 99 peratus daripada lebih sejuta responden menyokong perhimpunan BERSIH pada 9 Julai ini dalam bancian yang dijalankan oleh The Star Online.

Jumlah sebenar bilangan responden tidak dapat disahkan apabila portal berita berkenaan menghentikan banciannya kira-kira tengahari tadi.

Menurut skrin yang dirakamkan oleh seorang pengguna Facebook, jumlah responden mencecah 1.3 juta pada jam 12.25 tengah hari berbanding 527,330 yang dicatatkan pada jam 6.11 pagi ini, yang dirakamkan menerusi laman Google Cache.

Soalan yang dikemukakan berbunyi 'Apa pandangan anda berhubung perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai?, 1,312,917 responden menjawap 'Ia sepatutnya dibenar diteruskan' pada 12.25 tengahhari.

Manakala pilihan satu lagi - 'Ia harus dibatalkan' - hanya dipilih oleh 14,222 responden.

MALAYSIAKINI/-

Kepintaran Mat Sabu berbanding sarjana Umno

19 Rejab 1432H.

MAT Sabu, Timbalan Presiden PAS tidak lulus Universiti Oxford seperti Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin. Kelulusannya pun tidak sehebat setengah sarjana UMNO termasuk Perdana Menteri Datuk Najib. Dia tidak mengaji falsafah dan sains politik peringkat ijazah di ITM. Dia belajar diplomat tertentu tentang teknologi saja.

Tetapi kepintarannya berhujah tentang isu demonstrasi Bersih 2.0 pada 09 Julai nanti jauh lebih hebat dari alasan bodoh pemimpin Pemuda UMNO dan sekutu NGOnya yang membuat aduan polis tentang mengapa ia patut dihalang.

Ibrahim Ali, pemimpin Perkasa yang satu sekolah dengan Mat Sabu di ITM dulu selalunya pintar tetapi dalam perkara ini lebih buntu otaknya dari Hosni Mubarak.

Mereka takut pelancong tidak datang sehari ke Kuala Lumpur akan menyebabkan penjaja kerugian dan pengusaha teksi tidak dapat membawa penumpang. Ekonomi negara akan terjejas.

Siapa kata pelancong tidak datang ke Kuala Lumpur?

Beratus ribu orang yang datang dari seluruh negara bagi menyertai perarakan itu pelanconglah. Pelancong itu bukan yang datang dari Amerika dan Negara-negara Teluk saja. Orang dari ceruk rantau dari seluruh negara yang ke Kuala Lumpur itu adalah pelancong juga.

Banyak tol yang mereka akan bayar pergi balik ke Kuala Lumpur pada hari itu? Mungkin melebihi pungutan di hari perayaan. Banyak petrol yang mereka akan gunakan hari itu? Pemilik stesen minyak sepanjang ke Kuala Lumpur dari Perlis, dari Rantau Panjang dan dari Johor Bahru menyebak akan membuat duit yang banyak.

Berapa kali seorang penunjuk perasaan singah di gerai dan restoran hari itu dari pagi hingga ke malam? Empat lima kali. Katakanlah sekali makan RM5, banyak penjaja di gerai dapat pungut hari itu.

Mereka bukan sekadar datang untuk tunjuk perasaan saja, bahkan berbelanja sedikit sebanyak. Biasanya seorang akan berbelanja antara RM50 hingga RM100. Ke mana duit itu pergi kalau tidak kepada peniaga?

Lagi ramai orang datang ke Kuala Lumpur lagi peniaga dan penjaja beroleh tuah. Berniaga air botol saja pun tak dapat dikira untungnya. Mat Rempit boleh rehat berlumba hari itu, ambil peluang berjaja air botol kepada demonstran di sepanjang jalan. Tak perlu meragut hari itu mereka akan dapat banyak rezeki.

Mungkin teksi terpaksa berjalan perlahan di kawasan sesak atau tidak boleh masuk ke kawasan antara Jalan Tuanku Abdul Rahman, menuju Masjid Negara dan ke Istana Negara. Tapi kawasan sesak itu untuk beberapa jam saja kecuali apabila ia dihalang oleh polis.

Kalau polis cerdik dan menteri-menterinya cerdik, memberi peluang kepada tunjuk perasaan aman itu, dan bekerjasama bagi memastikan lalu lintas berjalan licin, maka tunjuk perasaan tidak menjadi apa-apa keburukan. Tentulah tiga empat jam akan sesak, tetapi lepas itu semuanya akan pulih.

Tunjuk perasaan itu bukan untuk membuat Perdana Menteri seperti di Mesir, Tunisia, Yaman, Libya dan Syria, tetapi untuk mengajar SPR yang pada persepsinya ia satu dari biro UMNO.

Orang datang dengan motokar dan bas dari Kelantan, Terengganu, Kedah, Johor dan Melaka tidak boleh membawa kenderaan mereka ke tengah-tengah kota kerana mengelakkan sesak dan kereta payah tiba ke situ. Bas dan kereta akan ditinggalkan jauh dan berbatu-batu dari kawasan orang berhimpun dan berarak.

Dengan apa orang hendak ke situ kalau tidak dengan teksi. Bukan semua kawasan ada perkhidmatan train. Maka mereka perlu teksi untuk pergi ke tempat yang paling dekat dan boleh ditiba oleh teksi.

Teksi hendak cerdik mencari jalan yang boleh dilalui. Kalau polis tidak menghalang dan sebaliknya membantu kelancaran trafik, teksi boleh sampai ke tempat paling dekat dengan lokasi perhimpunan.

Dan bila tunjuk perasaan itu selesai, mereka hendak balik ke tempat kereta ditinggalkan yang tentu jauh dan tak terdaya lagi berjalan kaki. Semuanya itu peluang mengaut untung bagi teksi.

Kalaulah sehari itu teksi tak dapat rezeki langsung, maka sekadar sehari tak memandu tidaklah menjadi pemandu teksi bangsat bertahun-tahun. Orang yang datang dari jauh berbelanja banyak sanggup datang menyertai tunjuk perasaan bagi memperjuangkan tertegaknya keadilan, maka apalah salahnya kalau sehari pemandu teksi tidak pendapatan tetapi dengan keadilan yang hendak ditegakkan akan memberi kebaikan kepada masa depan maasing-masing.

Mungkin hari ini hilang mata pencarian, tetapi kalau keadilan dapat ditegakkan dan kezaliman dapat dihapuskan, apalah ertinya kerugian satu hari itu?

Ibrahim tak usah diikut. Dia makan kiri dan makan kanan. Pemerintah zalim pun dia kenyang dan kalau tertegak keadilan, masakan dia bangsat pula.

Mat Sabu menggunakan hujah-hujah itu. Ternyatalah hujahnya kuat dan ia melemahkan dalih serjana-sarjana yang mengaji tinggi. Hujah sarjana itu lebih lemah dari akal orang sekolah atap. Tun Abdullah Badawi pun bercakap semangkok, jelaslah hujahnya tak sampai separuh dari kehebatan Mat Sabu.

Subky Latif
HARAKAHDAILY/-

Bersih 2.0 : polis restu tindakan perkasa?

19 Rejab 1432H. [MOD] -

Dewan Pemuda PAS Pusat (Malaysia) melihat pendekatan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Dato’ Ibrahim Ali sengaja menggunakan sentimen perkauman dalam satu perhimpunan di kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur kelmarin di dalam usaha untuk menggagalkan Himpunan BERSIH pada 2 Julai ini dan menjadikan sasaran barunya dengan bertindak membakar gambar Dato' S. Ambiga dan melaungkan sentiemen Agama dengan melebelkan 'perempuan hindu yang bahaya' adalah satu tindakan yang boleh mencetuskan suasana buruk walaupun ianya langsung tidak berkaitan terhadap himpunan yang bakal berlangsung.

Malah Dato’ Ibrahim juga mengukapkan 'orang cina elok duduk dalam rumah sebelum sesuatu yang buruk berlaku' sebagai pendekatan amaran yang sengaja membakar kaum Cina di dalam Negara kita. Dengan menggelarkan dirinya sebagai 'general perang' untuk umat Melayu adalah keterlaluan dan terlalu bahaya untuk perkauman sempit bagi memastikan himpunan yang dirancang tidak akan berjaya adalah bertentangan dengan apa yang sedang berlaku dan bukannya membabitkan perkauman.

Bagi kami, Dato’ Ibrahim sengaja menyamakan himpunan ini sepertimana yang berlaku di Libya bagi tujuan mengulingkan kerajaan di sana sebagai satu niat jahat bagi menghasut rakyat atas kebimbangan yang sengaja diada-adakan. Oleh yang demikian, kami mendesak agar pihak Polis menahan Dato’ Ibrahim kerana jelas beliau membawa sentimen perkauman dan amat berbahaya terhadap perpaduan kaum di dalam Negara kita. Jika pihak Polis masih gagal mengambil tindakan terhadap Dato’ Ibrahim, memang benar dakwaan bahawa Perkasa adalah agen kepada Umno selama ini.

Dan kami menyeru agar kaum Cina dan India agar bersama-sama di dalam himpunan ini nanti bagi menyatakan protes terhadap pihak Kerajaan kerana sengaja membiarkan Dato’ Ibrahim mencetuskan prasangka buruk dan perkauman sempit. Kami yakin rakyat pelbagai kaum akan bangkit bagi membantah sikap pihak berkuasa dengan membiarkan Dato’ Ibrahim dengan mengheret perkauman sempit untuk cuba menggagalkan himpunan bagi membersihkan sistem pilihanraya yang tidak sedikitpun menyentuh isu perkauman.

RAJA AHMAD AL-HISS
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Ambulans bawa wanita mengandung terbalik

19 Rejab 1432H. [MOD] -

SUNGAI PETANI 20 Jun - Dua pesakit termasuk seorang wanita mengandung nyaris maut apabila ambulans yang membawa mereka terbabas lalu terbalik di persimpangan Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Plaza Tol Sungai Petani Utara, di sini hari ini.

Kejadian berlaku pukul 8.45 pagi selepas sebuah kereta dari arah bertentangan tiba-tiba hilang kawalan ketika melalui jalan itu lalu merempuh ambulans berkenaan.

Cubaan pemandu ambulans itu untuk mengelak, menyebabkan kenderaannya yang dalam perjalanan membawa pesakit dari Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, terbabas lalu terbalik.

Turut sama mengiringi pesakit itu ialah seorang pembantu kesihatan, namun kesemua mangsa terlibat hanya mengalami kecederaan ringan.

Pengarah HSAH, Dr. Harif Fadzilah Che Hashim berkata, ambulans itu bertolak dari HSAH pada pukul 8.30 pagi dan semasa hendak memasuki persimpangan lampu isyarat di Plaza Tol Sungai Petani Utara, sebuah kereta dari arah Sungai Lalang tiba-tiba merempuh kenderaan terbabit.

"Dua pesakit berada di dalam ambulans itu mengalami kecederaan dan terpaksa keluar dari pintu belakang. Pesakit terbabit kemudian dikejarkan ke HSAH dengan bantuan ambulans lain untuk mendapatkan rawatan.

"Keadaan kedua-dua pesakit berusia 20-an itu kini dilaporkan stabil dan tidak mengalami kecederaan serius. Kandungan salah seorang pesakit juga selamat," katanya.

utusanmalaysia/-

Kisah BEG TANGAN Bernilah RM1 juta

19 Rejab 1432H. [MOD] -

Beg tangan Birkin adalah beg buatan tangan Hermes dan dinamakan dengan nama seorang pelakon dan penyanyi Jane Birkin. Beg tangan ini menjadil simbol kekayaan kerana harganya yang tinggi dan tidak mampu dimiliki oleh orang awam. Harga bagi sebuah beg adalah diantara US$9,000 (lebih RM25 ribu) hingga US$150,000 (lebih RM450 ribu).

Harganya menjadi lebih mahal bergantung kepada jenis bahan yang digunakan. Beg-beg tangan ini diedarkan ke butik Hermes pada jadual yang tidak berkala dan dalam jumlah yang terhad, ini mencetuskan rebutan dan, secara tidak langsung ia telah menjadi eksklusif. Ia akhirnya menjadi kegilaan ramai, ia dikatakan mempunyai senarai menunggu yang panjang sehingga 6 tahun, dan dikatakan mempunyai senarai menunggu paling lama dalam sejarah.


Victoria Beckham antara artis antarabangsa yang mempunyai koleksi beg tangan Birkins.

Dan gambar-gambar Rosmah di bawah ialah bersama dengan beg tangan Birkins hadiah daripada Robin Tan, anak lelaki Vincent Tan kepada wanita pertama Malaysia. Dianggarkan setiap beg tangan Birkins berharga US$ 120,000 (lebih RM360 ribu) dan telah dibayar dibawah nama Sports Toto.


Gambar-gambar Rosmah bersama 3 beg tangan Birkins yang berbeza.

Pemimpin-pemimpin PAS telah merancang untuk menaikkan isu koleksi beg tangan Rosmah, yang dipercayai bernilai RM1 juta dan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara itu.

"Ini bukan satu isu yang remeh. Bagaimana dia mampu memiliki beg-beg yang mahal seperti itu. Mengapa dia dan Najib boleh berbelanja melebihi kemampuannya? Ini adalah isu serius. RM1 juta boleh dibelanjakan dengan baik untuk pembinaan kemudahan-kemudahan di luar bandar, untuk biasiswa dan lain-lain," menurut Mahfuz.

cheguBard

Bersih 2.0 : pemuda umno akan bersama?

19 Rejab 1432H. [MOD] -

Dewan Pemuda PAS Pusat (Malaysia) mempelawa Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaludin dan seluruh Pemuda Umno dan Barisan Nasional (BN) yang merancang mengadakan himpunan yang sama sepertimana Himpunan BERSIH pada tarikh yang sama pada 9 Julai ini nanti untuk bersama-sama berhimpun dan menyerahkan memorandum kepada Yang DiPertua Agong adalah satu tujuan yang sama iaitu berhimpun dan menyerahkan memorandum.

Kami berharap Khairy dapat menyertai BERSIH bagi mengatakan hasrat yang sama walaupun dibantah oleh pimpinan Umno dan pelbagai amaran oleh pimpinan Kompenan BN bagi membantah hasrat Khairy dan Pemuda Umno bagi tujuan yang sama. Tetapi sedikit pelik kerana Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) langsung tidak pula membantah Pemuda Umno kerana ingin turut berhimpun? Dan kenapa juga Pemuda Umno tidak membantah Perkasa berhimpun bagi menghalang Himpunan BERSIH?

Kami melihat ‘wayang’ daripada Umno dan Perkasa di dalam cubaan menjadikan himpunan BERSIH sebagai satu pendekatan perkauman adalah bertujuan ingin memastikan kegagalan Himpunan BERSIH ini sebenarnya. Kami sekali lagi yakin bahawa pendekatan berhimpun adalah pendekatan yang sewajarnya kerana Pemuda Umno dan Perkasa juga mengambil pendekatan yang sama bagi mengatakan hasrat mereka dan tidak pula menggunakan kaedah lain jika ingin membantah sesuatu perkara. Ini adalah satu bukti keperluan berhimpun yang penting bagi menyatakan bantahan atau tuntutan yang diberikan izin oleh Perlembagaan Negara.

RAJA AHMAD AL-HISS
Naib Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Gempa bumi melanda kepulauan Solomon

19 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 21 Jun - Gempa bumi kuat bermagnitud 6.2 pada skala Richter menggegarkan kepulauan Solomon di Lautan Pasifik pada 10.04 pagi ini.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa ialah di pulau Santa Cruz, 658 km ke tenggara Honiara, ibu negara kepulauan Solomon dan 5,518 km tenggara Kunak, Sabah.

Tiada ancaman Tsunami dikeluarkan. - Bernama

Rasuah: Warner letak jawatan sebagai Naib Presiden FIFA

19 Rejab 1432H. [MOD] -

GENEVA 21 Jun — Jack Warner telah meletak jawatan sebagai Naib Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) awal pagi tadi dan tuduhan rasuah terhadapnya telah digugurkan oleh badan bola sepak dunia itu.

Warner dan Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia, Mohamed bin Hammam telah digantung oleh FIFA bulan lepas apabila dituduh menawarkan bayaran sebanyak AS$40,000 (RM121,000) kepada pengundi di Caribbean ketika Hammam melakukan kempen untuk menggantikan Sepp Blatter. - Agensi

Mubarak hidap kanser perut, masuk hospital

19 Rejab 1432H. [MOD] -

KAHERAH 21 Jun – Bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak, disahkan menghidapi kanser perut, kata peguam belanya, Farid el-Deeb, semalam.

“Beliau (Mubarak) menderita kanser perut dan ia sudah dicatatkan dalam laporan perubatan terdahulu,” katanya.

Mubarak, 83, dimasukkan ke sebuah hospital di pusat peranginan Sharm el-Sheikh di Laut Merah pada 13 April lalu selepas mengalami masalah jantung ketika disoal siasat pihak berkuasa berhubung tuduhan pembunuhan penunjuk perasaan dan penyalahgunaan kuasa. – Reuters

Perkasa jejas keharmonian rakyat

19 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 21 Jun: Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa (gambar) hari ini menghantar notis pemberitahuan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat P.18 untuk mengemukakan usul mengenai kenyataan Presiden Perkasa yang menimbulkan perasaan takut di kalangan rakyat.

Katanya, pada 19 Jun lepas, Presiden Perkasa telah mengeluarkan kenyataan bertujuan untuk menimbulkan kegelisahan umum dengan mengingatkan sekiranya terjadi perkara-perkara yang tidak diingini pada 9 Julai ini, maka orang-orang Cina terpaksa membeli stok makanan.

“Dan kata-kata ini sengaja dilakukan untuk menimbulkan perasaan takut rakyat serta berupaya menjejaskan keharmonian rakyat berbilang kaum negara ini,” ujarnya di dalam usul tersebut.

Menurutnya, penganjur Bersih tidak pernah sesekali mengeluarkan kenyataan tentang pergaduhan atau keganasan.

Tambahnya, mereka hanya bercakap mengenai isu kebersihan dan ketelusan perlaksanaan pilihan raya di negara ini dan ingin menggunakan perhimpunan ini untuk menunjukkan manifestasi rakyat yang tidak berpuas hati tentang perlaksanaan PRU selama ini.

Beliau yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor berkata, ini bukanlah kali pertama, Presiden Perkasa memberikan ucapan berbaur perkauman yang mengajak rakyat untuk bergaduh sesama sendiri.

“Namun, sehingga kini, tiada tindakan diambil oleh pihak polis bagi menghalang beliau dari terus mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian,” ujarnya.

Menurutnya lagi, sejak negara mencapai kemerdekaan sehinggalah sekarang, tidak pernah seorang individu yang berkelakuan seperti itu terlepas dari undang-undang dan tindakan itu merupakan sesuatu yang serius.

Malahan, ujarnya budaya perkauman atau asabiyah itu tidak dianjurkan oleh Islam.

Beliau memetik bahawa Nabi Muhammad pernah bersabda, yang bermaksud: “Bukan di kalangan kami sesiapa yang menyeru kepada ‘asabiyyah, bukan sesiapa yang berperang atas ‘asabiyyah, dan bukan di kalangan kami sesiapa yang mati atas ‘asabiyyah.” (Hadis riwayat Abu Daud)

“Berdasarkan alasan di atas, insiden sebegini mencerminkan aspek keselamatan dan keharmonian telah terjejas.

“Oleh kerana 9 Julai semakin hampir, maka ia perlu dibahas dengan serta-merta dalam usaha menghindari keselamatan negara dan rakyat terancam dan mendapat mudarat oleh kerana sikap begini dan saya berharap agar usul ini dapat dibahaskan oleh semua Ahli Dewan,” ujarnya.

Harakahdaily