18 Ogos 2011

Pertikaian Laut China Selatan tak jejas PBGEC

18 Ramadhan 1432H. [MOD] -

NANNING (Guangxi, China): Pertikaian mengenai Laut China Selatan antara China dengan negara Asean tidak memberikan kesan kepada perdagangan dua hala dan kerjasama ekonomi dalam Kerjasama Ekonomi Seluruh Teluk Beibu (PBGEC).

Timbalan Ketua Pengarah Suruhanjaya Perancangan, Pembinaan dan Pentadbiran Zon Ekonomi Teluk Beibu Guangxi, Chen Ruixian, berkata perbincangan dan rundingan antara negara-negara terbabit diadakan secara berterusan untuk menyelesaikan isu-isu yang timbul.

"Pertikaian Laut China Selatan tidak akan menjejaskan kerjasama antara Asean dengan negara-negara PBG.

"Penyertaan pegawai-pegawai peringkat tinggi dalam Forum PBGEC Ke-6 menunjukkan negara-negara PBG berhasrat meningkatkan kerjasama bagi hubungan dua hala, memperluas kerjasama untuk saling mempercayai dengan prinsip memelihara kepentingan bersama semua pihak dan merealisasikan pembangunan sama menang.

"Kami amat yakin bahawa dengan usaha bersepadu kerajaan China, negara-negara anggota Asean dan negara-negara anggota PBG, Forum PBGEC akan membuahkan hasil dan akan lebih berjaya," katanya pada satu sidang media di sini semalam.

Forum PBGEC yang diadakan setiap tahun itu bermula di sini hari ini.

Kira-kira 200 peserta termasuk pegawai, pakar, cendekiawan dari institusi penyelidikan dan wakil-wakil dari institusi kewangan serta pertubuhan antarabangsa dari China dan Asean telah berhimpun bagi forum dua hari itu di ibu kota Wilayah Autonomi Guangxi Zhang Barat Daya China.

Chen berkata Forum PBGEC itu semakin meraih momentum kukuh sejak kali pertama diadakan pada 2006.

Tahun lalu, katanya, jumlah perdagangan China dengan negara-negara PBG lain mencecah US$285.835 bilion dan daripada jumlah itu, 97.63 peratus adalah antara China dengan negara Asean.

"Sebagai peneraju dalam kerjasama Asean-China, perdagangan Guangxi dengan negara-negara PBG lain menguasai 99.51 peratus daripada keseluruhan perdagangan dengan negara Asean tahun lalu," katanya.

Justeru kata Chen yang juga Timbalan Setiausaha Agung Jawatankuasa Penganjur Forum PBGEC Ke-6, berkata forum itu akan bertindak sebagai platform menyempurnakan tugas berat untuk menginstitusikan dan memajukan kerjasama PBG dengan mengadakan projek-projek baharu dalam bidang-bidang khusus.

"Forum ini akan memperluas lagi kerjasama dan perdagangan Asean-China, terutamanya dalam Kawasan Perdagangan Bebas China-Asean (CAFTA)," katanya, sambil menambah Forum PBGEC Keenam itu akan lebih pragmatik, dan perbincangan yang lebih mendalam akan diadakan mengenai sektor dan projek utama.

Tahun ini adalah ulang tahun kedua CAFTA. Sejak pelaksanaan CAFTA, perdagangan dua hala antara Asean dengan China telah berkembang dengan pesat.

"Perangkaan menunjukkan bahawa pada 1991, perdagangan dua hala antara Asean dengan China bernilai hanya US$7.96 bilion; bagaimanapun ia melonjak kepada AS$292.78 bilion tahun lalu.

"Bagi enam bulan pertama tahun ini, perdagangan dua hala meningkat sebanyak 25 peratus kepada AS$171.12 bilion. Menjelang akhir Jun tahun ini, pelaburan dua hala berjumlah hampir AS$80 bilion," katanya.

Chen berkata China adalah rakan dagang terbesar bagi Asean, manakala Asean menjadi rakan dagang ketiga terbesar bagi China, sekali gus mengatasi Jepun.

"Ini menunjukkan permulaan yang baik bagi CAFTA. Kerjasama ekonomi dan perdagangan Asean-China telah mencapai tahap baharu dan ini menjanjikan prospek yang lebih luas," katanya. - BERNAMA

Kes Qazaf : Anwar Tolak Zainul Rijal Sebagai Pendakwa

18 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 18 OGOS: Campurtangan politik dalam urustadbir mahkamah Syariah merupakan faktor utama kepada penangguhan kes Qazaf yang melibatkan Saiful Bukhari Adzlan dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini menjangkau lebih daripada tiga tahun.

Malah hak Ketua Umum PKR itu terus diketepikan apabila peguam syarie Zainul Rijal yang mewakili kerajaan sering menggunakan pelbagai alasan teknikal bagi mengelak kes tersebut daripada didengari sejak 2008.

Sehubungan itu, Anwar bersama peguamnya Kamar Ainiah Kamaruzaman hari ini menfailkan permohonan kepada Mahkamah Syariah Kuala Lumpur bagi menolak Zainul daripada mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Jabatan Pendakwaan Jawi dan Pengarah Jawi.

Malah, menurut Anwar gesaan itu dibuat berdasarkan reaksi Zainul yang dilihat seolah-olah menjadi agen menghalang perlaksanaan Mahkamah Syariah dengan memberi alasan teknikal melibatkan Mahkamah sivil.

"Kita bangkit ialah menuntut supaya prosiding mahkamah syariah berjalan. Itu yang paling penting. Berulang kali diminta untuk dimulakan (prosiding). Tiga tahun belum mula kes dan orang yang pergi ke Suhakam termasuk Persatuan Peguam Muslim ini tidak peduli mahkamah Syariah. Dia guna tiket persatuan.

"Jadi mereka bercakap tentang keperluan menghormati Islam dan mahkamah syariah tapi mereka mengabaikan proses (Syariah) kerana alasan politik. Ia adalah arahan jelas daripada ketua politik. Dalam kes ini apa yang paling buruk adalah penyalahgunaan wang zakat," kata beliau kepada pemberita di perkarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Zainul yang juga Presiden Persatuan Peguam Muslim pernah dikaitkan dengan pembayaran yuran guaman menggunakan wang zakat.

Malah perkara tersebut turut diakui oleh Timbalan Menteri pada sidang Parlimen Jun lalu.

Anwar kemudian menjelaskan beliau tetap dengan pendirianya untuk menolak amalan 'sumpah laknat' yang dilakukan sesetengah pihak.

Sebaliknya, Anwar tetap merujuk Mahkamah Syariah bersabit perintah Al-Quran dan Syariat.

Dalam pada itu, peguam Kamar yang ditemui turut menyifatkan tuntutan tersebut berpatutan memandangkan beberapa kenyataan Zainul kepada media sebelum ini didakwa telah menjejaskan kewibawaan dan sistem Mahkamah Syariah selain berlawanan dengan etika peguam syarie.

Malah, beliau turut menyifatkan tindakan Zainul tidak profesional selain wujudnya konflik berkepentingan terhadap responden.

Bagaimanapun beliau tidak dapat mendedahkan lanjutan butiran kod etika peguam yang telah dilanggar Zainul.

Namun Kamar yakin kedua-dua pihak boleh dipanggil ke sesi pendengaran pada bulan Oktober nanti.

"Saya tidak dapat memberitahu butiran terperinci kerana saya kena sampaikan dulu permohonan tersebut tapi antaranya beliau telah melanggar etika peguam syarie dalam perwakilan di mahkamah syariah,"

Anwar sebentar tadi ditemani isteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan rakan.

tv selangor/-

DAP kutuk bakar pejabat

18 Ramadhan 1432H. [MOD] -

GEORGETOWN, 18 Ogos: DAP Pulau Pinang hari ini mengutuk tindakan kejam kumpulan atau individu yang membakar ibu pejabat DAP Pulau Pinang di sini pada jam 3 pagi tadi.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menganggap perbuatan keji itu dilakukan oleh pengecut memandangkan pejabat yang sama telah disimbah cat merah empat hari lalu, lapor Roketkini.

“Serangan pengecut, cuba bakar Ibu Pejabat DAP awal pagi ini. Hanya selepas empat hari cat merah disimbah ke atas pejabat itu. Tolak keganasan!” katanya melalui mesej Twitter pagi ini.

Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pula menyatakan rasa terkejut dan meluat dengan insiden itu yang disifatkannya sebagai perbuatan jahat bermotifkan politik.

Katanya jika ada mana-mana pihak tidak puas hati dengan DAP atau kerajaan negeri Pakatan Rakyat, mereka dipersilakan untuk membantah atau mengkritik melalui saluran yang sah.

“Kita sedia berdepan dengan rakyat yang mempunyai rasa prihatin, kita terbuka untuk dikritik dan kita sedia memberi jawapan kepada sebarang kritikan,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, media kawalan Kerajaan Pusat dan parti pemerintah tidak pernah menyiarkan penjelasan DAP dan Pakatan, sebaliknya digambarkan sebagai rasis dan pembuli walau pun DAP dan Pakatan menolak keganasan.

“Ibu pejabat kami pula bukanlah banglo atau menara, kami berjiran dengan rakyat di kawasan perumahan. Percubaan melulu pagi tadi membakar pejabat kami boleh mengancam nyawa orang lain yang tinggal di unit berdekatan.

“Jika tidak kerana jiran-jiran berdekatan bertindak cepat, kebakaran ini mungkin akan membawa kepada kesan buruk,” katanya.

Chow yang juga Ahli Parlimen Tanjong, mengucapkan terima kasih kepada penduduk di kawasan tersebut yang bertungkus lumus membantu menyelamatkan keadaan.

Beliau juga dimaklumkan bahawa ibu pejabat Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) juga disimbah cat merah, di antara lewat malam tadi atau awal pagi ini.

Sementara itu, Setiausaha DAP Pulau Pinang, Ng Wei Aik berkata, sebiji botol, dipercayai digunakan sebagai molotov cocktail atau bom api, telah dijumpai di tempat kejadian.

Bomba yang tiba di tempat kejadian 15 minit setelah penduduk di kawasan itu menghubungi mereka dikatakan telah mengambil botol tersebut untuk diuji sama ada suspek menggunakan botol itu sebagai senjata.

Ng yang juga Adun Komtar berkata, laporan polis sudah dibuat dan sedang menunggu siasatan dari pihak berkuasa berkenaan.

harakahdaily/-

Kereta Skoda lebih laju berbanding Porsche 911

18 Ramadhan 1432H. [MOD] -

RICHARD 'Dickie' Meaden memandu kereta Skoda Octavia pada kelajuan 325.32 kilometer sejam di Bonneville Amerika Syarikat pada Sabtu lalu.

BONNEVILLE, Amerika Syarikat (AS) - Seorang pemandu lagak ngeri, Richard 'Dickie' Meaden menjadi pemandu pertama yang memecah paras kelajuan 321.86 kilometer sejam dengan memandu kereta Skoda, lapor sebuah akhbar semalam.

Sebelum ini, kereta buatan Republik Czech itu kerap menjadi bahan ketawa kerana ia dianggap tidak setanding dengan jenama-jenama kereta utama di Eropah.

Namun, pihak Skoda mengambil masa selama enam bulan untuk melakukan pengubahsuaian pada kereta Skoda Octavia untuk cabaran tersebut.

Meaden memandu kereta itu dengan kelajuan 325.32 kilometer sejam dalam sesi pemanduan pada Minggu Kelajuan Bonneville di sini, negeri Utah pada Sabtu lepas.

Enjin kereta berkapasiti dua liter itu dilengkapi pengecas turbo gergasi untuk meningkatkan kuasa kenderaan itu daripada 200 kuasa kuda (bhp) kepada lebih 500bhp sekali gus lebih berkuasa daripada kereta sport Porsche 911. - Agensi

Kes Fitnah Liwat II : Bekas IGP Juga Enggan Jadi Saksi

18 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR : Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini enggan menjawab soalan yang dikemukakan oleh peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim - apabila mereka mengajukan pertanyaan mengenai merit kes semasa sesi temubual.

Menurut peguam Sankara Nair, pada mulanya Musa sedia bekerjasama dengan mereka, termasuk Anwar dengan menjawab beberapa soalan.

“Bagaimanapun, apabila kita tanya mengenai merit kes itu, Musa jawab beliau tidak mahu menjadi saksi pembela dan tidak mahu ditemubual,” kata Sankara.

Anwar mencelah dan berkata, “ Ia sudah dalam skrip.”

Sankara berkata pertemuan dengan Musa hanya berlangsung kira-kira lima minit apabila beliau muncul pada jam 2.30 petang.

Bersama Sankara yang mengendalikan temubual itu adalah peguam Ram Karpal dan Param Cumaraswamy.

Sankara berkata pihak pembelaan agak kecewa kerana meskipun hakim berkata saksi mempunyai hak untuk tidak menjawap, Musa sepatutnya membantu.

“Namanya secara langsung disebut oleh pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan. Justeru, beliau patut membantu kita,” katanya.

“Siapa tahu, apa yang diperkatakannya itu mungkin membantu pihak pembelaan. Tetapi Musa memilih untuk tidak berbuat demikian.”

Mohd Saiful dalam keterangannya sebelum ini berkata dia menelefon telefon bimbit ketua polis negara itu selepas mengadu kepada timbalan perdana menteri ketika itu, datuk Seri Najib Razak berhubung perbualan yang didengarnya.

Menurut Sankara, temubual dengan Musa berjalan dengan tenang meskipun beliau pernah disiasat berhubung dakwaan memalsukan bukti pada perbicaran kes liwat pertama yang membabitkan Anwar.

Seorang lagi saksi yang ditemubual oleh pihak pembelaan adalah bekas pembantu Anwar, Mohd Khoharullah Abdul Majid.-Malaysiakini

tv news/-

Tak tahu motif simbah asid

18 Ramadhan 1432H. [MOD] -

SIMPATI...Muhd Khairun (kiri) berbual dengan mangsa di HKL, semalam.
KUALA LUMPUR: “Sebaik menerima berita anak saya disimbah asid, badan saya menjadi lemah dan tak tahu nak buat apa. Sepanjang pengetahuan saya, dia anak yang baik dan tidak pernah bermusuh dengan sesiapa.

“Kejadian itu benar-benar mengejutkan saya. Saya sedih kerana pada tahun ini dia akan menyambut hari raya di hospital dalam kesakitan akibat kejadian ini. Saya harap pihak tidak bertanggungjawab diberi balasan setimpal,” kata Abdul Latiff Kassim, bapa kepada seorang lelaki yang disimbah asid ketika sedang menunggu rakannya berhampiran tandas awam di Jalan Raja Laut, 8 Ogos lalu.

Katanya, perasaan sedih tidak dapat dibendung apabila melihat kecederaan teruk di muka, badan dan dua tangan anaknya serta berdepan kemungkinan terjejas penglihatan selepas mata kanannya kabur manakala mata kiri belum dapat dibuka.

Abdul Latiff berkata, dia yang sedang menonton televisyen di rumah bersama isteri bergegas ke hospital sebaik menerima panggilan telefon daripada rakan Mohd Raffie yang berada bersamanya pada malam kejadian.

“Ketika tiba, saya terkejut mendapati dia dalam keadaan begitu teruk. Selepas bertemu rakannya, baru saya tahu dia menjadi mangsa simbahan asid oleh orang tidak dikenali ketika sedang menunggu di dalam kereta,” katanya pada sidang media bersama Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh di Unit Rawatan Kebakaran Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam.

Menurut Abdul Latiff, dia sekeluarga menolak kemungkinan kejadian berkenaan bermotifkan dendam kerana anak ketiga daripada empat beradik itu tidak mempunyai masalah di tempat kerja, malah dia disenangi semua orang.

“Ini turut diakui majikan yang datang melawatnya baru-baru ini. Malah ramai rakan sekerjanya turut memberikan sokongan moral dan bersedih dengan kejadian itu. “Saya yakin ia bukan bermotifkan permusuhan dan sebagainya. Ia mungkin dilakukan individu bermasalah,” katanya.

Sementara itu, Muhd Khairun berkata, bironya akan menubuhkan Jawatankuasa Tabung Amanah bagi mencari dana membantu meringankan beban anggota keluarga selain menampung perbelanjaan yang mungkin diperlukan Mohd Raffie.

Katanya, beliau akan mempengerusikan jawatan itu yang dianggotai seorang peguam Mahkamah Tinggi, selain ahli keluarga yang akan ditentukan kemudian bagi mencari dana untuk menampung segala kos berkemungkinan.

metro/-

Dakwa dibogelkan, ahli PSM serah memo ke Bukit Aman

18 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Tiga anggota wanita Parti Sosialis Malaysia (PSM) membuat aduan rasmi kepada lembaga disiplin polis mengenai 'layanan buruk, pencabulan kuasa dan ganguan seksual” ke atas mereka semasa ditahan Jun lalu.

G Packialetchumy , P Indra dan P Jody membuat aduan di ibu pejabat polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, dengan diiringi beberapa pemimpin PSM hari ini.

Mereka menyerahkan memorandum empat halaman bersama tujuh laporan berhubung dakwaan salah laku polis.

Wanita berkenaan mendakwa mereka dipaksa berbogel dan menanggalkan pakaian mereka kepada baju lokap di hadapan dua anggota polis lelaki di kawasan terbuka di balai polis Kepala Batas di Pulau Pinang.

Ini, kata mereka berlaku pada malam 25 Jun, di mana 31 anggota PSM ditangkap semasa dalam program jelajah parti itu. Tiga belas daripada mereka adalah wanita.

“Sebaik saja tiba di lokap, kami bergilir dibawa ke lobi. Saya nampak ada 10 anggota wanita dan dua lelaki,” kata Packialetchumy yang mendakwa beliau kemudiannya diarahkan untuk menanggalkan bajunya.

Dakwanya lagi, dua anggota polis lelaki berkenaan yang berdiri kira-kira sejauh dua meter kemudiannya menjerit "Buka, kenapa tak buka?”.

"Bila saya enggan buka, seorang anggota wanita mara ke depan dan tarik baju saya,” kata Pakialetchumy (kanan), 40, dengan berang.

Beliau kemudiannya berselindung di belakang anggota polis wanita lain dan menukar kepada pakaian lokap itu seperti yang diarahkan.

Dalam aduannya juga, Jodie, 51, mendakwa seorang anggota polis lelaki menyepak kakinya apabila pada mulanya dia enggan mematuhi arahan itu.

Indra, 53, pula mendakwa seorang anggota polis cuba melondehkan seluarnya.

Menurut ketiga-tiga mereka, nasib yang sama juga dialami tahanan wanita lain.

malaysiakini/-

Lebih banyak penyelewengan Felcra akan didedah

18 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR,: Kemenangan waris kepada peserta Felcra di Tapah dalam samannya terhadap Felcra Berhad baru-baru ini membuka jalan untuk lebih banyak penyelewengan didedahkan.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, penyelewengan yang berlaku di Felcra lebih teruk berbanding Felda.

"Ini satu lagi kemenangan manis kepada peneroka di Felcra, satu lagi institusi pembangunan tanah.

"Ini membuka jalan kepada pendedahan lebih banyak penyelewengan dan salah guna kuasa yang berlaku di Felcra. Apa yang berlaku di Felcra lebih serius daripada Felda," kata beliau ketika ditemui di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Mazlan berkata, Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa) sedang mengumpulkan bukti berkaitan kes-kes penyelewengan Felcra khususnya di Perak untuk didedahkan dan dilaporkan kepada pihak berwajib.

"Bapa sudah buat keputusan untuk mendapatkan beberapa sample kes penyelewengan yang berlaku yang sebahagiannya di Perak seperti di Pasir Salak dan baling, Kedah.

"Peserta Felcra sudah buat laporan kepada Bapa dan kita akan teliti kes-kes ini untuk dibawa kepada pihak yang bertanggungjawab," katanya.

Baru-baru ini, seorang waris kepada peserta Felcra di Tapah, Mohamad Ramly Sanji menang dalam samannya terhadap Felcra Berhad yang didakwa menceroboh tanah milik ibunya.

Mahkamah Tinggi Ipoh melalui Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Dr Hassan Abd Rahman yang memutuskan bahawa perjanjian yang dibuat oleh Felcra dengan ibu plaintif sebelum ini tidak sah.

Sehubungan itu pihak Felcra diarah membayar ganti rugi kepada plaintif dan kos tindakan itu akan ditaksirkan mahkamah.

Selain itu Hakim juga mengeluarkan perintah injuksi yang menetapkan bahawa pihak Felcra perlu mengosongkan tanah tersebut dalam masa 30 hari dan segala kos pengosongan itu perlu ditanggung pihak Felcra.

Plaintif menfailkan saman berkenaan pada 2008 selepas mendapati pihak defenden iaitu Felcra Berhad melakukan pencerobohan ke atas tanah seluas dua hektar dijalan Kacu Tapah, yang dibangunkan atas tujuan tanaman kelapa sawit.

Kes beliau antara yang mendapat bantuan dan sokongan Bapa, sebuah NGO yang memperjuangkan nasib peserta Felcra.

harakahdaily/-

Najib mesti umum terma penyelesaian Tajuddin

18 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mestilah mengumumkan kepada rakyat terma-terma penyelesaian antara bekas pengerusi Penerbangan Malaysia (MAS), Tan Sri Tajuddin Ramli dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terlibat.

"Najib diingatkan supaya jangan menyalahgunakan kuasanya dan mempermain-mainkan amanah rakyat kerana pertikaian antara Tajuddin dan GLC berkaitan melibatkan berbilion ringgit wang rakyat dan sudah lama berlanjutan," kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau menyifatkan seluruh rakyat kini ditipu dan dipermain-mainkan jika benar laporan yang menyatakan bahawa hanya Tajuddin dan peguam Umno, Hafarizam Harun sahaja yang tahu terma-terma penyelesaian tersebut.

"Belum habis lagi kita menghadapi bencana di mana MAS berpindah milik dari rakyat kepada individu timbul pula isu terma penyelesaian yang digelapkan sehingga GLC berkaitan pun tidak tahu.

"Lebih buruk lagi, dilaporkan juga bahawa GLC berkenaan dimaklumkan bahawa terma penyelesaian global itu akan didedahkan kepada mereka hanya jika mereka bersetuju melantik Hafarizam sebagai peguam mereka.

"Jika benar, ia seperti ugutan kepada GLC berkenaan yang sekaligus bermakna ugutan kepada rakyuat kerana GLC hakikatnya milik rakyat," kata Mahfuz.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu mengingatkan Perdana Menteri bahawa beliau boleh dituduh terlibat mengugut rakyat melalui terma berbau ugutan kepada GLC berkaitan jika beliau tidak menyatakan kepada rakyat terma-terma penyelesaian antara GLC tersebut dengan Tajuddin.

Beliau juga menuntut bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir memikul tanggungjawab utama atas apa yang berlaku itu.

"Selain apa yang dilihat sebagai pengambilalihan MAS oleh Air Asia, off-site solution dengan Tajuddin yang dilihat ditaja oleh Najib hakikatnya adalah menifestasi kegagalan program penswastaan Dr Mahathir," tegas Mahfuz.

Beliau menyifatkan kedua-duanya sebagai bencana yang diakibatkan oleh amalan kronisme dan rasuah paling hebat iaitu penswastaan atas dasar "siapa yang kamu kenal".

"Walaupun Dr Mahathir telah bersara selama kira-kira tujuh tahun, tetapi rakyat masih dipaksa menanggung beban kebobrokan pemerintahan 22 tahunnya," kata beliau.

Mahfuz kesal, MAS dari sebuah syarikat penerbangan nasional kepunyaan rakyat, yang dahulunya setaraf Singapore Airline, Cathay Pacific dan Etihad kini menanggung kerugian serta tidak dapat bersaing maju dan lebih menyedihkan, berpindah hak milik daripada rakyat kepada individu.

"Tajuddin yang dilihat umum sebagai pihak yang dikaitkan sebagai bertanggungjawab menyebabkan MAS rugi besar terlepas bebas begitu sahaja," kata beliau.

harakahdaily/-

Bekas tentera dakwa mengundi 'sampai lenguh'

18 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Seorang bekas anggota tentera mendakwa, beliau telah menanda ribuan kertas undi pos semasa bertugas sebagai kerani tadbir ketika pilihan raya ketujuh dijalankan.

Kamarulzaman Ibrahim, 53, mendakwa beliau bersama beberapa lagi rakannya diarahkan supaya berbuat demikian oleh pegawai pemerintahnya.

Beliau (foto kanan) mendakwa berbuat demikian sepanjang tiga hari menjalankan tugas berkenaan di Kem Terendak, Melaka.

Beliau mendakwa telah menanda kertas undi berkenaan "sehingga lenguh tangan" dan turut menandatangan setiap borang yang dikepilkan bersama kertas undi tersebut.
Pendedahan berkenaan timbul selepas pemuda PAS membuat pendedahan sama selepas seorang anggota tentera mula membuka mulut berhubung dakwaan sama, awal bulan ini.

Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat PAS hari ini, Kamarulzaman berkata, beliau berbuat demikian kerana "sekadar menurut perintah" sepanjang tempoh tiga hari tugasnya itu.
"Jadi ruang untuk manipulasi memang terlalu besar," katanya yang turut mendedahkan bahawa beliau turut diarahkan untuk memangkah undi bagi pembangkang.

"Sebab itu memang ada tempat yang PAS menang dengan undi pos," katanya yang menambah, kertas undi yang dibekalkan ke kem berkenaan bukanlah untuk sesuatu kawasan pilihan raya sahaja.

Selain Kamarulzaman, turut tampil membuat pendedahan hari ini ialah Mohamed Nasir Ahmad yang pertama kali muncul pada awal bulan ini dengan dakwaan berhubung penyalahgunaan undi pos di Kem Sandakan pada 1986.

Mohamed Nasir Ahmad, 50, mendakwa pernah memangkah lebih 400 kertas undi pos dalam tugasnya di kem itu.

Apa yang menghairankannya, tidak sampai 100 orang daripada setiap batalion didakwa telah mendaftar sebagai pengundi pos, namun kertas undi tetap dikeluarkan atas nama mereka, dakwanya lagi.

Tambahnya (foto kiri), kertas undi berkenaan mungkin dikeluarkan untuk anggota yang bakal bersara dan menjalani latihan peralihan.

"Mereka ini duduk berterabur di serata negeri. Mana ada masa untuk balik ke kem," katanya lagi yang berkata anggota tentera telah menerima arahan melalui perintah tetap supaya tidak terlibat dalam politik.

"Kita tidak ambil penting sangat apa yang kita buat itu. Bila ada gelombang BERSIH, barulah kita ada kesedaran," katanya lagi.

Turut bercakap dalam sidang media tersebut ialah seorang bekas pegawai tentera, Mejar (B) Risman Mastor dan seorang bekas anggota komando tentera udara, Mohd Kamil Omar.

Mohd Kamil mendakwa, beliau pernah ditawarkan satu "habuan" oleh pegawai atasannya untuk tugas menanda "sekotak kertas undi."

Mohd Kamil bagaimanapun mendakwa, beliau tidak menjalankan tugas berkenaan kerana mengetahui perkara itu "tidak betul."

Risman (kiri) pula mendakwa beliau pernah menanda kertas undi ketika bertugas semasa pilihan raya dijalankan pada tahun 1978.

"Tapi saya tidak ingat berapa sebab nak cepat," katanya lagi yang menganggarkan jumlah yang ditanda itu didakwa tidak lebih daripada 100 kertas undi.

Risman yang bersara pada tahun 1996 itu mendakwa telah berbuat demikian ketika bertugas di Kem Majidee, Johor.

Mengulas dakwaan yang dilakukan bekas tentera berkenaan, ketua pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat berkata pergerakan itu akan meneruskan usaha mendedahkan masalah dalam sistem pengundian pos.

Mekanisme sedia ada tidak membolehkan SPR dan juga wakil parti politik mengesan kesemua kertas undi yang dibekalkan kepada pengundi pos, katanya.

Beliau juga berharap kerajaan akan dapat melaksanakan perubahan ke atas sistem pilihan raya, sebelum pilihan raya ke-13 dijalankan.

malaysiakini/-

Harga rumah di Miri terlalu mahal

18 Ramadhan 1432H. [MOD] -

RAMAI penduduk di Miri dan juga di Sarawak merungut tentang harga rumah yang terlalu mahal di bandaraya Miri. Bagi yang berpendapatan rendah dan sederhana tentu sukar sekali untuk memilikirumah sendiri disebabkan harga sebuah rumah teres sekarang boleh mencecah sampai Rm300 ribu keatas.

Untuk mendapat rumah kos dibawah RM200 ribu ke bawah sekarang sukar sekali. Pemaju perumahan sering memberi alasan disebabkan harga bahan binaan yang semakin meningkat menyebabkan mereka menaikkan kos harga rumah sekarang.

Kita minta pihak kerajaan supaya dapat mengawal harga kos rumah yang terlalu tinggi sekarang ini dapat di kurangkan ke minima supaya golongan yang berpendapatan rendah dapat membeli dan memiliki rumah sendiri.

Sepatutnya Sarawak yang mempunyai tanah yang luas sebesar semananjung Malaysia tidak mempunyai masalah untuk membina rumah kos rendah dan juga rumah yang mempunyai tempat keluasan yang luas bukan seperti sekarang dimana terlalu kecil dan sempit. Mengapa pihak kerajaan hanya membiarkan pihak pemaju perumahan mengambil keuntungan yang melampau dengan membina rumah yang kecil dalam kawasan yang sempit?

Mengapa perlu membina rumah flat dan teres sedangkan kalau kerajaan benar-benar perihatin sudah pasti kerajaan dapat memberi tanah lot kepada semua rakyat di Sarawak ini sebab tanahnya luas. Kalau kerajaan serah kepada pemaju perumahan sudah pasti rakyat akan menanggung semua kos pembinaan dan juga yang untung bukan rakyat tetapi pemaju. Sedangkan pihak pemaju mendapat keuntungan yang tinggi hasil dari jualan mereka dan yang jadi mangsa sekarang adalah rakyat. Dimana tanggungjawab kerajaan untuk membantu masalah rakyat ini?

Kita minta kerajaan Sarawak jangan biarkan masalah ini berlarutan, kita perlu membina lebih banyak rumah kos sederhana dan rendah untuk rakyat yang kurang berkemampuan. Kalau kerajaan benar-benar ikhlas untuk membantu rakyat sepatutnya perkara semacam ini tidak berlaku dalam Sarawak yang mempunyai keluasan tanah yang boleh menampung semua rakyat Sarawak yang tinggal dalam Negara ini.

Kalau pihak kerajaan gagal untuk mengatasi masalah dan membantu rakyat yang sudah sekian lama ingin memiliki rumah sendiri, kita jangan biarkan mereka terus berkuasa kerana ini adalah tanggungjawab kerajaan atas kelemahan system pentabiran mereka sendiri yang hanya mementingkan kepentingan pihak pemaju dan pihak yang mempunyai kepentingan sehingga membiarkan rakyat hidup sengsara di tanah
sendiri.

Miri juga tercatit sebagai Bandar yang mempunyai penduduk setingan yang ramai. Inilah antara puncanya mengapa Miri ramai penduduk mendiami kawasan setinggan disebabkan rata-rata yang tinggal dalam setinggan adalah penduduk yang datang dari daerah lain dan ada juga penduduk asal Miri. Mereka tidak mampu untuk membeli rumah dengan kos yang terlalu tinggi maka dengan sebab itu mereka membina rumah dalam kawasan tanah kerajaan demi untuk menyambung kehidupan seharian.

Apakah pihak kerajaan sudah merancang untuk memindah mereka ke suatu tempat yang lebih selesa dan selamat? Sepatutnya pihak kerajaan memperuntukan suatu tempat perumahan yang sesuai untuk didiami bukan macam sekarang dimana ada sesetengah tempat perumahan rakyat terpaksa

ditimbus tanah disebabkan kawasan berpaya dan dalam kawasan belukar dan di pinggir hutan dimana mereka terpaksa menimbus tanah-tanah paya serta memerlukan kos yang tinggi. Sudah pun tanah kena bayar ini belum lagi membeli bahan binaan rumah dan sebagainya. Tentu ini akan menjadi bebanan pada mereka yang kurang berkemampuan.

Sekiranya mereka hendak membeli rumah kos rendah pun mereka memerlukan dana yang cukup sebab ada diantara mereka yang di temui mengatakan rumah kos rendah sekarang harganya boleh mencecah sampai RM100 ribu ke atas. Dimana slogan kerajaan mengatakan “Rakyat di Dahulukan, Pencapaian dI utamakan”?

Sekali lagi kita menyeru agar pihak kerajaan dan pemaju perumahan boleh menyediakan rumah yang sesuai dan selamat untuk didiami serta dengan harga kos yang sederhana yang mampu dimiliki oleh golongan yang mempunyai pendapatan sederhana dan rendah.

Semoga amalan menuju ke arah Negara berkebajikan yang di tunggu-tunggu oleh rakyat marhean selama ini akan menjadi kenyataan sekiranya berlaku perubahan kuasa selepas PR 13 nanti, Insya-Allah

**Jofri Jaraiee adalah Yang DiPertua PAS Miri merangkap Timbalan Pesuruhanjaya PAS Sarawak

harakahdaily/-

17 Ogos 2011

Kini pengundi dengan MyKad tidak wujud pula dikesan

17 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Ketika BN dan Pakatan Rakyat sibuk memperkatakan tentang penubuhan jawatankuasa khas Parlimen untuk reformasi pilihan raya, lagi kesilapan didedahkan dalam daftar pemilih oleh parti-parti politik dan orang awam.

Penemuan terbaru oleh seorang penyokong PAS menunjukkan
beberapa pengundi berdaftar di Kedah mempunyai MyKad dengan nombor yang tidak wujud.

Maklumat tersebut berserta imej skrin (kiri) lamanweb Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dipaparkan di halaman Facebook yang didaftarkan kepada 'Pengundi PAS Kedah'.

Ia menunjukkan bahawa angka ketujuh dan kelapan nombor MyKad tiga orang pengundi dicatatkan sebagai '00 '. Secara umumnya, angka itu digunakan untuk menunjukkan negeri lahir pemegang MyKad.

Menurut lamanweb Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang menyenaraikan kod bagi negeri-negeri di Malaysia dan negara-negara asing, kod '00 'tidak wujud.

Ketika dihubungi, pegawai perkhidmatan pelanggan JPN mengesahkan tidak ada kod itu dan meminta wartawan ini membuat laporan rasmi kepada jabatan berkenaan.

Semakan dengan portal JPN - yang membolehkan orang ramai menyemak status dokumen pengenalan mereka - menunjukkan tidak ada rekod tiga MyKad terbabit.

Apabila mengakses pagi ini, sistem pengesahan dalam talian SPR mengesahkan butiran pengundian ketiga-tiga mereka:

1. Hasrullizam bin Halim
MyKad no: 800604002563
Kawasan mengundi: Bukit Pinang (negeri), Pokok Sena (Prliament)

2. Rosmadi bin Chik
MyKad no: 801111002544
Kawasan mengundi: Kota Siputeh (negeri), Jerlun (Parlimen)

3. Shapiza binti Ghazali
MyKad no: 811020002568
Kawasan mengundi: Bukit Lada (negeri), Pokok Sena (Parlimen)

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof (kanan) telah berkali-kali menjelaskan bahawa setiap pendaftaran pengundi akan diperiksa dengan pangkalan data JPN.

Oleh itu, tidak diketahui bagaimana tiga pengundi tersebut telah didaftarkan dalam daftar pemilih walaupun nombor MyKad mereka tidak sah.

malaysiakini/-

Perang Badar Dan Nuzul al-Quran

17 Ramadhan 1432H. [MOD] -
http://pmram.org

Dua peristiwa besar dalam Islam yang berlaku pada 17 Ramadan ialah nuzul al-Quran dan peperangan badar. Nuzul al-Quran dalam konteks ini ialah penurunan al-Quran buat kali yang pertama.

Penulis sumber sejarah Islam yang berautoriti seperti Ibn Ishaq, al-Tabari, Ibn Hisyam, al-Asqalani dan Ibn Sayyid al-Nas mencatatkan bahawa peristiwa nuzul al-Quran berlaku ketika Nabi Muhammad S.A.W. bertahannuth di gua Hira'.

Baginda dilaporkan pergi ke gua Hira' bersama-sama isterinya Khadijah. Ketika sedang tidur, baginda didatangi Jibrail yang memintanya membaca. "Bacalah! Namun, Nabi Muhammad SAW menjawab: Apa akan ku baca (wa ma aqra'?)"

Sebaik sahaja mendengar jawapan Nabi Muhammad SAW, Jibrail terus memeluk baginda dengan kuat sehingga baginda sukar untuk bernafas. Kemudian baginda dilepaskan lalu disuruh lagi: "Bacalah! Nabi Muhammad masih menjawab: Apa akan ku baca?" Lalu Jibrail menarik dan memeluknya sekali lagi. Perkara ini berterusan sehingga beberapa kali.

Lalu Jibrail melepaskan Nabi Muhammad SAW dan seterusnya membacakan lima ayat pertama dari surah al-Alaq. Selepas itu, barulah Jibrail pergi dari situ dan nabi segera terjaga dari tidurnya.

Lima ayat pertama dari surah al-Alaq inilah yang pertama diturunkan kepada baginda SAW. Lima ayat ini jugalah yang mempunyai kaitan langsung dengan peristiwa nuzul al-Quran.

Apa pula kaitan antara nuzul al-Quran dengan peperangan Badar? Untuk melihat lebih lanjut mengenai perkara ini, mari kita lihat pandangan-pandangan yang timbul mengenai tarikh berlakunya peristiwa nuzul al-Quran. Pandangan-pandangan inilah nantinya akan membawa kita kepada hubung kait antara nuzul al-Quran dengan peperangan Badar.

Ulama menyepakati bahawa nuzul al-Quran berlaku pada hari Isnin. Jika ditinjau pandangan Ibn Kathir, kita akan dapati bahawa persepakatan ini disandarkan kepada sabda Nabi Muhammad SAW sendiri ketika ditanya tentang puasa pada hari Isnin. Baginda mengatakan bahawa baginda dilahirkan pada hari Isnin dan al-Quran juga diturunkan kepadanya pada hari Isnin.

Sekalipun terdapat persepakatan dari segi hari berlakunya peristiwa nuzul al-Quran, namun terdapat perselisihan pendapat dari segi tarikh dan bulan berlakunya peristiwa tersebut.

Beberapa tarikh telah dilaporkan oleh sumber sejarah Islam sebagai tarikh berlakunya nuzul al-Quran seperti 10 Ramadan, 17 Ramadan, 18 Ramadan ataupun 24 Ramadan.

Selain bulan Ramadan, terdapat juga pandangan yang mengatakan bahawa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Rabiulawal atau bulan Rejab. Walau bagaimanapun, pandangan yang paling masyhur menyebut bahawa peristiwa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Ramadan.

Kebanyakan sumber sejarah Islam yang menyebut mengenai perkara ini di dapati melaporkan pandangan Ibn Ishaq.

Mari kita lihat apa pula bukti yang mengukuhkan hujah bahawa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Ramadan.

Menurut kebanyakan penulis sumber sejarah Islam yang berautoriti seperti Ibn Ishaq, Ibn Hisham, Ibn Kathir, al-Suhayli dan juga al-Bayhaqi, ayat 185 surah al-Baqarah adalah bukti jelas bahawa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Ramadan.

Ini terbukti menerusi apa yang boleh difahami dari ayat tersebut iaitu, "bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu…".

Selain ayat tersebut, terdapat juga ayat lain yang turut digunakan sebagai bukti bahawa peristiwa nuzul al-Quran berlaku pada bulan Ramadan. Antaranya ialah ayat 41 surah al-Anfal.

Menariknya ialah, ayat ini tidak hanya menentukan bulan berlakunya peristiwa tersebut. Bahkan ia juga turut mendedahkan tarikh berlakunya peristiwa nuzul al-Quran itu sendiri.

Ini boleh difahami menerusi maksud ayat tersebut iaitu ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil, jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami Muhammad di hari Furqan iaitu hari bertemunya dua pasukan.

Apa yang dimaksudkan dengan hari bertemunya dua pasukan di sini ialah pertemuan antara orang Islam dan orang kafir dalam peperangan Badar yang berlaku pada 17 Ramadan.

Oleh kerana ayat 41 sebelum ini menjelaskan mengenai nuzul al-Quran berlaku pada hari tersebut, maka tarikhnya pastilah 17 Ramadan. Cuma bezanya, peperangan Badar berlaku pada 17 Ramadan tahun ke-2 hijrah.

Walau bagaimanapun, baik nuzul al-Quran mahupun peperangan Badar, kedua-duanya adalah peristiwa besar dalam sejarah Islam. Nuzul al-Quran menjadi titik tolak kepada pelantikan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah untuk membawa risalah Islam.

Peperangan Badar pula mencerminkan kekuatan pihak Islam hanya dalam tempoh lebih kurang dua tahun selepas mereka meninggalkan kota Mekah untuk berhijrah ke Madinah.

Laporan polis terhadap Timbalan Ketua Polis Perak

17 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Harakahdaily

IPOH, 16 Ogos: Adun Pakatan Rakyat Perak menggesa Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Zakaria Yusof menarik balik kenyataan terhadap mereka dan memohon maaf kepada rakyat.

Gesaan itu dibuat oleh Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mewakil semua Adun Pakatan Rakyat di dalam laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah Ipoh, di sini, hari ini.

“Maka dengan ini, saya gesa Datuk Zakaria menarik balik kenyataannya terhadap kami wakil rakyat dan memohon maaf kepada rakyat dan kami wakil rakyat dalam tempoh bulan Ramadzan ini dan berhenti menjadi pekakas dan alat Umno BN.

“Jangan cemarkan nama baik PDRM dan pulihkan nama baik PDRM di kaca mata rakyat!” ujarnya yang juga AJK PAS Pusat dalam laporan polis itu.

Berikut adalah laporan polis tersebut.

Adalah dengan ini satu laporan polis dibuat di IPD Ipoh, Perak pada 16 Ogos 2011 (Selasa) terhadap Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof mengenai kenyataan beliau terhadap kami Adun sebagaimana terpapar di muka depan di dalam akhbar Sinar Harian, semalam.

Dengan tajuk “JAGA ADAB” beliau menyatakan “saya harap ahli-ahli dewan menjaga tingkah laku ketika membentangkan suara rakyat. Sekiranya berlaku provokasi, kita akan atasi sebaik mungkin”.

Saya dengan ini bertegas menyatakan bahawa kenyataan ini melanggar serta bertentangan dengan Kanun Keseksaan (Akta 574) perkara 124. Kenyataan melampau dan keterlaluan ini juga membuat saya berasa terguris, marah, terhina, takut, cemas, bimbang, malu, dan dukacita. Sekaligus beliau mengenepikan Undang-undang tubuh Kerajaan Perak (Perlembagaan Perak), Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Tetap Dun yang mana saya dan semua Adun telah mengangkat sumpah memelihara dan mendukungnya.

Sebagai wakil rakyat dan ahli dewan, saya juga tertakluk kepada semua perkara yang terkandung didalam Peraturan Tetap dewan bagi mentadbir perjalanan mesyuarat termasuk adab, tatasusila, peraturan persidangan dewan serta tingkah laku kami. Dewan mempunyai Tuan Speaker dan pengawalnya tersendiri. Doktrin pengasingan kuasa dan sistem demokrasi berparlimen menjadi ikutan saya dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Kenyataan Datuk Zakaria di dalam laporan akhbar tersebut juga mengesahkan bahawa sejak rampasan kuasa oleh Umno BN pada bulan Februari 2009, kesemua persidangan Dun Perak telah dicerobohi oleh PDRM dengan kehadiran begitu ramai anggota serta kenderaan polis. Saya ingin mengingatkan bahawa PDRMlah yang telah masuk dan menceroboh Dun Perak pada 7 Mei 2009, sedang Speaker YB Sivakumar mengendalikan persidangan dan YB Sivakumar telah diheret dan diangkat serta digulingkan oleh anggota polis dan beliau telah dikunci selama satu jam di bilik belakang dewan.

Sementara kami Adun Pakatan Rakyat dibelasah dan dikasari oleh polis didalam dewan dan ditonton oleh media, rakyat, Orang-orang Besar Negeri, Pengarah-pengarah kerajaan Negeri dan Persekutuan. Siapa yang sebenarnya biadap bila Datuk Zakaria menyuruh kami “Jaga Adab”?

Kenyataan ini juga menimbulkan keluh-kesah dan berupa ugutan serta pencerobohan terhadap bidang kuasa kami sebagai wakil rakyat. Sedarlah bahawa tahap kejadian mungkar, jenayah, rasuah, pembunuhan, kemalangan, salah guna kuasa, pecah amanah di Perak yang menjadi-jadi kini, memerlukan PDRM melaksanakan tugas mereka bagi menjaga keselamatan rakyat dan negeri. Jangan sibuk menjaga persidangan Dun Perak dan berlagak seperti Perdana Menteri. Sebagai eksekutif, PDRM ada tugasan mereka yang mesti dilaksanakan. Laporan polis yang dibuat oleh rakyat masih bertimbun yang belum disiasat!

Kenyataan Datuk Zakaria yang tidak bertanggungjawab, niat buruk, berbau ugutan serta mencerminkan sikap diperalatkan oleh UMNO BN amat menyedihkan kami. Lihat saja kekejaman yang dibuat Polis terhadap rakyat semasa himpunan aman Bersih 2.0 di KL pada 9 Julai 2011! Bilik hotel saya diceroboh oleh polis dari IPD KL pada jam 12.45 tengah malam pada 9 Julai 2011!

Persidangan yang sepatutnya berjalan selama 2 hari telah ditamatkan oleh Speaker haram pada jam 1 tengah hari pada 15 Ogos 2011. Banyak soalan lisan dan bertulis kami tidak dijawab. Pembesar suara/microphone kami selalunya ditutup. Peraturan Tetap tidak dipatuhi oleh Speaker haram! Bagaimana kami boleh “menimbulkan banyak perkara” dalam persidangan yang tak sampai 3 jam? Speaker haram telah tidak upaya mengendalikan dewan serta hilang kawalan dan akhirnya Dun Perak gagal sebagai badan Legislatif yang dimuliakan!

Maka dengan ini saya gesa Datuk Zakaria menarik balik kenyataanya terhadap kami wakil rakyat dan memohon maaf kepada rakyat dan kami wakil rakyat dalam tempoh bulan Ramadzan ini dan berhenti menjadi pekakas dan alat Umno BN. Jangan cemarkan nama baik PDRM dan pulihkan nama baik PDRM di kacamata rakyat!


16 Ogos 2011

Berbuka mewah jadi isu di Turki

16 Ramadhan 1432H. [MOD] -

PENDUDUK Turki berbuka puasa beramai-ramai di Beylikduzu, Istanbul.
Gerakan Islam saran golongan kaya elak cara kapitalis ketika iftar

ANKARA: Berbuka puasa secara mewah atau di tempat umum menjadi isu di Turki selepas sebuah pergerakan pro-Islam, Landasan Keadilan dan Buruh (LJP) menyifatkan mereka yang berbuka di hotel melambangkan kemenangan sistem kapitalis.

“Kami menentang pembaziran wang ketika berbuka. Daripada membelanjakan wang untuk meja hidangan berbuka, beri saja wang itu kepada pekerja,” menurut kenyataan LJP.

Mereka merujuk kos berbuka iaitu 318 lira Turki (RM533) satu meja sedangkan gaji minimum di negara itu hanya 658 lira (RM1,104).

“Ini bukannya protes terhadap iftar ketika Ramadan semata-mata tetapi kami lakukannya kerana juadah besar ini menjadi lambang penduduk yang akur kepada cara kapitalis sejak 15 tahun lalu,” kata seorang peserta protes, Ihsan Eliacik kepada akhbar Hurriyet.

“Ketika orang miskin berhimpun di bawah khemah untuk mendapatkan makanan percuma, golongan kaya berkumpul di hotel. Malang sekali mentaliti konservatif di Turki mewujudkan jurang ini yang dianggap biasa sekarang,” katanya.

Seorang lagi penulis, Hidayet Tuksal, berpendapat isu ketidakadilan sosial termasuk jurang taraf hidup tidak banyak dibincangkan di kalangan kumpulan Islam.

Ihsan, bagaimanapun, tidak bersetuju dengan Hidayet dengan berkata: “Memberi kekayaan tidak semestinya dapat membantu menghapuskan ketidaksamaan taraf.

“Wujud jurang besar antara golongan kaya dan miskin di Turki. Orang kaya yang sedar perkara itu mendermakan wang mereka tetapi meneruskan cara hidup mereka,” katanya.

Perbahasan itu dilihat turut mempengaruhi ahli politik dengan speaker Parlimen, Cemil Cicek, yang baru-baru ini menghadiri majlis berbuka, mengkritik penaja kerana menggunakan meja mahal, manakala Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan turut menggesa semua pihak mengelak mengadakan iftar besar-besaran. – Agensi